Chapter 65

Humor Completed 22614

Bab 65

Rumah sunyi berwarna putih itu dijejaki lagi oleh Heris. Sudah beberapa hari dia meninggalkan rumah tersebut. Dia melangkah masuk ke dalam rumah itu dan menuju ke ruang tamu. Dia merebahkan tubuhnya di atas sofa. Matanya merenung siling. Kedua belah tangannya dijadikan bantal menampung kepalanya. Rumah yang bahagia itu telah menjadi sunyi tanpa kehadiran Sophia. Heris merindui wanita itu. Dia ingin sekali menemui Sophia tetapi wanita itu benci kepadanya. Dia ingin menatap wajah isterinya tapi wanita itu enggan melihatnya. Hatinya kangen mahu mendengar suara manja Sophia namun seringkali wanita itu mematikan talian tatkala terdengar suaranya. Heris tidak berdaya lagi merindui wanita tercintanya itu.

Oleh yang demikian dia mengambil keputusan untuk tidak tinggal di rumah tersebut. Dia tidak mahu tinggal sendirian di situ tanpa kehadiran Sophia. Dia menetap semula di pangsapuri lamanya dan hanya pulang sesekali ke situ untuk memastikan rumah itu tidak terbiar kosong dalam tempoh yang lama. Namun setiap kali dia melangkah masuk ke dalam rumah itu hatinya berasa lara. Bayang-bayang Sophia sentiasa dilihatnya dimana-mana. Di setiap sudut dan tempat mempunyai kenangannya bersama Sophia. Ia kenangan yang kekal abadi. Walaupun tidak sampai sebulan mereka tinggal bersama di situ tapi setiap kenangan itu terus terpahat di hati sebagai memori terindah.

Namun begitu kenangan manis tidak membawa makna kerana di saat ini hatinya cedera kerana luka yang terhasil daripada kesilapan sendiri. Setelah bosan berbaring di sofa, Heris bangkit dan menuju ke piano yang berdiri kukuh di tepi dinding. Dia menarik bangku dan duduk di hadapan piano tersebut. Mata-mata piano itu ditatapnya. Dia terkenang Sophia yang pertama kali menyentuh mata piano itu dulu. Wanita itu begitu teruja mendengar dentingan piano yang bergema di seluruh ruang rumah mereka. Dia masih ingat lagu Endless Love ialah lagu pertama yang dimainkannya untuk Sophia. Heris mula menekan mata piano dan memainkan lagu tersebut.

Irama yang bergetar begitu sentimental sehingga menyentuh hati Heris. Dadanya terasa sebak. Setiap kali dia menekan mata piano itu terasa seperti dia sedang menekan pisau ke dalam lukanya. Kalau tempoh hari lagu tersebut membuatkannya tersenyum tapi hari ini lagu itu cukup memilukan. Kesunyian itu lebih dirasai apabila mendengar lagu tersebut. Dia menamatkan kepedihan hatinya dengan nada yang kasar di hujung sentuhannya. Heris bangun dan berlalu pergi ke sudut ruang tamu. Dia mengangkat telefon dan mendail nombornya.

“Hello…” Satu suara lelaki muncul di hujung talian.

“Atuk…”

“Ha, Manggis Kelat!”

secubit senyuman muncul di bibir Heris tatkala mendengar suara Chris.

“Atuk sihat?”

“Kami semua sihat kecuali Sophia.”

“Sophia sakit?!” Heris cemas secara mendadak.

“Ya, sakit jiwa… hahaha…”

‘Buat lawak bodoh pula orang tua ni…’ Heris berasa sedikit marah dan meluat mendengar tawa datuknya yang sengaja dikuatkan.

“Hei, Manggis Kelat… bila nak temukan aku dengan Kelly Hung?”

‘Dia masih ingat dengan janji itu?’ Heris hanya mampu menggaru kepala.

“Ee… atuk, nanti…”

“Hello, Heris…”

Tidak sempat Heris mahu menghabiskan kata-katanya terdengar pula suara Trisya.

“Ibu buat loudspeaker lagi? Adakah Sophia dan ayah juga ada di situ?”

“Jangan risau. Kali ini bukan loudspeaker. Sophia dan ayah juga tiada di sini. Kita boleh bercakap dengan bebas.” Trisya memberi jaminan sambil matanya melirik Chris di sebelahnya.

“Betul?”

“Tentulah.”

“Jadi atuk?”

“Ada di sebelah ibu.” Trisya tersengih melihat ayah mentuanya yang bermasam muka kerana dia telah merampas telefon itu tadi.

“Hmm, Heris…”

“Ya, ibu.”

“Heris nak buat apa sekarang?”

Diam. Heris tahu apa maksud ibu mentuanya itu tapi dia sendiri berasa tidak berdaya lagi mahu meneruskannya.

“Dia dah banyak berubah. Lepas Heris pergi dia asyik termenung dan tak banyak bercakap.”

“Apa yang Heris boleh buat, ibu? Dia tak nak tengok muka ni lagi. Dia benci dengar suara ini. Dia tidak akan mahu bercakap dengan saya. Saya tiada daya untuk mengawal hatinya supaya menerima saya kembali.”

“Heris jangan putus asa. Ibu percaya masih ada cinta diantara kamu berdua. Heris bersabar ya.”

“Terima kasih, ibu kerana masih menyokong Heris. Heris akan tunggu sampai pintu hatinya terbuka semula. Heris janji.”

Perbualan mereka tamat di situ. Dengan langkah yang longlai Heris meninggalkan rumah itu. Dia tidak mahu terus berlama di situ. Jiwanya sakit. Bilakah ia akan berakhir? Jangan biarkan aku terlalu lama, Sophia…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience