Chapter 58

Humor Completed 22614

Bab 58

“BETUL ke atuk nak tolong Heris ni?”

Heris bertanya lagi kepada Chris yang sibuk menekan-nekan punat yang ada di dalam keretanya. Dia sangat teruja dapat duduk di dalam kereta mewah milik Heris itu.

“Atuk, cakap betul-betul dengan saya. Atuk nak tolong atau tidak?” tanya Heris yang sedang memandu. Tangan kirinya sibuk menghalang Chris daripada menekan pelbagai butang di dalam keretanya itu. Mujur Crush Mermaid tidak bernyawa. Jika tidak pasti kereta kesayangannya itu sudah menjerit-jerit akibat diperlakukan oleh Chris dengan sewenang-wenangnya.

Malam tadi, akibat tidak dapat tidur dengan nyenyak, Heris bangun dan keluar dari bilik. Dia bertembung dengan datuknya ketika mahu menuju ke bilik air yang berada di tingkat bawah. Mereka berdua terus berbual di tangga sementara menunggu hari siang. Secara tidak langsung Heris telah mereka sebuah cerita untuk mendapatkan kepercayaan datuknya untuk membantunya dalam misi memujuk hati Sophia semula. Setelah dipertimbangkan, hanya Chris yang layak dan boleh dipercayai. Lagipun Chris tentu banyak pengalaman memandangkan usianya yang sudah hampir seabad itu.

“Atuk ni serius ke tak nak tolong saya?”

“Hmm…” Chris mengelus-ngelus dagunya sambil ekor matanya memerhatikan Heris yang sedang mengawal stereng kereta. “Aku sayangkan cucu tunggal aku. Maka demi Epal Hijau kesayangan aku tu, aku akan tolong kau. Tapi…” senyuman sinis Chris menamatkan kata-katanya yang sengaja dibiar tergantung. Dia mahu Heris mengerti sendiri akan maksudnya.

“Baiklah… saya akan tunaikan permintaan yang atuk minta malam tadi kalau misi saya nak pikat semula isteri saya berhasil.” Dengan berat hati Heris bersetuju. Permintaan Chris bukanlah sesuatu yang sukar untuk ditunaikannya tetapi agak berat untuk dilaksanakan, iaitu berkenalan dengan Kelly Hung. Kelly Hung adalah antara penyanyi terkenal yang pernah bekerjasama dengannya. Hubungannya agak baik dengan wanita jelita itu namun entah mengapa agak runsing dia memikirkan cara yang sesuai untuk memperkenalkan Chris kepada penyanyi tersebut. Apatah lagi memikirkan sikap datuknya itu yang adakalanya miang keladi apabila bertemu gadis berdahi licin.

“He… he… he… bagus, Manggis Kelat.” Chris tersenyum lebar sambil menepuk-nepuk bahu Heris.

“Atuk, jangan panggil saya dengan nama tu lagi. Nama saya Heris.” Heris menepis tangan Chris di bahunya. Tingkahnya mempamerkan perasaannya yang tidak suka dengan gelaran yang dipanggil oleh Chris terhadapnya.

Chris sekadar tersengih tanpa mempedulikan perasaan jengkel di hati Heris.

“Jadi, apa rancangan kita sekarang, tok?” Heris kembali pada topik perbualan.

“Kita ke gerai Cik Erza dulu.”

“Buat apa?”

“Breakfast lah.” Jawapan yang pendek untuk soalan tahap pra-sekolah.

“Tapi, tok… saya dah tak banyak masa lagi ni. Kita kena fikirkan rancangan kita.”

Klekuk! Pantas tangan Chris meluku kepala Heris. Heris yang gagal mengelak mengaduh kesakitan. Tajam matanya mencerling datuknya di sebelah. Geram tapi atas rasa hormatnya terhadap lelaki tua itu dia diam sahaja.

“Kau ni tak bijak… gelojoh pula tu tapi hati kau ikhlas dan jujur. Kau dengar apa yang aku nak cakap, Manggis Kelat…”

“Atuk, kan saya dah cakap nama saya Heris… adoi!”

Kena lagi sebiji. Atuk suka luku kepala orang…

“Menyampuk.”

“Maaf.”

“Kita akan bincangkan rancangan kita di gerai Cik Erza sebentar lagi.”

Heris mengangguk dan menurut arahan Chris. Dia memberhentikan keretanya di tepi jalan sebaik tiba di gerai Cik Erza.

“Selamat pagi, Tok Chris!” Seorang perawan yang sedang menatang dulang berisi hidangan pelanggan menyapa Chris.

“Selamat pagi, Cik Erza yang manis lagi menawan. Cik Erza ni semakin hari semakin cantik berseri-seri.” Chris membalas mesra.

“Tok Chris ni memang bermulut manis. Erza ni biasa-biasa saja tapi dikatanya cantik berseri-seri.” Gadis bernama Erza itu tersipu-sipu meletakkan hidangan pelanggannya sambil diperhatikan oleh Chris dan Heris.

Heris mengulum senyuman melihat reaksi Erza yang malu-malu apabila dipuji. Gadis itu pada pandangan matanya memanglah ayu dan manis. Walaupun agak gelap sedikit tapi wajahnya manis apatah lagi apabila dia tersenyum. Mungkin itulah daya penariknya untuk menarik pelanggan ke gerainya.

“Tok Chris dengan kawan tok ni duduk dulu, ya. Sebentar lagi Erza ambil pesanan.” Erza berlalu pergi menuju ke ruang belakang gerai.

Keadaan dalam gerai tersebut agak sibuk dengan kunjungan pelanggan. Tidak mustahillah apabila melihat Erza dan beberapa pekerjanya nampak sibuk keluar masuk melayan pesanan para pelanggannya pagi itu. Chris dan Heris mencari meja kosong sejurus kemudian. Sementara menunggu Erza datang semula untuk mengambil pesanan mereka berbual-bual dengan penduduk setempat yang berada di gerai tersebut.

“Tok Chris, siapa pemuda yang bersama tok ni?” tanya seorang penduduk setempat yang duduk berhampiran dengan mereka apabila mendapati tidak pernah melihat pemuda asing yang bersama dengan Chris itu.

“Oh, ya… aku kenalkan kepada semua, ini adalah cucu menantuku. Namanya…” Chris terlupa nama sebenar Heris kerana terlalu kerap memanggilnya dengan nama ‘Manggis Kelat’. Chris mencuit Heris di sebelahnya. Heris terpinga-pinga melihat sikap datuknya. Lantas dengan segera dia mengenalkan diri sendiri kepada mereka semua.

“Nama saya Heris James Kruger.”

Semua orang di situ bercakap-cakap sesama sendiri. Ada diantaranya mengangguk-ngangguk sambil memandang ke arahnya seperti mengenali dirinya.

“Ya, seperti yang kamu semua sangkakan. Dia adalah anak kepada Dr. Kruger yang terkenal dari Lisberg, jadi sesiapa yang mahukan rawatan…”

Cepat-cepat Heris menutup mulut Chris dengan tapak tangannya lalu menarik datuknya membelakangi orang ramai di situ.

“Apa yang atuk buat ni? Malulah saya.” Heris merendahkan suara agar tidak didengari oleh orang ramai di situ.

“Kau patut berasa bangga. Semua orang menyanjung tinggi kau…”

“Mereka sanjung ayah saya. Bukan saya. Lagipun saya bukan doktor,” jelas Heris kepada Chris yang masih belum faham dengan latar belakangnya.

Dahi Chris berkerut. Tangan kanannya diletak di dagu. Dia menjeling Heris. “Kalau bukan doktor… jadi apa?”

Heris geleng kepala. Rasanya sudah berkali-kali dia bercerita tentang kerjayanya kepada Chris. Barangkali disebabkan usia datuk yang sudah tua, ingatannya sudah tidak kuat.

“Err… komposer. Penulis lagu.”

Chris garu kepala menunjukkan kemusykilannya.

“Saya tulis lagu untuk dinyanyikan oleh penyanyi terkenal. Kemudian semua orang dengar dan suka. Lepas itu mereka beli album dan saya dapat keuntungan.” Heris menjelaskan secara mudah agar otak tua Chris dapat memahaminya dengan jelas.

Chris mengangguk-ngangguk dan tersenyum. Akhirnya dia memahami kerjaya yang dilakukan Heris. Chris kembali menghadap kepada semua orang tadi.

“Dengar sini semua… cucu menantu aku ialah seorang artis terkenal…”

Semua orang bercakap-cakap lagi. Heris menepuk dahi. Atuknya telah tersalah tafsir dengan pekerjaan yang dilakukannya. ‘Aku akan gila kalau terus melayan kerenah atuk.’

Sekelip mata Heris menjadi perhatian ramai pada pagi itu. Semua yang berada di gerai kecil itu memberi perhatian kepadanya. Melihat layanan mesra penduduk di situ, Heris jadi senang dan mudah bergaul dengan mereka semua. Sifat mereka yang ramah membuatkan Heris tidak kekok. Dia seperti sudah lama mengenali penduduk di situ. Biarlah datuknya tidak memahami apa sebenarnya pekerjaan yang dilakukannya asalkan Chris yakin bahawa dia benar-benar mengasihi Sophia, cucu tunggal kesayangan lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience