Chapter 20

Humor Completed 22614

Bab 20

ANDREW mendekati Nia yang sedang membelek majalah sambil menikmati angin malam di luar kediaman mereka. Dia memerhati adiknya yang langsung tidak bercakap sejak dia pulang petang tadi.

“Kau ni membaca majalah atau sedang melepaskan geram? habis lunyai majalah tu aku tengok, Nia,” tegur si abang.

Nia tidak membalas teguran abangnya. Dia sekadar melemparkan jelingan tajam pemuda berkaca mata itu.

“Jom masuk. Makan malam dah sedia. Mari kita makan bersama.” Andrew cuba meredakan ketegangan yang sedang dihadapi oleh Nia.

“Tak mahu. Dekat dalam tu hangat.”

“Agaknya cuaca di luar ni dapat sejukkan hati kau yang panas ke?”

“Abang dengan Heris memang sama sahaja. Suka ambil mudah semua perkara. Agaknya semua orang lelaki memang begitu.” Nia meluahkan rasa marahnya.

“Sudahlah Nia… kau patut kenal perangai Heris tu bagaimana. Lagipun perkahwinan bukan suatu kesalahan,” bicara Andrew yang seakan membela Heris itu sebenarnya mahu meredakan ketagangan Nia.

“Perkahwinan memang bukan kesalahannya tapi dia telah membelakangkan Nia. Itulah kesalahannya.” Bulat mata Nia mencerling abangnya.

“Yakah begitu? Atau sebenarnya kau rasa kehilangan seseorang?”

“Maksud abang?” Nia curiga dengan pertanyaan Andrew.

“Dia sukakan kau selama ini tetapi tiba-tiba pula dia berkahwin dengan orang lain. Mungkin kau rasa menyesal tidak menerimanya sebelum ini,” duga si abang.

“Apa yang abang merepek?”

“Nia, memang abang harap kau dan Heris bukan setakat berkawan sahaja selama ini tapi abang tak boleh paksa jika kamu berdua tiada perasaan sedemikian. Lagipun kau pernah katakan yang Heris bukan cinta yang kau cari… mungkin baru sekarang kau merasakan perasaan tersebut setelah mendapat tahu Heris telah bersama dengan perempuan lain.” Andrew membuat andaiannya sendiri.

“Nonsense… saya tahu apa yang saya cari. Di antara saya dan Heris, kami tak kan ada perasaan sedemikian. Abang silap jika menganggap saya mula berperasaan terhadap Heris.” Nia bangun lalu meninggalkan Andrew. Dia tahu selama ini yang abangnya itu mengharapkan sesuatu dalam perhubungannya dengan Heris. Namun takdir itu sukar untuk dihalang. Perkahwinan Heris, biarpun mendadak tapi memang takdirnya untuk berpasangan dengan wanita lain selain daripada dirinya. Dia pasrah walaupun sebenarnya jauh di sudut hatinya mula marasai kehilangan Heris.

************

PANGSAPURI kecil kediaman Heris yang gelap itu telah terang setelah penghuninya masuk ke dalam. Heris dan Sophia baru saja kembali dari Paradise Shine setelah melihat rumah baru mereka. Ruang seluas 15 kaki persegi tanpa bilik itu sememangnya tidak sesuai untuk hidup berkeluarga. Sophia mencampak beg galas dan jeketnya di atas katil. Kemudian dia melangkah menuju ke bilik air yang terletak di sebelah dapur.

“Heris, saya mandi dulu.”

“Eh, kata nak makan tadi.”

“Ala, orang rimaslah, sayang. Nanti lepas mandi kita makan sama-sama, ya.”

“Adik, nak ikut.” Sekelip mata Heris sudah berdiri di sisi Sophia.

“Ikut mana?” tanya Sophia.

“Mandi dengan adiklah.” Heris berjalan menuju ke bilik air.

“Eh, tak boleh.” Cepat-cepat Sophia berlari dan menghalang langkah Heris.

“Ala~ bolehlah…” rengeknya persis kanak-kanak.

“Tak boleh. Jangan nak menggatal!” Sophia bertegas tidak membenarkan Heris mandi bersama dengannya.

“Bolehlah, sayang~~” rengekan Heris lebih berunsur hendak menggoda.

“Tak nak. Orang tak nak mandi dengan awak.” Sophia menolak permintaan Heris bulat-bulat. Dia menolak Heris lantas masuk dan menutup pintu bilik air dengan pantas.

Heris mencebir. Kecewa kerana permintaannya ditolak. Dia menuju ke katil dan berbaring di situ.

Tut…Tut…

Telefon bimbit Sophia berbunyi. Mesej baru diterima. Heris mencapai telefon bimbit tersebut. Dia ingin membaca Mesej tersebut. Bolehkah kalau aku membacanya? Hmm, tentulah boleh sebab aku suaminya. Heris menekan-nekan punat pada tubuh telefon berkenaan dan sebentar kemudian tertera butir-butir perkataan yang berbentuk ayat pendek dan ringkas.

“Tahniah di atas perkahwinan awak… walaupun hati saya terluka dengan tindakan awak tetapi saya tetap cintakan awak sampai bila-bila. Saya tahu ini salah saya dan awak berkahwin dengannya untuk menghukum saya… saya harap dia dapat bahagiakan awak.”

Wajah Heris berkerut setelah mambaca Mesej tersebut. Perasaannya terganggu disebabkan ayat-ayat yang dihantar oleh seseorang yang tidak dikenalinya itu.

“Siapa ni? Ivan? Ini boleh mencetuskan kemarahan aku!” Tanpa sedar bunga kemarahan mula mekar. Heris sangsi dengan sms tersebut.

“Heris!! Pass my towel, please!!” Jeritan Sophia dari dalam bilik air menyedarkannya dari lamunan. Heris menggelabah. Cepat-cepat dia menutup telefon bimbit di tangannya. Tanpa disengajakannya dia terpadam Mesej yang dibacanya tadi. Alamak! Sorry Sophia, aku tidak berniat jahat tapi memang aku harap dapat membelasah lelaki ini.

“Mamoru!!” Jerit Sophia lagi.

“I’m coming my dear.”

Heris mencapai tuala di penyidai. Tiba-tiba dia terfikir satu idea yang jahat. Dia menanggalkan baju dan seluarnya. Tuala tadi dibawa bersama dengan tualanya sekali. Di pintu bilik air dia menolak pintu tersebut dan masuk ke dalam.

“Aahh!! Apa yang awak buat ni, Heris?” Sophia terkejut dan menutup separuh tubuhnya dengan kedua belah tangannya.

“Nak mandilah.” Heris tersengih-sengih sambil merenung tubuh Sophia yang mengiurkan dengan pandangan kelelakiannya.

“Jahat… gatal…!!” Sophia mencubit sekuat hati perut Heris.

“Argh, sakitlah!” Heris mengaduh kesakitan.

“Padan muka. Siapa suruh nakal sangat.” Sophia mencapai pemancur air dan menyemburnya ke arah Heris.

Heris tidak dapat mengelak. Dia merangkul Sophia dan cuba merampas pemancur air tersebut. Mereka berdua basah bersama. Gelak tawa mereka kedengaran bergema memenuhi ruang. Saat itu Heris cuba melupakan seketika perasaan kacaunya tadi. Dia cuba memiliki cinta Sophia. Dia mahu mengikat wanita itu ke dalam dakapannya untuk selamanya kerana dia tidak ragu-ragu dengan perasaannya terhadap Sophia. Dia benar-benar tidak mahu wanita itu terlepas ke pelukan orang lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience