Chapter 61

Humor Completed 22614

Bab 61

PINTU yang tidak berkunci itu dibuka perlahan-lahan dari luar. Heris melangkah masuk ke dalam galeri seni Trisya yang terletak di belakang rumahnya. Dia nampak belakang tubuh ibu mentuanya yang sedang menghadap keluar. Wanita yang belum separuh abad umurnya itu begitu tekun menyiapkan lukisannya sehinggakan tidak sedar akan kehadiran Heris.

Heris tidak terus menegurnya. Dia melihat-lihat hasil seni ibunya yang terdapat dalam galeri itu. Ada yang tergantung di dinding dan ada juga yang disandarkan saja di bawah dinding. Heris tertarik dengan sebuah lukisan abstrak yang tergantung di dinding di bahagian paling hujung. Dia memerhatikan lukisan itu. Lama dia berdiri di situ untuk menghayati lukisan tersebut.

“Apa yang khusyuk sangat Heris lihat tu?” suara wanita itu tiba-tiba menegurnya.

“Ibu…” terhenti lamunan Heris pada lukisan tersebut. “Tak ada apalah. Cuma Heris rasa ibu ada imaginasi yang tinggi. Heris suka tengok setiap lukisan yang ibu hasilkan. Ada kisah disebalik lukisan ini. Betul tak?”

Trisya mengangguk. “Sebagai orang seni kita ada persamaan, Heris.”

Heris hanya tersenyum. Dia mengerti maksud Trisya yang nampaknya senang dengan kehadirannya dalam keluarga tersebut.

“Kadangkala lukisan menggambarkan perasaan si pelukis. Pernah Heris luahkan perasaan dalam lagu yang Heris gubah?”

Heris terdiam sejenak. Perlahan-lahan menggeleng. “Heris tidak pernah buat,” jawabnya.

“Tidak. Heris tentu pernah buat cuma Heris tidak sedar. Cuba Heris ingat semula lagu-lagu yang pernah Heris gubah. Heris tentu akan perasan. Kalau Heris tidak sedar, tentu orang yang mendengar lagu-lagu Heris akan perasan.”

Heris memikirkan kata-kata ibu mentuanya. Satu-persatu lagu yang pernah digubahnya diingat semula. Adakah benar kata-kata Trisya? Bermula dengan lagu ‘Hati Batu’, ia mungkin sekali berkenaan hubungannya dengan ayahnya yang selalu tegang. Kemudian ‘Janjiku’, ia digubah ketika Heris mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah demi mengikut haluan hidupnya sendiri untuk tidak menjadi seorang doktor seperti ayah dan abangnya. Manakala ‘Pesona Si Mata Biru’… Hmm, ia mungkin tiada kena mengena tapi dia mendapat ilham ketika Nia sedang cuba memakai kanta lekap berwarna biru. Ia mungkin menceritakan tentang sifat Nia yang berani dan gila berfesyen. Kemudian…

“Kesimpulannya, Heris perlu lebih peka dengan apa yang Heris lakukan. Cinta bukan sekadar luahan perasaan tetapi perlu disertai dengan perbuatan juga.”

Heris dapat merasakan sesuatu melalui kata-kata Trisya. “Ibu macam tahu sesuatu di antara Heris dan Sophia.”

“Ibu tak pasti sebab ibu dapat dua cerita yang berbeza daripada Sophia dan atuk.”

“Apa yang atuk dan Sophia cerita?” tanya Heris semula.

“Apa yang ibu nak tahu ialah cerita versi kamu, Heris. Apa masalah kamu berdua sebenarnya?”

Heris diam. Rupanya inilah taktik Trisya agar dia bersikap jujur. Sophia dan Chris tentu telah memberitahu cerita yang palsu, jadi Trisya sengaja mahu melihat kejujurannya. Heris tak tahu samada patut berterus terang atau tidak. Lagipun dia telah berjanji dengan Sophia untuk tidak memberitahu keluarganya tentang masalah di antara mereka berdua.

“Ibu, bukan Heris tak nak cerita tapi biarlah kami berdua selesaikan masalah rumah tangga kami sendiri. Heris janji tidak akan sia-siakan Sophia. Heris tidak main-main dalam soal cinta dan perkahwinan. Jadi janganlah anggap kami buat keputusan terburu-buru semasa berkahwin sebab Heris benar-benar cintakan anak ibu.”

Trisya tersenyum memandang menantunya. Dia melihat keikhlasan di wajah Heris. Dia gembira jika apa yang dikatakan oleh Heris itu benar kerana Sophia adalah satu-satunya harapannya memandangkan dia cuma ada seorang anak.

“Terima kasih kerana menyedarkan sesuatu yang penting kepada saya. Apa yang ibu katakan tadi akan Heris ingat supaya kesilapan tidak akan berulang lagi.”

Trisya melihat kesungguhan di mata Heris. Anak muda itu benar-benar bertekad untuk menjernihkan semula hubungannya dengan Sophia yang telah keruh.

Setelah keluar dari galeri Trisya, Heris berjalan-jalan di sekitar halaman rumah. Dia ternampak Sophia yang sedang menjemur pakaian di ampaian. Senyuman Heris meleret. Dia mempercepatkan langkahnya untuk mendapatkan Sophia.

“Hai, cik adik manis. Boleh saya tolong?” tegur Heris sambil meletakkan kedua belah tangannya di dawai penyidai di situ.

Sophia tidak mengendahkannya dan terus dengan kerjanya menyidai pakaian yang baru dicuci itu. Heris mengambil sehelai pakaian dari bakul dan membantu Sophia. Dengan pantas Sophia merampasnya semula pakaian tersebut dari tangan Heris.

“Awak patut sidai pakaian ini mengikut jenis dan saiznya. Bukan begini.”

Heris mengasingkan pakaian yang telah disidai. Seluar dengan seluar di satu barisan. Baju juga begitu. Dia cuba melakukannya mengikut kebiasaan yang selalu dilakukannya. Sophia berhenti menyidai pakaian-pakaian tersebut apabila melihat tingkah laku Heris. Dia berasa tertekan dan benci dengan tindakan Heris yang cerewet tidak bertempat.

“Awak buat semua ini kalau nak dan jangan nak kritik kerja yang saya buat.”

Sophia meninggalkan bakul pakaian tadi kepada Heris. Dia menuju ke pintu utama dan hilang setelah melangkah masuk ke dalam rumah. Heris menepuk dahi. Dia baru sedar yang tindakannya tadi secara tidak langsung telah mengkritik kerja Sophia. Ini mungkin sekali mengurangkan lagi peluangnya untuk berbaik semula dengan wanita itu.

“Hai, badan… apalah nasib kau.” Keluh Heris sambil terus menjemur pakaian yang masih tinggal.

“Nasi dah jadi bubur.”

Heris menoleh ke kiri. Suara yang tiba-tiba muncul itu menyedarkannya mengejutkannya.

“Atuk ni suka buat saya terkejut.” Heris mengambil baju yang dihulurkan oleh Chris lalu menjemurnya di ampaian. “Atuk dari mana?”

“Beri makan anak ayam di belakang rumah tu,” jawab Chris sambil terus membantu menghulurkan pakaian yang hendak dijemur kepada Heris.

“Atuk… saya…” sementara ada datuknya, Heris mahu meluahkan apa yang terbuku di hatinya kini.

“Oh ya, aku ada idea yang hebat nak beritahu kau. Kali ini pasti Sophia akan terharu dan menerima kau semula,” Chris memotong bicara Heris.

“Tidak, atuk. Heris tidak akan lakukannya lagi.”

“Apa? Kau dah putus asa?” Chris nampak kecewa mendengarkan jawapan Heris yang sudah tidak teruja lagi mahu mendengar idea-idea bernasnya.

“Bukan. Idea yang atuk cadangkan memang bagus tapi hati Sophia yang masih tertutup untuk menerima saya semula. Mungkin dia perlukan masa. Jadi saya fikir tidak perlu terlalu memaksanya buat masa sekarang.” Heris memberi penjelasan agar Chris tidak salah sangka dengan niatnya. Bukan dia sudah berputus asa tapi mungkin dia perlu memberi masa agar hati Sophia kembali tenang dan menerimanya kembali secara perlahan-lahan kelak.

“Jadi apa yang akan kau lakukan?”

“Saya akan tunggu sehingga hatinya terbuka untuk menerima saya kembali.”

Heris meninggalkan Chris dan masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Bakul pakaian yang telah kosong tadi dicangking sekali. Dia menuju ke peti sejuk yang berada di ruang dapur. Dia mengambil sebiji buah epal dari dalam laci peti sejuk. Epal hijau yang telah dicuci itu terus digigitnya. Dia berdiri di lawang pintu sambil memandang keluar. Ladang gandum yang luas terbentang menghiasi pemandangan. Heris menyarung selipar dan menuju ke sebatang pokok dekat dengan galeri ibu mentuanya. Ada sebuah pondok di atas pokok itu. Heris memanjat tangga yang menghubungkan dengan pondok itu.

Dia duduk di dalam pondok dan memandang ke arah ladang yang kelihatan kekuningan setelah gandumnya dituai. Dia menggigit epal hijau yang sudah tinggal separuh itu. Dikunyah sehingga lumat kemudian ditelan. Dia memandang epal yang tinggal sebelah itu. Diangkat dengan tangan kiri ke hadapan separas kepalanya. Dipandang buah berkulit hijau licin itu dengan lama.

“Epal Hijau kesayangan atuk… Huh…” Heris melepaskan keluhan berat. Dia merindui orang di hadapan mata namun kerinduannya itu hanya mampu terpendam di lubuk hati. Orang yang dirinduinya kini membencinya. Barangkali kalau boleh tidak mahu lagi melihat dirinya di rumah ini.

Tiba-tiba telefon bimbit Heris berbunyi. Dia menyeluk poket seluar dan mengambil telefonnya.

“Hello…” panggilan dijawab.

“Heris…”

Wajah Heris berubah setelah mendengar suara itu.

“Oh, makcik. Ada apa?” Tanyanya acuh tidak acuh apabila mendengar suara Frida Fernanda di hujung talian.

“Ayah Heris…”

Terasa darah merah naik ke kepala dengan mendadak setelah mendengar berita yang baru dikhabarkan oleh ibu tirinya. Tanpa berfikir banyak Heris segera menamatkan panggilan dan bergegas turun dari pokok. Dia tergesa-gesa masuk ke rumah. Langkahnya seperti tidak cukup berlari naik ke biliknya untuk berkemas. Dia cemas dan sangat risau mendengarkan perkhabaran yang baru disampaikan oleh Frida Fernanda tentang ayahnya.

Tanpa sempat menemui keluarga mentuanya dia hanya meninggalkan sekeping nota di atas meja makan sebelum pergi meninggalkan rumah itu. Oleh kerana terlalu tergesa-gesa dia tidak sedar yang Chris ada di luar.

Chris yang melihat Heris meninggalkan rumah dengan tergesa-gesa tidak sempat menahan cucu menantunya itu. Dia berasa pelik melihat keadaan Heris kerana pemuda itu membawa beg pakaiannya sekali. Chris mengambil keputusan untuk ke Hartnett Plate untuk mendapatkan Sophia.

************

Dari dalam restoran lagi Sophia nampak kelibat datuknya yang tergopoh-gopoh melangkah mendapatkannya yang sedang berada di kaunter. Termengah-mengah lelaki tua itu mendapatkan cucunya. Sophia menyambutnya.

“Kenapa ni, tok? Cuba bawa bertenang. Jangan kelam kabut.”

“Heris… Heris, Sophia. Tadi atuk nampak…”

“Kenapa dengan Heris?” tanya Sophia. Risau melihatkan datuknya yang begitu cemas.

“Dia dah pergi. Dah pulang ke Lisberg.”

Sophia terdiam. Matanya tidak berkalih dari merenung datuknya yang masih termengah-mengah akibat tergesa-gesa ke restoran tersebut tadi. Kudrat semakin terbatas disebabkan usia tuanya kini.

“Atuk pasti?”

“Tentulah. Aku nampak dia bawa beg pakaiannya dan memandu keretanya dengan tergesa-gesa,” jelas Chris dengan cukup yakin.

“Apa yang kecoh-kecoh ni, masih tidak cukupkah di rumah ayah buat kecoh? Di restoran ini pun ayah nak bising-bising juga.” Josh yang muncul tiba-tiba di antara mereka berdua bersuara.

“Josh, Heris telah melarikan diri.”

“Apa maksud ayah dengan ‘melarikan diri’? Ia perkataan yang tidak sesuai digambarkan untuk lelaki dewasa yang telah bebas seperti Heris.”

“Maksud aku, dia telah pergi membawa diri.”

Josh tergamam. Dahinya sedikit berkerut. Dalam benaknya tertanya-tanya kenapa Heris pergi secara tiba-tiba tanpa memberitahu mereka semua.

“Sophia…” Josh menegur apabila melihat anaknya berlalu perlahan-lahan meninggalkan mereka berdua. Pandangan Chris dan Josh bertaut seketika. Mereka berdua rasa sayu melihat Sophia yang melangkah lemah meninggalkan Heartnett Plate tanpa sebarang kata-kata.

“Ayah, saya dah berjanji dengan diri saya… saya tidak akan maafkan sesiapa yang buat anak perempuan saya bersedih. Heris akan terima pembalasannya nanti.” Tiba-tiba mata Josh berapi-api. Kemarahannya hanya satu iaitu kepada Heris. Dia pasti Herislah punca perubahan pada diri anak perempuannya sejak kebelakangan ini. Dia tahu hubungan Heris dan Sophia memang ada masalah.

“Ayah, Josh…” tiba-tiba Trisya muncul diantara mereka. “Heris dah pulang ke Lisberg,” ujar Trisya mengkhabarkan berita yang disangkanya belum diketahui sesiapa.

“Kami tahu. Budak itu memang tak bertanggung jawab. Berani dia pergi dan meninggalkan anak kita di sini sendirian.” Josh nampak marah. Chris mengangguk menyetujui kata-kata Josh.

“Dr. Kruger sedang tenat akibat serangan jantung. Heris terpaksa bergegas pulang.” Trisya menunjukkan nota yang ditemuinya di rumah tadi kepada ayah dan suaminya.

“Apa?” serentak kedua-dua lelaki itu terkejut dengan kenyataan tersebut. Mereka telah sangka sangka terhadap Heris sebentar tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience