Chapter 14

Humor Completed 22614

Bab 14

“KAHWIN? Kau jangan buat gurauan yang melampau, Naliz.”

Pemuda tinggi lampai dan berkemeja kuning susu itu segera bangun dari tempat duduknya tatkala mendengar berita perkahwinan Sophia. Ivan Mayer tidak percaya dengan cerita yang dikhabarkan oleh sahabatnya, Naliz Anabella. Berita ini sangat mengejut dan tidak masuk akal baginya.

“Kau fikir aku bergurau? Kalau ini satu gurauan tentu inilah yang pertama dalam sejarah kau bereaksi apabila aku cuba bergurau… hahaha~~” Naliz terkekeh-kekeh sendirian walaupun tidak mendapat respon positif dari sahabatnya itu. Akhirnya tawanya tamat dengan kurang sempurna akibat respon yang dingin daripada Ivan. “Err… Ivan, aku tak main-main. Sophia betul-betul akan berkahwin esok,” ujar Naliz kembali dengan wajah yang serius.

Naliz berjalan dan berhenti di hadapan meja. Dia mengangkat punggungnya dan duduk di atas meja tersebut sambil menghadap kepada sahabatnya yang sedang berdiri.

“Dia dijodohkan dengan pilihan keluarga?” soal Ivan ingin kepastian.

Memang seorang yang tenang. Dia masih berlagak biasa sedangkan orang yang dicintainya akan berkahwin esok. Hai, Ivan… Naliz hanya mampu menggeleng kepala.

“Tidak.”

“Jadi?”

“Lelaki itu pilihannya sendiri. Dia kata sangat menyintai lelaki tersebut,” jawab Naliz sama seperti yang diceritakan oleh Sophia.

“Mustahil.” Nonsense… habis siapa aku di hatinya selama ini? “Bila dia berkenalan dengan lelaki itu?” soal Ivan lagi.

“Tak sampai seminggu pun,” Naliz bersikap jujur tanpa berselindung apa-apa.

“Hah? Kalau ini satu gurauan, kau memang dah berjaya, Naliz. Kelakar… ini memang kelakar.” Seulas senyuman sinis terbit di wajah lelaki itu. “Sophia takkan segila itu untuk berkahwin dalam keadaan mendadak.” Ivan sangat yakin dengan kata-katanya.

“Entahlah… sekali dengar aku pun rasa ini satu gurauan yang dasyat… tapi percayalah, Ivan. Aku bukan bergurau. Sophia memang nak berkahwin dengan lelaki itu.” Gaya Naliz bercakap biarpun nampak selamba tapi itulah kenyataan yang dia mahu Ivan percaya.

Air wajah Ivan mula berubah. Kegusaran mewarnai wajah yang sentiasa tenang itu. Melihat sikap Naliz yang serius dalam mengatakan soal perkahwinan Sophia membuatkan hatinya dilanda badai mengejut. Sikap tenangnya sudah mula goyah.

“Gurauan kau sangat dasyat, Naliz. Aku masih lagi tidak dapat mempercayainya.” Ivan masih menafikan kenyataan tersebut. Padanya dia percaya hanya dirinya seorang yang dicintai oleh Sophia selama ini. Tidak mungkin wanita itu berubah hati secara mendadak begitu.

“Aku fikir yang dia gila tapi nampaknya dia memang serius. Lagipun dia nampak bahagia sejak beberapa hari ini. Mungkin dia…” Naliz tidak menghabiskan kata-katanya.

“Apa maksud kau?” Ivan curiga dengan bicara Naliz yang tergantung.

“Mungkin dia dah penat dengan kau.” Serba salah Naliz bersuara.

Ivan diam seakan terpukul dengan kata-kata Naliz. Naliz melihat wajah Ivan yang sudah berubah. Ada riak kesal di wajah lelaki itu.

“Ya, mungkin dia dah penat… atau mungkin dia sengaja hendak mencabar aku.”

Naliz tidak senang apabila melihat sorotan mata Ivan yang seakan marah. Kelukaannya terhadap berita yang disampaikan oleh Naliz jelas tergambar kini. Ivan, sikapnya sukar dibaca. Pemuda itu agak perahsia. Walau soal berkaitan hati, dia lebih senang menyimpannya sendiri. Subjek utama dalam hidupnya adalah kejayaan dalam kerjayanya. Cinta… biarpun perasaannya terhadap Sophia sangat jelas namun dia tidak pernah meletakkan cinta sebagai subjek penting dalam hidupnya.

“Hei, Ivan… aku faham kau tidak gembira dengan berita ini tapi jangan buat muka begini di hadapan Sophia esok. Boleh tak?”

Ivan merenung Naliz. Kemudian pandangannya ditala keluar tingkap bilik pejabatnya.

“Aku akan gembira selaku seorang sahabat tapi aku tetap kecewa sebagai seorang lelaki.”

Naliz senyum kelat. Dia rasa bersalah kerana membawa berita sedih buat Ivan hari ini.

“Kalau kau dah tak ada apa-apa lagi yang nak dicakapkan, boleh tinggalkan pejabat aku sekarang?” Ivan menghalau Naliz dengan bahasa yang paling sopan. Bukan berniat mahu menghalau sebenarnya tetapi dia mahu bersendirian buat seketika.

“Baiklah. Aku balik dulu. Jumpa esok, ya. Aku tunggu kau tau.” Naliz memahami situasi Ivan. Dia segera beredar pergi.

Ivan tidak membalas kata-kata Naliz. Dia tidak pasti samada kakinya kuat untuk menghadiri upacara perkahwinan Sophia atau tidak esok.

“Perempuan… dalam lembutnya tetap ada sifat yang kejam.” Ivan meramas buku limanya. Kekecewaannya tidak dapat terzahir secara terbuka. Hanya matanya sahaja yang tajam memicing ke luar jendela. Pandangannya jauh menerobos melepasi ruang masa. Kejadian seminggu lalu terlintas di ruang matanya semula.

Waktu itu dia sedang makan tengahari bersama Sophia di sebuah restoran berhampiran pejabatnya. Akibat kekangan masa Ivan hanya sempat menemui Sophia di situ. Kebetulan Sophia agak senang maka dia beralah untuk menemui Ivan.

“Ivan, boleh aku tanya satu soalan pada kau?”

Ivan mengangkat wajah dan merenung Sophia di hadapannya. Tiga saat tanpa berkelip dan akhirnya dia senyum kepada gadis itu.

“Pernahkah aku halang kau dari bertanya selama ini?” Ivan menolak pinggan makan yang sudah bersisa ke tengah meja. “Tanyalah apa pun, Sophia.”

Sophia tersenyum dalam gugup. Terlalu gementar untuk bertanya soalan yang sedang membelenggu fikirannya selama ini. Dia tidak tahu sampai bila dia mampu bertahan. Semakin hari soalan tersebut semakin menguasai fikirannya. Ini saja peluang yang dia ada untuk bertanya kepada Ivan.

“Ivan… siapa aku dalam hidup kau?”

Ivan hanya tersenyum menyambut soalan tersebut. Sejenak dia memikirkan jawapan yang sesuai untuk soalan Sophia itu.

“Someone special,” jawabnya tenang-tenang sahaja sambil menyedut minumannya.

Berbeza dengan Ivan, Sophia nampak tidak keruan. Degupan jantungnya menjadi laju tatkala mendengar jawapan Ivan. Jawapan itu pendek tapi penuh bermakna. Jawapan yang dinanti-nantikannya selama lima tahun perkenalan mereka.

“Kau sahabat yang paling istiwema dalam hidup aku.”

“Ha? Sa… sahabat…” sambungan kepada jawapan Ivan mencalar perasaan Sophia secara mendadak. Perkataan ‘sahabat’ itu sama ertinya dengan teman karib. Mungkin jika sangat akrab istilahnya ‘teman tapi mesra’. Pendek kata hubungannya dengan Ivan tiada bezanya dengan Naliz. Hanyalah sahabat!

“Maksud kau… selama ini kita hanyalah sahabat?”

Ivan hanya mengangguk tanpa mempedulikan riak wajah Sophia yang nampak kecewa terhadapnya.

“Mungkin aku sayangkan kau lebih sikit dari Naliz.” Kata-kata itu seakan mahu mengambil hati Sophia namun Sophia langsung tidak tersentuh.

“Terima kasih… aku pulang dulu.” Sophia bergegas hendak angkat kaki. Hati sangat sakit.

“Sophia, tunggu.” Ivan pantas menghalang. “Come on… Apasal nak emosional pula ni.”

“I’m fine.” Sophia mengukir senyuman. Memaksa senyuman paling indah untuk tatapan Ivan. “Aku nak balik. Kerja, okey.” Gelodak jiwanya kini cuba disembunyikan dari pandangan Ivan.

“Aku hantar kau…” Ivan cuba bersikap gentleman.

“Thank’s… but no, thank’s.”

Ivan akur. Hanya mampu menghantar pemergian Sophia dengan sorotan matanya sahaja. “Aku sayangkan kau… aku sayangkan kaulah, Sophia!” jeritan itu hanya bergema di ruang hatinya sahaja. Entah mengapa lidahnya sangat berat untuk menjelaskan kenyataan tersebut pada gadis itu. Ada penghalang yang menjadi tembok perasaannya terhadap Sophia selama ini.

***********

HEMPASAN pintu kereta dari luar rumah menarik perhatian Frida Fernanda. Dia segera menuju ke ruang hadapan untuk menyambut kepulangan suaminya, Dr. Marcus Kruger. Belum sempat dia membuka pintu Dr. Marcus lebih dahulu telah muncul. Wajahnya sangat keruh. Frida tertanya-tanya apa yang telah berlaku. Dengan wajah yang mencuka itu Dr. Marcus menyerahkan begnya kepada Frida. Kemudian dia segera meninggalkan situ tanpa berkata walau sepatah pun kepada isterinya. Frida hanya melihat Dr. Marcus yang sedang berlalu menuju ke ruang tamu utama.

“Mikage, simpan beg tuan doktor.” Frida menyerahkan beg Dr. Marcus kepada pembantu rumah yang sedang berdiri di belakangnya.

Mikage menurut perintah. Dia mengambil beg kulit itu dan membawanya pergi. Sementara itu Frida pergi mendapatkan suaminya yang sedang duduk di ruang tamu. Perlahan-lahan dia duduk di sebelah Dr. Marcus dan memaut jari-jemari suaminya. Dia faham hari ini Dr. Marcus sangat marah. Dia tidak tahu apa puncanya tapi dia sedang cuba menenangkan perasaan Dr. Marcus yang sedang rusuh.

“Awak boleh marah saya untuk redakan hati awak tapi jangan terus diam dan tidak menegur saya, sayang.”

Sentuhan dan kata-kata Frida meredakan sedikit perasaan Dr. Marcus. Dia menoleh kepada isterinya.

“Dia betul-betul buat saya hilang sabar, Frida.” Dia cuba bertenang biarpun getar suaranya seakan kesal akan sesuatu.

“Maksud awak siapa?”

“Anak tiri awak yang sangat bijak tu.” Dr. Marcus tidak ingin menyebut nama anak yang dimaksudkannya.

“Apa yang Heris buat?” Frida dapat meneka siapa yang dimaksudkan oleh suaminya.

“Awak tahu siapa yang saya maksudkan?”

“Alex tak pernah buat awak naik angin jadi kali ini tentu pasal Heris lagi. Saya cuma agak.” Tekaannya tidak pernah silap. Dia sangat memahami keluarganya.

“Hari ini dia datang ke hospital dan berjumpa dengan saya. Dia beritahu yang dia akan berkahwin,” cerita Dr. Marcus.

“Betul? Baguslah… jadi kenapa awak marah?” Frida masih tidak faham apa yang sedang dimarahkan oleh Dr. Marcus sedangkan itu sepatutnya berita yang menggembirakan.

“Tentulah saya marah sebab dia akan melangsungkan perkahwinannya esok!” jelas Dr. Marcus.

“Esok?” Frida terkejut.

“Ya, esok… sebab itulah saya sangat marah. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya. Dia sengaja nak memalukan saya di hadapan semua kakitangan hospital dan selepas ini tentu orang akan bercakap mengenainya. Mana saya nak buang muka ini? Saya ini ketua hospital. Semua orang menghormati saya tapi saya ada anak tak guna sepertinya yang tidak tahu bagaimana nak menghormati orang seperti saya.”

Dr. Marcus bangun dari duduknya. Dia berlalu pergi naik ke atas rumah. Frida menututinya.

“Jadi adakah kita akan pergi mengiringinya?” tanya Frida.

“Tak payah. Saya tidak akan pergi.” Dr. Marcus sudah memberi kata putus.

“Tapi…”

“Saya kata tak perlu pergi. Jangan membantah!” tengking Dr. Marcus sebelum meninggalkan Frida.

Frida mengunci mulut. Dia tidak berani lagi mahu melawan kata suaminya walaupun dia berasa patut pergi mengiringi anaknya yang akan berkahwin esok. Kalau tidak pergipun, sekurang-kurangnya ada wakil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience