Chapter 31

Humor Completed 22614

Bab 31

JAM sudah berdetik sebanyak enam kali menandakan sudah pukul 6.30 petang. Ivan berjalan menuju ke parkir kereta untuk pulang. Suasana agak sunyi dan hanya ada beberapa buah kereta di kawasan itu. Walaupun Ivan pulang agak awal hari ini berbanding hari biasa tapi sebenarnya itu waktu yang lewat bagi pekerja lain.

Ivan ternampak seseorang yang sedang duduk di ruang hadapan bonet keretanya. Wanita itu seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Langkah kakinya semakin mendekati keretanya. Dia menekan alat penggera di tangannya dan bunyi dencitan dari keretanya mengejutkan wanita tersebut. Wanita itu turun dan membetulkan skirtnya sebelum Ivan sampai di keretanya.

“Awak?” Ivan dapat mengecam gadis itu setelah melihat wajahnya.

“Hai…” Nia ceria menyambut Ivan.

“Kenapa awak ada di sini?” Ivan mencurigai Nia Andrea yang tiba-tiba muncul di situ.

“Saja… tunggu awak,” jawab Nia selamba sambil menyandarkan tubuhnya di pintu kereta di bahagian memandu. Senyumannya terus mekar di wajahnya setiap kali berhadapan dengan pemuda itu.

“Ada apa hal cari saya?” Ivan tahu memang ada sebab tersendiri gadis itu berada di sini.

Senyuman Nia berganti muncung tajam mendengarkan soalan Ivan. ‘Nampak sangat dia tak sudi nak jumpa aku. Huh!’

“Kalau tiada perkara penting, saya nak balik sekarang.” Ivan menarik tubuh Nia yang menebeng di pintu keretanya seolah-olah sengaja mahu menghalangnya daripada pergi.

“Nanti!” Nia menghalang Ivan daripada pergi. “Boleh tak awak temankan saya?”

“Tak. Sorry, tak senang.” Ivan menolak permintaan Nia mentah-mentah.

“Saya janji tak lama.” Nia sungguh-sungguh memujuk.

“Kenapa cari saya? Tiada orang lainkah yang boleh temankan awak?”

“Tiada.” Nia menggeleng. Tangannya kejap memegang lengan Ivan, menghalang lelaki itu dari pergi meninggalkannya.

“Awak ada abang dan kawan-kawan awak, bukan.” Ivan sedang cuba menanggalkan pegangan kejap Nia.

“Mereka tak sama dengan awak.” Ada saja alasan untuk membalas kata-kata lelaki itu.

“Apa yang awak nak dari saya sebenarnya?” Ivan penat mahu melayan kerenah Nia.

“Kita masuk ke dalam kereta dulu. Nanti saya beritahu.”

Desakan Nia membuatkan Ivan hampir lemas dan akhirnya dia membenarkan gadis itu masuk ke dalam keretanya. Kereta Ivan keluar dari bangunan Ferez Global dan meluncur di jalan raya tidak lama kemudian.

“Saya dah ikut kemahuan awak. Jadi kemana awak nak saya temankan awak sekarang?”

“Awak jalan sajalah dulu. Nanti saya beritahu, okey.” Nia memberi arahan tanpa mempedulikan hati Ivan yang kian sebal dengan sikapnya.

Ivan menjeling Nia sepintas lalu. ‘Perempuan ini betul menyusahkan aku. Apa yang dia nak dari aku? Makin aku menjauhinya semakin tak dapat lari daripada cengkamannya.’

“Kita dah hampir masuk highway dan saya masih tak tahu kemana awak nak pergi. Jangan nak main-main dengan saya, Nia.” Ivan semakin sangsi dengan tujuan sebenar Nia.

“Awak janganlah pandu terlalu laju.” Senyuman Nia masih tegar menguntum tanpa sedikit pun rasa bersalah dengan tindakannya yang menyusahkan Ivan.

“Nia!” Ivan mengeraskan suaranya tetapi masih mengawal kesabarannya. Ketenangannya hampir goyah disebabkan sikap gadis tersebut.

“Saya nak ke jalan Orkid.” Tiba-tiba perkataan itu meluncur dari mulut Nia tanpa sekatan.

Jawapan itu sekaligus meredakan kesangsian di benak Ivan. Sejak tadi dia terasa seperti sedang dipermainkan dengan Nia dan akhirnya Nia memberitahu hala tuju mereka… tapi dimana jalan Orkid yang disebut oleh Nia itu? Sepertinya dia tidak pernah tahu lokasi tempat tersebut.

“Jalan Orkid tu dimana?” tanya Ivan ingin kepastian lanjut.

“Err… Ivan, awak lapar tak? Jom singgah mana-mana restoran.”

“Jalan Orkid tu dimana dan kenapa awak nak saya temankan awak ke sana?” Soalan yang sama diulang semula oleh Ivan dengan nada yang lebih tegas.

“Err… lepak, makan dan berbual...” Nia terkejut lantas terluncur jawapan yang sebenar yang memang dalam niatnya sejak tadi.

“Maksudnya... sekarang ni awak permainkan saya?”

Ivan memberhentikan keretanya di tepi jalan dengan serta merta. Ingin rasanya dia menengking Nia saat itu. Dia tidak sepatutnya percaya dengan omongan gadis seperti Nia Andrea, malah tidak patut menuruti kehendak gadis tersebut. Dia sepatutnya sedar yang Nia sengaja memperbodahkannya.

“Apa yang awak nak sebenarnya?”

“Maafkan saya.” Wajahnya tertunduk tidak berani memandang wajah tegang Ivan.

“Jangan minta maaf. Katakan apa yang awak nak dari saya, Nia.”

“Saya cuma nak berkawan dengan awak.”

“Apa awak cakap?”

“Saya cuma ada seorang kawan baik sejak kecil tapi sejak kebelakangan ini kami semakin jauh. Dia dah ada kehidupan barunya… dengan orang yang dicintainya kini. Saya tak boleh selalu mengganggunya lagi. Walaupun saya ada abang tapi dia tetap bukan seorang kawan yang boleh jadi sahabat. Lagipun dia seorang yang sibuk dan tiada masa untuk saya,” jelas Nia.

“Saya juga seorang yang sibuk dan tak sesuai untuk jadi kawan awak,” balas Ivan.

Sejenak Nia tidak membalas kata-kata Ivan. Matanya sekejap-sekejap memandang jalan raya yang sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan di situ. Trafik masih terkawal biarpun jalanraya agak sibuk petang itu.

“Awak lain…” Nia kembali bersuara. “…Saya tak tahu kenapa tapi saya terasa nak jumpa awak setiap hari sejak kebelakangan ini. Saya juga harap dapat berkawan dengan awak. Saya tak minta lebih dari itu, Ivan. Dapat berkawan dengan awak pun saya dah cukup gembira.”

Suasana kembali senyap. Ivan tidak membalas kenyataan yang disuarakan oleh Nia. Matanya ralit memerhatikan kesibukan jalan raya. Namun otaknya sedang ligat menimbangkan sesuatu. Sekali-sekala Nia yang berada di sebelahnya dikerling.

“Saya minta maaf. Mungkin saya seorang yang merimaskan bagi awak. Saya tak kan ganggu awak lagi.” Nia membuka pintu kereta dan keluar dari situ dengan perasaan hampa. Kebisuan Ivan seolah-olah jawapan kepada ketidak sudian lelaki itu mahu berkawan dengannya. Namun dia tetap berharap yang lelaki itu akan mengubah fikiran dengan tindakannya yang berpura-pura mengalah itu.

Nia melangkah meninggalkan Moon Intergra, kereta milik Ivan. Langkahnya diatur melalui bahu jalan. ‘Selepas sepuluh langkah kalau dia tidak memanggilku bermakna dia belum dapat buat keputusan lagi. Selepas dua puluh langkah masih tiada reaksi daripadanya maknanya harapan semakin tipis… dan kalau dia tinggalkan aku selepas tiga puluh langkah, bermakna aku patut lupakan dia.’ Nia menghitung langkahnya satu persatu dengan perlahan. Ivan pula cuma memandang belakang Nia dari dalam kereta. Nia tetap bersabar menunggu tindakan seterusnya daripada Ivan.

Dua puluh langkah telah berlalu. Ivan masih diam di dalam kereta. Nia sekadar senyum tipis tanpa dilihat oleh sesiapa. Dia mengira lagi perlahan-lahan. Ivan yang berada di dalam kereta menghidupkan semula enjin keretanya. Dia rasa patut meninggalkan situ sekarang. Tentang Nia… dia masih serba salah. Patutkah kalau gadis itu ditinggalkan sahaja di tepi jalan? ‘Ah, biarkan saja. Bukan masalah aku. Dia yang mencari masalah dengan aku. Aku tiada masa nak melayan perempuan seperti dia.’ Ivan menukar gear dan keretanya meluncur di jalan raya.

Nia tergamam apabila kereta Moon Intergra berwarna hitam itu melintasinya tanpa memberi isyarat dan Ivan pergi begitu sahaja. Dia menghentak kaki kirinya. Giginya berlaga sesama sendiri akibat kegeraman. ‘Aku gagal lagi! Kau cabar aku nampaknya. Aku tak kan berlembut lagi lepas ni. Kau buat aku hilang sabar, Ivan Si Buaya berhati Batu! Kalau kau tak patah balik, siaplah kau!’ Nia hanya mampu melihat kelibat kereta Ivan yang semakin menjauh dengan perasaan yang bercampur baur. Marah, kecewa dan geram bersatu di segenap jiwa.

Ivan melihat Nia dari cermin pandang sisinya. Timbul perasaan bersalah kerana meninggalkan gadis itu seorang diri. ‘Perempuan tetap perempuan. Jalan ini bahaya bagi seorang gadis berjalan sendirian. Kalaulah ada peragut atau penjahat nampak dia berjalan sendirian tanpa teman tentu Nia dalam bahaya. Waktu sudah semakin senja. Dia takkan boleh dapatkan teksi di kawasan begini... Ah, apa yang aku asyik risaukan. Biarkan dia selesaikan masalahnya sendiri. Kenapa perlu bersimpati?’ Hati Ivan saling bertingkah.

Namun dalam diam hatinya tetap risau juga. ‘Sejak bila agaknya dia tunggu aku tadi? Agaknya sejak aku lihat dia keluar dari pejabat. Kenapa dia tak jumpa aku semasa di pejabat? Agaknya Tuan Ferez yang melarangnya… tapi dia seorang yang degil. Ah, mungkin juga dia tak mahu mengganggu aku ketika bekerja. Dia tentu penat menunggu ku begitu lama di parkir kereta. Sekarang perlu berjalan sendirian pula. Nampaknya aku tak patut biarkannya begitu sahaja.’ Ivan mengubah fikiran dan membuat U-turn untuk mendapatkan Nia semula.

Nia terkejut apabila kereta Ivan tiba-tiba berhenti di sebelahnya. Dia berdiri diam menunggu apa yang akan berlaku selepas itu. Ivan keluar dari pintu yang dibuka separuh. Nia tergamam memandang pemuda itu.

“Masuklah. Apa yang awak menungkan lagi.” Ivan mempelawa Nia yang seolah-olah teruja dengan tindakannya.

Nia tiada pilihan. Dia masuk juga walaupun tadi dia sudah menyumpah-nyumpah marahkan Ivan. Mujur Ivan, kalau Heris yang berkelakuan sedemikian tentu sahaja lelaki itu sudah tidak selamat lagi.

Di dalam kereta Nia cuma senyap. Ivan pula tidak tahu apa yang perlu dibualkan. ‘Oh, tidak… kenapa perlu berbual. Biarkan saja perempuan ini. Dia memang suka buat masalah tapi agak pelik juga jika dia berdiam diri. Agaknya dia benar-benar lapar. Agaknya benarlah dia menunggu aku sejak aku melihatnya keluar dari pejabat tadi… yang aku asyik main agak-agak ni kenapa?’ Tiba-tiba pula Ivan memarahi dirinya sendiri kerana tidak bertanya terus kepada Nia.

“Dah makan?” tanya Ivan pendek.

“Ha?” Nia tidak jelas dengan pertanyaan Ivan yang tiba-tiba.

“Tentu dah lama awak tunggu saya. Awak dah makan ke belum?”

‘Macam mana dia tahu aku tunggu dia lama? Eh, baik pula dia tanya aku dah makan ke belum. Sukanya…’ Nia tersenyum panjang.

“Awak nak makan ke tak?”

Nia mengangguk. Senyumannya makin lebar umpama soalan Ivan itu suatu kebahagiaan buatnya.

“Tak payah nak senyum-senyum kambinglah. Rimas saya dibuatnya.” Bibirnya diketap menahan rasa.

“Senyum pun salah?”

Ivan diam tanpa jawapan. Hanya ekor matanya menyoroti Nia di sebelah.

“Okey… kenapa awak patah balik?” Nia mengajukan soalan lain.

“Saya bukan orang jahat yang sanggup biarkan seorang gadis berjalan sendirian di tepi jalan raya yang sibuk ni. Bahaya.” Ivan menjelaskan alasannya.

Nia mengangguk. Rupanya Ivan risaukannya.

“Kenapa tiba-tiba ajak makan?” Lagi soalan diajukan kepada Ivan.

Ivan mengerling Nia. ‘Tadi senyap, sekarang banyak tanya pula.’ Getus hati Ivan.

“Sebab tadi kan awak kata lapar.” Ivan terus menjawab pertanyaan Nia dengan tenang.

“Saya ada kata ke?” mata Nia bergerak-gerak ke kiri kanan mengingati sesuatu. Selajur matanya kembali tertancap pada wajah Ivan yang sedang memandu. “Saya yakin dengan pilihan saya… dan saya percaya abang saya pun ada pendapat yang sama semasa memilih awak dulu.”

Hanya ekor mata Ivan yang mengerling gadis di sebelahnya itu. Ada senyuman kecil yang meleret tanpa sedar di bibirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience