Chapter 47

Humor Completed 22614

Bab 47

PARADISE SHINE…

SOPHIA masuk ke dalam rumahnya setelah melihat kereta Heris tiada. Samada Heris pernah pulang atau tidak, dia tidak pasti. Yang dia tahu, sudah sehari semalam dia menangis tanpa henti disebabkan lelaki itu. Dia benci menjadi lemah kerana lelaki. Kini dia nekad mengambil keputusan untuk keluar dari rumah tersebut sekaligus keluar jauh dari lubuk hati Heris.

Dia terus naik untuk ke biliknya mengambil barang-barangnya sebelum meninggalkan rumah itu. Sophia menuju ke almari pakaian untuk mengeluarkan beberapa helai pakaian. Dia hanya mengambil sebahagian pakaiannya sahaja kerana tidak mahu disyaki sesuatu oleh ibu, bapa dan datuknya.

Pakaiannya dimasukkan ke dalam beg sederhana besar. Kemudian dia menuju ke meja solek dan mengambil beberapa barangnya. Oleh kerana terlalu tergesa-gesa, dia mengaut saja barang-barang itu secara rawak. Salah satu lipstick nya terjatuh ke lantai. Dia mengambil lipstick yang terjatuh itu di kaki meja solek.

Sophia duduk mencangkung tatkala matanya tertancap pada suatu benda di sebelah lipstick yang cuba diambilnya tadi. Dia mengambil sebentuk cincin yang tersorok di sebelah kaki meja solek. Dia teringat yang kelmarin cincin tersebut telah dicampakkannya ke dinding. Perasaannya sedih tatkala menatap cincin yang menjadi tanda perkahwinannya dengan Heris itu. Dia benar-benar terasa telah kehilangan sesuatu yang paling disayanginya. Dia ingin membawa sekali cincin tersebut tetapi dia rasa dirinya tidak layak menyimpan sesuatu yang sudah hilang maknanya di mata Heris. Dia mengambil keputusan menyimpan cincin tersebut di dalam laci meja solek.

“Lalala…lalala…lalala…”

Sophia kenal dengan bunyi itu. Itu bunyi telefon bimbit Heris. Bunyinya sangat dekat. Dia menggelabah. Adakah Heris telah pulang? Tiba-tiba dia nampak telefon bimbit yang berbunyi di atas katil. Rupa-rupanya Heris tertinggal telefon bimbitnya di rumah. Dia teringat semalam Heris tidak membawa apa-apa semasa keluar. Jadi bermakna Heris tidak pernah pulang sejak tragedi tersebut?

Telefon bimbit itu mati sendiri tidak lama kemudian. Sophia bergegas menyimpan barang-barangnya ke dalam beg dan keluar dari bilik itu. Dia perlu pergi dengan segera kerana mungkin Heris akan pulang pada bila-bila masa. Dia mencapai kunci keretanya di kotak kunci berhampiran pintu rumah kemudian bergegas keluar dari situ. Namun tiba-tiba dia terdengar bunyi kereta Heris yang berhenti di luar rumah. Sophia kembali menutup pintu. Dia perlu bersembunyi. Dia tidak mahu bertembung dengan lelaki itu buat sementara waktu.

Sophia segera masuk ke dalam bilik stor di sebelah pintu rumahnya. Dia menyorok di situ diam-diam. Pintu utama di hadapan rumahnya dibuka oleh Heris diikuti pintu satu lagi sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Sophia menghembus nafas lega setelah Heris tidak mencurigai kehadirannya di situ.

“Sophia…!!” Heris menjerit namanya beberapa kali.

Hampir luruh jantung Sophia mendengar panggilan itu. Bunyinya agak kasar pada awalnya tetapi jadi kendur setelah beberapa kali panggilannya tidak disambut oleh Sophia. Sophia terus mematikan diri di dalam stor.

Heris naik ke biliknya untuk mencari Sophia. Sophia tiada. Mustahil dia tiada kerana keretanya masih berada di luar rumah. Heris tidak puas hati. Dia membuka pintu bilik air. Kosong. Dia mengesyaki sesuatu. Almari pakaian dibuka. Pakaian-pakaian Sophia masih ada. Dia berasa lega. Sophia tidak pergi jauh. Dia berpaling pada meja solek. Sebahagian daripada barang-barang milik Sophia tiada. Heris curiga.

Vroomm…!

Heris segera berlari ke balkoni apabila terdengar deruman enjin kereta. Velvet Esprada sedang bergerak. Ia dipandu oleh seseorang dengan tergesa-gesa meninggalkan perkarangan rumahnya.

“Sophia!” Heris menjerit tetapi tidak dihiraukan oleh Sophia.

Heris bergegas turun mengejar Sophia.

“Lalala…lalala…lalala…”

Bunyi yang mengganggu itu mematikan langkah Heris sekejap. Dia memandang ke arah katil. Entah berapa kalilah agaknya telefonnya itu berdering. Tentu ramai yang sedang mencarinya sejak semalam. Heris tidak mengendahkan telefon bimbit itu dan terus berlari turun untuk mengejar Sophia.

Sudah terlambat. Sophia tidak mungkin dapat dikejarnya lagi memandangkan dia tahu skill wanita itu ketika memandu. Dia tidak akan dapat mengejar Sophia.

“Tak guna!”

Heris berjalan menuju ke pesisir pantai meninggalkan rumahnya. Dia duduk di buaian yang didirikannya di bawah sepohon pokok kayu besar. Dia mengangkat tangan kanannya separas muka dan melihat dua cincin yang berganding di jari manisnya. Dia menanggalkan salah satu cincin tersebut. Ditatapnya cincin perak bercorak gelungan seperti lumut itu kemudian digenggamnya cincin itu sekuat hati. Dia memejamkan matanya untuk beberapa ketika. Tidak lama kemudian dia membuka matanya semula.

“Kenapa aku harus percaya pada cerita dongeng tu? Aku telah terpengaruh dengan kata-kata pekedai yang menjual cincin ini. Bodoh betul!”

*************

FIKIRAN Sophia terganggu. Dia memberhentikan keretanya di tepi jalan. Dia menekup wajahnya seketika. Dia ternampak bayangan wajah Heris di hadapannya. Dia tidak mahu melihatnya.

“Pergi... jangan ganggu aku! Aku benci pada kau, Heris!”

Beberapa ketika kemudian Sophia mengangkat wajahnya. Tiba-tiba fokusnya terganggu disebabkan bunyi telefon dari dalam begnya. Dia menjawab dulu panggilan telefonnya.

“Hello…aku okey. Jangan risau Naliz… Aku on the way nak balik kampung… tidak, aku tak akan beritahu mereka… Pandai-pandailah aku cari alasan nanti… terima kasih sebab ambil berat. Kalau kamu berdua tiada, aku tak tahu apa yang akan aku buat sekarang ni. Agaknya aku dah mati…Naliz, aku sayang kau. Terima kasih sebab jadi sahabat aku… Baiklah… Okey, bye.”

Talian diputuskan dan Sophia kembali memandu meninggalkan Paradise Shine untuk menuju ke Parsi Mellon Park.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience