Chapter 67

Humor Completed 22614

Bab 67

BUMI Kota Lisberg kembali dijejaki Sophia. Berbekalkan semangat baru yang dibina dia kembali berdiri. Pengalaman yang diperolehinya diambil sebagai pengajaran. Yang berlalu biarlah berlalu. Dirinya yang serba baru akan berdiri semula membina kerjaya. Sophia tidak kembali ke Paradise Shine. Dia mengambil keputusan untuk tinggal bersama dengan Naliz semula. Hanya untuk sementara sebelum dia mampu membina kehidupan barunya. Dia bersyukur kerana kehadirannya sangat dialu-alukan sahabatnya itu.

Masalah tempat tinggal telah selesai. Kini Sophia sedang berusaha untuk mencari pekerjaan. Mujur dia mempunyai ramai kenalan dalam syarikat-syarikat penerbitan. Melalui mereka, Sophia cuba mencari peluang untuk bergelar jurugambar semula. Nasibnya baik, selepas sebulan menganggur akhirnya dia berjaya diterima bekerja di sebuah syarikat penerbitan. Walaupun terpaksa bermula dari bawah semula, dia menerima tugas baru itu sebagai satu cabaran untuknya membuktikan kehebatan.

Bekerja di bawah seorang wartawan professional begitu menguji kredibiliti Sophia sebagai seorang jurugambar. Peka, pantas dan fokus… itulah falsafahnya dalam bertugas. Apatah lagi wartawan senior yang membimbingnya merupakan seorang pemburu… ya, pemburu berita-berita sensasi, terkini lagi hangat. Matlamatnya mahu meningkatkan peratus jualan majalah dari semasa ke semasa. Dimana ada gossip disitu ada wartawan yang bernama Maia Hilton untuk mencungkil kesahihan. Setiap kisah pasti jadi sensasi jika sampai ke tangan Maia. Adakalanya Sophia hampir tidak cukup anggota mahu menurut segala arahan wanita ‘pemburu’ itu.

“Sophia, cepatlah sikit! Kita dah lewat ni. Lagipun hari ini para peminat turut dijemput ke majlis pelancaran tu. Keadaan akan bertambah sesak jika kita terlambat,” bebel Maia.

“Baik, Cik Maia.” Sophia akur.

Sophia mengekori Maia Hilton, si pemburu berita sensasi yang selalu mencari sasaran berita hangat itu. Setiap hari yang dilalui oleh Sophia kini sangat memenatkan. Perempuan yang aktif itu sentiasa bergerak ke sana ke sini. Hari ini mereka akan ke pelancaran album terbaru Kelly Hung di De’Castle Tower.

“Hari ini saya nak segala-galanya berjalan dengan lancar. Awak ikut sahaja segala rancangan yang saya dah aturkan.”

“Baik, Cik Maia.” Sophia akur lagi.

Mereka masuk ke dalam De’Castle Tower dan menuju ke tempat khas yang disediakan untuk para wartawan oleh pihak penganjur. Para peminat Kelly Hung dilihat sudah berduyun-duyun menanti ketibaan artis pujaan mereka. Wah, mereka semua lebih pantas berbanding Cik Maia! Desis hati kecil Sophia apabila melihat kawasan tersebut telah dibanjiri orang ramai.

“Apa tunggu lagi? awak bersedia di pintu masuk. Kelly akan masuk melalui pintu itu. Awak ambil gambarnya ketika masuk sebentar lagi. Cepat cari port terbaik untuk tangkap aksi paling menarik.” Arah Maia kepada Sophia.

Sophia akur lagi dan menurut saja arahan Maia. Kebanyakan jurugambar turut berdiri berdekatan dengan Sophia. Sebentar kemudian Kelly Hung muncul bersama pengurus dan orang kuat yang terlibat dalam penghasilan album terbarunya. Semua lensa kamera terfokus kepada Kelly Hung. Peminat-peminat Kelly Hung bersorak sebaik sahaja artis itu muncul. Sophia yang pertama kali melihat Kelly Hung secara live turut terpegun dengan kecantikan semulajadi gadis itu. Dia bukan saja artis remaja yang berbakat malah juga seorang yang rupawan. Dia memang ada pakej lengkap untuk menjadi seorang idol.

Lensa kamera Sophia tidak hanya fokus kepada Kelly Hung sahaja. Dia turut merakam suasana di sekitar majlis terutama orang-orang kuat yang menjayakan album terbaru Kelly Hung. Tanpa diduga terlintas kelibat seseorang yang cukup dikenalinya ketika matanya fokus memegang kamera.

“Kenapa dia berada di sini? Kenapa dia perlu jadi salah seorang penerbit album Kelly Hung?” Sophia berhenti mengambil gambar apabila matanya terkesan kehadiran Heris dalam majlis tersebut. Dia segera berselindung di sebalik orang ramai dengan harapan kehadirannya tidak dikesan oleh Heris.

Dia tidak menyangka Heris adalah salah seorang penerbit album Kelly Hung. Kameranya sentiasa berada di hadapan wajahnya agar Heris tidak menyedari dirinya dalam kelompok jemputan yang hadir. Dia tidak dapat lari daripada menjalankan tugas jadi terpaksalah dia melakukannya dengan berhati-hati.

Dari kameranya dia mengintai Heris. Dia melihat pakaian Heris yang masih kemas seperti selalu… tapi mengapa tubuhnya kelihatan susut? Senyuman itu tetap cantik… tetapi mengapa dia seperti sedang terpaksa mengukirkannya? ‘Apa yang telah berlaku selama perpisahan kita, Heris?’

Setelah majlis selesai Maia menghilang. Sophia tidak tahu kemana wanita itu pergi. Dia duduk sebentar di tempat duduk yang disediakan untuk wartawan sementara menunggu Maia. Kawasan itu semakin lengang setelah Kelly Hung beredar.

“Jangan bergerak… awak telah ditahan.”

Sophia terkejut. Ada seseorang sedang mengacukan sesuatu di lehernya. Dia kenal suara itu. Biar hanya nafasnya sahaja pun Sophia kenal siapa dibelakangnya.

“He… Heris…”

Kedengaran tawa kecil Heris selepas itu. Sophia memusingkan tubuhnya yang sedang duduk dan memandang Heris yang sedang duduk di kerusi di belakangnya.

“Deria awak memang tajam mengesan saya, sayang.” Hati Heris berbunga bahagia. Nampak sangat ingatan Sophia terhadapnya sangat kuat.

“Mata awak pun tajam, Heris.” Sophia hanya menjeling Heris. Entah bagaimana dirinya berjaya dikesan oleh lelaki itu tadi. Dia bergegas bangkit, berkira-kira hendak angkat kaki.

“Sophia, tunggu.” Heris memaut lengan Sophia menahannya daripada pergi. Dia tersenyum sambil menatap penampilan baru Sophia yang sudah berambut kontot. Dia berasa Sophia tetap ada daya penarik walaupun sudah menukar gaya rambutnya.

“Lepaskan saya Heris.”

“Saya rindukan awak.” Mata Heris sayu memandang Sophia. Sungguh dia merindui wanita itu setelah beberapa bulan mereka berpisah.

“Saya sedang mulakan hidup baru. Awak tahukah yang ianya sangat sukar bagi saya? Awak jangan tambah kesukaran saya.” …ia akan bertambah sukar jika bayangan Heris semakin dekat dengannya kerana dia belum berjaya melupakan Heris sepenuhnya.

“Saya faham…” Heris meleraikan pautan tangannya pada Sophia. “Awak benci saya. Awak nak saya terima hakikat itu sekarang kan.”

Sophia diam tidak membalas. Keluhannya hanya bergema perlahan. Seketika anak matanya meneroka Heris. Tiba-tiba dia rasa sebak. Sedih melihat keadaan Heris sekarang. Susuk tubuh lelaki itu agak susut. Wajahnya yang selalu ceria dulu kini cekung tidak bermaya.

“Awak dah kembali bekerja sekarang?” Heris cuba menukar topik agar sepi tidak menguasai pertemuan mereka. Dia mahu mendengar suara wanita itu. Dia rindukan suara manja Sophia memanggil namanya(walaupun ia agak mustahil berlaku kini.)

Sophia tidak menjawab pertanyaan Heris malah melarikan wajahnya daripada berhadapan dengan Heris.

“Awak tinggal dimana?”

Soalan itu juga tidak dijawab oleh Sophia. Heris menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan beberapa not wang kertas dari dalam dompet kulitnya. Dia menghulurkan not-not berwarna hijau itu kepada Sophia.

“Ambil… awak masih isteri saya. Saya tetap ada tanggungjawab terhadap awak walaupun kita tidak tinggal sebumbung lagi.”

Sophia cuma memandang kertas-kertas yang bernilai di tangan Heris itu. Dia enggan mengambilnya. Heris menarik tangan Sophia untuk menerima wang tersebut. Sophia mengelak.

“Saya tak nak.”

“Jangan degil. Ambil sahaja.”

Heris memaksanya. Sophia terpaksa mengambilnya juga setelah didesak.

“Awak bebas melakukan apa saja mengikut kehendak awak tapi awak tetap isteri saya dan ia tetap tidak akan berubah selagi saya masih sarungkan cincin perkahwinan di jari manis ini.” Heris mempamerkan tangan kirinya yang masih menyarung cincin emas yang menjadi tanda ikatan di antara mereka berdua.

Sophia memandangnya. Tangan kirinya sedang disorok ke belakang agar Heris tidak nampak jarinya yang tidak memakai cincin perkahwinannya lagi. Heris menyeluk sesuatu dari dalam baju kot yang dipakainya. Dia menyerahkan sesuatu ke tangan Sophia.

“Saya dah tukar kunci rumah. Awak boleh balik pada bila-bila masa kalau nak.”

Heris beredar pergi sejurus kemudian. Sophia merenung anak kunci di tangannya kemudian kembali memandang kelibat Heris yang semakin menjauh. Tiba-tiba hatinya terasa sebak seperti ditinggalkan. Dia hampir menangis namun emosinya terganggu dengan kemunculan Maia seketika kemudian.

“Hei, saya dah nampak. Awak ni pandai juga bertindak tanpa arahan saya. Berita apa yang awak dapat daripada komposer popular tu?”

“Ha?” Sophia terpinga-pinga.

“Heris Kruger… apa cerita terbaru yang awak dapat daripada lelaki yang khabarnya telah berkahwin itu? Dengar cerita dia ceraikan isterinya selepas sebulan perkahwinan mereka. Saya rasa dia dah gila. Ingat perempuan boleh ditukar ganti macam pakai baju ke?”

Terasa darah hangat tiba-tiba naik ke otaknya. Ingin sekali Sophia menjerit ke muka Maia menafikan berita itu. ‘Jangan nak menuduh tanpa usul periksa! kau tak tahu apa-apa perempuan bermulut ikan! Geramnya aku… tapi kenapa aku sangat marah mendengar Maia mengutuk Heris? Sesuatu yang pelik berlaku pada diriku…’

“Jom balik… kita ada banyak lagi kerja nak buat.”

Sophia bertindak mengajak Maia beredar pergi. Hatinya kacau. Bukan hanya kerana kata-kata Maia malah kerana memikirkan Heris.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience