Chapter 50

Humor Completed 22614

Bab 50

KOTA LISBERG…

NIA ANDREA memeluk tubuh yang masih kesejukan walaupun sudah memakai pakaian tebal. Cuaca yang sejuk tetap tidak menghalangnya untuk berjalan di luar pada waktu malam. Dia melalui sebuah kedai serbaneka yang berdinding lutsinar. Ada seorang pemuda yang seperti dikenalinya di dalam kedai tersebut sedang membaca majalah yang dijual di situ. Nia mendekatkan dirinya pada dinding kaca itu untuk melihat dengan lebih jelas wajah pemuda tersebut. Dia tersenyum lebar. Sesuatu yang menarik muncul di hadapannya. Dia masuk ke dalam kedai tersebut untuk menemui lelaki itu.

Ivan tidak sedar akan kehadiran seseorang di belakangnya. Nia berdiri diam di belakang Ivan sambil melihat apa yang dibaca oleh Ivan dengan khusyuk sehingga kehadirannya langsung tidak disedarinya. Dia tersenyum kecil. Tidak sangka Ivan membaca majalah sebegitu.

“Wah, rupanya orang lelaki semuanya sama! Suka baca majalah yang tunjukkan gambar model-model yang seksi dan separuh bogel.”

Ivan terkejut. Dengan segera dia menutup majalah itu apabila mendapati Nia berada di sisinya. Dia menjeling tajam kepada Nia.

“Dari mana awak muncul?”

“Kenapa tutup? Bacalah lagi. Saya tak akan ganggu awak.” Nia senyum lagi.

Ivan sangat meluat melihat senyuman nakal Nia.

“Jangan salah faham. Saya cuma baca iklan di bahagian tepi ini sahaja.” Ivan menjelaskan kedudukan sebenar.

Dia menunjukkan kepada Nia tentang iklan kereta yang dibacanya di satu sudut di sebelah gambar model yang hanya memakai bikini yang menyebabkannya dituduh oleh gadis itu tadi.

“Oh, iklan kereta tapi bukankah awak sudah mempunyai sebuah kereta?” ujar Nia yang melihat iklan yang dimaksudkan oleh Ivan.

“Salahkah kalau saya nak tahu perkembangan harga kereta sekarang. Lagipun seorang kawan saya bercadang hendak membeli sebuah kereta, jadi saya cuma menolongnya mencarikan iklan…”

“Oh, tak mengapa. Saya tidak fikir apa-apa yang negatif. Janganlah susah-susah nak jelaskan secara terperinci.” Nia tersengih lebar apabila melihat perubahan air muka Ivan.

Kata-kata Nia secara tidak langsung membuatkan Ivan bengang lagi… juga sedikit malu. ‘Bodoh, kenapa aku terlalu leka sehingga tidak sedar kehadirannya.’ Ivan meletak semula majalah yang dipegangnya itu dan beredar keluar dari kedai tersebut.

Nia mengekorinya. Ivan berjalan dengan pantas. Begitu juga dengan Nia. Ivan berhenti. Nia terlanggar belakang Ivan kerana tidak sempat memberhentikan langkahnya.

“Awak langgar saya!” Ivan sedikit marah dengan perlanggaran yang berlaku.

“Awak yang berhenti tak beri signal.” Nia membela dirinya.

“Buat apa ikut saya?”

“Mana ada saya ikut. Awak ni selalu berprasangka buruk terhadap saya.”

‘Urgh… dia ni betul buat aku geram. Mungkin aku patut berdiam diri dan jangan hiraukannya.’ Ivan berjalan semula dan tidak menghiraukan Nia yang masih mengekorinya di belakang. Dia masuk ke sebuah gerai kecil di hujung jalan. Dia mengambil tempat di sebuah meja. Nia duduk bertentangan dengannya. Ivan tidak senang. Dia bangun dan duduk pula di kerusi bulat di meja panjang di hadapan tukang masak yang juga pemilik gerai tersebut.

“Tauke, beri Picantes Ramen satu.” Ivan memesan makanan.

“Saya pun sama, tapi nak yang kurang pedas. Menos picante. Terima kasih,” Nia turut memesan makanan yang sama dan duduk di sebelah Ivan sambil diperhatikan oleh pemilik gerai berbangsa latin itu.

Ivan diam dan tidak menghiraukan perlakuan Nia. Dia tahu jika dihiraukan gadis itu pasti dia sendiri yang bakal mengalami tekanan jiwa nanti.

“Dua mangkuk Picantes Ramen, siap.” Tauke gerai tadi meletakkan dua mangkuk hidangan yang dipesan oleh dua orang pelanggannya.

Ivan menarik mangkuk putih bercorak bunga berwarna biru itu dekat dengannya. Chop stik di dalam bekas panjang berwarna tanah diambil. Dia mengambil potongan limau dan diperahnya ke dalam mangkuk ramen. Kemudian dia menggaul mee ramen yang masih panas itu. Asap yang berkepul-kepul membantutkan niatnya untuk menjamah terus mee ramen tersebut. Dia mengambil air kosong di dalam gelas yang sudah disediakan oleh tauke dan diteguknya air jernih tersebut.

Dia tersedar akan sesuatu setelah meletakkan gelas. Dia menoleh kepada Nia di sebelahnya. Dia sedar yang Nia sedang meniru semua tindakan yang dilakukannya sebentar tadi. Ivan bangun dan berpindah duduk ke kerusi sebelah. Begitu juga dengan Nia. Ivan menjeling kepada Nia dengan tajam bagi memberi amaran kepada gadis itu. Nia membalasnya dengan senyuman manis. Bibir merah yang bercalit gincu itu tidak pernah lekang dengan senyuman setiap kali memandang Ivan.

“Nia, apa yang awak cuba buat?”

Nia menggeleng kepala. Sengaja membuatkan hati Ivan bertambah terbakar.

“Awak sangat seronokkah mengganggu saya?”

Nia menggigit bibir bawahnya dan menjungkit bahu. Boleh hilang sabar Ivan dibuatnya.

“Apa yang awak cari di sini sebenarnya?”

“Cari awak.”

Ivan hanya mampu mengeluh di dalam hati. Jawapan yang sememangnya sudah dijangkanya.

“Eh, tak tak tak… sebenarnya saya rasa bosan jadi saya keluar berjalan-jalan.”

“Jadi ini aktiviti awak setiap kali bosan di waktu malam?”

“Ya. Saya tak dapat cari Heris untuk berbual jadi saya ambil keputusan untuk berjalan-jalan bersendirian. Secara kebetulan terserempak dengan awak kali ini.”

“Awak selalu bersama Heris selama ini?” soalan tentang Heris segera terlontar apabila Nia menyebut nama sahabatnya itu.

“Ya. Dia sahabat saya jadi tentulah kami selalu bersama.”

“Walaupun setelah Heris berkahwin?”

“Ya. Kami masih rapat walaupun dia telah berkahwin. Eh, kenapa awak bertanya tentang Heris?” Nia berasa pelik dengan soalan-soalan Ivan yang menjurus terhadap Heris.

“Selain bersahabat awak tak pernah ada apa-apa perasaan lain terhadap dia?”

‘Masih soalan tentang Heris. Kenapa, ya? Agaknya dia cemburu. Wah, aku suka kalau dia cemburu dengan aku tapi itu pasti tidak mungkin berlaku. Tentu ada sebab lain.’

“Tiada. Kami tak pernah ada hubungan yang lebih dari sekadar teman yang rapat,” jawab Nia dengan jujur.

“Okey, baguslah kalau begitu.” Ivan tersenyum. Walaupun sedikit tapi itu cukup untuk menggembirakan hati Nia.

Ivan mula menjamah makanannya yang sudah kurang panasnya. Entah kenapa tetapi dia rasa ada yang kurang dengan Picantes Ramen yang dipesannya kali ini.

“Tauke!” Dia dan Nia memanggil tauke gerai itu dengan serentak.

Ivan menoleh kepada Nia. ‘Dia ni betul-betul hebat, sehingga apa yang aku cakap pun dia boleh ikut dengan serentak.’

“Tambah air,” ujar Nia mendahului Ivan. Dia mengibas-ngibas tangan ke arah mulutnya. Ivan dapat mengagak sesuatu bila melihat tingkah laku Nia itu.

“Saya rasa kita dah tertukar mangkuk. Yang awak makan tu tentu saya punya.” Mata Ivan menjeling mangkuk biru yang masih penuh berisi di hadapan Nia.

“Ini sangat teruk. Saya tak suka pedas.”

Nia mengambil mangkuk di hadapan Ivan. Ditukarnya ramen yang sudah dijamah sedikit oleh Ivan itu. Ivan tidak sempat berkata apa-apa. Sebenarnya dia tidak mahu berbuat begitu tetapi Nia lebih pantas bertindak. Ivan sekadar memerhati tingkah laku Nia yang masih kepedasan. Gadis itu meneguk air untuk meredakan kebas lidahnya. Ivan sedikit terhibur melihat tingkah Nia ketika itu yang nampak comel di matanya. ‘Kesian… tak makan pedas rupanya.’

Mereka terus menikmati makan malam semula. Ivan tidak lagi menganggap Nia sebagai pengganggu. Dia cuba memandang Nia dari sudut positif. Dia cuba berbual apa saja dengan gadis itu. Lagipun gadis itu bukanlah beban kehidupannya malah telah beberapa kali berada di sisinya ketika dia menghadapi masalah.

“Ivan, cuba awak lihat bumbung gerai ini. Rupanya ia ada corak yang menarik.”

Ivan mendongak ke atas seperti yang di tunjuk oleh Nia. “Apa yang awak merepek. Saya tak nampak apa-apapun,” ujar Ivan.

Nia sedang meratah udang yang sebesar ibu jari kaki dengan begitu khusyuk.

“Saya bergurau saja,” jawab Nia tanpa memandang kepada Ivan.

Ivan menggeleng kepala. Dia menghadap makanannya semula. Dahinya berkerut. Ada sesuatu yang mencurigakan di mangkuk ramennya. Dia menjeling ke arah Nia yang sedang sibuk mengupas kulit udang. Dia hanya tersenyum dalam diam melihat aksi Nia yang selamba memperdayanya untuk mencuri udang dari mangkuknya. Ivan kembali menghabiskan makanannya tanpa mengambil hati dengan sikap Nia.

“Dimana awak parking kereta? Saya tak nampak pun,” tanya Nia yang tidak mahu suasana jadi sunyi tanpa sebarang perbualan.

“Rumah saya tak jauh dari sini jadi saya cuma berjalan kaki,” jawab Ivan sebaik makanan di mulut ditelan.

Nia mengangguk.

“Dimana rumah awak?” soalan seterusnya diajukan.

“Buat apa awak nak tahu?” balasnya sebelum menghirup kuah ramennya.

“Saja.”

“Jadi tak penting untuk saya beritahu.”

Nia mencebikkan mulutnya sambil mencerling Ivan.

“Ivan saya nak tanya lagi, boleh?”

“Apa?” …kalau aku halang pun kau tetap akan bertanya. Getus Ivan dalam hati.

“Awak ada hubungi Sophia beberapa hari ini?”

Wajah Ivan serta merta berubah. Matanya menoleh kepada Nia yang nampak risau.

“Tidak. Kenapa?” Ivan sengaja tidak mahu berterus terang.

“Saya cuma nak tahu mereka berdua kemana sebab saya tak dapat hubungi Heris. Mereka berdua tiada di rumah dan Heris tak jawab panggilan saya. Yang lebih teruk, mereka yang tak dapat hubungi Heris mencari saya kerana mereka fikir saya tahu dimana Heris berada,” jelas Nia.

“Jadi awak pun tidak tahu dimana Heris?” tanya Ivan pelik.

“Awak juga mencarinya?” balas Nia pula.

“Bukan. Saya sangka awak tahu apa yang telah berlaku.”

“Maksud awak?”

“Mereka berdua sudah berpisah”

“Hah!!!” Nia terkejut serentak si tauke pemilik gerai di hadapannya turut mengurut dada akibat terkejut mendengar suara Nia. “Apa yang berlaku?” Nia kembali bertanya lebih lanjut.

“Dipendekkan cerita… mereka berdua bergaduh besar tempohari. Saya tak pasti punca sebenar pergaduhan mereka tapi saya dapat rasakan kita berdua telah menjadi salah satu punca perpisahan mereka.”

“Tapi…”

“Saya harap awak tak berbohong mengenai hubungan sebenar diantara awak dan Heris. Saya masih berharap hubungan mereka berdua dapat diselamatkan.”

“Kenapa pula saya? Awak tu… bukankah awak masih menyintai Sophia.”

“Saya umpama batu penghalang kebahagiaan Sophia. Cinta saya padanya sudah tiada nilai dan ertinya lagi.”

“Awak kata tak hubungi Sophia jadi bagaimana awak tahu apa yang telah terjadi?”

Ivan menggeleng. Tersenyum kecil.

“Tipu saya…” muncung Nia muncul.

Ivan terus tersenyum memerhatikan wajah muncung gadis itu.

“Kita patut lakukan sesuatu. Saya harap dapat satukan mereka semula. Jangan sampai mereka ambil keputusan untuk bercerai.”

“Cerai? Tak mungkin seteruk itu.”

“Apa yang tidak mungkin? Semua tu bukan mustahil. Hubungan mereka berdua tu macam kilat. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Saya tak tahu samada mereka serius ataupun tidak tapi kalau serius, mereka tak akan mengambil keputusan yang mudah untuk bercerai.”

Nia diam sejenak. Mindanya berfikir tentang sesuatu. Sebentar kemudian dia menoleh semula kepada Ivan.

“Ivan awak serius nak mereka bersatu semula?”

“Kenapa?” Pertanyaan itu menarik perhatian Ivan.

“Bukankah awak cintakan Sophia jadi ini sepatutnya peluang untuk awak.”

Ivan diam sejenak mendengar kata-kata Nia. Sebentar kemudian dia bangkit dan menyeluk sakunya seluarnya mengeluarkan wang untuk membayar bil makanan.

“Tauke, saya bayar untuk dia ni sekali.”

“Terima kasih, sila datang lagi.” tauke lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu mengambil duit yang diletakkan di atas meja oleh Ivan.

Ivan beredar dari situ. Nia mengekorinya.

“Ivan…”

“Saya cintakan dia tapi saya tak nak jadi perampas. Merampas hak orang adalah perbuatan keji. Itu bukan saya.” Ivan terus melangkah laju.

“Ia bukan merampas jika Sophia dan Heris benar-benar bercerai.” Nia menuruti langkah Ivan yang pantas.

Ivan berhenti dan berpusing kepada Nia. Nia sempat berhenti walaupun hampir melanggar Ivan.

“Tapi saya yang menjadi punca perpisahan mereka! Ia sama juga seperti merampas jika saya mengambil kesempatan ini.”

“Anggap saja perkahwinan mereka tu suatu kesilapan.” Nia tetap berlagak selamba. Sengaja dia mahu menguji seteguh mana pendirian Ivan.

“Awak ni kenapa? Bukankah awak juga yang beria-ia tak benarkan saya rampas hak Heris. Saya tak faham manusia jenis apa awak ni.”

“Saya pun tak faham lelaki jenis apa awak ni. Awak cintakan Sophia. Awak macam nak mati apabila Sophia berkahwin dengan Heris. Awak memandu berbatu-batu sampai ke Ocean Hill sebab frust. Awak cari Sophia untuk dapatkan satu jawapan yang sudah tiada maknanya. Awak memang berharap kalau Sophia kembali ke sisi awak, bukan? Jadi kenapa pula sekarang awak nak satukan Sophia dengan Heris? Bukankah itu sesuatu yang bodoh dilakukan oleh seorang pencinta wanita seperti awak?”

Ivan terasa disindir dengan kata-kata Nia. Lidahnya kelu untuk membidas gadis itu. Dia diam membeku. Dia tidak faham apa tujuan Nia berkata sedemikian. Salahkah tindakannya jika mahu menyatukan semula Sophia dan Heris? Adakah dia patut merebut Sophia semula seperti yang diajukan oleh Nia? Atau adakah Nia mahu membuktikan bahawa apa yang dilakukannya selama ini adalah salah?

“Maafkan saya. Saya bukan nak salahkan awak tapi pada saya, bukankah kepercayaan itu asas dalam sebuah perhubungan. Kalau tiada kepercayaan mana mungkin sebuah bahtera itu dapat dilayarkan. Awak tak salah apa-apa, Ivan. Saya juga bukan puncanya. Mereka berdua yang bersalah. Mereka berdua yang perlu sedar akan kesalahan sendiri.”

Ivan sedikit sedar dengan apa yang dikatakan oleh Nia.

“Jadi awak ada cadangan?”

“Saya akan cari Heris. Ini memang salah satu kelemahan dia. Selalu bertindak melulu memang membawa padah.”

“Mungkin kita boleh mencarinya bersama. Lagipun ada sesuatu yang nak saya katakan kepadanya.”

Nia tersenyum. Dia mengangguk bersetuju.

“Awak baliklah dulu. Hari dah jauh malam. Kita cari dia esok.”

“Emm…” Nia mengangguk lagi.

Ivan menghantar Nia sehingga ke parkir kereta. Mereka berdua berdiri di sebelah Blosom Interna, kereta berwarna kuning milik Nia.

“Saya balik dulu. Selamat malam,” ucap Nia.

“Selamat malam,” balas Ivan.

“Jumpa lagi esok.”

“Ha?”

“Maksud saya, kita cari Heris bersama.” Jelas Nia dalam senyuman.

“Ya, hati-hati memandu.” Ivan sekadar membalas senyuman Nia seadanya.

“Bye…” Nia masih berdiri di sisi kereta dan tidak pula dibuka pintu itu untuk dia masuk ke dalamnya.

“Bye… awak bercadang nak berdiri di sini sehingga esok pagikah? Kalau ya, saya nak balik sekarang sebab saya tak nak temankan awak.” Selamba Ivan menembak.

Senyuman Nia mati tiba-tiba apabila mendengar kata-kata Ivan. Dia terus membuka pintu kereta dan masuk ke dalam perut kereta. Cermin tingkap diturunkan. Kepala Nia keluar dari tingkap. Jari telunjuknya bergerak-gerak memanggil Ivan supaya rapat dengannya. Ivan mengangkat wajahnya sekali tanda bertanya apa lagi yang dimahukan oleh Nia. Nia mengangkat pula tangannya dan melambai memanggil Ivan. Ivan akur lantas membongkok dekat dengan cermin tingkap kereta Nia.

Chupp!

“Awak lupa beri kucupan perpisahan. Saya balik dulu.”

Ivan cuma mampu tergamam dan kaku di situ. Nia tersenyum puas. Dia mengangkat cermin keretanya rapat dan tidak di masuki angin. Sebentar kemudian keretanya perlahan-lahan bergerak meninggalkan kawasan tersebut. Ivan meraba pipinya. Kemudian dia menoleh ke belakang melihat kereta Nia yang sudah bergerak meninggalkan tempat itu. Dia mengusap-ngusap pipinya yang baru dikucup oleh Nia sebentar tadi dan terus pergi dari situ. “Perempuan syaitan itu… berani dia mengambil kesempatan ke atas diriku. Grrr…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience