Chapter 66

Humor Completed 22614

Bab 66

SOPHIA keluar dari sebuah salon. Dengan semangat dan keyakinan diri, dia melangkah untuk pulang. Dia tidak mahu terus berduka dan mengingatkan peristiwa hitam yang berlaku dalam hidupnya. Hari ini dia mahu memulakan hidup baru dan meninggalkan terus impian semalam. Dia sedar keluarganya tidak gembira melihatnya yang semakin berubah.

Hari ini dia mulakan perubahan pada dirinya dengan penampilan serba baru. Dia memotong pendek rambutnya dan membeli beberapa pasang pakaian baru. Dia melangkah menuju ke keretanya untuk pulang. Dia akan kembali ke Lisberg esok. Dia mahu bangkit semula. Dia tidak mahu hanya duduk diam dan menghitung detik-detik yang berlalu tanpa melakukan sesuatu yang bermakna.

Berbekalkan sekelumit semangat yang tersorok dalam lubuk hatinya dan berlapikkan nasihat dan perangsang yang dihembuskan oleh keluarga dan teman-temannya, Sophia bangkit untuk memulakan hidup baru… tanpa bayang-bayang Heris. Heris… pergilah dikau jauh dari hatiku… lupakanlah perkenalan kita yang pendek itu. Hari ini aku akan mulakan dengan seminit untuk melupakan dirimu, esok sejam… lusa sehari… tulat seminggu… dan minggu-minggu yang bakal mendatang akan aku lupakan dirimu untuk bertahun-tahun lamanya. Mungkin kini telah tiba saatnya dimana aku harus berhenti menyintaimu. Bukan kerana aku tidak lagi menyintaimu tetapi kerana aku tahu kita akan lebih bahagia jika berpisah sekarang.

Sophia berjalan masuk ke dalam rumah. Dia meletakkan bungkusan dan beg-beg kertas yang berisi pakaian yang baru dibelinya di ruang tamu. Dia menuju ke ruang makan untuk bersama keluarganya yang sedang minum petang. Semua mata tergamam melihat diri Sophia yang baru. Tiga pasang mata yang duduk di ruang makan itu terpegun memandang Sophia. Sophia tersenyum melihat reaksi mereka semua. Badan Chris seperti melebur melihat penampilan baru cucunya. Josh kaku. Cawan yang berisi kopi panas di tangannya masih belum menyentuh mulut dan seakan-akan terapung di udara. Sementara Trisya asyik mencedok meehoon ke dalam pinggan sehingga pinggan tersebut sudah tidak mampu menampung meehoon yang semakin membukit.

“Kenapa semua orang pandang Sophia dengan pelik? Sophia cuma lakukan sedikit perubahan pada rambut Sophia sahaja.”

Semua orang tersedar dari khayalan masing-masing. Chris kembali duduk tegak. Josh meneguk kopi panas di tangannya. Dia menyembur keluar air yang telah masuk ke mulutnya. Dia terlupa yang air yang baru dituang oleh Trisya itu masih panas. Lidahnya melecur. Trisya pula hampir menjerit apabila meehoon yang dicedoknya sudah melimpah ke meja. Dia cepat-cepat mengembalikan meehoon itu masuk ke dalam mangkuk. Chris cuba membantu Trisya tapi lain pula jadinya. Meehoon yang diangkat dengan penyepit terbang ke belakang dengan penyepitnya sekali. Keadaan di situ menjadi kelam kabut sekejap. Sophia tertawa dan menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah keluarganya. Dia mengambil tempat di meja makan. Seketika kemudian keadaan kembali normal.

“Atuk, ayah, ibu… Sophia dah fikir masak-masak. Sophia akan pulang ke Lisberg esok.”

“Betulkah?”

“Ya, Sophia dah fikirkannya. Lagipun kami berdua patut selesaikan masalah kami dengan segera. Dah sebulan Sophia duduk di rumah. Ia cukup lama dan Sophia tak nak lepak-lepak lagi.”

“Maksud Sophia?”

“Sophia nak mulakan hidup baru dengan imej yang serba baru.”

Mereka bertiga saling bertukar pandangan.

“Bagus, kita patut raikannya!” Chris bersuara gembira.

“Raikan apa?” tanya Josh.

“Penyatuan dua hati yang masih saling menyintai.”

Suasana kembali ceria semula. Sophia rasa bersalah apabila melihat kegembiraan di wajah-wajah insan yang disayanginya itu. Dia tidak ingin menyatakan bahawa hubungannya dengan Heris tidak akan kembali seperti dulu. Mereka bertiga nampak sangat gembira kerana menyangka dia akan berbaik semula dengan Heris.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience