Chapter 19

Humor Completed 22614

Bab 19

DERU sang bayu pantas menyentuh batang tubuh menyambut kedatangan pasangan dua sejoli itu di Paradise Shine petang itu. Rumah menghadap laut itu sudah lama dibina dan telah diubahsuai kali kedua setelah dibeli oleh Dr. Marcus.

“Akhirnya impian saya tercapai, Mamoru.” Di halaman rumah sederhana besar itu Sophia berdiri menghadap ke laut.

“Ha?” kerut di dahi Heris terpamer. Ada sesuatu yang asing sampai ke pendengarannya sebentar tadi.

“Sebuah rumah di tepi laut,” jelas Sophia.

“Bukan. Maksud saya apa awak panggil saya tadi?” Bukan impian Sophia yang menarik perhatian Heris sebenarnya.

“Mamoru… kenapa?”

“Oh, no… mana awak dapat idea dengan nama itu?” Heris seakan tidak berkenan dengan nama yang baru disebut oleh Sophia kepadanya tadi.

“Awak tak sukakannya?” Sophia hanya mengerling sekilas kepada Heris sebelum berjalan menuju ke pintu rumah. Melalui nada suara Heris, Sophia dapat mengagak yang Heris memang tidak sukakannya.

“Bukan tak suka tapi bunyinya asing. Pelik tapi mungkin juga unik.” Heris memberikan pendapatnya. Kata-kata yang paling enak untuk menyedapkan hati isterinya.

“Jadi awak suka?” Duga Sophia.

“Saya tak pasti.” Heris was-was.

“Jadi keputusan muktamad. Itu adalah nama rahsia awak.” Pintu dibuka dan langkahnya panjang mendahului Heris.

“What? Saya belum setuju lagi.”

Sophia tersenyum sinis lantas meninggalkan Heris untuk menuju ke bahagian tengah rumah iaitu ruang tamu yang mengunjur ke arah laut.

“Baik… jadi saya perlu cari nama rahsia untuk awak juga.”

Sophia tidak menghiraukan kata-kata Heris dan terus meninjau-ninjau keadaan rumah baru mereka. Rumah tersebut sudah 80% lengkap. Segala perabot dan kelengkapan sudah tersedia. Mereka hanya perlu menokok tambah sedikit beberapa keperluan yang dirasakan penting jika hendak berpindah ke situ.

“Sophi… ya… kopia… kopi… hitam dan pahit… popia… kuih yang sedap…Popia!”

“Popia?” meninggi suara Sophia apabila Heris menyebut nama tersebut.

“Saya putuskan sekarang. Nama rahsia awak ialah Popia.”

“No way, bunyinya tak menarik dan saya tak suka.” Putus Sophia dengan tegas. Dia mendaki tangga untuk menuju ke tingkat atas pula.

“Habis tu ‘Mamoru’ menarikkah bunyinya?” Heris yang tidak puas hati itu pantas membuntuti isterinya.

“Ya. Lagipun nama tersebut ada ciri-ciri pejuang sejati.”

“Ha… ha… ha… kelakar. Awak sengaja reka cerita dan saya tidak percaya. Lebih baik awak jangan panggil saya dengan nama itu lagi.”

“Mamoru!!!” Jerit Sophia sebelum meluru masuk ke dalam bilik utama di tingkat atas rumah itu. Dia langsung tidak peduli dengan bangkangan Heris dengan nama ‘Mamoru’.

Heris tidak sempat menangkap Sophia yang telah lesap di sebalik pintu. Dia cuma menggigit bibirnya kerana geram. Dia membuka pintu bilik dan menjejaki Sophia yang sedang berdiri di ruang balkoni yang menghadap ke halaman rumah. Dari situ juga mereka dapat menyaksikan kawasan pantai yang berbentuk lengkungan yang luas.

“Pemandangan yang cantik,” ujar Heris sambil merangkul leher Sophia.

“Tempat ini tidak terlalu tinggi tetapi kita dapat melihat pemandangan pantai yang luas dan cantik. Adakah awak gayat pada ketinggian begini?” Sophia membalas rangkulan Heris dengan memeluk pinggang suaminya.

“Awak perli saya? Saya tidak gayat selagi tidak memandang ke bawah. Saya tidak apa-apa dengan ketinggian dua tingkat.”

Sophia tersenyum memandang suaminya. Heris sekadar memandang Sophia dari sisi matanya. Dia cuba mengintai ke bawah untuk membuktikan kata-katanya benar. Sememangnya ketinggian dua tingkat tidak memberi masalah kepadanya.

“Kenapa awak enggan menerima rumah pemberian ayah awak ni? Awak tak suka?” Sophia yang lemas dengan pelukan kejap Heris mula melepaskan diri perlahan-lahan sebelum berdiri menghadap Heris.

“Bukan begitu… cuma…” kata-kata Heris tergantung seakan amat berat menghuraikan perasaan yang berperang dalam dirinya kini.

“Awak ada masalah dengan ayah?”

Heris melarikan wajahnya ke halaman rumah yang menghijau dilatari Rumput Manila. Crush Mermaid, kereta yang dipandunya tadi di parkir di luar pagar rumah.

“Saya tidak peduli apa masalah awak dengan ayah… yang pasti saya sangat sukakan rumah ini. Saya harap dapat tinggal di sini dan bina kehidupan bahagia bersama awak kelak.”

“Sophia… bukan saya tak mahu tapi…”

“Saya seorang wanita biasa yang punya impian sama seperti semua wanita lain di dunia ini. Saya nak hidup bahagia bersama orang yang saya cinta. Membina keluarga di mahligai impian saya... Sengketa itu boleh dihentikan jika ianya mampu memberikan senyuman kebahagiaan kepada semua orang. Saya percaya diantara awak dan ayah, kamu berdua saling menyayangi sebenarnya.” Redup pandangan Sophia seakan-akan cuba memujuk hati si suami yang keras mahu menolak rumah pemberian ayahnya ini.

“Baiklah… jika itu yang awak mahu.” Senyuman di wajah Heris biarpun terpaksa namun demi si isteri dia cuba membuang prasangkanya terhadap si ayah yang seakan dimusuhinya selama ini.

Sophia sangat gembira dengan jawapan Heris. Dia merangkul leher lelaki itu. Dikucupnya bibir merah Heris sebagai tanda penghargaan. Tidak lama kemudian mereka turun ke bawah untuk meninggalkan rumah tersebut. Setelah mengunci pintu rumah mereka berdua berjalan menuju ke kereta yang di parkir tidak jauh dari situ. Heris membuka pintu dan bersedia untuk masuk tetapi niatnya terbantut apabila Sophia datang mendekatinya dan menariknya menuju ke suatu tempat. Dia menahan langkah Sophia yang pantas menariknya.

“Eh, Sophia… nak pergi mana? Baliklah, dah senja ni.”

“Tak nak. Jom teman saya dulu.”

“Lain kalilah. Saya penat.”

“Tipu.” Mulut Sophia memuncung.

“Sophia…” keras suara Heris mengarahkan Sophia agar mengikut arahannya.

Sophia memandang wajah Heris yang sedikit berkerut.

“Kalau begitu awak baliklah dulu. Saya tak nak balik lagi.” Sophia tetap berdegil.

Sophia melepaskan pegangannya dan meninggalkan Heris. Heris garu kepala. Rasa bersalah jika meninggalkan isterinya berseorangan di situ. Dia memerhatikan Sophia yang berjalan sendirian di pesisir pantai. Wanita itu bercekak pinggang. Dia menyepak-nyepak air laut yang singgah di kakinya. Dibiarkan sahaja sandalnya dibasahi air laut. Dia memandang langit yang berwarna jingga. Heris berlari anak mendapatkan Sophia secara senyap.

“Argh…!!” Suara wanita itu bergema.

Badan Sophia sedang melayang diangkat oleh seseorang. Heris mengangkat pinggang Sophia dari belakang.

“Adik abang merajuk, ya. Nak abang adik pujuk?” bisik Heris ke telinga Sophia.

Sophia tersipu-sipu menahan tawa yang hendak meletus. Rupanya rajuknya sudah dikesan oleh Heris.

“Tak nak. Adik abang cuma nak hukum abang adik saja, boleh?”

Mendadak Heris ketawa apabila mendengar Sophia mahu menghukumnya.

“Cepat dukung adik abang sampai ke batu besar di hujung tu,” arah Sophia sambil memanjat bahu Heris.

“Baiklah, hamba menurut perintah tuan puteri sekarang.”

Heris berlari sambil Sophia berpaut di belakang Heris. Bahagianya mereka tanpa gangguan sesiapa di pantai terpencil itu. Di atas batu besar yang kosong itu mereka berdua duduk menghadap ke barat menghayati sang suria yang sedang merangkak untuk melabuhkan tirai. Cahayanya sedang bergelut dengan gelap malam. Langit senja semakin berubah warnanya daripada cerah kepada semakin kelam. Bagaikan pentas teater yang diiringi muzik ombak. Tirai malam dilabuhkan setelah persembahan tamat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience