Chapter 35

Humor Completed 22614

Bab 35

Ai Ai Love Match Agency…

“Dalam dunia ini ramai manusia yang pelik.” Anak matanya tertumpu pada sepasang kekasih di satu sudut dalam pejabat agensi itu.

Ivan sekadar tersenyum sinis melihat si jejaka yang gemuk gedempol bak beruang kutub yang sedang bermain mata dengan seorang gadis cantik bak bidadari di hadapannya. Di benaknya terfikir, bagaimana perempuan secantik bidadari itu boleh jatuh cinta dengan lelaki gemuk itu? Kalau di lihat dari mata kasar mereka umpama dugong dengan duyung. Dunia ini memang ajaib kerana mempertemukan mereka berdua sebagai pasangan.

“Pelik… tapi pelik itu menarik bukan.” Suara Naliz muncul dari belakang.

Ivan menoleh sekaligus tumpuannya terhadap pasangan tersebut berakhir.

“Menarik… tapi lebih menarik kalau pada kadar yang lebih normal.” Dia membalas kata-kata Naliz sebelum bergerak menuju ke ruang persendirian Naliz.

Naliz hanya merenung kelibat Ivan sambil kepalanya menggeleng perlahan. Matanya sempat meninjau pasangan yang dianggap pelik oleh Ivan tadi. Si beruang kutub dan si cantik bak bidadari tadi sudah bangkit hendak beredar. Sempat mereka berbalas senyuman dengan Naliz sebelum berlalu pergi dari agensi kendalian Naliz itu. Sebaik pasangan tersebut itu beredar barulah Naliz menjejaki semula Ivan di bilik pejabatnya.

“En. Ivan Mayer, boleh saya bantu? Ahah… sedang mencari cinta, bukan. Saya ada beberapa calon yang sesuai untuk Encik. Apa kata kalau…”

“Cukuplah tu, Naliz. Aku belum terdesak lagi untuk dapatkan perkhidmatan mencari jodoh kau tu. Terima kasih sahajalah, kawan.”

Secara automatik Naliz menarik muka kelat. Tapi hanya sebentar cuma. Dia kembali mengambil tempat berhadapan dengan Ivan.

“So… anything problem? Kau takkan cari aku kalau takde masalah, bukan.” Bicaranya bagai sengaja menyindir Ivan yang sukar mahu menemuinya. Hanya Naliz sahaja yang rajin menjejaki lelaki itu bila ada masa terluang.

“Sindiran kau tu macam ada bau-bau tak puas hati sahaja.”

Naliz mencebik. Sekilas sempat dia meninjau pintu masuk agensinya. Sunyi. Tiada bunyi loceng menandakan kehadiran pelanggan.

“Tidak puas hati bukan isunya Ivan. Aku dah kenal kau lebih dari lima tahun. Sekilas gerak geri kau aku boleh baca ada masalah yang menggangu hidup kau tu.”

“Kau ni pakar mencari jodoh atau pakar psikolagi sebenarnya?”

“Pakar mencari jodoh pun kena pandai main psikologi tau.” Naliz senyum penuh makna sambil menyeringai ke arah Ivan. “Ceritalah, Ivan. Seperti biasa aku adalah pendengar setia kau. Asalkan bukan berkenaan Sophia lagi.”

“Sophia?” Wajah Ivan berkerut menyebut nama tersebut. Terasa bagai masih ada selumbar yang mencucuk hatinya pabila nama tersebut disebut. “Aku bukan datang kerana dia.”

“Maka?”

Ivan terdiam. Renungan mata Naliz yang tepat menusuk ke dasar matanya seolah-olah sedang membaca jiwa kacaunya kini.

“Macam mana aku nak lari dari seseorang yang merimaskan.”

“Wow! Akhirnya inilah kali pertama aku dengar ada seseorang yang buat jiwa kau kacau.” Naliz nampak teruja sehingga menarik kerusinya rapat dengan Ivan. Tidak sabar nampaknya mahu mendengar kisah Ivan. “Siapa? Siapa? Ceritalah cepat.”

“Kenapa kau excited sangat? Aku cuma tanya… macam mana nak larikan diri daripada seseorang yang merimaskan.”

“Tapi bagi aku kalau orang yang kau maksudkan tu lelaki aku boleh labelkan dia sebagai salah seorang pesaing kau. Tapi kalau orang itu ialah wanita, dia tentu sedang cuba memikat si hati dingin macam kau tu. Itu saja ramalan awal aku.”

“Okey, terima kasih, Naliz. Tak sia-sia aku ada sahabat si pencari jodoh yang belum bertemu jodoh macam kau.” Ivan sudah boleh menangkap bab seterusnya yang bakal diutarakan oleh Naliz. Dia bersiap-siap untuk beredar dari situ. “Aku balik dulu.”

“Woi!” Pantas Naliz memaut lengan Ivan. “Cerita belum habis sudah mahu cabut. Kalau bukan kerana cinta pun aku masih sudi mendengar. Cuba cerita dulu apa sebenarnya yang merunsingkan jiwa kau.”

Ivan membatalkan niatnya untuk pulang. Dia kembali mengambil tempat di kerusi di sebelah Naliz.

“Aku faham… kau masih lagi sensetif dengan isu cinta. Cuma satu nasihat aku, Ivan… bila kita kehilangan cinta bukan bermakna cinta itu telah mati tapi sebenarnya tuhan nak temukan kita dengan pasangan yang lebih baik. Yang lebih sepadan. Sophia telah menjadi sejarah cinta kau. Hakikat itu kau harus terima walaupun sukar untuk kau menerimanya.”

Ivan hanya membisu biarpun telinganya mendengar dengan jelas kata-kata Naliz. Baginya cinta Sophia masih wajar untuk dirampas kerana baginya Sophia berkahwin bukan atas dasar menyintai Heris.

“…dan kalau sekarang kau rasa dia merimaskan, jangan kau rasa pelik jika suatu hari nanti kau menyintainya separuh mati. Seperti kau lihat pasangan si gemuk dan si jelita tadi.”

Sekilas mata Ivan berkalih merenung Naliz yang setia memberi motivasi percuma kepadanya petang itu. “Naliz, aku tak cerita apa-apa lagi. Macam mana kau tahu orang tu seorang wanita?”

Naliz hanya tersenyum penuh makna. Sebenarnya dia pun main tembak sahaja. Mahu menunggu Ivan berterus terang bukannya mudah. Makan masa. “Kau ada berkenalan dengan sesiapa sejak kebelakangan ini?”

“Aku tak pasti.”

“Mungkin kau patut berterus terang.” Naliz melirik tajam kepada Ivan. Berharap lelaki itu segera bercerita padanya.

Ivan merenung mata Naliz yang tajam memandangnya. Renungan dan senyuman Naliz bagai terus memaksanya untuk bercerita tentang siapa yang difikirkannya sekarang.

“Fine… aku kenal dia beberapa minggu lepas. Ketika itu di Ocean Hill. Kereta aku kehabisan petrol dan hujan turun dengan lebat. Aku berteduh di sebuah rumah besar. Aku berkenalan dengannya di situ. Dia tuan rumah tersebut.”

“Beberapa minggu lepas… maksudnya pada hari perkahwinan Sophia?” Ivan mengangguk perlahan. “Jadi waktu tu kau tipu aku dan Sophia?”

“Aku tidak berniat begitu. Aku cuma memandu untuk tenangkan fikiran. Tanpa sedar aku dah memandu begitu jauh sehingga ke Ocean Hill.”

“Tak mengapa. Aku faham dan boleh terima alasan kau tu.”

“Aku sangka pertemuan kami berakhir di situ tapi tak sangka pula rupanya dia adalah adik kepada majikan aku. Yang lebih teruk dia adalah sahabat kepada Heris, suami Sophia.”

“What?” ternganga Naliz apabila mendengar penjelasan Ivan. “Ha…ha…ha!!!” Meletus tawanya selepas itu. Segala kebetulan tersebut bagaikan sudah dirancang.

“Kau sedang mengejek aku, Naliz?” Wajah Ivan serius dan tidak senang melihat Naliz ketawa besar mendengar ceritanya.

“Maafkan aku. Seterusnya apa yang berlaku?” dengan sisa tawa yang masih ada Naliz cuba untuk berhenti ketawa.

“Dia asyik mengganggu aku. Kemana aku pergi pasti terserempak dengannya. Tak tahulah sama ada secara kebetulan ataupun dia yang sengaja mencipta kebetulan tersebut. Yang pasti hidup aku sudah tidak aman seperti dulu lagi. Kemana aku pergi pasti ada dia mengekori.”

“Dia tentu seorang yang hebat kerana telah berjaya mengganggu emosi kau.” Naliz membuat rumusan tentang wanita yang telah berjaya mengganggu keamanan hidup Ivan itu.

“Siapa kata aku terganggu? Aku cuma nak lari dari kelibat dia sahajalah!”

“Jangan bohong. Tidak pernah sekali pun aku lihat sikap kau segusar ini, Ivan.”

Tiada lagi kata-kata yang boleh menidakkan dakwaan Naliz. Ivan hanya mengeluh dan mula bersoal jawab dengan diri sendiri. Benarkah kehadiran Nia telah mengubah sedikit sikapku? Kenapa aku begitu memikirkan Nia? Ya, mahu atau tidak aku terpaksa mengakui yang dia memang sudah berjaya menarik sedikit perhatianku terhadapnya. Dia merimaskan tapi adakalanya bersikap cuba menyenangkan aku. Dia berbeza dengan mana-mana gadis yang pernah kukenali sebelum ini. Baik Sophia sekalipun. Dia ada cirri-ciri istimewa… yang tetap buat aku rasa rimas dan cuba menjahinya sedaya upaya!

Kaching…!

Loceng pintu Ai Ai Love Match Agency berbunyi. Seorang pelanggan melangkahkan kaki sebaik salah seorang pekerja Naliz membukakan pintu. Naliz menjenguk dari dalam biliknya. Ivan tetap berdiam dan tidak berminat untuk mengambil tahu akan pelanggan Naliz.

Sesusuk tubuh yang langsing berdiri di hadapan pintu. Gadis itu memakai seluar jean senteng paras betis dengan tiub warna kuning. Kacamata hitamnya disangkut kemas di wajah.

“Minta maaf, boleh saya tumpang tanya?”

Ivan hanya mendengar tutur bicara seorang gadis tanpa melihat siapakah gerangan empunya suara tersebut. Melihat kemunculan pelanggan dengan segera Naliz meninggalkan Ivan lantas pergi mendapatkan si pelanggan.

“Sini agensi mencari jodoh bukan?” suara gadis tersebut separuh berbisik. Seolah-olah malu dengan niatnya datang ke situ.

Naliz menyambutnya dengan senyuman manis. “Betul. Kami adalah agen pencari jodoh. Silakan duduk.” Jemput Naliz sambil memimpin gadis itu ke ruang tamu.

“Terima kasih. Sebenarnya saya sedang mencari dimana cinta saya. Saya harap saya pilih jalan yang betul dengan datang ke sini.”

Hati Ivan tiba-tiba berasa ingin menjenguk gerangan siapakah empunya suara serak-serak basah yang bagai pernah didengarinya itu. Dia bangkit perlahan-lahan dari kerusi dan berjalan menghampiri pintu bilik Naliz. Tujuannya selain mahu melihat siapakan pelanggan tersebut dia mahu meminta diri untuk berlalu memandangkan dia tidak mahu mengganggu kesibukan Naliz melayan pelanggannya.

“Jangan risau. Itu memang tugas kami. Sebelum itu elok rasanya kita berkenalan dulu. Siapa nama awak?” soal Naliz ramah.

“Nia Andrea Ferez…”

Mata Ivan terbelalak sebaik muncul di ruang tersebut. Tubuhnya membeku bagai sudah menjadi ais. Ketulan hatinya bagai melonjak naik ke kerongkong sebaik mendengar Nia memperkenalkan dirinya kepada Naliz.

“Aku bermimpikah?” tangannya mencubit pipinya. Sakit. Bermakna dia bukan bermimpi. Sekali lagi kemunculan Nia seolah-olah mengekori jejaknya.

“Ivan?” Nia seperti tidak percaya apabila bertemu Ivan di situ.

Ivan menguak rambut hadapannya ke belakang. Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Ini cuma satu kebetulan, bukan?”

Nia mengangguk dengan senyuman yang tidak lekang-lekang dari bibirnya.

“Naliz, kau layanlah pelanggan kau. Aku balik dulu.” Ivan cepat-cepat angkat kaki.

Nia sekadar menghantar Ivan dengan matanya. Dia tidak sempat bertanya apa-apa kepada lelaki itu. Naliz terpinga-pinga. Menggaru-garu dahi megambarkan kemusykilannya terhadap sikap Ivan yang tergesa-gesa beredar pergi.

“Apa kena dengan Ivan ni?”

Nia tersenyum-senyum manis di sisi Naliz.

“Cik, saya rasa saya dah jumpa mana saya punya cinta.”

“Hmm…” anak mata Naliz tertumpu pada si manis bergigi siong yang tersenyum-senyum memandang kelibat Ivan yang semakin menghilang itu. “Maksud, cik?”

Tiada jawapan yang jelas keluar dari mulut Naliz tetapi melalui bahasa tubuh gadis itu Naliz mula menangkap sesuatu. Dalam diam senyumannya meleret. Sesuatu yang menarik sedang dapat dibaca oleh si agen pencari jodoh tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience