Chapter 8

Humor Completed 22614

Bab 8

Valicities World…

HERIS menunggu dengan penuh sabar sambil sesekali matanya menjeling ke arah jarum jam yang berdetik. Jam tangan berjenama Omega itu sudah beberapa kali diteleknya penuh resah. Dia memerhati sekelilingnya mencari kelibat Sophia Hartnett. Dia duduk di tepi kolam air pancut. Sebuah patung ikan duyung berwarna emas menghiasi kolam tersebut ditengah-tengahnya. Nampak mewah dengan biasan lampu berwarna-warni di dasar kolam tersebut.

“Hai…”

Getaran suara seorang gadis masuk ke cuping telinga mengejutkannya yang leka melihat air pancut di kolam itu. Dia memaling kepala ke belakang. Seorang gadis berdiri memerhatikannya dengan senyuman manis di wajah. Heris tergamam tidak bersuara. Tiba-tiba dia merasakan dunia telah terhenti. Orang awam yang ke hulu ke hilir di sekitarnya sejak tadi bagaikan telah lenyap. Kemunculan Sophia bagai mematri penglihatannya. Hanya gadis itu sahaja yang memenuhi ruang penglihatannya. Heris ralat meneroka gadis tersebut dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Seolah-olah anak matanya yang bulat itu sudah berubah bentuk menjadi bentuk hati berwarna pink sebaik terpandang Sophia.

“Err… saya bukan hantu. Jauh sekali bidadari. Jadi boleh tak jangan renung saya begitu.” Tingkah Sophia nampak tidak selesa dengan panahan mata Heris. Dia jadi kekok dan janggal.

“Sorry…” lekas-lekas Heris sedar dan mengalihkan pandangannya.

Sejenak mereka berdua terkulat-kulat di situ tanpa sebarang bicara. Perasaan janggal itu tidak lari biarpun ini bukan kali pertama mereka bertemu. Mungkin pertemuan yang dirancang kali ini membuatkan mereka terlalu mengawal tingkah laku sehingga menyebabkan masing-masing jadi malu-malu kucing.

“So, kita nak kemana sekarang?” langkah masing-masing diatur perlahan-lahan berjalan di sekitar taman tema Valicities World itu.

“Ermm… awak nampak roda feris tu.” Heris membuka topik perbualan.

Sophia memandang ke arah roda feris yang tersergam betul-betul di hadapannya. Sebenarnya ada pelbagai jenis lagi permainan di taman tema tersebut. Contohnya seperti roller coaster, merry go round dan sebagainya. Namun roda feris lebih menarik perhatiannya.

“Kita boleh tengok seluruh Kota Lisberg ini pada paras ketinggian 120 meter. Dalam sekelip mata saja Kota Lisberg ni berada dalam genggaman tangan,” ujar Heris sambil tangannya di genggam dan diangkat ke hadapan separas kepala.

“Oh, ya? Saya teringin nak genggam bandar ni macam yang awak katakan tu,” balas Sophia.

Heris tersenyum memandang Sophia. Kata-kata Sophia seperti petunjuk yang gadis itu mahu menaiki roda Feris tersebut dengannya.

“Awak pernah naik roda yang berpusing tu ke?” Heris sengaja pura-pura bertanya untuk memancing Sophia.

“Emm…tak pernah lagi… kalau dengan awak,” jawab Sophia.

Yahoo! Itu maknanya dia nak aku bawa dia terbang ke atas. Kota Lisberg, kau tunggu… kau takkan terlepas dari genggaman aku…! Sophia dah beri green light. Ini sesuatu yang hebat. Heris, kau lelaki yang hebat! Tentu orang ramai akan menganggapnya gila jika dia menjerit kata-kata tersebut. Mujur itu cuma disuarakan dalam hatinya.

“BODOH! Memang tak macho bila seorang lelaki takut pada ketinggian. Kenapa begitu banyak yang aku takut dalam hidup ini,” bentaknya dalam hati.

Selain darah, ketinggian juga adalah perkara yang menggerunkannya. Heris diam kaku sejak masuk ke dalam roda feris. Dia takut untuk meninjau keluar. Sekali-sekala kuku jarinya digigit tanda risau dan cemas.

Berbeza dengan Sophia, gadis itu begitu teruja melihat pemandangan Kota Lisberg. Setelah sampai pada paras ketinggian 120 meter Sophia menarik Heris untuk melihat keluar tingkap.

“Heris, cepat tengok. Menara De’castle tu nampak sangat kecil dari sini.”

“Ya, betul,” jawab Heris tapi matanya terpejam. Dia tak mahu melihatnya.

Sophia menoleh kepada Heris. “Awak tak kan nampak dengan mata yang tertutup tu, Heris. Awak hanya ada sedikit saja masa untuk saksikannya.”

Heris membuka sedikit matanya dan menjeling kepada Sophia. Dia nampak senyuman gadis itu. Dia memberanikan diri untuk meninjau keluar. Dia senyum dan berasa kagum dengan pemandangan yang indah itu. Sebenarnya itulah kali pertama dia menyaksikannya. Berkali-kali Nia mengajaknya dulu tapi dia selalu menolak. Tidak sangka apa yang dikatakan oleh Nia adalah benar. Kota Lisberg sangat indah jika dilihat dari tempat tinggi.

Heris menghulur tangan ke hadapan. Menara De’castle yang menjadi mercu tanda Kota Lisberg kelihatan sekecil jari kelingkingnya itu cuba digenggam dengan tangannya. Dia mengambil tangan Sophia untuk memberikan sesuatu pada tapak tangan Sophia. Sophia memandangnya.

“Hadiah untuk awak.”

“Terima kasih. Saya simpan di sini supaya saya tak lupakannya.” Sophia meletak tangannya ke dada tanda dia menyimpan hadiah yang halimunan itu di dalam hatinya. Heris sekadar tegelak kecil melihat perlakuan Sophia. Dia bersandar di dinding sambil memandang Sophia. Apabila matanya terpandang ke bawah serta merta dia ketakutan. Dia menjauhi tingkap. Dia jatuh terduduk di lantai. Tangan kanannya mengurut-ngurut dadanya yang berdegup kencang. Sophia segera mendapatkannya.

“Heris… kenapa ni? Awak okey?” tanyanya yang cemas bila melihat reaksi Heris yang tiba-tiba begitu.

“Saya boleh mati kalau naik lagi roda feris ni. Bila kita akan sampai ke bawah, Sophia?”

Sophia memandang Heris. Sekejap kemudian dia tersenyum.

“Heris, awak takut pada ketinggian ke? Kenapa ajak saya naik kalau awak sendiri takut?”

“Saya tak takut pada ketinggian. Saya cuma tak yakin kita boleh tergantung begini. Cuba awak bayangkan kalau tiba-tiba ia terputus dan kita akan mati terhempas ke bawah. Masa tu kita dah tak boleh selamatkan diri lagi.” Heris memberi alasan. Dia tidak mahu kelemahannya dilihat oleh Sophia.

“Jadi lepas ni kita jangan naik roda feris lagi.”

“Eh, tidak… kalau awak nak kita boleh naik lagi. Saya tak kisah. Kalau kita terhempas pun saya akan lindungi awak.”

Sophia memandang wajah Heris. Ada satu perasaan bila memandang wajah itu. Tenang dan selamat. Dia suka berada dekat dengan Heris. Entah kenapa tapi dia rasa dilindungi walaupun Heris tidak melakukan apa-apa terhadap dirinya.

“Kita dah sampai,” ujar Sophia tatkala pintu terbuka.

Heris cepat-cepat bangun bila penjaga pintu itu memandangnya dengan pelik kerana dia sedang duduk di atas lantai. Dia dan Sophia berjalan cepat beredar dari situ.

“Heris, tunggu.”

Sophia berhenti. Kakinya sudah melecet dan ini membuatkannya terasa sakit bila berjalan laju. Dia duduk mencangkung. Tangannya masih di paut Heris.

“Kenapa? Awak tak biasa pakai high heel ye?”

“Ya, saya selalu pakai kasut sport memandangkan kerja saya yang memerlukan saya bergerak pantas.”

“Jadi awak tak boleh berjalan lagi. So, macamana? Nak saya dukung?”

“Ish, tak naklah.” Sophia menolak.

“Habis tu, nak duduk di sini terus?”

“Tak nak juga.” Cadangan Heris seolah-olah tiada pilihan baginya selain menerima cadangan pertama Heris tadi.

“Habis tu apa yang awak nak?”

Sophia menggigit hujung jari kelingking. Dia berfikir sejenak. Tiba-tiba dia memikirkan satu idea gila.

“Awak nak buat apa?” tanya Heris bila melihat Sophia sedang menanggalkan kasut dan berdiri dengan berkaki ayam.

“Kaki saya tak sakit lagi kalau tanggalkan kasut ni.”

“Biar betul? Awak nak berkaki ayam?” Heris pelik. “Kan lebih baik saya dukung dan bawa ke mana awak nak pergi.”

“Saya lebih rela berkaki ayam. Kalau awak tidak kisah, sudikah kalau awak temankan saya?” Sophia memujuk Heris agar menemaninya melakukan perkara yang sama.

Heris berfikir sejenak. Ini kerja gila. Berkaki ayam di tempat awam. Memang gila!

“Sophia!”

Belum sempat Heris mengambil keputusan Sophia sudah berlari meninggalkannya menuju ke pelantar air pancut yang tidak jauh dari situ. Batu marmar hitam seluas gelanggang badminton itu akan mengeluarkan pelbagai bentuk air pancut yang berubah-ubah dari atas lantainya. Sophia berlari-lari anak di atas lantai marmar itu. Heris yang melihatnya segara mendapatkan Sophia.

“Sophia, basah nanti. Cepat turun,” arah Heris.

Sophia yang melihat Heris di luar kawasan air pancut cuma tersengih. Dia mendekati Heris yang berdiri berdekatan air yang bertakung di sekeliling lantai marmar tersebut. Dia membongkok dan menadah air dengan tangannya. Sebentar kemudian wajah Heris basah kerana disimbah air dengan Sophia. Sophia ketawa panjang dan Heris pula bengang. Masa untuk melakukan pembalasan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience