Chapter 21

Humor Completed 22614

BAB 21

PETANG yang redup itu membawa Nia mengunjungi kediaman keluarga Kruger. Kehadirannya pada petang itu disambut oleh Frida Fernanda, isteri kepada Dr. Marcus Kruger. Dr. Marcus Kruger masih belum pulang dari hospital Mercient. Sementara menanti kepulangannya, Frida Fernanda mengajak Nia ke halaman di belakang rumah agam tersebut untuk minum petang bersama.

“Macam mana dengan cuaca di Houston Milan? Masih sejuk?”

“Sangat sejuk. Nia tidak kemana-mana pun, Auntie Frida.”

“Seminggu mana sempat nak kemana-mana. Lagipun Nia ke sana atas urusan kerja.”

“Sayang juga bila tak sempat nak kemana-mana, Auntie. Nia ingat suatu hari nanti Nia nak bercuti ke sana. Nak shopping sepuas-puasnya. Auntie ikut Nia sekali nak?” Usul gadis tersebut. Wajahnya begitu teruja membayangkan percutian itu nanti.

“Auntie teringin nak bercuti tapi tengoklah macam mana nanti. Uncle awak tu asyik sibuk sentiasa. Mana ada masa nak bercuti.” Sebagai suri rumah sepenuh masa, frida mengharapkan suaminya meluangkan masa untuk berehat sebenarnya.

“Auntie jangan risau. Biar Nia yang pujuk uncle tu nanti.”

Frida hanya tersenyum mendengarkannya. Dia gembira dengan kehadiran Nia yang dianggap sebagai anak sendiri. Maklumlah, dia tidak mempunyai anak gadis.

“Oh, ya… mana Jerry? Tak nampak pun sejak tadi.”

“Ada di dalam. Dia kalau dah melekat di depan tv memang tak hirau sesiapa. Lebih-lebih lagi bila tengok anime kegemarannya. Makan pun boleh lupa.”

“Uncle tak bising ke dia asyik tengok tv?”

“Mahunya tidak. Macam mana dia marahkan Heris dan Alex dulu, macam itulah dia ajar Jerry juga. Macam Alex, dia dengar kata. Heris pula degil sikit. Nia tahu bukan perangainya? Sampai ke Jerry, asyik nak beri alasan saja. Dengan Heris sahaja dia takut sebab Heris garang dengan adiknya,” cerita Frida Fernanda.

“Heris yang gila tu Jerry takut? Nia tak fahamlah sampai bila Heris tu nak berubah.” Ada tawa yang muncul di hujung kata-kata Nia.

“Memang itulah dia yang kita nampak. Dia tak akan berubah. Cuma auntie harap dia akan panggil auntie ‘mama’ suatu hari nanti.”

Nia memandang wajah Frida Fernanda. Wanita itu nampak tabah dan sabar berada dalam keluarga Kruger. Dia rela menjadi wanita kedua di sisi Dr. Marcus Kruger walaupun ramai yang mengkritik tindakannya yang berkahwin dengan bekas majikan sendiri.

“Bila uncle nak pulang. Dah lewat ni.” Nia menukar tajuk perbualan.

“On the way lah tu. Uncle kau tu memang begitu. Mesti dia lupa yang dia suruh Nia datang petang ini,” balas Frida.

“Kenapa uncle suruh Nia datang petang ini? Uncle ada sesuatu nak bincang dengan Nia kah?” tanya Nia.

“Mungkin. Auntie pun tak pasti apa perkara yang dia nak bincangkan dengan Nia… Oh ya, hari ini Nia makan malam di sini, ya.”

“Hari ini?” nadanya seakan mahu menolak.

“Sekali-sekala apa salahnya. Lagipun hari ini kami sekeluarga berkumpul.” Wajah Frida Fernanda begitu gembira sekali apabila Heris akan membawa isterinya makan malam bersama keluarganya malam ini. Tidak sabar rasanya dia mahu menyambut menantu barunya hari ini.

“Tapi hari ini tak bolehlah, Auntie. Nia dah janji dengan Abang Andrew nak dinner bersama.” Nia memberi alasan palsu.

“Kalau macam tu ajak Andrew sekali ke sini.” Frida memberikan cadangan.

“Maaflah auntie tapi sebenarnya Nia kena temankan abang jumpa clien di Priston Valley. Nia janji lain kali kami akan makan malam di sini, ya,” Nia tahu dia telah mengecewakan Frida tapi buat masa ini marahnya terhadap Heris belum surut lagi. Dia tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu.

“Sebenarnya Nia masih marah pada Heris, ya?” Frida Fernanda menduga yang gadis itu sebenarnya mahu mengelak dari bersemuka dengan Heris.

“Eh, mana ada. Marah apa pula ni?” Nia cuba berdalih. Bijak pula wanita ini membaca fikiran ku… hati Nia berbisik sendiri.

“Auntie tahu. Nia kecil hati dengan sikap Heris.”

“Auntie ni pandai-pandai saja. Nia dan Heris tak ada apa-apalah. Nia tak marah dia.” Nia menidakkan kata-kata Frida Fernanda.

“Dari lenggok nafas dan butir bicara kamu, kami berdua tidak silap, Nia.”

Suara garau yang mencelah di antara perbualan Nia Andrea dan Frida Fernanda menarik perhatian. Nia bangun dan menoleh kepada Dr. Marcus Kruger.

“Uncle…”

Nia menyapa Dr. Marcus Kruger dan memeluk lelaki lebih separuh abad itu yang sudah seperti ayahnya sendiri. Mereka berdua duduk sejurus kemudian. Frida Fernanda mengucup suaminya yang baru pulang dari hospital.

“Alex tak pulang bersama awak?” tanya Frida sebaik mereka kembali duduk.

“Ada. Dia terus masuk mencari Jerry sebaik turun dari kereta tadi.”

“Mereka berdua telah menjadi rapat?” tanya Nia cuba mengambil tahu.

“Tentu ada sebab lain kenapa Alex mencari Jerry. Apa pula yang dilakukan oleh budak itu kali ini?” Dr. Marcus Kruger bagai dapat membaca tindakan anak-anaknya.

“Awak ni suka mengusutkan kepala. Anggap saja Jerry tak buat apa-apa dan Alex cuma mahu bergaul mesra dengan adiknya,” ujar Frida Fernanda.

“Saya harap dia tidak seteruk Heris yang selalu memeningkan kepala saya.”

“Sayang…”

“Saya masih marah dengan tindakan bodoh yang telah dia lakukan itu dan uncle tahu Nia juga marah padanya, bukan?”

Mata Marcus tepat merenung Nia. Nia tertunduk.

“Nia tahu Nia tak boleh tipu… memang Nia marah padanya, uncle.. auntie.” Akhirnya Nia mengaku.

“Uncle minta maaf di atas kebodohan anak uncle tu. Sepanjang Nia mengenalinya tentu Nia tahu bagaimana perangainya, bukan?”

“Tentu sekali, uncle. Dia tu si bodoh yang suka buat tindakan melulu,” jawab Nia dalam nada geramnya.

“Uncle juga marah dengan perkahwinan mengejutnya itu. Jika dia masih seusia Jerry, tentu sekali uncle tangan-tangankan dia.” Dr. Marcus Kruger menyuarakan rasa marahnya di hadapan Nia Andrea dan Frida Fernanda.

“Nia harap dia buat tindakan yang tepat walaupun melulu… tapi Nia tetap tak dapat maafkannya kerana tidak memberitahu Nia hal perkahwinannya. Uncle dan auntie tahu, Nia dapat berita tersebut dari orang lain. Tentulah Nia sangat marah.” Giliran Nia pula meluahkan rasa hatinya yang tidak puas hati terhadap Heris.

Frida Fernanda tidak bersuara dan hanya mendengar luahan hati kedua-dua mereka. Dia tersenyum tipis. Heris, kau benar-bemar membuatkan mereka berdua marah. Walaupun mereka berdua sangat marah tapi sebenarnya mereka berdua tetap mendoakan kau bahagia dengan gadis pilihan kau. Akhirnya kau orang pertama yang membawa menantu untuk keluarga ini.

“Dia sudah dewasa tetapi uncle tidak fikir yang pemikirannya telah matang. Selagi tidak diberi pengajaran dia tidak akan sedar diri…”

“Awak nak buat apa pada Heris?” tanya Frida Fernanda tatkala mendengar yang Marcus mahu melakukan sesuatu terhadap anaknya.

“Uncle nak Nia sentiasa berada di sisinya. Jika sesuatu berlaku… tolonglah berada di sisinya. Jadi janganlah putuskan hubungan kalian walaupun Heris telah berumahtangga sekarang.”

Permintaan Dr. Marcus itu membuatkan Frida Fernanda berasa lega. Sangkanya Dr. Marcus cuba hendak melakukan sesuatu untuk memberi pengajaran kepada Heris.

“Bolehkah Nia lakukan ini untuk uncle?”

Nia merenung anak mata Dr. Marcus. Lelaki itu nampak keras dan tegas tetapi sebenarnya sangat sayangkan anak-anaknya. Nia tahu apa yang patut dilakukannya sebagai seorang sahabat. Lagipun Dr. Marcus bukan orang lain. Lelaki itu telah banyak berbudi padanya sekeluarga selama ini. Permintaan yang kecil ini tidak akan ditolaknya.

“Uncle, Nia tak berani nak terima permintaan uncle… tapi Nia tidak akan tolak. Nia akan menjadi sahabatnya sampai bila-bila.”

Dr. Marcus Kruger dan Frida fernanda tersenyum mendengar jawapan Nia Andrea.

“Kami tidak kenal siapa Sophia. Uncle harap dia perempuan yang baik tapi jika sebaliknya yang berlaku biarlah ia menjadi pengajaran buat Heris. Dia akan belajar sesuatu yang penting setelah berumah tangga. Uncle harap dia akan lebih matang.”

Matahari petang mengintai ruang untuk singgah di antara mereka bertiga. Nia tidak tahu apa penderitaan yang tersirat di lubuk hati kedua pasangan suami isteri itu. Wanita berambut perang separas bahu itu sedang menanti ungkapan ‘mama’ dari mulut Heris. Manakala lelaki yang bergelar pakar jantung yang disegani itu tidak mahu berada di sisi anaknya walaupun itu yang mahu dilakukan olehnya sebenarnya.

*************

ALEX berdiri di hadapan peti televisyen dan merenung Jerry. Wajah Jerry berkerut dan memandang Alex dengan perasaan tidak puas hati kerana Alex telah mengganggunya yang sedang menonton televisyen.

“Abang Alex, boleh tolong ke tepi. Jerry tengah tonton tv,” pinta Jerry dengan sopan.

“Kita berbincang sesuatu dahulu kemudian Jerry boleh sambung tonton tv.” Alex bertindak dengan mematikan siaran televisyen.

“Ala, tak nak. Jerry nak tengok tv. Hari ini ada perlawanan yang penting di antara Devil Bat dengan White Knight.” Jerry bertindak menekan semula butang pada remote control.

“Abang tak pernah dengar pun nama pasukan yang Jerry sebut.” Wajah Alex berkerut-kerut memikirkan nama-nama pasukan yang disebut oleh Jerry.

“Tentulah, ia bukan pasukan bola sepak realiti,” jelas si adik.

“Maksudnya kartun… lupakan saja, Jerry tengok siaran ulangannya nanti.”

Alex mematikan semula televisyen tersebut. Jerry merungut lagi.

“Ini lebih penting daripada kartun…”

“Bukan kartunlah. Berapa kali Jerry nak cakap, ia anime.”

“Apa-apa sajalah… yang pasti abang dah tahu siapa Tomoli.”

Jerry telan liur apabila mendengar nama Tomoli.

“Habis tu?” Jerry berlagak biasa. Menutup perasaan takutnya.

“Jerry ada pilihan samada nak abang beritahu ayah atau abang Heris.”

“Apa yang abang buat? Kenapa siasat hal Jerry di sekolah?” nada suara anak remaja itu seakan tidak puas hati apabila gerak-gerinya di kawal oleh abangnya.

“Mama yang suruh dan abang sendiri curiga dengan luka di lengan Jerry tempoh hari.”

Alex mengambil tempat di sofa di belakang Jerry. Jerry segera bangkit dan mengambil tempat di sisi Alex.

“Abang dah beritahu mama?” wajah Jerry cuak. Takut benar jika berita itu sampai ke telinga ibunya.

“Belum lagi tapi dia akan tahu nanti.”

“Jangan… Jangan beritahu dia. Matilah Jerry nanti. Abang Alex tolong jangan beritahu sesiapa, please,” rayu Jerry sambil memegang lengan abangnya.

Alex tersenyum sinis dan mengerling kepada adik bongsunya. Takut rupanya.

“Boleh tapi ada syaratnya.”

Wajah Jerry berubah tatkala mendengar ada syarat yang dikenakan oleh Alex. Sengaja nak susahkan aku. Jahat betul abang sulung aku. Rungut Jerry.

“Abang akan suruh Martin jadi pengawal Jerry. Jerry jangan nak buat hal macam dulu lagi. Biar Martin melindungi Jerry.”

‘Apa? Pengawal… Ia sesuatu yang teruk dan merimaskan. Aku tidak boleh bebas jika ada seorang pengawal di sisi. Ia syarat yang teruk.’

“Bangkangan…Jerry tak nak pengawal. Berilah syarat yang lain.”

“Permintaan ditolak. Keputusan muktamad.”

Alex bangun mahu meninggalkan Jerry.

“Abang Alex, tolonglah… Jerry tak nak pengawal. Lagipun Martin tu bermuka kaku dan membosankan.” Jerry berusaha memujuk Alex.

“Jangan nak jatuhkan air muka ayah! Apa yang boleh Jerry buat kalau Tomoli tu ganggu Jerry lagi?” tegas Alex.

“Sebenarnya Jerry ada rancangan yang hebat.”

Alex memandang sinis wajah adiknya. Dia mula berasa meluat apabila si adik itu cuba mencari helah bodoh lagi.

“Gunakan pengawal bukan idea yang bijak. Rahsia Jerry selaku tuan muda dalam keluarga Kruger juga akan terbongkar dengan cara abang. Matilah Jerry kalau Tomoli tahu Jerry ni anak orang kaya yang berpengaruh di Lisberg.”

Alex memikirkan alasan yang diberikan oleh Jerry. Ada benarnya. Identiti Jerry di Kyushin Boy School tidak diketahui oleh sesiapa kecuali pengetua sekolah tersebut. Jika identiti Jerry diketahui akan berlaku layanan yang membezakan status terhadapnya memandangkan ia sekolah biasa dan bukan sekolah elit. Terlintas di benak Alex mengapa Jerry dimasukkan ke sekolah itu? Alex berasa ia tidak adil namun hanya menyedapkan hati dengan berkata “Mungkin ayah nak ajar Jerry supaya tidak buta dengan kekayaan yang dimiliki keluarga.”

“Lagipun Jerry tak nak susahkan sesiapa. Jerry ada cara sendiri nak kenakan Tomoli tu.” Jerry cuba meyakinkan Alex.

“Jerry nak buat apa?” soalnya.

“Jerry nak perangkap dia. Abang tengoklah nanti betapa pandainya adik abang ni.” Jerry mendabik dada.

Alex memandangnya sinis. Dia masih tidak dapat mempercayai kata-kata adiknya.

“Kalau macam tu Martin akan menyamar dan jaga Jerry dari jauh.”

“Abang…” Jerry mengeluh kecewa dengan keputusan Alex.

“Jangan nak melawan. Abang tak suka orang buli adik abang.”

Alex berlalu pergi dan tidak menghiraukan omelan adiknya. Jerry hanya bersungut di belakang Alex. Wajahnya mencuka. Tangannya diangkat seakan-akan mahu mencekik Alex dari belakang. Alex lenyap dari pandangan Jerry. Jerry membuka semula siaran televisyen dan menyambung menontonnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience