Chapter 43

Humor Completed 22614

Bab 43

MATA Ivan terbelalak setelah menyedari apa yang telah dilakukannya sebentar tadi. Dia menggoyang-goyang dan menekan-nekan tubuh tetikus itu beberapa kali. Namun bak kata pepatah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata membawa padah dan begitu jugalah kata-kata yang sudah diutus tidak boleh kembali semula kepada pengirimnya.

Satu perasaan bersalah muncul di sanubarinya. Apa yang telah aku lakukan? Ketidakwarasan akal berfikir telah dikuasai oleh hati yang sedang sakit. Ivan sedar dia telah melakukan suatu perkara yang tidak sepatutnya. Dia cuba membetulkan kesilapannya. Dia menghantar satu lagi e-mail kepada Sophia bagi menjelaskan keadaan sebenar. Dia berharap Sophia terus memadam e-mail pertama yang dihantarnya tadi.

Komputer riba berwarna hitam itu ditutup dan disimpan semula ke dalam begnya. Ivan bangkit dan duduk bersandar di sofa. Wajahnya diraup dengan kedua telapak tangannya. Hatinya masih berdebar. Bermacam-macam kemungkinan berlegar di mindanya. Semuanya perkara yang negatif. Dia jadi tidak tenteram dengan situasinya sekarang.

Ivan menuju ke ruang dapur mendekati peti sejuk. Dia mengambil botol air mineral dan menuang air tersebut ke dalam gelas sehingga penuh. Dia gesa-gesa meneguk air jernih itu hingga ke titisan terakhir. Air tersebut masih belum mampu meredakan hatinya. Dia membuka pula paip di sinki. Wajahnya dibasahkan dengan air beberapa kali. ‘Apa kena dengan kau, Ivan?! Bangun…! Kau perlu sedar daripada mimpi. Sophia bukan milik kau lagi. Tak guna…!’ Ivan menjerit sendiri di dalam hatinya.

Dia meraup wajahnya yang basah. Rambutnya ditolak ke belakang. Dia berjalan semula ke ruang depan. Gugusan kunci di atas meja dicapainya dan dengan segera dia keluar dari rumahnya. Dia meninggalkan pangsapurinya dengan menaiki keretanya. Kemana destinasinya masih belum ditetapkan tetapi dia terus memandu mengikut alur jalan yang lurus itu.

Telefon bimbitnya ditatap sekejap. Perlukah aku mencari seorang teman di saat begini? Tidak. Aku boleh selesaikan sendiri masalah aku. Telefon tidak bernyawa itu dicampak ke tempat duduk sebelah. Ivan terus memandu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk singgah ke Coral Sand Beach. Ivan memandang lagi telefon bimbit yang seakan menggamitnya itu. Ivan mencapai telefon berkenaan. Dia terasa memerlukan seseorang. Sendirian mampu membawanya berfikir tentang seseorang. Jadi dia perlu seseorang yang mampu menenangkan perasaannya itu.

Punat telefon ditekan-tekan dengan jarinya. Dia mencari nama Naliz. Dia mahu menghubungi sahabatnya itu tetapi tiba-tiba dia nampak nama Nia di bawah nama Naliz. Dia terfikir sesuatu. Adakah dia patut mencari Nia? Betulkah tindakannya jika Nia yang dihubunginya? Kemunculan Nia yang drastik dalam hidupnya bagaikan penyelamatnya dari tersesat jauh. Walaupun pada mulanya dia berasa rimas dengan telatah Nia tetapi sedikit sebanyak hatinya tetap terubat dengan cara itu. Walaupun tidak sembuh sepenuhnya namun diam-diam senyumnya muncul di belakang Nia.

Ivan tidak jadi menghubungi Naliz tetapi menghubungi Nia.

“Hello…” Suara wanita itu muncul masuk ke telinga Ivan.

Ivan tidak menjawab. Dia diam. Tiba-tiba hatinya serba salah untuk bercakap dengan Nia.

“Hello…Hello… awak nak bercakap atau tidak? Siapa ni?”

Ivan membuka mulut tetapi suaranya seakan enggan untuk keluar. Terfikir yang egonya akan jatuh jika bercakap dengan gadis tersebut kerana sebelum ini dia enggan melayan Nia.

“Ivan?”

Terasa segumpal darah merah memancut naik ke atas kepalanya. Nia berjaya meneka walaupun Ivan tidak bersuara.

“Kenapa tak nak cakap? Jadi betullah awak Ivan? Awak dimana ni?”

“Coral Sand Beach.” Bagaikan ada satu kuasa yang memuntahkan suara Ivan.

Sepatah perkataan daripada Ivan tadi menyebabkan Ivan terus mematikan talian. Dia mencampakkan telefon bimbitnya ke tempat duduk sebelah lalu keluar dari keretanya. Dia berjalan di pesisir pantai sebelum duduk di satu kawasan rata di atas pasir pantai tersebut.

Tidak lama kemudian Nia sampai di tempat yang sama dengan Ivan. Gadis itu berlari-lari anak mencari Ivan di sekitar pantai tersebut. Dia yakin Ivan di situ setelah mendapati kereta Ivan juga ada di situ. Beberapa lampu neon yang menerangi kawasan itu memudahkan Nia menjejaki Ivan. Langkahnya terhenti tatkala melihat seorang lelaki berkemeja putih duduk menghadap ke pantai. Lengan bajunya disinsing sampai ke paras siku. Jelas nampak garis-garis kedut pada bahagian bawah baju yang selalu dikemaskan masuk ke dalam seluar.

Hanya selapis baju sahaja yang membaluti tubuh lelaki itu. Tidak sejukkah dia dalam suhu di bawah 15°C begini? Nia berjalan mendekati Ivan. Dia duduk berlutut di sebelah Ivan. Tangannya menyentuh bahu Ivan yang seperti tidak sedar akan kehadirannya.

“Awak buat apa tengah-tengah malam di pantai ni? Tak sejuk ke?”

Ivan menoleh pada suara yang sangat dekat itu. Dia memandang Nia.

“Awak baru balik dari office kah?” Soalan demi soalan diajukan oleh gadis itu.

Ivan masih tidak menjawab soalan-soalan Nia.

“Kenapa ni? Cakaplah… awak ada masalah?” Nia masih belum putus asa bertanya.

“Boleh saya pinjam bahu awak untuk 5 minit?” Ivan memaut jari-jari Nia.

“Apa?” Nia terkejut dengan permintaan Ivan. “Awak ni kenapa? Nak anggap saya sebagai Sophia pula ke? Hei, saya Nia lah, Ivan.” Nia berasa tidak puas hati dengan sikap Ivan yang berubah pada malam itu. Dimana Ivan yang dingin dan tidak mahu didekati itu? Kenapa dengan Ivan malam ini? Nia tertanya-tanya sendiri.

“Saya cuma perlukan 5 minit dan masalah saya akan selesai selepas itu.”

kepala Ivan jatuh ke bahu Nia. Nia tergamam. Apa yang harus dilakukannya? Ivan berbeza pada malam ini. Dia tentu memerlukan seseorang pada waktu ini. Hari ini adalah kali pertama dia dihubungi oleh Ivan. Ivan tidak mungkin menghubunginya tanpa sebab. Walaupun hanya sepatah perkataan yang muncul ketika bertubi-tubi soalan diajukan oleh Nia tetapi Nia tahu itu ialah Ivan. Melihat keadaan Ivan malam ini, benarlah yang pemuda itu memerlukannya malam ini.

“Saya masih boleh bertahan pada waktu siang… tapi apabila malam…”

Ivan tidak meneruskan kata-katanya. Nia merangkul tubuh Ivan. Dia dapat melihat kesengsaraan di wajah Ivan. Dia tidak dapat menahan rasa hatinya untuk menangis. Tangisan itu bukan setakat tangisan simpati tetapi juga tangisan yang membawa pada ikatan yang diam-diam cuba untuk disimpul.

“Badan awak sangat dingin,” ujar Nia.

“Dingin? Saya tak dapat rasakannya lagi.”

“Awak akan sakit dengan hanya selapis baju. Apa kata kita balik atau ke café untuk dapatkan minuman panas. Mungkin sedikit makanan juga jika awak lapar.”

“Saya tak perlukan semua itu. Bolehkah awak biar saya pinjam bahu awak sahaja. Saya tak nak apa-apa lagi.”

“Baik, saya faham. Awak boleh peluk saya kalau itu dapat menenangkan jiwa awak.”

“Terima kasih.”

Ivan terus mendakap tubuh Nia. Matanya dipejam rapat. Dia mencari ketenangan dalam dakapan hangat Nia. Nia mengelus-ngelus belakang Ivan. Dia harap dapat membantu Ivan menangani masalah. Jika hanya dengan dakapan itu bisa membantu Ivan untuk menghadapi masalahnya, Nia gembira melakukannya. Jika bukanlah niat Ivan untuk bertindak sedemikian, dia tetap rasa dirinya semakin dihargai oleh lelaki itu. Minit-minit yang berlalu tidak dirasakannya. Dia tidak kisah jika waktu 5 minit itu sudah berlalu. Dia tidak kisah dipeluk Ivan lama sedikit… atau lebih lama lagi.

“Nia…”

Ivan meleraikan dakapannya. Dia memandang Nia.

“Saya dah okey.” Secebis senyuman muncul di bibir Ivan.

Nia dapat melihatnya. Dia membalas senyuman itu tapi entah kenapa senyuman itu ukirannya tidak berapa cantik. Namun Nia tidak kisah. Asalkan Ivan tenang dan gembira semula, dia akan turut sama gembira.

“Awak dah okey?”

Ivan mengangguk. “Saya tahu apa yang patut saya buat sekarang.”

“Awak sudah tahu cara nak selesaikan masalah awak?”

“Ya, awak banyak membantu. Terima kasih.” Ivan mengucapkan terima kasih kepada Nia.

Dia bangun. Nia juga turut bangun.

“Awak bagaikan utusan dari langit yang datang membantu saya setiap kali dalam kesusahan.”

“Ha?” Nia sedikit keliru dengan kata-kata Ivan.

“Saya tahu bunyinya pelik sebab ia keluar dari mulut saya… tapi saya betul-betul nak berterima kasih pada awak,” sambung Ivan lagi sebelum berlalu pergi.

Nia masih terpinga-pinga lagi. Dia sekadar memandang belakang Ivan. Ivan menoleh ke belakang setelah beberapa langkah berjalan.

“Awak tak nak balik?”

Nia tersenyum lantas berlari mendapatkan Ivan. Mereka berdua berjalan beriringan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience