Chapter 71

Humor Completed 22614

Bab 71

SOPHIA nekad. Dia akan tamatkan segalanya hari ini. Selagi dia masih terikat dengan Heris dia tidak boleh hidup bebas. Dia memandu ke Paradise Shine untuk menemui Heris. Namun sesampai di rumah putih itu Heris tiada. Sophia mengambil keputusan untuk menunggu Heris. Lelaki itu tentu akan pulang. Dia tidak mahu menangguhkan urusan penceraian mereka. Dia akan selesaikannya hari ini juga.

Dengan menggunakan kunci baru yang diberi oleh Heris, Sophia masuk ke dalam rumah. Dokumen penceraian yang di bawanya diletak di atas meja. Dia meninjau keadaan rumahnya yang telah ditinggalkannya selama beberapa bulan itu. Keadaannya berbeza. Kedudukan perabotnya masih kekal seperti dahulu cuma semuanya ditutup dengan kain putih. Ia seperti tidak dihuni lagi. Lantai yang dipijaknya juga berhabuk. Lelaki yang bernama Heris Kruger itu sangat cerewet dalam bab kebersihan. Lantai ini tidak sepatutnya kotor jika ia dihuni oleh suaminya itu. Sophia mula berasa sesuatu… Heris tidak tinggal di rumah ini.

Sophia membuka pintu gelongsor dan serta merta bayu laut menerpa ke arahnya.Dia berjalan ke beranda di ruang sebelah kiri. Dia mendapati pokok kaktus yang ditanamnya di dalam pasu masih disitu. Dia tersenyum melihat pokok kaktusnya yang semakin membesar. Dia teringat sesuatu yang pernah disembunyikan di bawah alas kaki di bawah pasu pokok kaktus itu. Lantas diangkatnya pasu dan alas kaki tersebut untuk melihatnya.

Kesan cat yang membentuk beberapa perkataan yang terbalik masih seperti sediakala. Senyuman yang terukir di bibir Sophia seakan menggamit kenangan silam. Ia berlaku ketika mereka berdua sama-sama mahu mengecat rumah. Mereka berdua bertekak untuk mengecat dengan warna pilihan masing-masing. Akhirnya Jerry muncul dan memutuskan warna putih sebagai pilihan. Sophia geram dengan Heris ketika itu kerana terlalu cerewet ketika mereka hias rumah. Sophia yang menjadi mangsa melakukan itu dan ini. Ketika mengecat ruang luar rumah Sophia menconteng belakang baju Heris dengan perkataan ‘Mamoru Manggis Kelat’. Heris tidak suka dengan gelaran tersebut pada mulanya. Lebih-lebih lagi nama ‘Manggis Kelat’ yang diberikan oleh datuknya itu. Heris baring di atas lantai setelah siap mengecat dan tanpa disedarinya kesan cat yang belum kering di belakang bajunya melekat di atas lantai. Takut dimarahi Heris, Sophia bertindak menutup kesan cat tersebut dengan alas kaki dan meletakkan pasu bunga di situ.

Sophia menyentuh cat putih yang telah lama kering itu. Jika Heris melihat kesan cat itu entah dia akan marah atau ketawa. Sophia menutup semula lantai itu dan meletakkan pasu seperti keadaan asalnya. Dia beredar masuk semula ke dalam rumah. Sophia menoleh ke ruang dinding yang menempatkan lukisan yang dihadiahi oleh ibunya. Potret tersebut umpama dunia fantasi yang muncul seketika. Betapa indahnya fantasi itu pun ia tetap telah menjadi sebuah kenangan. Sebulan yang bahagia itu tidak akan boleh kembali. Itulah sebulan yang paling lama dan meninggalkan kesan dalam hidup Sophia.

Langkah diteruskan menuju ke dapur. Seperti ada skrin masa, Sophia nampak dapur yang berasap-asap. Heris muncul dan menarik Sophia ke belakang. Api ditutup dan tingkap dibuka luas. Ikan yang digorengnya hampir rentung ketika itu. Jika tiada Heris, bukan setakat ikan malah dia juga akan turut rentung ketika itu. Kasihan Heris. Akhirnya hanya menjamah salad dan jus sahaja untuk makan tengah hari ketika itu.

Sophia keluar dari dapur dan menuju ke ruang tengah semula. Sempat dia menoleh ke meja makan yang menjadi ruang makan mereka bersama. Dia teringat ketika dia memanjat meja dan menarik baju Heris. Lagaknya seperti gangster yang mahu membelasah orang. Memang dia marah pada Heris ketika itu kerana lelaki itu mencuri makanan dari pinggan makannya ketika dia ke dapur. Tapi marahnya segera reda dengan kuasa senyuman Heris. Sophia memang lemah pabila melihat senyuman Heris yang cukup memikat. Heris mengucup bibirnya dan menyuap makanan ke mulutnya.

Sophia terus mendaki tangga dan tidak mahu mengenang lagi peristiwa tersebut. Dia masuk ke dalam bilik. Sebahagian pakaiannya masih tergantung kemas di dalam almari. Dikeluarkannya tapi tidak semua. Pakaian-pakaian itu diletakkan di atas katil. Dia terpandang bingkai gambar perkahwinannya yang masih diam tergantung di dinding di atas katil. Dia merenungnya. Ada kesan retak kecil di permukaan cerminnya. Dia teringat itu kesan balingan cincinnya dulu. ‘Cincin perkahwinan… lelaki itu terus memakainya sedangkan aku tidak. Dia masih berharap aku kembali ke pangkuannya. Dia masih mahu mengekalkan ikatan ini. Adakah dia benar-benar menyintai aku?’

Sophia membuka laci meja solek. Cincin perkahwinannya masih berada di situ. Tiada tanda-tanda yang ia pernah diusik. Mungkin Heris tidak tahu yang dia menyimpan cincinnya di situ.

Sebelum turun Sophia ke bilik air. Di bilik air dia terpandang tab mandi dan dia teringat pula setiap kali dia mandi bersama Heris di situ. Heris suka menggosok belakang tubuhnya sambil bercerita tentang muzik. Kadang kala mereka akan menyanyi bersama-sama. Cara Heris bercerita selalu menimbulkan minat Sophia untuk terus mendengarnya. Secara tidak langsung kini Sophia mula meminati muzik.

Sophia tersentak dari lamunan. Dia segera keluar dari bilik air itu lantas mengambil pakaiannya di atas katil sebelum cepat-cepat beredar. Semakin lama dia berada di rumah tersebut semakin banyak memori diantaranya bersama Heris yang muncul. Dia pernah berjanji pada dirinya untuk memulakan hidup baru dan meninggalkan semua memori lalu. Dia tidak boleh berpatah balik jika mahu barjaya melakukannya. Pintu dikunci semula dari luar. Sophia berjalan menuju ke keretanya di luar pagar. Ekor matanya terlihat tiang jaring bola keranjang yang didirikannya bersama Heris. Di situlah tempat dia ditewaskan oleh Heris dengan cara yang kotor. Suara Heris ketawa kerana telah berjaya menewaskannya terngiang-ngiang di copeng telinganya.

Sophia berjalan pantas dan menutup telinganya. Dia tidak mahu menoleh ke kawasan itu. Dia masuk ke dalam kereta dan menutup pintu dengan rapat. Pakaian dan dokumen yang di bawanya tadi diletak di tempat duduk belakang. Dia menghidupkan enjin kereta tapi dia tidak dapat terus pergi. Dia menoleh ke tempat duduk sebelah. Air matanya bergenang. Kenangan Heris muncul lagi di ruangan mata. Dia nampak Heris yang pertama kali cuba memikatnya. Lelaki itu sangat berani mengekorinya sehingga ke dalam kereta dan mengucapkan kalimah cinta dengan sewenang-wenangnya ketika itu. Walaupun tindakan Heris agak gila namun akhirnya perasaan Sophia berubah apabila Heris berjaya menenangkannya yang sedang menghadapi penyakitnya ketika itu.

Sophia tidak dapat bertahan dan keluar dari kereta. Dia berlari jauh-jauh sampai di kawasan pantai. Dia tercungap-cungap dan menghadap ke laut luas. Air mata yang bergenang sudah lama luruh jatuh ke bumi. Raungannya bergema syahdu.

“Aaahhh...!!” Sophia menjerit beberapa kali dengan sekuat hati.

“Heris… aku benci kau!!” Sophia sedang melepaskan apa yang terbuku di hatinya.

“Tidak… sebenarnya aku sangat cintakan kau… Mamoorruuu… aku cinta padamu!!”

Itulah sebenarnya yang mahu diucapkan oleh Sophia. Dia sering menafikannya tetapi akhirnya dia terpaksa meluahkannya biarpun dengan cara begitu. Dia sudah penat memendam perasaan. Kehadiran Heris dalam hidupnya sangat meninggalkan kesan di jiwanya.

Penat menjerit, Sophia berjalan menuju ke buaian yang dibina Heris di bawah pokok kayu di situ. Dia baring di situ sambil kepalanya dijatuhkan ke bahagian tepi buaian. Tiba-tiba dia bangun semula apabila ternampak sesuatu yang tergantung di tepi buaian itu. Dia mengambil seutas rantai berloket sebentuk cincin. Dia tahu ia milik siapa. Cincin perak bercorak unik itu milik Heris. Sophia mengeluarkannya dari rantai lantas menyarungkannya di jari telunjuknya.

“Kenapa Heris tinggalkannya di sini? Sekurang-kurangnya ia tak buang… tapi aku telah buang cincin yang sama malah aku tidak memakai cincin perkahwinan. Kenapa aku sanggup buat begitu? Aku tidak menghargai pemberiannya…”

Sophia berjalan meninggalkan kawasan itu. Dia sudah mahu balik. Dengan langkah yang tidak bermaya dia menuju ke keretanya, Velvet Esprada. Sophia masuk ke dalam perut kereta dan menghidupkan enjin keretanya. Tiba-tiba sesuatu yang tajam singgah di lehernya. Ada seseorang di belakangnya sedang menghunus pisau ke lehernya. Sophia cemas dan hampir menjerit.

“Diam dan jangan menjerit.” Satu suara garau muncul dari belakang.

Sophia sangat gementar dan takut. Namun dia tidak mampu untuk melawan. Pintu sebelah dibuka dan seorang lelaki masuk. Lelaki berkaca mata gelap itu duduk di sisinya. Sophia tidak tahu siapa kerana dia tidak berani menggerakkan kepalanya untuk menoleh. Terasa pisau di lehernya itu akan menembusi kulitnya pada bila-bila masa jika dia berani bergerak.

“Hello, Sophia… lama kita tidak bertemu.”

Suara itu seperti dikenali Sophia tapi dia sudah lupa. Lelaki itu menolak kaca matanya ke atas kepala dan merapatkan wajahnya ke muka Sophia.

“Aku rindukan kau, sayang. Jadi apa kata hari ini kita pergi bergembira.”

Mata Sophia terbelalak apabila nampak lelaki yang baru duduk di sebelahnya itu. Pemuda berambut pacak itu sedang ketawa melihat wajah Sophia yang ketakutan.

“Mike, apa cuba kau nak buat?” Lirih suara Sophia kerana ketakutan kerana pisau yang berada di lehernya. Orang yang menghunuskan pisau di belakang itu pasti orang suruhan Mike.

“Masa untuk bermain. Kau akan jadi milik aku hari ini.”

“Kau gila… le-lepaskan aku…”

“Ya, ya, ya… aku gila… aku gilakan kau Sophia Jasmine Luis Heartnett… jangan risau, aku akan pastikan kita bermain dengan gembira hari ini.” Mike tersenyum penuh sinis.

“Mike… tolonglah…”

“Kan aku dah kata jangan risau. Aku akan bawa kau ke suatu tempat yang istimewa… cepat pandu kereta ni. Aku akan tunjukkan kemana kita akan pergi.”

Air mata Sophia terasa mahu meleleh tapi ditahannya. Dia tidak bergerak untuk memandu seperti yang diarahkan oleh Mike. Mike berasa marah.

“Kau tunggu apa lagi?! cepat pandu kereta bodoh kau ni!” Tengking Mike.

Sophia tersentak lantas air matanya terus jatuh kerana terkejut.

“Ma… macam mana a-aku nak pandu? Pi… pi-pisau di leher aku.”

Barulah Mike menyedari perkara tersebut.

“Bodoh!” Mike memukul kepala orang suruhannya yang masih meletakkan mata pisau di leher Sophia. “Kau buat permaisuri aku ketakutan! Alihkan pisau tu!” arah Mike.

“Maaf, tuan.” Pisau segera dialihkan dari leher Sophia.

“Jangan menangis lagi, sayang… cepat pandu sekarang!” Suara Mike lembut pada mulanya tapi di keraskan di hujung kata-katanya.

Sophia menurut perintah. Dia mengesat air matanya dan memandu mengikut hala tuju yang ditetapkan oleh Mike. Sambil melihat jalan Sophia sempat mengerling cincin di jari telunjuknya. Dia teringat kepada Heris. ‘Heris… tolong saya… saya sangat takut… tolong selamatkan saya.’ Diam-diam Sophia menggenggam tangan yang tersarung cincin itu.

Mike membawa Sophia masuk ke dalam sebuah gudang. Sophia bertambah takut setelah masuk ke dalam gudang yang suram itu. Bukan sahaja kurang cahaya malah Sophia nampak dengan jelas bukan mereka bertiga sahaja di dalam gudang ini. Ada ramai lagi orang-orang suruhan Mike yang sedang menunggu ketibaan mereka.

“Mike, tolonglah jangan buat begini… apa salah aku pada kau?”

“Kau tak salah apa-apa. Bukankah aku dah cakap tadi? Aku nak berseronok sahaja…”

“Kau jangan nak main-main!” Sophia berasa marah apabila Mike mengulangi perkataan yang sama. Dia mahu memukul lelaki itu tapi tangannya terikat dan dikawal dengan ketat oleh pengawal Mike.

“Ha, ha, ha… kau tetap comel macam dulu apabila marah. Sayangnya sebab kau pernah buat aku sakit hati jadi muka kau yang cantik ni akan hancur sekejap lagi.”

Sophia telan liur. Kata-kata Mike telah menakutkannya. Apa yang dia nak buat pada aku? matilah aku… ‘Heris, tolong! Datanglah selamatkan aku!’ Sophia bertambah takut apabila orang-orang Mike mendekatinya. Lima orang semuanya tidak termasuk Mike. Semuanya bersut hitam dan berkaca mata gelap (gila ke pakai cermin mata hitam dalam tempat gelap). Persis ‘Men In Black’. Cuma Mike sahaja yang lengkap bersut putih. Ia seperti membezakannya sebagai ketua yang dipanggil ‘tuan’ oleh anak-anak buahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience