Chapter 69

Humor Completed 22614

Bab 69

SUASANA di Valicities Ice World begitu meriah pada petang itu. Ramai orang membanjiri tempat tersebut untuk bermain luncur ais. Kanak-kanak ceria bermain bersama ibu bapa mereka. Pasangan kekasih pula menjadikan sukan ini sebagai gelanggang untuk mengeratkan lagi hubungan mereka. Para remaja gembira bertemu teman baru dalam situasi yang tidak dijangka. Muzik Underground yang diputarkan oleh deejay menghangatkan suasana mereka untuk bermain dengan penuh semangat.

Sophia duduk di sebuah kerusi panjang di sebelah locker kasut. Dia menghadap ke gelanggang luncur ais di hadapannya. Hatinya cuak. ‘Main roller blade pun aku tak lulus lagi, inikan pula ice skate. Macam mana ni? Oh, god… kenapa aku dapat tugasan yang sebegini teruk.’ Dahi Sophia berkerut-kerut kegusaran. Maia menghampirinya sambil bercekak pinggang dihadapan Sophia.

“Apa lagi termenung ni… dah pukul 4.00 petanglah. Kita kena siapkan tugasan hari ini juga. Esok date line,” marah Maia.

“Cik Maia, saya tak reti main ice skate.” Sophia begitu risau.

“So, kau kena belajar. This is your job. Mahu atau tidak kau kena masuk juga untuk ambil gambar,” arah Maia dengan tegas sebelum berlalu dari situ.

Sophia tunduk memandang kasut luncurnya. Dia mencari kekuatan untuk menjalankan tugas tersebut. Tugas mereka pada petang itu adalah untuk menemuramah jurulatih luncur ais untuk artikal yang akan dimuatkan dalam majalah mereka.

“Sophia!” jerit Maia tatkala berpaling kepada Sophia.

Sophia memandang Maia yang berdiri di tepi gelanggang. Dia bangun sambil mencapai kameranya. Disangkut kamera tersebut di lehernya elok-elok. Terkedek-kedek dia berjalan dengan kasut tajam itu untuk mendapatkan Maia.

“Macam mana ni Cik Maia? Saya takut.”

“Relexlah… aku kan ada. Jangan sangka aku ni kejam sangat.”

Sophia merenung air muka Maia. Maia seorang yang agresif dan mahukan yang terbaik dalam setiap kerjanya. Sophia perlu pandai mengikut rentaknya.

“Aku ajar kau. Lagipun orang yang nak kita temuramah pun seorang coach di sini. So, tak perlu takut, okey.”

Sophia mengangguk faham. Sempat dia meninjau gelanggang yang luasnya separuh padang bola sepak itu. Agak luas juga.

“Untuk belajar main ice skate, kau perlu belajar berjalan dahulu. Gunakan dinding ni untuk berpaut,” ujar Maia mengajar Sophia. Dia memimpin Sophia berdiri di sisi dinding kaca yang memenuhi ruang gelanggang luncur ais itu.

“Jangan lepaskan saya, please… saya takut.” Sophia merengek minta simpati.

“Don’t worry, okey. Jalan slow, slow… step by step. Aku gerak dulu.” Maia meninggalkan Sophia sendiri.

“No… no… no… Cik Maia!” Sophia ketakutan.

Maia meninggalkannya. Sophia berpaut kuat pada dinding penghadang tersebut. Dia hanya mampu melihat Maia meluncur mengikut rentak muzik. ‘Kau memang tak guna, Maia. Apalah nasib dapat rakan sekerja macam dia ni. Bencinya! Tapi tak apa, bukan aku seorang yang tak pandai meluncur di sini. Tak de kau pun aku boleh belajarlah.’ Getus hati Sophia geram.

Sophia cuba bergerak perlahan-lahan sambil memegang pemegang yang disediakan di sekeliling dinding gelanggang. Langkah demi langkah diatur dengan begitu berhati-hati. Lututnya menggeletar kerana belum biasa dengan keadaan di gelanggang ais berkenaan. Namun dengan semangat yang kuat dia terus menggagahkan diri untuk cuba bertatih di situ.

Maia bersama seorang pemuda berkaca mata yang ingin ditemubualnya tadi. Sesekali Maia bersama pemuda itu memerhatikan Sophia yang tidak putus asa berlatih berjalan sendirian di atas gelanggang ais itu. Mereka berdua tertawa setiap kali melihat Sophia terjatuh. Terkocoh-kocoh wanita itu menyelamatkan kamera yang seperti nyawanya itu. Gelagat Sophia begitu mencuit hati mereka berdua.

“Hei, Maia… nak biarkan sahaja ke kawan awak tu?” tanya Nick yang merupakan jurulatih luncur ais di Valicities Ice World.

“Kita tengok dulu. Dengar kata dia tu bukan jenis yang cepat putus asa. I cuma nak pastikan apa yang Boss I kata tu betul atau tak,” balas Maia.

Nick sekadar menggeleng dan tersengih. Bukan kali pertama dia mengenali Maia. Walaupun tidak rapat tetapi sejak kali pertama berkenalan dengan wanita itu di gelanggang ais, Maia seorang yang serius semasa menjalankan tugas.

“Jom, Nick… kita speed dua, tiga round lagi and than kita pergi pada Sophia.” Ajak Maia.

“Okey.” Nick pantas sahaja bersetuju. Mereka meluncur deras mengelilingi gelanggang tersebut. Nick sangat hebat meluncur. Tidak kurang juga dengan Maia yang sudah beberapa kali menghabiskan masa di gelanggang luncur ais itu.

***********

Rocco Café…

Heris duduk seorang diri di café yang bertentangan dengan Valicities Ice World. Dia mengambil tempat di meja yang bersebelahan dengan dinding gelanggang luncur ais. Dia menyaksikan orang ramai yang sedang seronok bermain luncur ais. Suasana yang bising itu tidak sedikit pun menghalang Heris daripada menikmati panorama di situ. Walaupun jiwanya runsing ketika ini namun dia lebih senang memilih ke pusat hiburan seperti ini untuk melupakan masalahnya.

House Blend yang dipesannya tadi dihantar oleh seorang pelayan. Dia membayar bil yang dihulur oleh pemuda itu. Selepas itu dia menongkat dagu dengan tangan kirinya. Camca kecil di tepi cawan putih itu digunakan untuk mengacau minuman panasnya. Dia duduk tegak lalu mengambil dua peket gula untuk dimasukkan ke dalam minuman tersebut. Dikacau lagi dan diteguk dengan selamba. Belum sempat cecair itu singgah ke tekak, dia menyemburkannya semula. Terbeliak mata Heris. Tangannya mengibas-ngibas lidahnya yang melecur akibat kepanasan air tersebut. Meja merah itu basah akibat air yang tersembur dari mulut Heris.

“Hii…hi…hi…!!” Seorang kanak-kanak perempuan yang menyaksikan tingkah lakunya tertawa melihat gelagat Heris.

Heris berpaling kepada kanak-kanak bertocang dua di kiri dan kanan itu. Dia membulatkan matanya dan memandang kepada budak tersebut dengan pandangan yang tajam untuk menakutkannya. Namun pantas dia berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku apabila ibu kanak-kanak itu berpaling ke arahnya. Heris melemparkan senyuman sebelum kembali mengacau minumannya. Dia mencurahkan susu ke dalam House Blend tadi supaya minuman itu cepat suam.

Dia kembali menyaksikan kemeriahan manusia di dalam gelanggang di sebelahnya. Tiba-tiba dia ternampak kelibat seseorang yang cukup dikenalinya. Wanita berambut pendek dan bermata bundar itu direnungnya sungguh-sungguh. Heris berdiri. Dia melekapkan kedua belah tangannya ke muka lantas dirapatkan ke dinding lutsinar itu.

“Sophia… wow, jodoh kita mungkin masih panjang…kau tak boleh mengelak dari aku lagi.” Heris tersengih melihat aksi wanita itu yang begitu berhati-hati bergerak di atas ais yang licin itu.

Pantas Heris beredar dari café tersebut untuk menjejaki Sophia. Dia mendapatkan tiket di kaunter kemudian setelah siap bersarung tangan dan berkasut ski, dia merapatkan diri ke dinding untuk menjejaki Sophia.

Maia dan Nick sedang menarik tangan Sophia untuk ke tengah gelanggang.

“No.. Maia, jangan… saya takut!!” Sophia kecut apabila terasa dirinya meluncur dengan sangat laju.

“Don’t worry, Sophia. This is really fun. Betul tak, Nick?” Maia tersenyum nakal.

“Betul. Awak hanya perlu ikut rentak kaki kami. Jangan takut jatuh. Yang penting keyakinan diri… okey, now kami akan cuba lepaskan awak.” Nick memberi tunjuk ajar kepada Sophia.

“Hei, saya bukan pro. Mana boleh awak lepaskan saya. Apa ni Cik Maia?” Sophia terasa seperti sedang dibuli pula kini.

“It’s okey, saya ada untuk bantu awak. Percayalah pada saya, Sophia.” Nick meyakinkan Sophia.

“Okey, but please… saya nak ke tepi dulu. Beri saya sedikit masa.” Perlahan-lahan Sophia melangkah menuju ke dinding meninggalkan Nick dan Maia.

Sesampainya dia di dinding, dia bersandar melepaskan lelah dan cuba untuk kembali bertenang. Dia melekapkan pipinya ke dinding dan tiba-tiba…

Chupp…!!

Sophia berpaling memandang keluar dinding. ‘Oh, gosh… stupid man. Apa dia buat di sini? Shit, he kissed me.’ Bulat mata Sophia bila melihat Heris tersenyum nakal di luar gelangang. Heris melontarkan flying kiss. Sophia bagai nak jatuh rahang melihat Heris yang mula melangkah mahu masuk ke dalam gelanggang ais.

Pantas Sophia mengatur langkah. Sedaya upaya dia mengawal keseimbangan tubuhnya untuk bergerak. Sophia sempat menoleh ke belakang. Heris semakin menghampirinya. Dengan keyakinan yang ada, Sophia cuba meluncur seperti yang diajar oleh Nick dan Maia. Sesuatu yang menakjubkan berlaku. Dia berjaya meluncur. Lebar senyumannya. Namun tiba-tiba Sophia lalai kerana teruja dengan kejayaannya. Dia tidak dapat mengawal pergerakannya dan akhirnya jatuh terlentang di tengah-tengah gelanggang.

Heris berjaya mendekati Sophia. Dia bercekak pinggang memandang Sophia yang masih belum bangun. Tawanya berderai. Bukan perlahan. Ada yang perasan turut menyaksikan Heris menekan-nekan perut menahan tawanya terhadap Sophia. Berkerut dahi Sophia menahan geram melihat tindakan Heris yang tidak cukup nafas mentertawakannya.

Sophia cuba untuk bangun tetapi malangnya dia tidak dapat menyeimbangi tubuhnya lantas terduduk semula. Sakit hatinya bila Heris seronok dalam gelaknya. Punggungnya sudah basah diresapi air yang sejuk akibat proses peleburan ais yang menjadi alas duduknya kini.

Heris menghulurkan tangan kepada Sophia untuk membantunya bangun. Sophia hampir menerima bantuan itu tetapi akhirnya dia menampar tangan Heris. Dia lebih rela berusaha sendiri daripada menerima bantuan lelaki itu.

Seorang lelaki bersut merah menghampiri mereka berdua. Dia seorang pekerja di Valicities Ice World. “Perlukan bantuan?” tanyanya sambil menghulurkan tangan.

“Err…” Sophia tidak sempat hendak bersuara.

“It’s okey, saya suami dia.” Tanpa mempedulikan perasaan Sophia, selamba Heris membuat pengakuan.

Sophia mencerling hebat. Pemuda yang cuba membantu tadi beredar apabila merasakan dirinya tidak perlu mengganggu pasangan tersebut.

“Come, hold my hand.” Heris menghulurkan kedua belah tangannya.

“I don’t need your help,” ujar Sophia dingin. Sedingin ais di gelanggang tersebut.

Dia tidak menghiraukan Heris. Dia cuba untuk bangun sendiri. Akhirnya dia berjaya. Dia mengibas-ngibas punggungnya yang sudah basah. Kameranya dibelek-belek untuk memastikan tidak berlaku apa-apa kerosakan. Heris merenungnya. Bibirnya meleret tersenyum.

“Yang pandai-pandai kata I ni isteri you tu kenapa?” Marah Sophia. Kedua-dua belah tangannya digenggam menahan geram.

“Memanglah awak tu isteri saya lagi. Betul kan?” jawab Heris.

“Kita akan bercerailah. Dah tiada maknanya hubungan ini.”

“Saya belum setuju untuk bercerai dengan awak. So kita masih ada pel…”

“Apa? Ingat senang-senang ke saya nak bagi awak peluang semula. Jangan nak mimpilah, Heris.” marah Sophia seraya dia bergerak perlahan-lahan meninggalkan Heris.

Heris membuntutinya. Dia mencapai tangan Sophia. “Adik, baliklah... saya tunggu awak”

“Tak nak.” Sophia menepis tangan Heris.

“Kenapa?” Heris memaut tangannya semula.

“Banyak sebabnya.” Sekali lagi Sophia menarik tangannya dari pegangan Heris.

“Beritahu… saya nak dengar.” Heris tidak putus asa.

“Saya tiada masa nak bercakap dengan awak. Saya tengah kerjalah!” Sophia hampir hilang sabar.

“Cakaplah, Mamoru nak dengar.” Suara Heris berubah manja. Sedaya upaya memujuk.

“Tak naklah! Berapa kali saya nak cakap, awak bukan ‘Mamoru’ saya lagi.” Sophia tidak akan terpedaya dengan pujuk rayu Heris.

“Janganlah kasar sangat, sayang. Adik dah tak cintakan Mamoru?” sayu suara itu bergetar di telinga Sophia. Sedikit sebanyak dia agak terluka dengan sikap kasar isterinya.

“Jangan panggil saya ‘sayang’ atau ‘adik’ lagi.” Memang dia hampir lemah mendengar pujukan manja itu namun dia perlu tegas menangani masalah perhubungan ini. “Sudahlah Heris, saya sedang bekerja. Jangan ganggu saya.”

Sophia bergerak meninggalkan Heris. Namun Heris tetap mengekorinya.

“Heris, saya sedang bekerja. Tolonglah jangan datang dekat. Nanti Maia curiga dengan hubungan kita berdua.” Sophia tidak senang dengan sikap degil yang ditunjukkan oleh Heris.

Heris buat tidak dengar. Dia tetap berlegar-legar mengelilingi Sophia yang terkial-kial meluncur. Hati Sophia sakit melihat tingkah laku Heris yang seperti menunjuk-nunjuk kehebatannya meluncur. Terasa ingin menyepak kaki lelaki itu agar jatuh tersungkur kemudian bolehlah dia memtertawakan Heris seperti yang dilakukan oleh lelaki itu terhadapnya tadi.

Niatnya itu terbantut apabila Maia muncul mendekatinya. Sophia menelan liur. ‘Tak guna kau Heris. Maia dah datang. Bahaya kalau perempuan ni tahu hubungan aku dengan Heris. Perempuan ini sentiasa memburu cerita yang boleh melariskan majalah kami. Aku perlu berhati-hati’

“Oh, tak sangka dapat bertemu Heris Kruger di sini. Saya tak sempat nak bertanya semasa di majlis pelancaran album Kelly Hung tempoh hari sebab asyik tertumpu pada Kelly sahaja waktu itu. Hari ini nasib memang menyebelahi saya. Nampaknya mudahlah kerja saya.”

“Hmm, awak nak tanya apa, Cik Maia? Saya akan jawab semua soalan awak hari ini.”

Jawapan Heris menimbulkan kerisauan hati Sophia. ‘Heris, tolonglah jangan beritahu apa-apa tentang kita.’

“Tentulah perkembangan kerjaya awak.”

‘Fuh… nasib baik dia nak tanya tentang kerjaya Heris.’ Air muka Sophia yang berkerut tadi kian reda.

“Awak patut telah tahu. Saya baru terbitkan album Kelly.”

“Mungkin awak ada perancangan lain selepas album Kelly Hung?”

“Ya, memang ada tapi buat masa ini saya tidak akan beritahu awak. Lagipun ia masih dalam perancangan.”

“Adakah awak akan mula menerbitkan album untuk artis lain pula?”

“Tak tahu lagi. Mungkin…. sampai masanya saya akan beritahu.”

“Okey… so, how about your life now?”

‘Dia dah start dah… soalan tadi cuma pembuka selera untuk tajuk sebenar yang dia nak tanya.’ Sophia hanya mampu menelan air liur dan berdoa agar Heris tidak memberi jawapan yang akan mendedahkan hubungan mereka berdua.

“Macam yang awak sedia maklum, saya dah kembali single, tapi untuk sementara.”

“Awak gembira dengan kehidupan awak sekarang?”

Heris tidak menjawab soalan tersebut. Raut wajahnya sedikit berubah tapi cuba disembunyikan dengan senyuman.

“Awak rasa ini yang terbaik untuk awak dan dia, maksud saya bekas isteri awak?”

“Pembetulan, saya belum bercerai dengannya.” Bijak Maia mengutarakan soalan agar dengan sendirinya Heris mengaku status sebenar dirinya.

“Awak masih sayangkan dia?” Maia menyerkap jarang.

“Awak fikir dalam masa yang singkat begitu bolehkah saya sayang dia dengan begitu mendalam?” Heris cuba menduga sejauh mana bijaknya wartawan itu mengorek rahsianya. Sempat juga dia menjeling riak wajah Sophia yang berada di sebelah. Nampaknya wanita itu tidak menunjukkan sebarang reaksi. Dia hanya berdiri kaku sambil memandang Maia.

“Jadi adakah awak akan bercerai dengannya?”

Maia semakin galak menyoal Heris. Sophia semakin risau.

“Saya tidak akan berikan jawapannya kerana ia tidak adil untuk isteri saya jika dia tahu. Saya akan jawab jika dia bersetuju membiarkan saya bersuara.”

Heris mengerling Sophia penuh makna. Sophia terpinga-pinga apabila Heris merenungnya seperti mahukan jawapan daripadanya. Dia menoleh kepada Maia. Pandangan mata Maia penuh dengan tanda tanya. Seperti ada sesuatu yang sedang dibacanya melalui raut wajah antara Heris dan Sophia.

“What do you think, my dear?”

Serentak dengan itu terasa bagai seketul darah melonjak naik ke kepalanya. Bulat mata Sophia memandang Heris.

“Excuse me… awak berdua memang sudah berkenalan, bukan?” Teka Maia.

“Tidak…” Dengan segera Sophia menafikan dakwaan Maia.

“Ya, dia ni…” tanpa diduga serentak Heris juga bersuara.

“Err… maksud saya, kami berkenalan ketika majlis pelancaran album Kelly Hung tempoh hari.” Sophia memotong kata-kata Heris yang cuba membongkar hubungan mereka berdua kepada Maia.

“Cik Maia, bukankah kita nak menemubual En. Nick? Rasanya kita tidak patut biarkan En. Nick menunggu kita.” Sophia memberi alasan agar perbualan Maia dan Heris tamat dengan segera.

“Maafkan saya En. Heris. Memandangkan saya ada tugas yang perlu dilakukan sekarang, mungkin kita boleh berbual panjang selepas ini?”

“Sudah tentu saya akan luangkan masa saya nanti.”

“Tapi selepas temubual dengan En. Nick kita perlu susun artikel…”

“Itu tugas awak, Sophia.” Potong Maia.

Sophia terdiam. Dia menggigit bawah bibirnya. Sekali lagi dia terasa seperti dibuli oleh Maia. Sejurus matanya mengerling Heris pula serta merta hatinya jadi geram. Lelaki itu sekadar tersenyum nakal kepadanya.

“Awak boleh hubungi saya nanti. Saya pergi dulu Cik Maia…” Heris melontarkan senyuman manis kepada wartawan tersebut. “…dan Epal Hijau kesayangan atuk.” Dia menepuk-nepuk lembut bahu Sophia sebelum berlalu pergi.

Sekelip mata sahaja kelibat Heris yang meluncur di gelanggang lesap. Sophia langsung tidak menoleh kepada lelaki tersebut lagi selepas itu. Namun sebaik matanya bertaut dengan pandangan Maia, Sophia telan air liur. Maia sedang merenungnya dengan penuh keinginan. Maia kini umpama seekor phirana yang menemui mangsanya untuk diratah. Dia seorang wartawan yang ketagih berita sensasi dan Sophialah sasarannya.

“Sophia… awak ada sesuatu yang nak dijelaskan kepada saya?”

“Tiada.”

“No… saya yakin awak ada cerita yang menarik.”

“Kita dah lewat, Cik Maia. En. Nick sedang tunggu kita.”

Dengan segera Sophia meninggalkan Maia untuk mendapatkan Nick yang tidak jauh dari situ. Maia dibelenggu persoalan yang bermain-main di mindanya. Hatinya melonjak-lonjak mahu tahu apakah ia. Dia tahu semuanya akan diketahuinya tidak lama lagi. ‘Kau sembunyikan sesuatu daripada aku, ya. Aku akan cungkil juga nanti Sophia.’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience