Chapter 52

Humor Completed 22614

Bab 52

Heris masuk kedalam pejabat utama Ferez Global yang masih sibuk pada lewat petang itu. Kepalanya berpusing 180º menjejaki seorang pemuda. Matanya menangkap sesusuk tubuh yang sedang bercakap dengan dua orang perempuan di satu sudut pejabat berkenaan. Heris terus melangkah laju menuju ke arah Ivan yang masih tidak sedar akan kehadirannya.

Perasaannya sangat terganggu setelah mendengar kata-kata dari mulut Nia tadi. Dia tidak dapat menahan perasaannya yang mahu menumbuk Ivan. Kalaupun benar-benar dia dan Sophia akan bercerai, sekurang-kurangnya dia perlu memberi satu hadiah yang paling bermakna buat Ivan. Tangannya dikepal kemas. Setelah mendekati Ivan dia menolak pemuda itu berdiri menghadapnya. Bahagian atas baju Ivan dicengkam kuat.

“Aku ada hadiah istimewa untuk kau hari ini,” ujar Heris dengan wajah yang berapi.

Ivan terkejut dan keliru dengan kemunculan Heris yang mengejut. Sesaat kemudian mata Ivan berpinar. Sesuatu yang keras hinggap ke wajahnya. Badannya terpelanting ke belakang. Ivan meraba pipinya yang terasa sakit. Dia memandang Heris yang sedang tersenyum sinis memandangnya. Semua yang berada di situ terus berhenti melakukan kerja kerana terlihat adegan tersebut.

“Macamana dengan hadiah ini? Sangat memuaskan atau tak cukup lagi?”

Ivan menjeling Heris dengan tajam. Dia tidak berpuas hati dengan tindakan Heris sebentar tadi.

“Belum cukup, bukan?”

Heris mendekati Ivan lagi dan memberi satu tumbukan padu ke perutnya pula. Kali ini Ivan hilang sabar. Heris sudah melampau. Dia bangun lantas mencengkam kolar baju Heris. Ivan menariknya. Heris cuba melawan. Ivan memegangnya dengan lebih kuat dan membawa Heris masuk ke dalam sebuah bilik. Mereka berdua hilang daripada pandangan semua orang selepas itu. Mereka yang berada di luar tertanya-tanya apa yang berlaku. Petang itu mereka menyaksikan sebuah drama yang menarik sehingga sanggup meninggalkan tugas masing-masing.

Ivan menolak Heris sehingga pemuda itu jatuh tersungkur di bawah meja. Pintu bilik itu dikunci agar tiada sesiapa yang boleh mengganggu mereka berdua. Heris bangun dan dengan api kemarahan yang masih marak itu dia menyerang Ivan lagi. Ivan tidak sempat mengelak dan terus tersungkur ke lantai. Ivan memegang hujung mulutnya kerana terasa ada sesuatu yang mengalir. Mata Ivan terbelalak. Darah. Ivan segera bangun dan melancarkan serangan balas kepada Heris.

“Menyerang musuh yang belum bersedia adalah perbuatan si pengecut. Kau buat aku marah!”

Satu lagi tumbukan kena di perut Heris. Heris tidak puas hati lantas membuat serangan balas juga. Mereka berdua terus bertumbuk sehingga barang-barang di dalam bilik tersebut jadi kucar-kacir. Ketukan pintu dari luar bilik tidak dipedulikan. Mereka berdua terus bertumbuk sehingga masing-masing lemah. Tiada sesiapa yang boleh menghalang pertarungan diantara dua orang lelaki ini. Ini adalah perhitungan diantara seorang suami yang tidak mahu dianggap dayus dan seorang pencinta wanita yang setia.

“Kita patut berbincang dan bukan bertumbuk begini,” ujar Ivan.

“Memang kita patut berbincang sebagai lelaki tetapi sebelum itu aku tetap mahu tumbuk kau yang sangat menyakitkan hati aku,” balas Heris.

“Kau boleh buat aku hilang pekerjaan dengan tindakan kau ini. Kau patut bertanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu terhadap aku nanti.”

“Lebih baik kau letak jawatan dan tinggal di biara untuk bersihkan hati kau yang banyak berdosa itu.”

“Apa maksud kau?”

“Jangan nak buat tak tahulah. Kau bersama dengan Sophia sekarang, bukan?”

Heris mencengkam kolar baju Ivan. Dahi Ivan berkerut. Dia tidak mengerti apa yang dikatakan oleh Heris.

“Ingat… walaupun kami akan berpisah tapi aku tetap tak akan benarkan kamu berdua kembali bersama. Aku akan halang itu berlaku!” Heris merenung Ivan dengan tajam dan begitu dekat sekali.

“Sophia tidak bersama dengan aku.”

“Jangan berdusta. Dia tentu ada bersama kau kerana kau adalah orang yang dicintainya.”

Ivan membalas renungan Heris. Heris sememangnya sudah mengetahui kebenaran tentang dirinya dan Sophia. Malangnya Heris belum tahu tentang satu lagi perkara.

“Dia tak cintakan aku lagi dan dia tidak bersama dengan aku sekarang.”

“Ivan, aku tak kisah kalau kau mengaku tapi jangan tipu aku!”

Heris hilang sabar dan cuba untuk menumbuk Ivan lagi. Ivan sempat menahan tangan Heris yang sangat ringan untuk menyentuh wajahnya lagi.

“Aku tak tipu… Sophia tak cintakan aku. Dia cintakan kau.”

Cengkaman tangan Heris longgar. Ivan mengambil kesempatan untuk menolak Heris. Dia berdiri dan membetulkan pakaiannya.

“Dia cintakan kau, Heris. Aku nampak itu di matanya. Aku tak pernah kisah dengan perasaannya sebelum ini tapi kau telah membahagiakannya. Dia dah dapat apa yang aku tak beri kepadanya selama ini. Dia menunggu cinta aku selama bertahun-tahun tapi aku telah sia-siakan cintanya. Kau pula menyintainya tanpa perlu membuatkannya ternanti-nanti setiap hari. Kau lelaki yang dicintainya kini. Aku cuma masa silamnya yang mahu dilupakannya.”

Heris masih duduk diam di atas lantai. Dia meraup wajahnya.

“Jadi e-mail yang kau hantar kepadanya tu?”

E-mail? Heris tahu tentang e-mail tersebut? Jadi memang itulah puncanya.

“Aku minta maaf. Tentang e-mail tu, memang aku yang bersalah. Memang aku cintakan Sophia dan kadang kala aku masih tak dapat menerima perkahwinannya dengan kau. Itu cuma tindakan aku yang diluar kawalan. Kau baca e-mail tersebut?”

“Selain dengan membacanya sendiri kau fikir Sophia akan memberitahu aku?”

Ivan memegang wajahnya sambil menjeling wajah Heris yang masih duduk dengan kedua belah lututnya terangkat. Dia mendekati Heris. Dia menghulurkan tangan menarik Heris untuk berdiri. Sekejap kemudian Heris sudah berdiri di hadapan Ivan.

“Aku dah minta maaf… tapi sekarang aku nak tumbuk kau.”

Sebentar kemudian Heris meraba pipinya yang sakit akibat tindakan drastik Ivan itu.

“Itu adalah untuk Sophia. Kau suami yang tidak bertanggungjawab. Kau buat Sophia kecewa dan membenci lelaki sekarang.”

“Tapi semuanya disebabkan kau!” Bentak Heris yang tidak menyangka tindakan yang dilakukan oleh Ivan sebentar tadi.

“Kau memang bodoh. Tiada perempuan dalam dunia ini yang akan terima lamaran lelaki yang tidak pernah dikenalinya. Sophia adalah satu-satunya wanita tersebut. Itu bermakna dia percaya pada cinta kau. Kau pula tidak percaya pada cintanya. Kau memang tak guna.”

Heris diam tidak membalas kata-kata Ivan. Ivan menyedarkannya tentang sesuatu. ‘Pemuda ini telah mengaku sendiri tentang cintanya terhadap Sophia tetapi dia seolah-olah telah melepaskan Sophia ke tanganku dan aku… apa yang telah aku lakukan terhadap Sophia?’

Ivan bersandar pada dinding dekat dengan pintu. Matanya tidak lepas-lepas memandang ke arah Heris dengan pandangan yang tajam. ‘Lelaki tak guna! Betul kata Nia… dia memang suka bertindak melulu. Datang ke sini terus buat kacau.’

Sebentar kemudian pintu dibuka dari luar oleh seseorang menggunakan kunci. Andrew muncul dari luar pintu. Serta merta Ivan berdiri dengan betul. Heris bangun dari duduknya. Andrew menutup pintu bilik tersebut dan duduk di kerusi empuk di ruang sebelah meja. Andrew memandang Heris dan Ivan silih berganti.

“Ini pejabat. Bukan tempat mencari pasal. Jangan gunakan buku lima untuk menyelesaikan masalah.” Andrew memandang sinis kepada Heris.

“Dimana profesionalisme awak sebagai pekerja di Ferez Global? Saya dah tak nampak apabila melihat muka awak yang lebam tu.” anak mata Andrew beralih tajam merenung Ivan pula.

Ivan tunduk dan memegang wajahnya. Heris menjeling sekejap kepada Ivan melalui ekor matanya.

“Abang…”

“Aku bukan abang kau. Aku tuan pengarah di pejabat ini.”

Sinaran mata Andrew membuatkan Heris jadi gugup namun dalam hatinya tetap merungut. ‘Tak guna! Aku bukan pekerjanya tapi dia nak aku memanggilnya dengan begitu hormat pula.’

“Apa tujuan kau datang macam samseng ke sini?” Andrew bertanya kepada Heris.

“Saya bukan samseng. Saya datang…”

“Aku tak suruh kau menjawab!” Tengking Andrew ke muka Heris.

Jadi kenapa beri soalan kalau tak nak aku jawab. Heris cuma menyuarakan kata-katanya itu di dalam hatinya sahaja.

“Awak, Ivan… Jumpa di bilik saya selepas ini.”

Ivan hanya mengangguk sekali tanpa sebarang bantahan.

“Kau, pergi balik. Aku tak nak tengok muka kau di pejabat ini… bukan, aku tak nak tengok muka kau di Lisberg selagi masalah kau tak settle. Jangan datang buat kacau di pejabat orang lagi.”

‘Hah! Kejamnya. Adakah abang Andrew benar-benar maksudkannya?’

Sebentar kemudian Andrew keluar dari bilik tersebut. Beberapa orang pekerja yang berdiri dekat dengan pintu terkejut dan cuba melarikan diri. Andrew naik berang.

“Kau… kau… kau… tiada cuti hujung minggu untuk kamu bertiga pada bulan ini!”

Ketiga-tiga orang pemuda yang cuba melarikan diri itu diam kaku berdiri di sebelah pokok dekat dinding pejabat. Andrew berjalan meninggalkan situ dan hilang di sebalik pintu di suatu sudut pejabat tersebut. Setelah yakin Andrew telah tiada, seorang gadis mendekati tiga orang pemuda yang baru sahaja dikenakan hukuman sebentar tadi.

“Tuan pengarah tak akan tarik balik kata-katanya. Kamu bertiga patut ingat macamana kalian boleh dapat bekerja di sini… tidak mudah, bukan?” gadis yang lebih senior menjadi pekerja di Ferez Global itu tersenyum sinis sebelum kembali ke mejanya.

Ivan dan Heris keluar dari bilik tadi. Semua mata tertumpu kepada mereka berdua. Ivan di hadapan Heris. Heris berhenti di satu lorong. Dia memerhatikan Ivan yang sedang menuju masuk ke bilik Andrew sebelum meninggalkan pejabat itu. Sampai di ruang lobi bangunan, Heris ditegur oleh seseorang.

“Encik… En. Kruger, betul?” seorang penyambut tetamu menahan Heris yang mahu meninggalkan Ferez Global.

“Ya, kenapa?” Heris berhenti sekejap dan mengalih tumpuan kepada gadis berbaju hitam itu.

“Ada pesanan daripada tuan pengarah.”

“Ha?”

“Tuan pengarah nak saya beritahu encik… dia kata dia benar-benar maksudkan kata-katanya tadi.”

“Benar-benar maksudkannya?” Heris mengulang semula ayat berkenaan.

“Terima kasih.” Dia mengucapkan terima kasih kepada penyambut tetamu itu sebelum beredar dari situ.

Heris menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dia nak aku tinggalkan Kota Lisberg? Kenapa? Kruu…! Perut Heris berbunyi. Baru aku sedar yang perut aku sangat lapar. Selain minum air, aku hanya makan sekeping roti sejak semalam. Wah,masalah memang membuatkan seseorang lupa tentang makan.! Aku nak pergi cari makanan…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience