Chapter 59

Humor Completed 22614

Bab 59

PAGI ini Pekan Parsi Mellon Park sibuk lagi seperti hari-hari sebelumnya. Suasana meriah bagaikan pesta. Bermacam-macam barangan yang dijual oleh penjaja yang meniaga di pasar terbuka itu. Tidak kira muda ataupun tua masing-masing berkunjung ke situ untuk mendapatkan barang keperluan mereka. Termasuklah Trisya dan Sophia yang jalan beriringan di bahagian barangan dapur. Di dalam kelompok manusia yang ramai itu mereka berdua tidak sedar ada dua pasang mata yang sedang memerhatikan mereka. Chris dan Heris berselindung di celahan manusia yang bersesak-sesak di situ.

“Atuk, bila mereka nak berpecah ni?”

“Diam dan perhatikan mereka berdua.” Chris sempat meluku lagi kepala Heris.

Heris mengusap-ngusap kepalanya yang sakit akibat diluku oleh Chris. Chris menarik Heris bergerak ke hadapan memandangkan Trisya dan Sophia hampir hilang daripada pandangan mereka berdua. Mereka berhenti di satu gerai menjual bunga.

“Hai, cik adik… jual bunga, ya.” Chris mengambil sekuntum bunga Ros merah di situ. Sebentar dia tidak menghiraukan sasarannya, Sophia dan Trisya. Dibiarkan Heris sendiri yang sibuk memerhatikan mereka berdua di sebelahnya.

“Ya, macam-macam bunga yang cantik saya jual. Encik pilihlah kalau suka. Boleh hadiahkan kepada yang tersayang,” jawab gadis itu dengan senyuman manis kepada pelanggannya. Di telinganya terhias sekuntum mawar putih. Cantik.

“Semua bunga-bunga ni tak cantiklah…” Kata-kata Chris mematikan senyuman di wajah gadis itu. “… sebab kecantikannya telah ditenggelami oleh wajah awak yang lebih ayu. Awak umpama bunga teratai dari syurga.”

Si gadis penjual bunga itu terpinga-pinga mendengarkan bicara Chris. Merona wajahnya mendengar pujian tersebut. Heris sekadar menggeleng-geleng kepala melihat telatah memikat datuknya. ‘Boleh tahan juga ayat atuk aku ni. Barangkali muda-muda dulu pernah jadi kasanova?’

“Cik, saya nak semua bunga ros merah ini. Tolong balut cantik-cantik untuk saya.”

Gadis yang hampir hanyut dengan kata-kata manis Chris tadi terpinga-pinga mengalihkan tumpuannya kepada Heris.

“Baik. Saya siapkan dengan segera.” Gadis itu segara menurut permintaan Heris tanpa menghiraukan Chris lagi. Chris beralih kepada Heris yang kembali meninjau Sophia yang bersama dengan ibunya. Dia mengetuk kepala Heris.

“Sakitlah, kenapa ketuk saya? Saya tak buat salah pun.”

“Kau budak kecil yang mengganggu.”

“Budak? Saya orang dewasalah, tok.”

“Dewasa yang masih berfikiran seperti budak-budak.”

“Saya…”

Heris mahu membidas kata-kata datuknya tetapi tidak jadi. Kata-kata datuknya itu sebenarnya mengingatkannya kepada Nia. Nia selalu menegurnya supaya berfikir secara matang. Jangan bertindak melulu seperti budak-budak. ‘Benarkah aku bertindak seperti seorang budak? Budak berfikir mengikut logik akalnya. Mereka akan lakukan perkara yang ditegah dan sentiasa ingin mencuba. Adakah Itu maksud Nia dan atuk?’

“Encik, bunga encik dah siap.”

Panggilan gadis tadi menghentikan lamunan Heris. Heris berpaling kepada gadis tersebut.

“Wow!” Heris terkejut melihat jambangan bunga yang besar itu. “Cepatnya awak siapkan.”

Heris membayar bunga tersebut dan mengambilnya dari tangan gadis tadi sebelum kembali mendapatkan datuknya.

“Mereka telah berpecah. Ini peluang kau. Cepat pergi.” Chris menolak Heris ke hadapan.

Heris nampak gugup dan belum lagi mengatur langkahnya pergi mendapatkan Sophia.

“Heris…” Pertama kali Chris memanggil namanya. Heris menoleh. Chris menunjukkan ibu jarinya. “Good luck.”

Heris tersenyum dan membalasnya dengan menunjukkan ibu jarinya juga. Keyakinannya kembali meningkat naik. Heris berlari pergi mendapatkan Sophia. Serta-merta dia berlutut di hadapan Sophia sambil menghulurkan jambangan bunga ros yang baru dibelinya tadi.

“Sophia, terimalah cinta ku dan kembalilah kepada ku semula. Aku akan lakukan apa saja demi cinta ini kembali mekar. Aku cinta pada mu, sayang!” luah Heris di hadapan wanita yang di cintainya itu. Ucapannya begitu yakin dan berani tanpa memikirkan sebarang kemungkinan pun.

Perbuatannya itu telah menarik perhatian semua orang di sekelilingnya. Mereka berhenti dan melihat drama yang sedang berlangsung di tengah-tengah pasar terbuka itu. Sophia berasa sangat malu ketika itu apabila telah menjadi tumpuan orang ramai di situ.

“Apa yang awak buat ni, Heris?” Sikap Heris telah membuatkan Sophia berasa sungguh malu. Sekelip mata dia telah menjadi perhatian semua orang di situ.

“Maafkan kesilapan saya. Kembalilah ke pangkuan saya semula, Sophia.” Keberanian Heris nampak seperti tidak masuk akal namun untuk lelaki sepertinya, dia sanggup lakukan apa saja untuk memenangi semula hati Sophia.

Semua orang di situ bersorak menyokong Heris. Keberanian Heris dikagumi. Semua tidak sabar menunggu reaksi Sophia. Semua orang menantikan jawapan dari mulut Sophia. Mereka yakin yang Sophia pasti akan menerima Heris semula. Masing-masing bercakap-cakap sesama sendiri. Sophia jadi bingung. Tindakan Heris benar-benar memalukannya.

Akhirnya Sophia menerima jambangan bunga yang besar yang dihulurkan oleh Heris itu. Heris tersenyum. Semua orang bertepuk tangan. Ada yang rasa bertuah kerana dapat menyaksikan drama romantik yang tidak diduga itu.

“Terima kasih untuk drama bodoh yang awak persembahkan.” Sophia memukul jambangan bunga itu ke kepala Heris bertalu-talu.

“Saya tetap tidak akan memaafkan awak. Kita tetap akan berpisah, faham!”

Sophia meninggalkan Heris selepas itu. Semua orang tergamam melihat sikap Sophia yang kejam.

“Sophia!!”

Panggilan Heris tidak dihiraukan. Sophia terus pergi dari situ. Begitu juga semua orang yang berkumpul mengelilingi mereka tadi. Drama sudah tamat dengan pengakhiran yang cukup dramatik. Langsung tidak romantik seperti yang mereka bayangkan.

*************

“Wah, drama yang cukup dramatik!”

Chris menoleh ke kanan apabila mendengar satu suara yang dicurigai. Trisya sedang menyaksikan apa yang berlaku di antara Heris dan Sophia.

“Sejak bila kau ada di sebelah ayah?”

Kemunculan Trisya mengejutkan Chris.

“Sejak dari mula lagi.” Trisya tersenyum-senyum. “Nampaknya mereka berdua belum berbaik lagi.” Matanya kembali fokus pada kedua pasangan anak dan menantunya.

“Kau nampak, bukan?”

“Heris ada cerita sesuatu kepada ayah?”

“Ya, tapi kau tiada kena mengena dan jangan cuba nak ambil tahu.” Chris memberi amaran.

“Tapi saya ibu Sophia jadi saya mesti tahu.”

“Tak boleh. Ini adalah perjanjian di antara dua orang lelaki.”

“Ayah boleh batalkannya kalau ayah mahu.”

Chris memandang Trisya di sebelahnya. Keningnya berkerut. ‘Si Empat Mata cuba nak paksa aku bocorkan rahsia cucu aku. Tidak mungkin sama sekali untuk aku memberitahunya.’

“Saya akan khabarkan perkara yang baik tentang ayah di hadapan Cik Imai. Jadi ayah akan lebih rapat dengan Cik Imai tapi…”

‘Liciknya tapi itu sesuatu yang bagus dan aku tidak boleh lepaskan peluang itu memandangkan Trisya memang bergaul rapat dengan Cik Imai.’

“Baiklah… ayah akan beritahu.”

Chris terus mengubah fikiran apabila mendengar sesuatu yang menarik dijanjikan oleh Trisya. Trisya tersenyum penuh makna. Rancangannya berjaya. Ayah mentuanya tidak akan berkata ‘tidak’ jika menyentuh soal Cik Imai.

*************

Heris berbaring di hadapan badan keretanya yang diparking di kawasan tanah lapang. Dia memandang langit cerah. Sementara Chris duduk di dalam Crush Mermaid yang telah dibuka bumbungnya.

“Atuk, saya dah gagal. Cucu atuk tu keras kepala dan tak mahu maafkan saya.”

Chris tidak menghiraukan keluhan Heris. Dia lebih teruja untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang disiarkan di televisyen kecil di dalam kereta itu.

“Atuk, dengar tak apa yang saya cakap?” Heris menoleh kepada datuknya. “Atuk, tolonglah saya cari jalan untuk berbaik semula dengan Sophia.”

Chris menjeling kepada Heris melalui cermin hadapan kereta. Dia tersenyum penuh makna. Heris turun dari kereta dan segera mengambil tempat di sebelah datuknya. Kilauan mata Chris seperti ada sesuatu yang menarik ingin disampaikan kepada Heris.

“Atuk ada idea? Beritahulah saya.” Heris sudah tidak sabar lagi untuk mendengar idea gila datuknya.

“Cara ini agak kolot tapi romantik. Sophia pasti sukakannya.”

‘Yakinnya wajah atuk. Aku mesti cuba juga walaupun ianya berisiko.’

“Mari balik dan buat persediaan untuk malam ini,” ajak Chris.

“Persediaan? Atuk cakaplah dulu apa yang kita nak buat?” Heris tidak sabar.

“Nanti aku ceritalah. Sekarang kita balik. Hari ini Trisya masak sesuatu yang istimewa dan kita mesti balik untuk makan tengahari dulu.”

“Tapi tok…”

“Tak ada tapi-tapi. Hari ini Trisya masak ‘Matek’. Aku nak balik dan makan.”

“Matek? Apa tu, tok?” Nama yang asing itu menarik perhatiannya.

“Nanti kau akan tahu. Jom balik.”

Heris berfikir-fikir sendiri. Apakah ‘Matek’ yang dimaksudkan oleh datuknya itu. Setahunya tidak pernah dalam seumur hidupnya dia mendengar hidangan serupa itu. Walaupun ayahnya seorang yang suka mencuba pelbagai jenis makanan tetapi dia tidak pernah sekali pun mendengar perkataan ‘Matek’. Sebenarnya dia benci makan makanan yang pelik. Jika ayahnya tahu tentu sekali Dr. Marcus ingin sekali mencubanya.

********

Trisya meletakkan mangkuk besar yang berisi hidangan utama di tengah meja. Chris dan Heris yang sudah duduk datang lebih dekat pada hidangan tersebut. Serentak dengan itu mereka berdua menyedut aroma yang sungguh menyelerakan. Heris menjeling kepada Chris. Chris membalas jelingan itu dengan lebih tajam. Heris tersenyum dan memandang semula hidangan di atas meja. Rupa-rupanya Matek = Ketam.

“Jadi inilah ‘Matek’ yang atuk cakap tadi?”

Chris mengangguk. Dia mengambil penyepit untuk mengambil seekor ketam yang sungguh menyelerakan itu. Tiba-tiba Trisya muncul dan memukul tangan Chris.

“Tak bolehkah ayah jadi tauladan kepada cucu ayah?” tegur Trisya.

Chris meletak semula penyepit dan duduk diam. Heris tersenyum melihat telatah Chris yang seperti anak kecil yang dimarahi oleh ibunya. Kalau ingin diikutkan hatinya mahu terburai tawanya ketika itu tetapi dia masih menitik beratkan kesopanan di meja makan terutamanya di hadapan orang yang lebih tua daripadanya. Itu yang ajar oleh ayahnya sejak kecil.

Mereka bertiga sudah duduk di meja makan sementara menunggu Sophia memanggil ayahnya di Hartnett Plate.

“Mereka berdua sangat lambat. Bolehkah ayah makan dahulu?”

“Tak boleh,” jawab Trisya dengan tegas.

“Oh, ya… kemana Heris keluar dengan atuk sejak pagi tadi?” Trisya sengaja bertanya untuk berbual dengan Heris.

“Atuk bawa Heris bersiar-siar di kampung ni. Penduduk-penduduk di sini semuanya ramah-tamah, ibu,” cerita Heris.

“Tentulah… tidak kurang juga yang suka jaga tepi kain orang.”

“Ha?” Heris tidak jelas dengan suara Trisya yang lirih.

“Maksud ibu mereka sangat mengambil berat masalah jiran tetangga,” jelas Trisya.

Heris mengangguk-ngangguk faham.

“Ayah selalu pulang makan tengahari?” tanya Heris pula.

“Tidak juga. Selalunya dia hanya pulang untuk makan malam. Disebabkan Heris tetamu istimewanya jadi dia mahu makan tengah hari bersama keluarga hari ini.”

Heris rasa sedikit terharu mendengarkan kata-kata Trisya. Rasa bangga tiba-tiba muncul kerana telah menjadi orang penting dalam keluarga Heartnett kini.

“Dia tidak balik jika Cik Imai datang. Itu yang ayah pasti.”

Trisya dan Heris tersenyum dan menggeleng-geleng kepala. Mereka bertiga terus berbual sementara menunggu kepulangan Josh dan Sophia.

***********

SOPHIA jalan beriringan dengan ayahnya. Kedua-dua mereka tidak banyak bercakap. Sophia menjeling ke arah Josh sekali-sekala untuk melihat reaksi lelaki itu. Sejak kecil sehingga sekarang dia masih takut untuk berbual mesra dengan ayahnya. Dia hanya akan membuka mulutnya jika ada sesuatu yang penting ingin disuarakan. Selalunya dia akan diam sahaja kecuali jika ayahnya yang memulakan bicaranya dahulu.

“Adakah hubungan kamu berdua berjalan dengan lancar?”

“Ha?” Soalan Josh yang tiba-tiba itu menyebabkan Sophia hilang punca untuk menjawab. “Eee… ya, ayah. Hubungan kami baik dan lancar,” jawab Sophia sebaik mungkin.

“Baguslah. Tahun pertama ialah tahun ujian untuk pasangan suami isteri. Jika kamu gagal membina persefahaman maka perkahwinan kamu akan gagal dan jika kamu berdua gagal maka keputusan yang kamu ambil untuk hidup bersama adalah salah. Ayah tak akan lepaskan Heris jika kamu berdua gagal.” Nada suara Josh kedengaran mendatar tetapi menakutkan Sophia.

Langkah kaki Sophia terhenti. Matanya terbelalak. Terasa nafasnya tersekat di kerongkong. Apa ayah akan lakukan pada Heris? Josh yang masih melangkah berhenti dan memandang kepada anaknya yang tertinggal di belakang. Melihatkan wajah Sophia, Josh sedar yang dia telah menakutkan anaknya.

“Apa yang ayah akan buat nanti?”

“Mungkin ayah akan ikat dia secara terbalik di atas pokok kayu di hadapan rumah kita dan seksa dia secukup-cukupnya.” Josh sengaja menakut-nakutkan Sophia.

Wajah Sophia ketakutan mendengar kata-kata Josh. Namun begitu Josh tersenyum sebentar kemudian. Sophia pelik.

“Ayah cuma bergurau.”

Josh berpaling kehadapan semula sebelum meneruskan langkahnya yang terbantut tadi. Sophia melepaskan nafas lega. ‘Gurauan ayah sangat menakutkan… tapi biarlah ayah buat begitu pada Heris. Kenapa aku sangat cemas?’ Sophia mengejar ayahnya yang sudah lebih kehadapan untuk cepat sampai ke rumahnya.

*********

Wajah Chris ceria setelah melihat Josh di muka pintu. Heris yang duduk malas tadi serta-merta menegakkan tubuh. Senyumannya meleret apabila melihat Sophia di belakang Josh. Trisya menyambut suaminya dengan kucupan mesra kemudian dia memeluk lengan Josh dan jalan beriringan ke meja makan. Sophia hanya melihat kemesraan hubungan ayah dan ibunya itu. Dia memandang Heris yang masih tersengih memandangnya. Jiwanya rasa tertekan melihat Heris bersama-sama di meja makan. Nampaknya aku perlu berlakon lagi. Seksanya… Sophia mengeluh panjang.

“Semua orang dah ada. Mari kita mulakan.” Chris sememangnya sudah tidak sabar untuk menjamah hidangan ketam yang disediakan oleh Trisya itu. Itu adalah antara masakan Trisya yang paling digemarinya.

Sophia tidak menghiraukan Heris dan duduk di sebelah ayahnya. Josh memandang perbuatan anaknya yang tidak mengendahkan suaminya itu. Lebih teruk lagi duduk di tempat ibunya. Sophia terasa sedang diperhatikan oleh semua orang. Dia telah terlupa sesuatu. Dia segera bangun dari duduknya.

“Maaf…”

Dengan segera Sophia berpindah tempat ke sebelah Heris. Dia senyum panjang untuk menutup kesilapannya. Heris masih memandangnya. Sophia menyepak kaki Heris untuk memberi isyarat. Heris tersedar.

“Sophia selalu buat kesilapan tanpa disedarinya,” ujar Heris untuk menutup kesilapan.

“Kami biasa duduk bertentangan di meja makan.” Sophia memberi alasan.

Dia menarik dan merangkul lengan Heris. Kembali berlakon.

“Sayang, awak tak marah, bukan?” Sophia menoleh kepada Heris.

“Tentulah tidak. Asalkan awak pandai melayan saya.”

Heris mencuit hidung Sophia dan memandang wanita itu dengan nakal. Di saat itu Sophia berasa geram dengan Heris. Ingin rasanya dia menumbuk wajah lelaki itu tetapi dia tidak boleh melakukannya di hadapan keluarganya terutamanya di hadapan ayah. Heris sengaja mengambil kesempatan terhadapnya pada ketika itu dan dia akan terus menghadapi situasi begini selagi Heris berada di sini.

Trisya memandang Chris dengan senyuman sinis di bibirnya. Chris pula mengenyitkan mata diam-diam tanpa dikesan oleh Josh. Josh tertumpu kepada Heris dan Sophia. Dahinya sedikit berkerut tetapi tidak pula dia bersuara untuk menegur perangai Sophia yang pelik.

Makan tengahari mereka sekeluarga bermula lancar selancar lakonan Heris dan Sophia. Tanpa disedari langkah tari mereka sedang diiringi paluan gendang daripada Chris, Trisya dan Josh. Walaupun paluan gendang itu sumbang bunyinya, namun Heris dan Sophia tetap terus menari mengikut kehendak hati sendiri. Mereka tidak tahu akibat daripada paluan gendang yang sumbang itu bakal mencetuskan persembahan yang rumit dan membawa masalah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience