Chapter 74

Humor Completed 22614

Bab 74

SELEPAS beberapa jam akhirnya Sophia sedar. Apabila matanya dibuka tiada sesiapa di sekelilingnya. Dia cuba mengingati semula apa yang telah berlaku. Tadi dia masih berada di gudang sebelum tidak sedarkan diri. Ivan cuba membawanya pergi dari gudang itu dan telah diserang oleh pengawal Mike. Heris… mana Heris? Apa telah berlaku kepadanya? Sophia cemas dan menggelabah. Dia gesa-gesa bangun dan meninggalkan tempat asing itu. Ketika hendak keluar dari situ dia ditahan oleh seorang wanita.

“Nanti, awak tak boleh pergi.”

“Saya mesti pergi. Heris dalam bahaya,” katanya tanpa mempedulikan nasihat wanita itu.

“Tapi awak cedera,” tegahnya.

“Apa yang awak cakap? Saya dimana? Siapa yang bawa saya ke tempat ni?” tanya Sophia yang masih keliru.

“Awak di klinik. Seorang lelaki yang hantar awak tadi. Dia pun cedera tapi segera beredar selepas kami rawat dia.”

Ivan… Sophia yakin lelaki yang wanita itu maksudkan ialah Ivan. Dia tidak peduli dan tetap mahu pergi ke gudang itu semula. Dia mahu tahu keadaan Heris.

Sophia tiba di gudang tadi semula. Kawasan yang sunyi itu tadi kini jadi meriah. Apa yang berlaku? Sophia nampak beberapa kenderaan polis dan ambulans. Dia segera menuju ke pintu masuk gudang.

“Cik tak boleh masuk. Kawasan ini sedang disiasat,” ujar seorang anggota polis yang bertugas.

“Tapi suami saya…” Sophia tidak meneruskan kata-katanya. Tahulah dia bahawa penjahat-penjahat tadi telah diberkas. “Encik, bagaimana keadaan mereka?”

“Maksud awak penjahat-penjahat itu? Mereka telah diberkas dan ada yang dihantar ke hospital kerana cedera teruk.”

“Encik nampak lelaki yang berkemeja putih dan berseluar jeans yang ada bersama penjahat-penjahat tu tadi?”

Polis tersebut mengingat-ngingat orang yang digambarkan oleh Sophia. Malangnya dia tidak tahu. Sophia hampa.

“Mana Heris?”

Sophia menuju ke ambulans yang mahu bergerak pergi. Dia menahannya untuk melihat mangsa yang berada dalam ambulans tersebut. Bukan Heris. Sophia pergi pula pada anggota polis yang tidak jauh dari situ dan bertanya sesuatu tentang suaminya namun tetap tidak berhasil. Sophia nampak kereta Heris di suatu kawasan berhampiran. Dia cepat-cepat berlari ke situ. Heris tetap tidak ditemui. Sophia buntu. Ke hulu ke hilir dia menjejaki Heris tetapi tetap tidak menemuinya. Bukan saja Heris malah kelibat Ivan juga tidak ditemuinya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk pergi mendapatkan keretanya semula yang di parkir agak tersorok di tepi gudang.

Tiba-tiba air matanya mangalir. Dia nampak Heris sedang baring bersandar di pintu keretanya dengan berlumuran darah. Tiada siapa di antara mereka yang ramai-ramai menyedari Heris di situ. Sophia segera mendapatkan suaminya yang sudah tidak sedarkan diri itu.

“Heris… Heris…bangun… bangunlah! Jangan pergi tinggalkan saya…”

Sophia menepuk-nepuk pipi Heris untuk menyedarkannya. Lelaki itu langsung tidak bergerak. Sophia cemas. Melihat baju lelaki itu dipenuhi dengan darah merah sangat menakutkannya. Degupan jantungnya kencang kerana cemas dengan situasi Heris. Air matanya semakin hebat melimpah. Tiada sesiapa yang nampak Heris yang sudah cedera parah di situ.

“Heris, tolonglah bangun! Jangan takutkan saya… please… jangan tinggalkan saya… Tolong!!” Sophia menjerit meminta pertolongan kepada mereka yang tertumpu di pintu hadapan gudang.

Seorang pun tidak datang. Sophia berasa sangat marah. Dia juga sangat takut andai Heris benar-benar telah meninggalkannya untuk selama-lamanya.

“Awak tak boleh mati…” Sophia mengucup dahi Heris.

“Saya belum minta maaf pada awak…” Sophia mengucup pipi kiri Heris.

“Saya belum beritahu yang saya dah maafkan awak…” Sophia mengucup pula pipi kanan Heris.

“Kita belum buat majlis perkahwinan…” Sophia mengucup kedua belah mata Heris.

“Kita belum pergi berbulan madu…” Sophia mengucup hidung Heris.

“Awak tahu tak saya rindukan awak selama ini?” Sophia mengucup dagu Heris.

“Dan yang paling penting saya sangat cintakan awak!!” Jerit Sophia sebelum mengucup bibir Heris bertalu-talu.

“Saya nak mati juga kalau awak tak bangun… Heris… Heris…”

Heris tetap diam. Sophia semakin kecewa. Seperti sudah tiada harapan untuk Heris hidup.

“Saya akan cium awak selagi awak tak nak bangun.”

Sophia terus mengucup seluruh wajah Heris dengan harapan Heris masih hidup dan akan sedar. Usahanya tidak berhasil. Sophia menangis. Dia memeluk tubuh longlai itu dan meraung-raung seperti orang gila. Dia rasa menyesal dengan apa yang telah berlaku. Akhirnya dia dan Heris benar-benar perlu berpisah. Padan muka aku. Kalau aku menghargainya sebelum ini pasti aku tidak menyesal. Sekarang semuanya telah terlambat.

Tangisan Sophia disedari oleh dua orang yang datang menghampirinya. Nia memimpin Ivan datang dekat kepada Sophia yang sedang memeluk Heris. Mereka berdua saling berpandangan. Ada tanda soal di wajah masing-masing.

“Sophia…” tegur Nia.

“Dia dah pergi… Heris dah mati…”

Kata-kata Sophia bagai telah memanah otak Nia daripada berfungsi. Benarkah Heris telah mati? Terasa tubuhnya kaku. Dia tidak tahu bagaimana mahu manggambarkan perasaannya ketika itu.

“He… Heris… dah mati?” Tersangkut-sangkut lidah Nia mengulangi kata-kata Sophia.

Nia memandang Ivan. Lelaki itu turut tergamam tetapi ekspresi wajahnya masih dikawal. Sebenarnya Ivan juga seakan tidak percaya. Dia cuba memastikan kata-kata Sophia dengan mengesan nadi di tangan Heris. Ivan tersenyum.

“Tak… dia masih hidup, Sophia.”

Raungan Sophia tamat mendadak tatkala mendengar kata-kata Ivan. Dia melepaskan tubuh Heris yang dirangkulnya itu dan memandang Ivan di sebelahnya.

“Tapi…”

Mereka bertiga saling berbalas pandangan. Melihat keadaan Heris memang sudah seperti orang yang tidak bernyawa. Benarkah kata-kata Ivan?

“Tengok!” Nia menyuruh mereka berdua memandang kepada Heris. Lelaki itu mula sedar semula.

Senyuman di wajah Sophia terukir. Airmata di pipinya dikesat. Heris nampak semua di sekelilingnya.

“Biar saya panggil ambulans. Heris cedera parah.” Nia segera bangkit untuk mendapatkan bantuan Ambulans.

“Nia… tak payah… aku tak perlukannya…” Nia berpaling semula kepada Heris yang bersuara lemah.

“Apa yang awak cakap?” Sophia berasa takut. Kata-kata Heris seperti seseorang yang mahu menemui ajalnya.

“Betul… saya tak perlukannya,” kata Heris lagi.

Ketakutan Sophia muncul semula. Heris tolonglah… awak takutkan saya lagi. Mana boleh saya biar awak mati begitu saja. Saya tak nak awak mati kerana cuba melindungi saya. Kita adalah Mamoru dan Usagi, bukannya Romeo dan Juliet. Tolonglah…

“Ahh! Saya dah tahu…”

“Apa yang awak tahu, Nia?” tanya Ivan kepada Nia yang tiba-tiba bersuara menarik perhatian.

Nia mendekati Heris. Dia menyelak baju Heris yang berlumuran darah itu. Sebentar kemudian dia tersenyum panjang di ikuti deraian tawanya. Ivan dan Sophia berasa pelik dengan tingkah laku Nia.

“Kenapa ketawa?” tanya Sophia.

“Itu bukannya darah dia. Heris tak cedera pun.”

“Ha?” Ivan dan Sophia tidak faham.

“Sophia, awak tak tahu? Heris ni alergi dengan darah. Dia pengsan sebab tengok banyak sangat darah di bajunya tu. Bukan sebab dia cedera.”

Nia menyambung ketawanya lagi. Heris berasa sakit hati melihat tawa Nia yang sedang mengejeknya itu. Dia teringin nak membelasah wanita itu tetapi badannya masih lemah. Ivan yang selalu bermuka serius itu juga ketawa diam-diam setelah mendengar cerita Nia tentang Heris yang takut dengan darah. “Bertumbuk bukan main hebat tapi tengok darah saja dah pengsan. Buat malu kaum saja.”

“Cukup-cukuplah ketawakan aku. Aku tengah sakit ni… korang semua ni melampau betullah… nasib baik aku sempat mengelak masa lelaki tu nak tikam aku. Kalau tidak terbang nyawa aku tau. Barulah masa tu korang semua betul-betul menangisi kematian…”

Sophia menutup mulut Heris. Heris tergamam sambil memandang Sophia. Wanita itu merenungnya dengan suatu perasaan. Berbunga hati Heris melihat wajah cinta Sophia yang sudah lama tidak dilihatnya itu.

“Nasib baik awak tak mungkir janji pada saya lagi.”

“Sophia…”

Sophia menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan sesuatu. Dia sempat mengambil cincin perkahwinannya ketika keluar dari rumah tadi. Dia mahu membatalkan niatnya untuk bercerai dengan Heris. Cincin emas putih bertatah sebiji berlian itu disarungkan ke jari manisnya. Heris memandangnya. Ketawa Nia dan Ivan yang masih bersisa terus mati melihat Sophia dan Heris.

“Saya tak nak bercerai. Saya cintakan awak.”

Sophia memegang tangan Heris. Dia memeluk tubuh lelaki itu dengan erat. Heris diam sahaja seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku.

“Jadi saya boleh jadi ‘Mamoru’ awak semula?”

Sophia menggeleng. Dahi Heris berkerut.

“Mamoru kan dah mati. Awak yang bunuh.”

Heris keliru. Dia merenung Sophia minta penjelasan.

“Saya tak perlukan Mamoru lagi. Saya cuma mahukan Heris Kruger.”

Heris rasa bagai hendak melompat mendengarkannya. Selama beberapa bulan dia kehilangan Sophia, kini akhirnya dia kembali mengecap erti sebenar cinta. Dia menoleh kepada Nia dan Ivan yang sedang berdiri. Satu isyarat dilontarkan kepada temannya. Nia memahami maksud pandangan itu lantas segera menarik Ivan.

“Ivan, mari kita pergi ke suatu tempat,” ajak gadis itu.

“Hmm, nak kemana?” Laa, dia tak faham pula…

“Saya nak minum kopi di rumah awak. Awak dah janji hari tu bukan?”

“Bila masa saya berjanji? Lagipun rumah saya tak ada kopi.”

Nia memandang Ivan untuk menyatakan sesuatu. Setelah beberapa detik pandangan mereka bertaut akhirnya Ivan faham maksud tutur Nia itu.

“Hmm, okey… kita pergi minum kopi sekarang.”

Ivan dan Nia beredar pergi meninggalkan Heris bersama Sophia.

“Maafkan saya…”

“Berapa kali nak cakap? Saya tak nak dengar lagi. Lagipun bukan awak seorang yang salah. Saya pun salah juga.”

Sophia yang sedang duduk di ribaan Heris itu membelai-belai lelaki yang dicintainya. Heris berasa sangat bahagia saat itu. Isterinya telah kembali kepangkuannya.

“Adik, saya rasa betul-betul akan mati tadi. Hanya seorang yang saya fikirkan waktu itu... Awak. Saya tak tahu Ivan bawa awak kemana? Saya nampak Velvet Esprada. Saya harap saya jumpa awak di sini sebelum saya mati…”

“Awak bukannya cedera teruk. Saya ingat awak kena tikam dengan Mike tadi. Awak betul-betul menakutkan saya.”

“Memanglah… tapi saya boleh mati tengok darah yang sangat banyak ni.”

Heris memandang bajunya yang berlumuran darah. Tiba-tiba dia berasa pandangannya kabur lagi.

“Ah, darah… saya tak tahan…”

“Heris… Heris…! Laa… pengsan lagi?”

Sophia garu kepala. Beberapa orang pasukan penyelamat datang mendapatkan mereka untuk merawat Heris. Sophia lega. Heris tidak apa-apa. Dia gembira. Akhirnya inilah keputusannya. Sebelum ini dia masih keliru dalam percintaan tapi hari ini dia sedar Herislah orang yang paling dicintainya. Walaupun kehadiran lelaki itu adalah selepas Ivan tapi dia tahu Herislah yang akan menjadi kekasihnya di hayat ini.

*************

“Apasal ikut saya?” ujar Ivan yang melihat Nia masih mengekorinya sehingga ke kereta.

Nia senyum dan memeluk lengan Ivan. Ivan menepis tangan Nia.

“Apasal dengan awak ni? Tak malu ke? Ramai orang di sini tau.”

“Ivan, saya dah tahu.” Nia tersengih-sengih.

Apa pula kali ini? “Apa yang awak tahu?”

“Awak betul-betul dah lepaskan cinta awak terhadap Sophia.”

‘Menyibuk betullah dia ni. Aku cuma lakukan yang terbaik untuk diri sendiri. Mereka berdua saling mencintai. Jadi memang wajarlah apa yang aku lakukan. Lagipun mereka berdua memang dah ada ikatan yang sah. Asalkan Sophia bahagia aku tak kisah walaupun hati aku yang terluka… tapi rasanya aku dah temui penawarnya. Mungkin. Aku dah puas bersedih dan aku rasa tenang walaupun ada perempuan yang suka menyibuk di sisi aku sejak kebelakangan ini.’ Ivan menjeling kepada Nia yang masih senyum memikat kepadanya.

“Jangan nak peduli hal orang lainlah, Nia,” ujar Ivan sebelum masuk ke dalam perut kereta.

Nia turut masuk ke dalam kereta Ivan.

“Hei, awak datang naik apa? Kenapa masih nak mengekori saya?” tanya Ivan.

“Tak kisahlah saya datang naik apa yang penting saya nak pulang bersama awak.”

‘Ikut suka hati dia saja. Macam manalah dia boleh tahu aku di sini. Setahu aku, aku tak beritahu sesiapa sewaktu aku ke sini tadi. Memang stalker terbaiklah perempuan ni.’

“Siapa beritahu awak saya ada di sini?”

“Ivan, telefon zaman sekarang ni sangat canggih. Saya kesan awak guna ini.” Nia menayangkan telefon pintarnya ke wajah Ivan.

Ivan geleng kepala. ‘Memang dasar stalker. Sepatutnya dia tukar sahaja profesionnya daripada pereka fesyen kepada ejen FBI.’ gumamnya sendiri.

“Buat apa cari saya?”

“Saja… eh, tak lah, sebenarnya saya rasa pelik apabila awak berada di Max Hill ketika waktu pejabat jadi saya sengaja menjejaki awak di sini.” Alasan…

“Awak nak terus pulang ke butik awak ke?”

Nia menggeleng kepala. Dahi Ivan berkerut. Jadi nak kemana pula?

“Tadi kata nak ajak saya pergi minum kopi.” Nia menuntut janji yang sebenarnya tidak disebut oleh Ivan.

“Kan saya dah cakap rumah saya tak ada kopi.”

Ivan menghidupkan enjin kereta… diam lama. Nia tidak lepas-lepas merenungnya. Wajahnya sedikit kecewa. Ivan tidak menolehnya dan hanya memandang ke hadapan.

“…tapi di rumah saya ada teh. Awak minum teh?”

Nia terpinga-pinga tetapi kemudian senyumannya melebar.

“Boleh tolong pandu kereta saya? Tangan saya sangat sakit.”

‘Ooh… rupanya dia tak dapat memandu kerana kecederaannya tadi. Yes! Kemenangan telah menjadi milik Nia Andrea Ferez…’

Mereka berdua bertukar tempat duduk. Dalam tidak sedar Ivan telah mengakui kewujudan Nia dalam hidupnya. Walaupun dia selalu berasa rimas dengan sikap Nia tetapi sebenarnya kehadiran Nia telah merubah sedikit sebanyak sikapnya. Mungkin sebenarnya dia mula menempatkan Nia di suatu sudut dalam hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience