Chapter 32

Humor Completed 22614

Bab 32

PETANG itu tatkala Heris pulang ke rumah dia sedikit terkejut melihat keadaan rumahnya yang bersepah. Matanya cukup pantang melihat situasi itu. Dia akan mudah naik marah apabila melihat suasana yang berserabut di ruang pandangannya.

“Sophia!” Suaranya tinggi memanggil nama isterinya yang tidak kelihatan.

Damm!

Bunyi hentaman pintu disusuli tapak kaki Sophia yang melangkah menuruni anak tangga menarik perhatian Heris. Beberapa ketika kelibat Sophia muncul dengan senyuman ceria di wajahnya menyambut kepulangan Heris.

“Mamoru… I miss you!” Sophia merangkul suaminya dan mengucup bibir lelaki itu.

Heris hampir hilang keseimbangan dan hampir terjatuh dengan perlakukan Sophia. Dia kemudiannya menjarakkan dirinya sedikit dengan Sophia supaya mudah untuk bercakap dengan isterinya itu.

“Adik, apa dah jadi dengan rumah kita?” Heris bertanya dengan serius sambil matanya tidak lepas memandang ruang tamu yang berselerak.

“Kenapa?”

“Kenapa? Bersepah… baju, kamera, filem, surat khabar… ni apa ni? Tak boleh kemas ke lepas guna? Cakera padat tu kenapa tak simpan semula di tempat asalnya? Meja ni, dah nampak senget benget… tak reti nak betulkan semula ke.”

Membebel macam mak nenek. Rungut Sophia dalam hati.

“Saya tak sempatlah. Nanti saya buat, okey,” alasan…

“Tak sempat? Awak buat apa seharian di rumah?” amarah Heris kian berbunga.

“Saya keluar cari kerja,” jawab Sophia tanpa rasa bersalah.

“Kerja? Kan saya dah kata awak tak payah kerja.” Heris sudah tidak tahan melihat ruang tamunya yang berselerak lantas dengan pantas dia memulakan operasi mengemas. “Awak jangan risaulah. Saya boleh sara awak. Lagipun saya dah janji dengan family awak untuk jaga awak.” Heris menyusun lembaran-lembaran surat khabar yang bertebaran di lantai. Dia tersenyum melihat beberapa iklan jawatan kosong yang ditanda dengan marker di ruangan iklaneka oleh Sophia.

“Tapi saya boleh jadi gila duduk sendirian dalam rumah ni tanpa buat apa-apa.” Sophia menghampiri Heris sambil tangannya giat menyusun cakera padat yang bertaburan di hadapan meja televisyen.

“Awak tak kan gila kalau tahu mengisi masa lapang.” Surat khabar tadi disimpan di bawah meja kopi. Sementara filem-filem serta kamera milik Sophia dikutip dan disimpan di tempat yang sepatutnya.

“Apa yang saya boleh buat selain bekerja?” Sophia membetulkan susun atur meja yang telah lari dari kedudukan asalnya.

Heris mengerling isterinya dengan senyuman penuh makna. Dia mengutip jaket denim milik Sophia yang terselit dicelah sofa lantas menghampiri wanita itu dari belakang.

“Awak boleh buat apa sahaja yang awak suka kecuali kembali bekerja.” Heris mengeraskan perkataan ‘bekerja’. Dia menyematkan jaket tadi ke bahu Sophia.

“Babe, please…”

“No…” Heris sekadar melontarkan senyumannya selepas melihat ruang tamunya yang telah kembali kemas teratur. Sedap mata memandang.

“Mamoru, my sweet heart…” kelopak mata Sophia terkedip-kedip macam anak kucing minta simpati pada tuannya.

“No…” namun jawapan Heris tetap ‘no’. Hanya senyuman yang tidak lekang di wajah lelaki itu apabila melihat isterinya asyik merayunya tanpa henti.

“Okey… macam mana kalau kerja part time saja?” Sophia tidak putus asa berharap.

“The answer is still NO.” Heris duduk di kerusi dekat piano.

“Mamoru, please…” Sophia duduk di peha Heris dan merangkul leher lelaki tersebut. Dia terus merengek-rengek memujuk Heris supaya membenarkannya bekerja.

“Ti… dak… N.O…no!”

Theng…!

Serentak bunyi piano itu berbunyi bagai muzik latar yang menandakan keputusan muktamad yang dicapai dalam perbincangan itu. Heris menoleh. Piano yang biasanya tertutup itu telah terbuka penutupnya.

“Adik, usik piano ni ke tadi?” tanya Heris kepada Sophia yang masih merangkulnya.

Sophia diam. Tertunduk menyembunyikan wajah bersalah. Heris memandangnya tapi dia tidak nampak wajah yang bersembunyi di dadanya itu. Heris menolak bahu Sophia dan mengangkat dagu wanita tersebut menghadapnya. Direnungnya mata Sophia. Wajah wanita itu seakan mencerminkan rasa bersalah. Sebentar kemudian Heris kembali tersenyum.

“Sorry, adik usik barang Mamoru.”

“Seronok dapat tekan mata piano?” Heris membangunkan Sophia dan berkalih menghadap ke pianonya.

Sophia diam. Takut untuk menjawab.

“Tentu rasa teruja bila mendengar bunyi yang keluar dari tekanan jari kita. Apa yang awak rasa?” tanya Heris lagi.

“Rasa nak tekan lagi.” Sophia senyum semula apabila wajah Heris tiada tanda-tanda mahu memarahinya.

“Mari duduk.” Heris menghulurkan tangannya kepada Sophia. Sophia menyambutnya dan duduk di sisi Heris.

“Piano ni saya tak letak di apartment sebab apartment saya sempit. Memandangkan kita dah pindah ke sini jadi saya letakkan ia di rumah ini. Lepas ni bolehlah saya mengarang lagu di rumah. Jadi saya ada banyak masa bersama awak. Awak tak kan bosan.”

“Betul?” Sophia tersenyum gembira dengan kata-kata Heris.

Heris mengangguk. “Nak dengar satu lagu?”

“Nak.”

“Okey, awak boleh buat satu permintaan lagu.”

“Betul ke?” Sophia benar-benar gembira.

Heris mengangguk. Sophia memegang pipi Heris lalu mengucup dahi lelaki itu. “Ini hadiah dari saya sebab awak sangat baik dan saya sangat sayang ‘Mamoru’ saya yang sangat comel ni.”

“Jangan suka memanggil saya dengan nama ‘Mamoru’. Ibu saya dah beri nama yang cantik untuk saya.” Sejenak Heris mempamer wajah masam kerana nama tersebut.

“Saya tak peduli. Mamoru ialah Heris dan Heris ialah Mamoru saya.”

“Whatever… so, nak lagu apa?”

“Lagu yang romantik. Endless Love.”

Heris tersenyum lantas jari-jemarinya mula menyentuh piano dan mendendangkan lagu permintaan Sophia. Itu lagu yang sesuai untuk mereka berdua yang berharap ikatan yang baru mereka bina itu akan kekal dan tidak akan tamat. Biarlah maut yang memisahkan mereka tapi bukan disebabkan pihak ketiga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience