Chapter 34

Humor Completed 22614

Bab 34

SOPHIA menguatkan volume radio sebelum masuk ke dapur. Dia mengambil apron dan dikenakan pada tubuhnya. Rambutnya diikat kemas dan disepit dengan penyepit rambut. Dia mengeluarkan salah seekor ikan tenggiri yang dibelinya dari pasaraya dari dalam beg plastik di atas sinki. Ikan itu diletakkan di atas papan landas. Sebilah pisau diambil dari dalam laci. Dia memegangnya dengan kemas.

Hmm… bahagian mana yang patut aku potong dulu? Sophia mengusap-usap dagunya. Sepatutnya buang bahagian yang tidak boleh dimakan. Jadi patut buang kepala, ekor dan isi perutnya. Dia mengangguk dengan penuh yakin. Mata pisau itu diletakkan tepat pada pangkal kepala ikan. Digerakkan pisau itu ke depan dan ke belakang berulang kali. Kepala ikan itu masih tidak berjaya dipisahkan dari badannya. Sophia menambahkan daya tekanan pada mata pisau itu dan terus menghiris ikan tersebut. Ikan itu memang bernasib malang kerana jatuh ke tangan Sophia yang tidak pernah menyiang ikan. Beberapa minit kemudian ikan tadi masih tidak berjaya disempurnakan oleh Sophia.

“Argh…! Patutnya aku suruh pakcik penjual ikan itu siang sekali ikan yang sangat menyusahkan ini.” Sophia semakin geram dengan situasinya sekarang.

“Tak boleh mangalah. Sophia Heartnett seorang yang sangat berusaha. Jadi jangan mengalah Mrs. Kruger!” Sophia menjeritkan kata-kata semangat untuk dirinya sendiri.

Dia kembali menyiang ikan tadi. Dia bernyanyi-nyanyi kecil mengikut lagu yang sedang diputarkan oleh penyampai radio dari radio yang sedang berkumandang. Akhirnya setelah hampir satu jam, Sophia berjaya menyiang dua ekor ikan sahaja. Beberapa ekor ikan lain yang tidak sempat disiang lagi disimpan ke dalam peti sejuk beku. Dua ekor ikan tadi dicuci hingga bersih dan diletakkan ke dalam mangkuk. Mangkuk itu dibiar di tepi dapur.

Sophia menuju ke ruang sebelah kiri dapur. Dia mengambil beberapa jenis sayur dan mula memotongnya. Sayur brokoli dan kubis bunga diletak di dalam satu bekas manakala sayur sawi dalam satu bekas dan lobak dalam satu bekas. Dipotongnya sayur-sayur berkenaan mengikut citarasanya. Selepas sayur-sayuran, Sophia memotong bawang pula. Setelah semua bahan-bahan disediakan dia mula memasak.

Minyak dipanaskan di dalam kuali. Setelah minyak panas, dengan berhati-hati Sophia memasukkan ikan yang disiangnya tadi ke dalam kuali. Dia melompat-lompat cuba mengelak daripada terkena minyak panas yang memercik akibat ikan yang baru dimasukkannya tadi. Dia mengambil langkah berhati-hati dengan mengambil penutup periuk untuk memasukkan ikan yang kedua. Setelah ikan yang kedua masuk ke dalam kuali, cepat-cepat Sophia meletakkan penutup periuk di tangannya di atas kuali. Fuhh…! lega…

Dia berkalih pula pada sayur-sayurnya. Dia bercekak pinggang dan memikirkan apa yang patut dilakukan dengan sayur-sayurnya itu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menumis sahaja sayur-sayur tersebut. Dia mengambil kuali kedua dan diletakkan di atas dapur. Dicurahkan sedikit minyak ke dalam kuali tersebut dan dihidupkan api dapur. Apa yang mesti dimasukkan dulu? Bawang kot… Sophia mencampakkan bawang merah dan putih ke dalam kuali panas itu. Dikacaunya sedikit dengan sudip. Dia seperti seorang pahlawan yang bermain pedang dengan sudip itu tapi entah dengan siapa. Wajahnya begitu cemas, takut terkena minyak panas.

Sayur yang mana dulu perlu dimasukkan? Sophia tidak tahu sayur yang mana satu perlu dimasukkan dahulu. Dia mengambil yang paling dekat dengan tangannya iaitu lobak kemudian sawi dan akhir sekali brokoli dan kubis bunga. Dikacaunya ala kadar dengan sudip saktinya lalu diambil pula penutup kuali dari kuali ikan di sebelahnya dan ditutup pula sayur-sayur berkenaan.

Sophia memandang ikan-ikannya di dalam kuali. Satu masalah timbul. Bagaimana nak terbalikkan ikan-ikan ini? Oh, tidak… nampaknya aku terpaksa berkorban. Dengan tidak rela hati Sophia menterbalikkan ikan-ikan itu. Dia membuka penutup kuali di sebelah. Sayur-sayurnya sudah mula layu. Dia memasukkan garam dan sedikit serbuk perasa kemudian mencurahkan air yang sudah disediakan sejak awal. Sayur tersebut dikacau lagi dengan sudipnya. Satu lagi persoalan muncul di benaknya… macam mana nak tahu sayur ini sudah masak? Tengok sayur sawi tu dah layu maksudnya sudah masaklah agaknya. Dia terus mematikan api dapur.

Sophia ke ruang tamu dan mematikan radio yang semakin membosankan. Tiba-tiba pintu dibuka dan Heris muncul. Sophia tersenyum gembira dan meluru ke arah Heris. Heris mengangkat tangannya separas bahu menghala ke arah Sophia. Sophia berhenti mengejut.

“Pejam mata. Sebelum awak beri suprice pada saya, saya ada suprice untuk awak.”

“Ala, mana aci. Saya ada suprice, awak pun nak bagi suprice.” Sophia tidak puas hati kerana Heris mahu memberikan kejutan pada waktu yang sama dengannya.

“Nak ke tak? Pejam mata cepat.”

Sophia menurut dan memejam matanya seperti yang dipinta oleh Heris. Heris menghulur sesuatu kepada Sophia.

“Okey, sekarang dah boleh buka mata.”

Sophia yang begitu teruja, membuka matanya tapi wajahnya berubah setelah melihat kejutan yang dikatakan oleh Heris tadi. Sedikit pun dia tidak rasa terkejut.

“Cuma kotak biasa sahaja yang saya nampak.”

“Oh, tidak sayang… ia bukan kotak biasa. Tumpukan perhatian pada kotak ini. Saya akan tunjukkan kejutan tersebut.”

Sophia merenung kotak tersebut mengikut arahan Heris. Beberapa saat kemudian… sesuatu melompat keluar dari dalam kotak yang biasa itu. Serentak dengan itu Sophia terperanjat lantas menjerit.

“Aahh…!!” Sophia melompat ke belakang.

Dia mengurut dadanya. Bagaikan seketul darah dari jantungnya memercikkan isinya ke kepala. Ini benar-benar kejutan yang dibuat oleh Heris dan ianya telah berjaya. Heris terkekek-kekek ketawa melihat telatah Sophia.

“Jahatlah awak ni.” Sophia memukul tubuh Heris.

“Inilah kejutan daripada saya.” Tawa Heris masih bersisa.

“Kejutan yang teruk.” Sophia sedikit hampa.

“Apa yang teruk? Badut berhidung merah ini atau sesuatu pada mulutnya.”

Sophia melihat badut yang bergoyang-goyang pada spring di kotak tersebut. Ada sesuatu pada mulut badut tersebut. Sophia mengambil cincin perak bercorak unik di sekelilingnya yang disangkutkan oleh Heris pada mulut badut tersebut. Sophia cuba menyarungkan cincin tersebut di jari manisnya. Longgar. Dia memandang Heris minta penjelasan.

“Ini bukan saiz saya, Mamoru.”

“Oh, saya dah tersilap. Bermakna yang ini baru untuk awak.”

Heris menyeluk poketnya dan mengeluarkan satu lagi cincin yang sama. Sophia tersenyum.

“Hulur tangan.”

Sophia menghulur tangannya kepada Heris. Heris menyarungkan cincin tersebut ke jari manis Sophia. Sophia tersenyum bahagia. Dia menarik pula tangan Heris dan menyarungkan cincin yang dipegangnya di jari manis Heris.

“Kenapa beli cincin?”

“Saja. Awak tak suka?”

“Bukan tapi kita kan dah ada cincin perkahwinan.”

“Cincin perkahwinan tanda penyatuan dua hati tapi cincin ini lain.”

“Apa yang lain. Istimewa?”

Heris mengangguk.

“Kalau awak perlukan saya, gunakan cincin ini sebagai perantara kita berdua.”

“Tapi macam mana?”

“Seru namaku tiga kali dan aku akan hadir sebagai pesuruhmu…” Suara Heris yang begitu dekat dengan telinga Sophia tiba-tiba berubah. Menyeramkan.

Sophia menoleh kepada Heris. Dia memukul tubuh lelaki itu. “Janganlah main-main.”

Heris ketawa melihat Sophia yang nampak marah dengan gurauannya.

“Bergurau saja, okey. Janganlah marah…Lepas ni kalau kita saling memerlukan antara satu sama lain, cuma perlu pegang kuat-kuat cincin ini dan panggil dengan suara hati.” Heris memegang erat cincin di tangan Sophia. Sophia cuma memandang dengan senyuman.

“Macam mana nak panggil dengan suara hati?”

“Kalau kita ada perasaan yang kuat diantara satu sama lain semua tu tak mustahil kot.”

Sophia mengucup pipi Heris.

“Terima kasih, Mamoru.”

“Everything is for you, babe.” Heris membalasnya dengan menyentuh hidung Sophia.

Mereka berjalan beriringan menuju ke ruang tengah rumah. Tiba-tiba Heris terbau sesuatu yang tidak menyenangkan.

“Bau apa ni? Adik ada masak sesuatu ke? Macam bau hangit saja,” tanya Heris.

Sophia turut menghidu bau tersebut dan dengan pantas dia teringat sesuatu. Dia menolak lengan Heris yang menumpang di bahunya lantas berlari menuju ke dapur.

“Alamak!” Sophia menjerit.

Heris yang melihat gelagat Sophia yang cemas berlari turut bergegas menuju ke dapur untuk melihat apa yang telah berlaku. Asap berkepul-kepul memenuhi ruang dapur. Sophia kelam kabut mengendalikan ikan yang masih di dalam kuali. Heris yang melihat situasi itu pantas bertindak. Dia membuka tingkap dapur seluas-luasnya. Dia mengambil sudip dari tangan Sophia dan menutup api dapur. Ikan hangus itu diangkat dan diletakkan di dalam pinggan. Sebentar kemudian segala-galanya kembali normal.

“So, ini kejutan untuk saya?” Heris merenung ikan yang sudah hilang rupa asalnya itu.

Sophia tunduk menyembunyikan wajah. Dia duduk bertentangan dengan Heris di meja makan. Heris membelek pula sayur di dalam mangkuk. Satu persoalan muncul di benaknya. Adakah ini makanan manusia?

“Mana nasi?”

Oh, tidak… aku terlupa perkara paling penting. Aku tak masak nasi…

“Eee… saya…”

Dia lupa perkara yang paling asas. Heris sekadar garu kepala sambil menatap wajah isterinya yang gagal. ‘Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya dia sudah mencuba. Mungkin aku perlu rasa masakannya untuk mengambil hatinya.’ Heris mengambil sudu dan merasa sedikit sayur yang dimasak oleh Sophia.

Sophia melihat reaksi yang bakal dipamerkan Heris setelah merasa masakannya. Mata Heris terpejam seperti menahan kedasyatan rasa masakan Sophia. Melihat wajah suaminya itu tahulah Sophia bahawa dia sudah gagal.

“Adik, saya tak tahu nak kata bagaimana. Walaupun rupanya tidak seperti makanan manusia tapi saya masih berharap pada rasanya. Nampaknya rasanya setaraf dengan rupa bentuknya.”

“Maksudnya saya gagal?”

Heris mengangguk bersikap jujur.

“Jadi kita tiada makanan tengahari.”

Heris menongkat dagu di atas meja dan memandang Sophia.

“Mungkin kita boleh masak semula,” cadang Heris.

“Nak saya masak lagi? Mungkin makan tengahari akan jadi makan malam.”

“Kita boleh masak bersama-sama.”

“Lunch break awak tinggal kurang dari sejam. Jangan lupa.” Sophia mengingatkan Heris.

Betul juga katanya. Pukul 2.00 nanti aku ada temubual dengan wartawan di Hotel Priston Valley. Nak ke sana saja sudah memakan masa hampir setengah jam.

“Tak apa… awak tunggu 5 minit. Saya sediakan makanan berkhasiat untuk awak.”

Sophia bangkit dan menuju ke dapur. Heris akur dan duduk diam di situ. Beberapa minit kemudian Sophia keluar membawa sesuatu. Semangkuk salad diletak di hadapan Heris. Sophia masuk semula ke dalam dapur. Dia membawa gelas yang berisi jus lobak yang dibuatnya pagi tadi.

“Hari ini menu diet. Makan salad dan minum jus.”

“Ini lebih baik daripada ikan hangus dan sayur masin.” Heris mengambil garfu dan menjamah makanan tersebut. “Lepas ni jangan masak sendiri lagi. Saya tak nak sesuatu yang lebih dasyat berlaku kelak.”

“Saya tahulah makanan yang saya masak sangat dasyat hingga tak boleh dimakan oleh manusia.” Sophia kecil hati dengan kenyataan suaminya yang terlalu jujur.

“Bukan itu maksud saya. Kalau tadi saya tiada awak rasa apa yang akan berlaku pada awak? mungkin juga dapur kita akan hangus terbakar.” Heris menjelaskan maksud kata-katanya tadi.

Sophia sedar akan kecuaiannya. Jika Heris tiada mungkin dia juga akan rentung seperti ikan-ikan tadi. Tiba-tiba Sophia teringat pada lukisan ibunya. Dia berdiri dan melututkan kakinya di kerusi. Sebahagian tubuhnya berbaring di atas meja dan mendekati wajah Heris.

“Mamoru, saya terlupa sesuatu tentang kejutan untuk awak.”

Heris menyuap salad ke mulut Sophia yang dekat dengannya.

“Bukankah yang tadi tu kejutan yang awak nak beri pada saya?”

Sophia mengunyah salad di mulutnya sehingga habis sebelum bercakap semula.

“Itu bukan kejutan yang sebenar.”

Sophia turun dari kerusi. Dia berlari anak melalui sisi meja dan mendapatkan Heris. Dia menarik Heris untuk bangun.

“Jom, saya nak tunjuk sesuatu.”

“Kejap… nak minum.”

Heris meneguk air dari dalam gelas. Dia hampir tercekik kerana perlakuan Sophia yang tidak sabar itu.

Sophia menunjukkan sesuatu yang terletak di atas meja separas lutut di ruang tamu. Sebuah bingkai gambar yang berukuran 70x100 cm itu memenuhi ruang meja. Heris terpegun melihat lukisan potret yang sangat seni itu. Di bucu sebelah bawah lukisan itu terdapat tandatangan kecil yang dapat difahami Heris… ‘Trisya’. Adakah ia daripada ibu mentuanya?

Heris duduk dan menatap lagi potret gambarnya bersama Sophia hasil imaginasi ibu mentuanya itu. Sut pengantin yang dipakai oleh mereka berdua dalam potret berkenaan sangat cantik. Ia lebih menarik dan cantik berbanding sut yang mereka pakai ketika sesi fotografi. Ia kelihatan seperti Heris dan Sophia berada di awang-awangan. Mereka berdua seperti sedang terbang menuju suatu destinasi yang tinggi. Heris sangat terpesona melihat hasil karya ibu mentuanya itu. Sophia duduk di sisinya. Daya ikatan di antara mereka menyebabkan Heris memegang tangan wanita tersebut dengan sendiri tanpa disedarinya. Sama seperti di dalam potret berkenaan.

“Apa perasaan awak setelah melihat lukisan ibu?” tanya Sophia sambil melentokkan kepala ke bahu Heris.

“Perasaan yang indah seperti di syurga,” jawab Heris yang masih teruja dengan lukisan itu.

“Macamlah awak tahu syurga tu bagaimana.” Sophia menjeling Heris dengan sisi matanya.

“Entahlah… orang kata di syurga ada bidadari dan bidadari itu awaklah agaknya.”

Sophia senyum tanpa dilihat oleh Heris. Dia menyentuh lukisan tersebut.

“Ibu saya hebat, kan? Ini hadiah paling bermakna pernah saya terima daripada dia.”

“Kita gantungkan ia di sini. Saya nak orang lihat hasil kerja tangan ibu yang sangat mengkagumkan ini.”

Heris melihat ruang dinding yang kosong di belakang Sophia. Sophia hanya diam dan tidak membantah cadangan Heris.

“Apa pandangan awak? Atau mungkin kita patut gantung di bilik kita?”

“Semua itu tidak penting, sayang. Apa yang penting ialah saya cintakan awak dan awak cintakan saya. Daripada awak fikir dimana patut kita gantungkannya lebih baik awak pergi kerja. Sekarang dah pukul 1.30.”

Heris melihat jam tangannya. Dia bergegas keluar setelah mengucup dahi Sophia. Sophia tidak sempat berkata apa-apa apabila melihat situasi Heris yang sudah terlewat. Dia cuma melihat Heris bersama Crush Mermaidnya yang semakin menghilang di sebalik jalan.

Sophia menutup pintu. Dia mengemas meja makan dan dapur sebelum naik ke biliknya untuk berehat. Setengah hari yang meletihkan sudah berlalu. Apa yang dapat disimpulkannya ialah memasak adalah lebih penat berbanding memegang kamera.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience