Chapter 22

Romantic Comedy Completed 22877

Bab 22

SEMUA ahli keluarga Kruger telah berkumpul di meja makan. Semua senyap. Mereka tidak berani bersuara selagi Dr. Marcus Kruger tidak memulakannya dahulu. Dr. Marcus Kruger yang duduk di pangkal meja itu bertentangan dengan Alex. Sementara Frida Fernanda di sisi kirinya dan Heris di sisi kanannya. Di sebelah Heris ialah Sophia yang bertentangan dengan Jerry.

Suasana yang senyap membuatkan Sophia berasa tertekan. Peluh mengalir melintasi lehernya akibat gemuruh yang dirasakannya. Sesekali dia mengerling Heris yang berada di sebelahnya. Setiap minit yang dirasakan terlalu lama bagi Heris. Dia meletak tangan kanannya di atas meja. Tap… tap… tap… jari telunjuknya dilaga-lagakan pada meja menghasilkan satu nada. Bunyi itu menguasai ruang di situ dan menarik perhatian Dr. Marcus. Dr. Marcus merenung Heris. Renungannya sahaja sudah cukup untuk mengarahkan Heris berhenti berbuat begitu. Heris diam. Perlahan-lahan tangannya ditarik turun ke bawah meja.

“A… ayah…” Jerry mengangkat tangan separas telinga seperti seorang murid yang mahu bertanya sesuatu kepada gurunya di dalam kelas.

“Tidak, Jerry. Ayah tidak benarkan.”

Jerry akur. Ayahnya seperti seorang ahli firasat yang sudah tahu akan pertanyaannya. Seminit kemudian seorang tukang masak bersama dengan seorang pelayan perempuan keluar dan membawa hidangan makan malam. Jerry tersenyum. Penantiannya berakhir. Aroma hidangan yang pelbagai itu membuatkan hati Sophia tidak sabar untuk menjamahnya sehinggalah dia terlupa pesanan Heris sebelum datang ke rumah itu tadi. Tangannya seperti ditarik oleh suatu kuasa yang wujud pada makanan itu dan dia terus mencapai sudu di atas meja. Heris yang sedar dengan tindakan Sophia segera menarik tangan nakal Sophia sebelum dikesan oleh Dr. Marcus. Dia berbisik sesuatu kepada Sophia.

“Awak dah lupa apa yang saya cakapkan tadi? Jangan sentuh makanan selagi ayah tidak beri arahan,” bisiknya kepada isterinya.

Sophia yang alpa itu tertunduk malu. Nasib baik Heris pantas menghalang tindakannya tadi. Namun tindakannya itu telah dikesan oleh Alex. Alex memandangnya dan tersenyum seakan memaafkan kesilapan yang pertama selaku ahli baru dalam keluarga tersebut. Sophia sempat membalas senyuman Alex sebelum matanya terarah kepada bapa mentuanya.

Dr. Marcus sedang merasa setiap hidangan malam itu. Dia dilayan oleh isterinya dan tukang masak yang berbadan gempal itu. Seorang lagi pelayan wanita yang berseragam pelayan berwarna biru gelap berdiri di belakang Dr. Marcus sambil memegang dulang. Wajah Dr. Marcus sedikit tersenyum tanda puas hati dengan masakan malam ini. Jerry tersengih kerana ini bermakna penantiannya telah berakhir. Makan malam akan dimulakan jika ayahnya berpuas hati dengan setiap makanan yang dihidangkan. Begitulah sikap Dr. Marcus. Dia terlalu mementingkan rasa dan kualiti makanan untuk keluarganya.

“Makan malam hari ini adalah bersempena menyambut kehadiran ahli baru dalam keluarga kita. Semoga keluarga Kruger akan berkembang lagi. Ayah harap dapat berkenalan dengan Sophia dengan lebih rapat lagi. Heris, ayah mahu kau berfikiran dengan lebih matang setelah mendirikan rumah tangga.” Dr. Marcus memberi sedikit ucapan di hadapan isteri dan anak-anaknya.

Sambil menikmati makan malam mereka berbual sesama sendiri.

“Dengarnya keluarga Sophia ada buka sebuah restoran di Parsi Mellon Park.” Frida memulakan perbualan.

“Emm.” Sophia mengangguk. “Ayah buka restoran.”

“Bagus. Ayah harap ada peluang datang ke sana dan cuba makanan baru.” Dr. Marcus menyambung.

“Lebih banyak menu waktu Light Parade. Ayah datanglah waktu itu,” cadang Sophia.

“Light Parade? Apa tu?” tanya Jerry.

“Lebih kurang macam pesta menuai. Biasanya diadakan pada penghujung tahun. Yang seronoknya ada perarakan cahaya. Malam itu nanti kita boleh lihat berbagai-bagai acara yang menarik dipersembahkan. Diantaranya pertunjukan bunga api,” jelas Frida.

“Macam mana mama tahu? kita tak pernah sambut pun di sini.”

“Sebab mama makan garam dahulu sebelum Jerry,” jawab Alex.

Yang lain-lain hanya tersenyum melihat gelagat Jerry.

“Apa kena mengena makan garam dengan topik kita tadi, Abang Alex?”

Sekali lagi kata-kata Jerry mengundang tawa ahli keluarga Kruger.

“Maksud abang, mama hidup lebih dulu berbanding Jerry jadi mama lebih tahu banyak perkara berbanding Jerry,” Frida Fernanda menjelaskan maksud kata-kata Alex tadi kepada Jerry.

“Ooo…” panjang ‘o’ Jerry. “Jadi tentu Light Parade sangat menarik. Kakak, cepatlah cerita pada Jerry.” Jerry tampak lebih berminat dengan topik perbualan tersebut berbanding menghabiskan makanan di pinggannya.

“Jerry, jangan banyak sangat bercakap ketika makan.” Heris bersuara mematikan niat Sophia untuk menjawab pertanyaan Jerry.

Mulut Jerry panjang ke hadapan. Dia tidak puas hati tetapi tidak dapat membantah kata-kata abang keduanya itu.

“Ayah…” Tiba-tiba Alex bersuara.

“Ya, Alex.” Pandangan Dr. Marcus tertumpah ke wajah anak sulungnya yang berada di hadapannya.

“Alex tak boleh pengerusikan mesyuarat esok.”

Dahi Dr. Marcus berkerut mahukan penjelasan daripada Alex.

“Alex masih belum layak lagi… dengan lebih tepat Alex tidak bersedia untuk itu,” ujar Alex yang memegang sudu yang menyentuh pinggan makannya.

“Lambat laun pun kau akan pengerusikan mesyuarat sebegitu. Tiada alasan lagi, Alex. Kalau Heris ada, ayah ada dua pilihan tetapi di hospital itu hanya kau seorang yang boleh dipertanggungjawabkan.” Dr. Marcus sempat menjeling Heris sekejap.

Dalam diam Heris dicengkam rasa bersalah kerana telah membebani pundak abangnya dengan masalah tersebut.

“Tapi ianya terlalu mendadak, ayah. Alex ada pembedahan…”

“Pembedahan apa? Pesakit yang mengalami Neoplasma jantung tu?”

Alex diam. Dia merenung ayahnya. Dia tahu tentang semua pesakit aku. Aku tiada alasan lagi. Dia bertindak lebih pantas dari jangkaan aku.

“Ayah tahu segala-galanya. Ayah akan ambil alih kes itu. Ayah nak mulai sekarang kau bersedia dengan setiap arahan ayah.” Dr. Marcus memberi kata putus.

“Baik, ayah.” Alex akur.

“Oh, ya… Heris, kau masih tinggal di pangsapuri kau tu? Macam mana dengan rumah yang ayah hadiahkan… suka?”

Lama baru Heris mengangguk.

“Kami berdua akan berpindah ke sana tidak lama lagi.”

“Baguslah begitu. Dah lama ayah beli rumah itu. Memang ayah mahu hadiahkan kepada anak-anak ayah yang berkahwin dahulu.”

Mendengarkan itu menyebabkan hati Sophia berasa lega. Tiada apa yang patut Heris curigai lagi dengan hadiah pemberian ayahnya.

Tiba-tiba satu nada asing berbunyi di antara mereka. Masing-masing senyap. Dr. Marcus mengesan bunyi tersebut milik siapa. Pantang bagi lelaki itu apabila gangguan sebegitu ketika makan bersama keluarga. Direnungnya setiap orang yang berada di situ. Sebelum dapat dikesan oleh Dr. Marcus, Alex bangun dengan berani.

“Maaf, ayah… ia milik saya.” Alex menunjukkan telefon bimbitnya yang masih berbunyi dan bergegar di tangannya.

“Ayah boleh hukum saya tapi benarkan saya jawab panggilan ini dahulu?”

“Baik, kau boleh jawab panggilan itu.”

Sebentar kemudian kelibat Alex hilang. Tinggal mereka berlima di meja tersebut yang sedang mencuci mulut dengan dissert istimewa yang disediakan oleh tukang masak. Alex muncul semula selepas beberapa minit kemudian. Dia mendekati ayahnya.

“Ayah… ada hal kecemasan di hospital. Boleh Alex pergi sekarang?”

Dr. Marcus diam agak lama. Namun Alex tetap di situ menunggu keputusan daripada seorang yang berkuasa di dalam rumah itu.

“Kau kendalikan doktor pelatih yang akan sampai dua hari lagi.”

“Ha?” Alex tidak faham dengan kata-kata Dr. Marcus yang tiba-tiba.

“Hukuman untuk kau,” jelas Dr. Marcus secara ringkas.

Alex mengangguk menerima hukuman yang berbentuk arahan itu.

“Kau boleh pergi. Khidmat kau diperlukan sekarang.”

“Terima kasih, ayah.”

Alex bergegas meninggalkan rumah. Frida, Sophia dan Jerry hanya memerhati Alex sehingga lelaki itu hilang di sebalik pintu. Heris menikmati puding yang disediakan tadi tanpa mempedulikan pemergian Alex. Begitu juga dengan Dr. Marcus. Hanya setelah selesai makan Dr. Marcus bangkit untuk beredar.

“Frida, sediakan kopi untuk saya dan Heris. Suruh Mikage hantar dekat kolam renang.”

Heris memandang sekilas ayahnya yang sedang berlalu menuju ke luar rumah. Frida turut bangkit dari kerusinya dan menuju ke dapur untuk menyediakan kopi yang dipesan oleh Dr. Marcus. Dr. Marcus tidak mahu orang lain menyediakan minuman tersebut melainkan isterinya. Baginya kopi yang dibancuh oleh Frida tiada tandingan dengan orang lain. Itulah perasaannya sejak kali pertama Frida melakukan untuknya.

Tanpa ajakan si bapa, Heris bangun untuk menjejaki ayahnya. Dia tahu itu cara yang halus untuk membawanya berbincang secara peribadi. Walaubagaimanapun dia perlu menjelaskan kepada Sophia agar wanita itu mengerti dan memahami keluarganya.

“Sophia, saya perlu berbincang dengan ayah. Saya terpaksa tinggalkan awak…”

“Takpe. Pergilah… ayah dah tunggu awak tu.”

“Betul?” Heris mahu kepastian.

“Yup… saya tak kisah. Pergilah.” Sophia mengukir senyuman untuk meyakinkan Heris.

Heris gembira kerana Sophia memahami. Dia meninggalkan Sophia dan menjejaki ayahnya yang sudah berada dekat dengan kolam renang di luar rumah. Sophia ditinggalkan di meja makan bersama Jerry yang masih di situ. Setelah kelibat Heris hilang, Jerry bangun dan duduk di sisi Sophia.

“Kak So-phi-a…” Satu persatu Jerry menyebut patah perkataan nama Sophia. “Apa nama penuh kakak?” tanya Jerry.

“Hmm… Sophia Jasmine Luis Hartnett,” jawab Sophia.

“Wow, nama yang hebat!”

“Hebat? Yakah? Kakak tak perasan pun.”

“Maksud Jerry ‘Jasmine’. Boleh Jerry panggil Kakak Jasmine?” pinta Jerry.

“Jerry suka dengan nama ‘Jasmine’?”

Jerry mengangguk. “Sebab Jerry suka dengan pelakon Jasmine Orvido.”

Sophia tersenyum melihat wajah Jerry yang tersengih sedang membayangkan kecantikan pelakon yang bernama Jasmine Orvido.

“Bila Jerry dewasa nanti, Jerry nak cari teman wanita yang secantik Jasmine. Bahagianya…”

Sophia menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah Jerry.

“Jerry, kecantikan bukan sesuatu yang kekal. Jangan anggap kecantikan sesuatu yang sempurna untuk dimiliki. Kalau nak cari teman wanita mesti lihat dari sudut-sudut tertentu dan bukan hanya pada kecantikannya sahaja.”

“Kak Jasmine dan Abang Heris pun begitu?”

Sophia mengangguk sahaja supaya Jerry faham.

“Tapi kalau Jerry nak panggil kakak dengan nama ‘Jasmine’ boleh?”

Sophia diam sejenak. Akhirnya dia mengangguk dan tersenyum. Jerry gembira dengan jawapan itu. Adik ipar Sophia itu mudah mesra dengan orang yang baru dikenalinya. Sophia berasa senang sekali.

“Kak Jasmine, ceritalah tentang Light Parade di tempat Kak Jasmine tu.”

“Boleh, tapi kalau nak lebih jelas Jerry kenalah datang ke perayaan tu nanti.”

“Kakak boleh bawa Jerry?”

“Mestilah boleh.”

Wajah Jerry bersinar-sinar. Dia sangat gembira kerana baru mendapat seorang kakak ipar yang baik.

“Jom kita naik. Boleh berbual sambil menonton.”

Jerry bangun dan menarik tangan Sophia menuju ke arah tangga. Sophia tidak membantah dan ikut sahaja langkah kaki adik iparnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience