Chapter 38

Humor Completed 22614

Bab 38

Paradise Shine…

Volkswogen berwarna biru kundang itu berhenti di luar perkarangan rumah yang megah tersergam berhampiran laut itu. Sebentar kemudian Sophia keluar dari perut kereta yang baru dimatikan enjinnya. Sebuah beg kertas yang mengandungi barang-barang yang baru dibelinya dari pasaraya dipeluk dengan kedua belah tangannya. Pintu kereta ditolak dengan kakinya. Sophia melangkah dengan berhati-hati menuju ke pintu pagar. Anak kunci dari poket seluarnya dikeluarkan untuk membuka mangga yang mengunci pintu pagar. Tidak berjaya. Beberapa kali dicubanya untuk membuka mangga tersebut namun masih gagal.

Sophia berhenti daripada cuba membuka pintu pagar apabila mendapati sebuah kereta, Moon Intergra berwarna hitam berhenti tepat di belakang Velvet Esprada, Volkswogen milik Sophia. Dia memandang lelaki yang keluar dari perut kereta tersebut. Dia mengenali pemilik kereta itu. Pemuda itu berjalan mendekati Sophia.

“Ivan…”

Pemuda itu tersenyum apabila namanya disebut oleh wanita itu. Sophia membalas senyuman tersebut. “Macam mana kau tahu aku tinggal di sini?” tanya Sophia yang terkejut dengan kunjungan Ivan yang tidak disangka-sangka.

“Soalan kau tu seperti tidak mengalu-alukan aku ke rumah baru kau yang cantik ni, Sophia.” Pemuda itu tersenyum dalam kata-katanya. Seolah-olah sengaja menduga Sophia.

“Tentulah tidak. Aku gembira dengan lawatan mengejut kau, Ivan,” Sophia menafikan tuduhan Ivan.

Sophia kembali cuba membuka mangga yang mengunci pintu pagar tadi dengan tangan kanannya. Manakala tangan kirinya sedang memeluk beg kertas yang penuh berisi barang dapur yang dibelinya. Melihat keadaan Sophia yang bersusah payah itu, Ivan cuba menolongnya. Dia mengambil anak kunci dari tangan Sophia lantas membuka mangga tersebut. Dengan pantas Ivan berjaya melakukannya. Dengan mudah dia membuka pintu pagar tersebut.

Sophia tersenyum memandang Ivan. “Terima kasih. Jom masuk,” ajak Sophia.

Ivan mengekori tuan rumah masuk ke perkarangan rumah. Sampai di muka pintu langkah kaki Ivan terhenti.

“Sophia, kita berbual di luar saja.” Ivan rasa itu lebih wajar memandangkan hanya mereka berdua sahaja yang berada di rumah itu.

Sophia berhenti di muka pintu dan menoleh kepada Ivan. “Kenapa? Tak sudi masuk ke rumah aku?” kecewa nadanya apabila pelawaannya ditolak Ivan.

“Tidak, cuma aku suka pemandangan di luar rumah kau. Kau tak kisah bukan?” Alasan itu nampaknya kukuh. Memang tidak dinafikan ruang halaman rumah tersebut yang menghadap ke laut sangat indah untuk dinikmati. Kedudukannya menghadap matahari terbenam dan pantainya berbentuk lengkungan yang luas. Saujana mata memandang.

Sophia mengangguk sambil tersenyum.

“Kalau begitu kau tunggu sebentar. Aku nak simpan barang dulu.”

Ivan mengangguk sambil memandang Sophia yang masuk ke dalam rumah. Setelah Sophia lenyap dari pandangannya Ivan berdiri memandang ke arah laut. Kedua belah tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Bayu laut dibiarkan memukul batang tubuhnya. Terasa nyaman dan segar. Pantai Paradise Shine itu masih suci dari sentuhan manusia. Justeru keindahannya masih belum tercemar.

Sebenarnya dia takut untuk masuk ke dalam rumah putih itu. Berdua dengan Sophia di rumah besar itu mungkin boleh menyebabkan pagar hatinya terlerai semula. Kehadirannya hari ini adalah kerana desakan nalurinya yang mahukan jawapan daripada Sophia. Penjelasan yang belum dibuat di antara mereka berdua selama ini.

Sebentar kemudian Sophia muncul semula sambil membawa segelas minuman untuk Ivan. Dia menjemput Ivan duduk di buaian di hadapan rumahnya.

“Terima kasih.” Ivan mengambil gelas yang dihulurkan oleh Sophia.

Sophia duduk di sebelah Ivan.

“Hari ni tak kerja?” tanya Sophia. Sekadar berbasi-basi.

Ivan menggeleng tetapi tidak memandang kepada Sophia.

“Cuti. Sekali-sekala perlukan rehat juga.”

“Baguslah… sekarang kau dah boleh berfikir yang rehat itu penting. Jangan asyik menghambakan diri dengan kerja, Ivan. Nikmati kehidupan sementara masih muda,” akui Sophia secara langsung menasihati Ivan yang dikenalinya sebagai worker-holic selama ini.

Ivan sekadar senyum tipis. Dia memandang hujung kasutnya. Rumput manila yang dipijaknya menenggelamkan sebahagian kasutnya. Bagaikan permaidani yang dibentang di muka bumi. Sophia memandang Ivan yang diam tidak bersuara lagi. Mindanya berteka-teki sendiri tentang tujuan sebenar pemuda itu datang ke rumahnya. Dia terasa kekok bila Ivan terus-terusan membisu. Perasaan janggal sepatutnya sudah tiada memandangkan Ivan tetap sahabatnya seperti dahulu tapi entah mengapa dia seolah-olah tidak dapat menepis rasa hatinya terhadap lelaki itu.

“Apa yang sedang kau fikirkan?” tanya Sophia.

Ivan menoleh memandang Sophia.

“Aku tahu kau tak akan datang tanpa sebab. Cakaplah apa yang terbuku di hatimu, Ivan,” pinta Sophia.

Ivan meneroka mata wanita di hadapannya itu. Dia mencari kekuatan untuk berbicara.

“Aku nak tahu. Apa tujuan sebenar kau mengahwini Heris?” Akhirnya terluah soalan yang membebani benaknya selama ini.

Sophia agak tersentap dengan soalan tersebut. Begitu jelas yang Ivan belum dapat menerima tindakan mendadaknya mengahwini Heris.

“Tentang perkara yang telah aku lakukan… adakah kau terdesak untuk mengetahui penjelasannya?” Sophia bersikap tenang berhadapan dengan persoalan Ivan.

“Ya, kau lakukan semua ini seolah-olah seperti mahu menghukum aku.” Ada nada kecewa yang dilepaskan di hujung bicara lelaki itu.

“Aku tidak menghukum kau. Kenapa kau rasa seperti terhukum, Ivan?” Sophia mengetap bibir. Kata-kata Ivan bagaikan sembilu yang menggigit jiwanya kini. Lelaki itu seolah-olah masih mengharapkan sesuatu daripadanya.

“Aku tahu aku salah. Aku ambil mudah dengan hubungan di antara kita selama ini tapi…”

“Kita tiada apa-apa hubungan melainkan kawan,” kata Sophia tegas. Dia tidak mahu merumitkan keadaan. “Kita tak pernah declare untuk jadi kekasih jadi maknanya kita cuma kawan. Hubungan kita tidak lebih daripada sekadar bersahabat. Kau adalah sahabat aku sama seperti Naliz.” Amat menyakitkan untuk meluahkan perkara tersebut. Dalam kekeliruan Sophia terpaksa menolak Ivan.

“Kau tipu…” Ivan hampir tidak percaya dengan apa yang baru keluar dari mulut Sophia.

“Semua tu sudah berlalu. Kita perlu mulakan hidup baru, Ivan. Yang berlalu tak kan berulang.” Biarpun hatinya masih berat untuk melupakan cinta lalu namun dia perlu kuat untuk membina masa depan bersama cinta barunya.

“Maafkan aku. Jadi benarlah kau cintakan Heris?” Ivan pasrah jika itu pilihan Sophia.

Sophia diam. Matanya berkaca-kaca memandang wajah Ivan. Soalan itu dirasakan terlalu berat untuk dijawab. Tiba-tiba sahaja hatinya berbelah bahagi. ‘Aku cintakan Heris… tidak, aku cintakan Ivan. Bukan, aku… aku patut cintakan suami aku seorang… tapi aku juga menyintai Ivan. Bodoh! Siapa… siapa yang aku cinta sebenarnya, Sophia?’

“Ya, aku cintakan…” Kata-kata Sophia tergantung. “Aku cintakan…” Sophia mengulanginya semula tapi ayatnya masih tergantung.

“Kau cintakan?” Ivan memandang Sophia menunggu jawapan dari mulut wanita itu.

“… dia… aku cintakan Heris.”

Jawapan Sophia disusuli dengan dengusan nafas Ivan. Entah samada mengeluh ataupun berasa lega dengan jawapan Sophia. Ivan sudah mengalih pandangan ke arah hadapan. Dia menolak ke belakang rambut hadapannya yang jatuh ke dahi. Dia mengukir senyuman dan memandang Sophia semula.

“Jadi aku harap kau bahagia. Aku tak akan fikir perkara di antara kita yang sudah berlalu. Kita akan terus berkawan seperti dulu.”

Sophia membalasnya dengan anggukan. Dia cuba untuk senyum namun senyumannya dilihat janggal oleh Ivan.

Ivan bangun dari buaian. “Aku minta diri dulu,” ujarnya.

“Hah?” Sophia seperti tidak berada di situ. Dia berkhayal.

“Aku perlu balik sekarang. Kau ada apa-apa yang nak dikatakan lagi?” Ivan meminta diri. Sebelum mengatur langkah dia masih mengharapkan sesuatu terluah dari mulut Sophia.

“Aku…” Wanita itu nampak teragak-agak. Masih ada sesuatu yang terpendam di hatinya.

Ivan menunggu bicara daripada Sophia yang seakan-akan tersekat di kerongkong. Dia merenung raut wajah wanita tersebut. Wajah cantik itu seakan dicalar satu kerisauan. Ada sesuatu yang telah merosak keceriaannya. Hadirnya pada petang itu seolah-olah seperti seekor lebah yang menjadi perosak si bunga milik sang kumbang.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, aku balik dulu.” Ivan menarik tangan Sophia untuk menerima gelas dari tangannya.

Ivan meninggalkan perkarangan rumah Sophia. Dia tidak mahu mengusutkan lagi fikiran Sophia. Dia sedar kehadirannya tidak lagi memberi sebarang erti di situ. Walaupun perkahwinan Sophia sesuatu yang tidak dapat diterimanya sehingga kini tapi biarlah kerana Sophia nampak gembira dan bahagia di sisi Heris.

“Ivan!” Sophia memanggil Ivan yang sudah berada di luar pagar.

Ivan berhenti tetapi tidak berpaling.

“Aku sayangkan Heris. Aku tak pernah menunggu cinta daripada Heris. Dia tidak pernah buat aku menunggu sepertimana aku menunggu kau selama ini. Jangan beritahu yang kau mencintai aku kini sebab ianya telah terlambat.”

Kekecewaan tergambar di raut wajah pemuda itu tetapi ia tidak dilihat oleh Sophia yang berada di belakangnya. ‘Kau hanya melakukan kesilapan dalam perkahwinan ini, Sophia. Kenapa jalan ini yang kau pilih demi menyakiti hatiku?’

Ivan menoleh kepada Sophia. Senyumannya dipaksa untuk keluar.

“Baguslah. Kau patut mencintai suami kau. Asalkan kau bahagia, aku turut gembira,” balas Ivan sebelum terus melangkah menuju ke keretanya.

Sophia memandang belakang lelaki itu. Tangan yang menggenggam gelas kaca itu sedang menggigil menahan perasaan hatinya yang sedang berkecamuk. Ivan pergi bersama keretanya sebentar kemudian. Barulah Sophia duduk semula di buaian kayu tadi. Dia memandang air berwarna merah di dalam gelas yang dipegangnya. Setitis air mata menitik jatuh masuk ke dalam gelas. ‘Apa yang telah aku lakukan? Aku patut menyintai Heris seorang. Kenapa kehadiran Ivan mengganggu fikiranku? Aku patut lupakan dia. Aku cuma cintakan Heris seorang. Dialah ‘Mamoru’ aku. Tiada orang lain yang layak bergelar ‘Mamoru’ di hatiku.’

*****

HERIS membelokkan keretanya di simpang rumahnya. Sebuah kereta jenis Moon Intergra berselisih dengannya. Dia menoleh untuk melihat siapa gerangan yang datang ke rumahnya tadi. Matanya dan mata Ivan bertembung sekejap. Masing-masing tidak memberhentikan kereta dan terus memandu. Heris curiga dengan kehadiran Ivan ke rumahnya ketika ketiadaannya. Apa yang dia lakukan dengan Sophia? Hati jahatnya dipaut perasaan curiga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience