Chapter 68

Humor Completed 22614

Bab 68

KETIKA Sophia pulang malam itu Naliz sudah terlelap di hadapan kaca televisyen. Melihat sahabatnya yang sudah nyenyak diulit mimpi Sophia membiarkan sahaja Naliz. Dia menuju ke dapur untuk mendapatkan minuman sejuk bagi menghilangkan dahaga. Mendaki apartment yang didiaminya di tingkat dua belas itu cukup melelahkan walaupun sebenarnya dia menggunakan lif.

Bunyi bising seperti ada penceroboh di dapur menyebabkan Naliz terjaga dari tidur. Mendadak tubuhnya dikilas ke arah dapur kerana menyangka rumahnya diceroboh. Namun hatinya lega sebaik Sophia muncul dari balik tabir lawang dapur sambil tangannya penuh menatang makanan. Sophia tersenyum memandang Naliz sebelum berjalan menghampiri sahabatnya yang sedang duduk di permaidani di ruang tamu rumah.

“Sorry… aku ganggu tidur kau.” Sophia duduk bersila menghadap televisyen. Tangannya mencapai alat kawalan jauh dan menukar siaran yang sedang menayangkan drama larut malam.

“Dah pukul berapa ni? Lewat betul kau pulang. Bukan main sibuk sejak mula bekerja sekarang.” Naliz merungut sebaik menelek jam dinding yang sudah menjangkau jam 12.00. Sejak Sophia bekerja, setiap malam dia tertidur di ruang tamu kerana menunggu kepulangan sahabatnya.

“Kau dah makan? Nak sikit? Meh aku suapkan.” Tanpa menghiraukan rungutan Naliz, Sophia menyuakan aiskrim vanilla yang disudunya ke mulut Naliz.

Naliz menelan aiskrim yang disuap Sophia secara paksa. Serta merta kesegaran aiskrim yang dingin itu menerjah otaknya. Terasa ngilu menelan makanan sejuk di kala dini pagi begini.

“Aku kerjalah. Bukannya aku meronggeng tak tentu hala di luar tu.” Aiskrim disudu lagi kali ini diletak di atas sekeping roti sebelum masuk ke mulutnya. Mulutnya yang penuh tersenyum sambil menonton klip-klip video muzik di kaca televisyen.

“Sophia… janganlah kerja terlalu kuat. Kau ni aku tengok hampir setiap hari pulang melewati jam 12.00.”

Senyuman Sophia masih lagi tersungging di bibir. Matanya sekadar mengerling Naliz sambil mulutnya mengunyah roti+aiskrim vanilla. Sebaik menghabiskannya dengan gelojoh dia meneguk jus kiwi pula. Sesudah itu dia mencapai pizza yang sempat dipanaskannya ketika di dapur tadi.

Naliz memerhatikan Sophia dengan pelik. Melihat makanan yang penuh di atas meja kopi tambah mencurigakannya. Dari mana Sophia mendapat nafsu makan yang begitu dasyat di tengah malam begini. Naliz geleng kepala.

Sedang asyik Sophia menjamu makanan tiba-tiba muzik video terbaru Kelly Hung tertayang di kaca televisyen. Kebetulan lagu yang merupakan single terkini artis tersebut adalah hasil kerja seni Heris. Serta merta nafsu makan Sophia turun secara mendadak. Pizza di tangan diletak di atas meja. Dia mencapai alat kawalan jauh dan segera menukar siaran.

“Woi, buat apa tukar! Kelly Hung tu. Aku nak tengoklah, Sophia.” Naliz tiba-tiba mengamuk lantas cuba merebut semula alat kawalan televisyen dari tangan Sophia. Namun Sophia lebih pantas dan cekap menyorokkan alat kawalan televisyen.

“Sorry… aku tak suka lagu baru Kelly Hung. Tak best langsung.” Sophia mengkritik buta-buta. Bukannya lagu terbaru Kelly Hung tidak sedap. Ada sebab lain sebenarnya.

“Lagu Kelly tak sedap atau… kau bencikan pencipta lagunya.” Naliz menyerkap jarang. Dia dapat membacanya sebaik melihat riak wajah Sophia yang tiba-tiba masam mencuka sebaik muzik video Kelly Hung muncul tadi.

“Diamlah kau.” Sophia kembali mengunyah pizzanya sambil menyaksikan rancangan sukan. Rancangan sukan… bola sepak… “Kenapa mesti bola sepak pula!”

Terhenti sekali lagi seleranya hendak menghabiskan pizza. Bola sepak adalah sesuatu yang sinonim dengan Heris Kruger maka dengan hati yang jengkel dia menekan lagi tubuh alat kawalan jauh untuk mengalih ke siaran berita. Namun sekali lagi dia berasa sakit hati kerana pembaca berita juga sedang berceloteh tentang aksi dalam satu perlawanan bola sepak. Akhirnya dia menukar lagi siaran dan menonton drama larut malam. Ketika ini kelihatan seorang lelaki sedang bermain piano dalam drama Spring Waltz.

‘Kenapa perlu ada scene main piano ni waktu aku tengah nak tengok. Arghh!’ Sekali lagi sesuatu yang berkaitan dengan Heris Kruger mengganggu moodnya untuk menonton. Lantas dengan kasar jarinya menekan butang ‘off’. Tak payah tengok tv. Habis cerita! Alat kawalan tv dicampak ke lantai.

“Kau ni kenapa? Tiba-tiba nak naik angin. Dengan remote control pun kau nak lepaskan geram. Apa masalah kau ni?”

Sophia memekakkan telinga mendengar bebelan Naliz. Susu segar dicapai. Tanpa menghiraukan Naliz yang kembali berceramah, susu yang tinggal separuh kotak itu habis diteguk oleh Sophia.

“Sophia, berhentilah. Dah banyak kau telan dari tadi. Kau tak takut gemuk ke makan tengah-tengah malam. Kenapa dengan kau ni? Selalunya kau tak macam ni.”

Sophia yang cuba mahu menyenduk aiskrim segera ditegah oleh Naliz. Naliz tahu pasti ada sesuatu yang berlaku hari ini. Kalau tidak masakan Sophia mahu makan pagi-pagi buta begini.

“Beritahu aku. Apa yang telah berlaku?”

“Aku jumpa Heris tadi.” Sophia melepaskan sudu aiskrim. Sekilas wajah Naliz yang tergamam direnungnya sebelum dia bangkit berdiri. Sejurus dia mengatur langkah mahu mengemas makanan yang bersepah di atas meja Naliz menariknya untuk duduk semula.

“So, apa yang berlaku?” Naliz mahu tahu segera tahu kisahnya.

“Tiada apa-apa yang berlaku kecuali…” dia menyeluk kocek seluar jeans yang dipakainya. “Dia bagi kunci ni pada aku.”

“Kunci?” Naliz mencapai anak kunci tersebut. Dia membelek-belek teruja. Bola matanya mengerling Sophia memberi isyarat mahu tahu kisah selanjutnya.

“Itu kunci rumah kami. Selebihnya aku tak mahu ulas. Aku tetap dengan pendirian aku untuk bercerai dengan dia.”

Tiada lagi kisah menarik yang mahu Sophia kongsikan bersama Naliz selepas itu. Dia mengemas sisa makanan di atas meja sebelum menuju ke dapur. Naliz mengeluh hampa. Sangkanya ada berita baik yang mahu dikhabarkan oleh Sophia kepadanya. Nekad sungguh nampaknya Sophia kali ini. Benar kata orang, pengalaman mendewasakan seseorang. Walaupun Naliz tidak begitu nampak dimana rasionalnya keputusan Sophia kali ini.

DAM! Tersentak Naliz apabila mendengar hentaman pintu bilik yang baru ditutup oleh Sophia. Kasar bunyinya. Nampak sangat kemarahan yang cuba dilepaskan di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience