Chapter 70

Humor Completed 22614

Bab 70

SEBAIK pulang dari kerja Ivan singgah di sebuah kedai serbaneka yang berhampiran dengan kawasan apartmentnya untuk membeli minuman ringan. Ketika dia sedang beratur untuk membayar di kaunter, seorang wanita di hadapan telah menarik perhatiannya. Dia hanya nampak belakang wanita itu tapi tingkah lakunya persis seseorang yang dikenalinya.

“Cik, boleh beri duit kecil?” pinta juruwang kepada wanita yang berambut pendek itu.

“Oh, maaf.”

Wanita itu menyelongkar dompet duitnya untuk mendapatkan wang kecil tapi nampaknya dia seperti tidak menjumpainya. Memandangkan beberapa orang telah beratur di belakangnya, Ivan berasa patut membantu wanita yang kelihatan kelam kabut itu.

“Kira sekali dengan saya punya. Saya bayarkan untuk dia.”

Wanita yang tercari-cari wang kecil tadi mendongak memandang Ivan.

“Ivan!” tegurnya.

Ivan turut menoleh kepadanya. Dia tergamam sebentar kerana tidak sangka dengan apa yang baru dilihatnya. Dua kali dia mengerdipkan matanya untuk memastikan apa yang baru dilihatnya kini.

“Sophia?” Ivan hampir tidak mengecam Sophia yang sudah berambut pendek kini. Setelah keluar dari kedai serbaneka itu mereka mencari tempat yang sesuai untuk berbual.

“Gaya terbaru kau ni hampir buat aku tidak mengenali kau, Sophia.”

“Macam mana… okey tak rambut pendek aku?” Sophia memegang-megang rambutnya.

“Okey.” Ringkas saja jawapan dari mulut Ivan.

“Okey saja?” Sophia seperti kecewa dengan jawapan pendek Ivan.

“Kau tanya samada okey atau tidak, bukan?”

Sophia senyum. ‘Langsung tak pandai nak beri komen. Teruk betul Ivan ni…’ getus Sophia.

“Kau dan Heris macam mana sekarang?” tanya Ivan seketika kemudian sambil meneguk air tin yang dibelinya tadi.

Pertanyaan Ivan mengubah riak wajah Sophia. Ivan memandang Sophia yang senyap tidak menjawab soalannya. Wanita itu sedang merenung jauh ke hadapan.

“Kami tak tinggal serumah lagi.”

Ivan masih memandang Sophia yang nampak buat-buat tenang. Ada sesuatu pada diri Sophia yang mencurigakan hati Ivan.

“Sophia, adakah kau dan Heris…”

“Kau nak tahu, aku baru diterima bekerja di sebuah syarikat penerbitan. Tak sampai sebulan pun lagi. Tapi kerja tu memang menyeronokkan.” Sophia dengan pantas menukar topik perbualan. Dia sangat berharap tidak membincangkan apa-apa yang berkaitan dengan nama ‘Heris Kruger’ buat masa ini.

“Betul? Baguslah. Dimana?” Ivan tahu Sophia mahu lari dari soalannya namun dia tetap mengikut rentak wanita itu. Biar sampai masanya Sophia sendiri akan bercerita dengannya.

“Aku kerja dengan majalah M&W. Kau tahu… hari tu aku berpeluang ke majlis pelancaran album terbaru Kelly Hung.” Sophia nampak gembira menceritakan pengalaman kerjanya.

“Kelly Hung?” Ivan tidak mengenali siapa Kelly Hung. Hidupnya yang hanya dipenuhi dengan agenda kerja selama ini membuatkannya tidak mengikuti langsung dunia hiburan.

“Dia sangat berbeza. Wajahnya tidak sama seperti yang kita lihat dalam majalah dan tv,” sambung Sophia lagi.

“Maksud kau, dia lebih cantik atau sebaliknya?” Ivan berasa patut melayan saja cerita Sophia walaupun dia tidak kenal siapa Kelly Hung.

“Tentulah lebih cantik malah suaranya juga diminati ramai dan…” bicara Sophia mati secara spontan. Bayangan figura Heris Kruger kembali menerjah ruang memorinya.

Ivan pelik apabila Sophia tiba-tiba terdiam. “Dan apa?” tanyanya.

“Hmm, tak ada apa-apa.” Sophia memandang Ivan dan mengukir senyuman untuk menutup perasaannya. “Macam mana pula dengan kau? Kita dah lama tak bertemu. Tentu banyak kisah terbaru yang kau tak kongsi dengan aku lagi.” Giliran Sophia pula mahu tahu perkembangan Ivan sepanjang ketiadaannya di Kota Lisberg.

“Hidup aku biasa-biasa sahaja,” balas Ivan.

“Kau benar-benar nak berpisah dengan Heris?” Ivan tidak dapat menahan diri dari mahu tahu perkembangan perhubungan Sophia dan Heris lantas soalan itu diutarakannya semula.

Sophia diam sejenak. Lidahnya kelu. Dia mengalih pandangan dari memandang Ivan sebelum menjawab soalan itu.

“Selain berpisah, aku tiada jalan lain lagi.”

Suasana senyap seketika. Mereka berdua seolah-olah sedang pergi ke dunia masing-masing tanpa menghiraukan kewujudan sesiapa. Sophia mahu melupakan sebentar kedukaannya dengan berbual dengan Ivan tapi rupanya dia tidak dapat mengelak daripada menerima soalan yang berkaitan dengan Heris. Begitu berat untuk dia menjelaskan kedudukan yang sebenar. Cukup tersiksa batinnya memikirkan kesudahan hubungan ini.

Ivan tidak tahu apa yang patut dirasakannya sekarang. Patutkah dia berasa gembira dengan penceraian Sophia? Adakah hatinya terhadap Sophia masih seperti dahulu? Dan lebih penting lagi Sophia sendiri… Ivan masih lagi rasa bersalah kerana telah menjadi punca keruntuhan rumah tangga Sophia dan Heris. Walau dia cuba membetulkan keadaan namun masih gagal.

“Ivan…”

Ivan menoleh setelah dipanggil Sophia.

“Adakah aku terlalu keras hati terhadap Heris?”

Ivan mengambil nafas panjang sebelum memberikan jawapan yang sepatutnya.

“Tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini. Adakala perpisahan boleh mengubah seseorang. Samada kita suka dengan perubahan itu atau tidak ia bergantung pada diri masing-masing. Aku nak tanya, kau gembira atau tidak selama berpisah dengan Heris?”

Sophia mengalih pandangannya daripada Ivan dan tertunduk memandang rumput hijau yang kelam warnanya ditelan warna malam.

“Kalau kau rasa patut berpisah untuk mendapat semula kebahagian sebenar yang kau cari, teruskanlah niat kau. Tapi jangan pula kau menyesal selepas kau lakukannya… tak kira kau nak teruskan niat kau atau tidak, tetap ada orang yang sedang menunggu kau sebab orang yang menyintai kau bukan Heris seorang.”

Pantas wajah Sophia memandang Ivan semula. Dia melihat wajah lelaki itu. Mulutnya mahu mengatakan sesuatu tapi lidahnya terasa kaku dan bibirnya seperti dikancing rapat. ‘Ivan… kau masih menyintai aku? tidak… tentu bukan itu yang dimaksudkannya.’ Sophia menafikan kata hatinya.

“Ivan, aku patut pulang sekarang. Naliz akan bising jika aku pulang lewat lagi.” Sophia bergegas bangun untuk meninggalkan situ dengan segera. Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Kata-kata Ivan yang seterusnya mungkin boleh menggangu tidur malamnya nanti. Cukuplah otaknya sesak memikirkan Heris. Jangan ditambah dengan nama Ivan pula.

“Kau perlu fikirkan dengan segera. Ia akan terus jadi beban dalam hidup kau kalau kau biarkannya. Kau dah buang masa selama berbulan-bulan untuk selesaikan masalah kau, Sophia… fikirkan siapa yang paling kau cinta dan buat keputusan dengan segera.”

Sophia meninggalkan Ivan selepas kata-kata terakhir itu. Dia berjalan terus dan tidak menoleh semula kepada Ivan. Ivan masih duduk di bangku tadi sambil memandang ke satu arah. Bukan pada Sophia yang baru pergi tapi ke suatu arah yang tidak ditetapkannya. Lama dia duduk di situ sebelum bangkit setelah minumannya habis.

Ketika dia mahu pergi dari situ dia terlihat buku di kerusi panjang yang didudukinya. Ia kepunyaan Sophia. Ivan tersenyum. ‘Perempuan ini masih cuai seperti selalu.’ Getus hatinya sambil menelek-nelek isi kandungan buku tersebut. Ia sebuah jurnal. Ada tarikh dan sedikit catatan di setiap lembaran muka surat. Mungkin temujanji atau tarikh dia patut melakukan sesuatu. Ivan berasa ia penting tetapi dia tidak dapat memulangkannya kepada Sophia malam ini memandangkan Sophia sudah pergi. Akhirnya dia ambil keputusan untuk memulangkannya esok sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience