Chapter 25

Humor Completed 22614

Bab 25

SENYUMAN dibentuk secantik mungkin setelah Sophia masuk ke dalam perkarangan Hotel Pearl Intrusa. Dia berjalan beriringan dengan suaminya, Heris Kruger. Dia cuba melupakan perasaan laranya sebentar tadi. Berulang kali dia menelek gaun yang melekat di tubuhnya itu. Dia kurang berkenan dengan pemilihan warna gaun pemberian Heris yang berwarna maroon itu. Namun begitu dia memaniskan saja wajahnya agar Heris tidak berkecil hati walaupun sebenarnya dia geram kerana Heris membelinya kerana ia cantik pada pandangan matanya yang sukakan warna tersebut.

Walaubagaimanapun dia tetap gembira kerana dapat menjadi tetamu dalam majlis golongan elit yang tidak pernah dibayangkannya sebelum ini. Sophia memegang erat lengan Heris. Heris merenungnya sekilas dengan senyuman di bibir. Heris nampak lebih kacak pada hari ini pada pandangan mata Sophia. Pertama kali Sophia melihat Heris mengenakan tuxedo.

Dia berasa sedang berjalan masuk ke dalam dewan bersama dengan seorang putera raja. Dia dapat merasakan kehadiran mereka berdua sedang menjadi perhatian orang ramai di dalam dewan mewah itu. Semua sedang cemburu kerana dia berjalan dengan putera raja yang menjadi kegilaan ramai gadis (hakikatnya ini hanya imaginasi Sophia semata-mata.)

“Heris!”

Suara seorang lelaki mematikan lamunan Sophia. Dia melihat lelaki itu sedang merangkul suaminya, Heris.

“Tahniah, Abang Andrew,” ucap Heris sebaik sahaja rangkulan mereka lepas.

“Terima kasih atas sokongan kau selama ini, Heris.”

“Ahh, apalah yang saya lakukan. Ini semua titik peluh abang sendiri. Jika tidak masakan Ferez Global boleh berdiri segah ini kini.”

Mereka berdua ketawa bersama-sama selepas itu. Sophia hanya memerhati tanpa menyampuk perbualan Heris dengan lelaki tersebut.

“So, macam mana dengan kehidupan baru kau sekarang?” tanya pemuda itu apabila melihat wanita anggun di sisi Heris.

“Tiada yang lebih gembira melainkan di samping isteri tercinta.” Heris mendakap Sophia dan Sophia hanya tersenyum kecil sambil tertunduk malu.

“Jadi inilah Sophia?”

Sophia mengangguk sambil tersenyum. Dia menghulurkan tangan kepada Andrew.

“Tahniah,” ucapnya gugup.

Andrew menyambut huluran tangan Sophia. Dia merenung Sophia.

“Terima kasih… nampaknya mata yang melihat tidak dapat ditipu oleh telinga yang mendengar tentang awak tempoh hari. Awak sangat jelita malam ini, Mrs. Kruger,” puji Andrew sebaik memandang Sophia dari atas ke bawah.

Sophia tersipu-sipu dan mengerling kepada Heris sekejap-sekejap. Pemuda berkaca mata itu masih tidak memperkenalkan dirinya tapi Sophia dapat mengagak dia ialah Nicholas Andrew Ferez, pemilik rangkaian besar Syarikat Ferez Global. Seperti yang diceritakan lagi oleh Heris sebelum mereka sampai di sini tadi lelaki segak dan berkaca mata itu adalah antara sepuluh lelaki terkaya di Kota Lisberg.

“Selepas ini awak perlu biasakan diri dengan majlis seperti ini, Sophia.”

Sophia hanya mengangguk dan tersenyum.

“Mana Nia?” tanya Heris tiba-tiba.

“Dia asyik menghilangkan diri sejak tadi. Mungkin sedang berbual dengan para tetamu.” Mata Andrew meliar mencari kelibat adik perempuannya. Ramai tetamu yang hadir menyebabkannya sukar untuk mengesan dimana Nia. Heris dan Sophia turut meninjau di sekitar mereka menjejaki kelibat Nia.

“Hai, semua!”

Entah dari mana tiba-tiba Nia muncul di situ bersama mereka bertiga.

“Nia…”

“Ah, abang ni… Nia tidak kemanalah. Cuma berbual-bual dengan tetamu. Manalah tahu dapat peluang business. Nia pun nak berjaya macam abang juga.”

“Oh, tidak… nampaknya kau sedang berangan mahu mengatasi aku.” Heris tersenyum mengejek.

Nia geram. “Hei, aku memang dah lama mengatasi kau selama ini dan jangan terkejut kalau tiba-tiba nama aku tersenarai dalam senarai sepuluh orang terkaya di Lisberg suatu hari nanti,” ujar Nia dengan yakin. Seolah-olah turut cuba menandingi abangnya.

“Hmm, angan-angan kosong.” Heris memperkecil-kecilkan impian Nia. Nia rasa tercabar.

“Nampaknya kau tidak yakin dengan kemampuan aku, Heris.”

Heris tidak membalas. Dia sekadar memandang Nia dengan senyuman sarkastik.

“Abang tak fahamlah dengan kamu berdua. Bila jauh, rindu. Bila sudah berjumpa, nak bertekak pula. Lebih baik abang pergi layan tetamu lebih bagus... Sophia, jangan malu-malu, ya. Keluarga abang dan Heris ni dah macam satu family. Abang minta diri dulu. Okey, Heris.”

Andrew meninggalkan mereka bertiga dan mendapatkan para tetamu yang lain.

“So, inilah Sophia yang telah menawan hati kau tu ya?” Mata Nia Andrea meneroka wanita di sisi Heris itu.

“Oh, terlupa. Kenalkan Sophia, inilah Nia Andrea, kawan baik saya sejak kecil.” Heris segera memperkanalkan isterinya kepada Nia, sahabatnya.

“Apa khabar, Cik Ferez?” Sophia menghulur tangan menyapa Nia.

“Nia Andrea Ferez… panggil saja Nia. Selamat berkenalan,” balas Nia sambil menyambut jabatan tangan Sophia.

“Nia, ini Sophia Hartnett… my wife now.” Heris memperkenalkan isterinya kepada Nia.

“Now and forever?”

Heris dan Sophia tersenyum sambil menjeling antara satu sama lain.

“Doakan kami berkekalan, Cik Ferez,” ujar Sophia.

“Oh, Sophia… come on, just call me Nia. Saya kawan Heris so automatically kawan awak juga, okey.” Nia berasa janggal dengan panggilan Sophia terhadapnya. Ia terlalu formal sedangkan dia dan Heris hanya ber’aku’ ‘engkau’ saja selama ini.

“Okey… Nia.” Sophia cuba membiasakan diri dengan panggilan tersebut.

“So, kamu berdua sudah rancang nak berbulan madu?” Nia Andrea yang ramah dan sentiasa tersenyum itu memulakan perbualannya.

“Tidak, belum lagi,” jawab Sophia jujur.

“Eh, bukankah kita berbulan madu hampir setiap hari, sayang?” Heris sengaja berseloroh. “Aouch…!” Sophia menyiku perut Heris kerana geram. Di hadapan Nia pun masih nak bergurau begitu. Sengaja nak memalukan diri sendiri. Getus hati Sophia geram tetapi masih mengukir senyuman kepada Nia Andrea.

“Dia suka bergurau. Awak kenal dia bukan, Nia.”

“Hmm, kalau tak mengusik dalam sehari bukan Herislah namanya tu, Sophia.” Nia mengiakan kata-kata Sophia.

“Tiada cara yang lebih baik selain daripada bergurau untuk mengubat kedukaan. Kamu semua akan gila jika aku tidak buka mulut dalam sehari. Percayalah.”

“You’re right, my dear,” balas Sophia mengiakan kata-kata suaminya.

“Awak tahu, Sophia… dulu Heris pernah bawa saya ke Cupid Luvina untuk berkahwin. Dia ni memang gila. Jantung saya hampir gugur dengan gurauannya itu.” Nia mengurut-ngurut dadanya membayangkan keadaan ketika itu. Betapa Heris mahu membangkitkan semula semangatnya sehingga lelaki itu berani buat lawak bodoh untuk mengahwininya jika dengan perkahwinan saja dapat menyelesaikan masalahnya ketika itu.

“Tapi sekurang-kurangnya kau dah kembali tersenyum dan bersemangat setelah tidak lalu makan sebab rekaan kau dah dicuri. Betul bukan?” Heris menepuk-nepuk bahu Nia.

Apabila rekaan pakaiannya untuk projek akhir semesternya telah dicuri Nia berasa impiannya telah musnah. Segala cita-citanya terkubur. Dia hampir berputus asa pada saat akhir projek itu harus dihantar.

“Ya, terima kasih, Heris… but serious joke is not good for your health.” Nia menepis tangan Heris yang menepuk-nepuk pangkal bahunya.

“Tapi sekali-sekala okey bukan?”

“Yalah, kau saja yang betul.” Nia mencubit pipi Heris dengan sekuat hati. Heris hampir menjerit. Sophia hanya ketawa. Rupanya mereka berdua sangat akrab seperti saudara kandung seperti yang diceritakan oleh Heris. Sebentar kemudian Sophia meminta diri untuk ke tandas.

*******

DI dalam tandas yang kosong itu, Sophia memerhati penampilannya di hadapan cermin besar. Lama dia merenung pantulan imejnya dalam cermin tersebut. Tiba-tiba dia berasa kekurangan pada dirinya. Dia berasa begitu rendah diri apabila membandingkan penampilan dirinya dengan Nia Andrea yang sangat alegan dan jelita. Padanlah dengan kerjayanya sebagai pereka fesyen. Keakraban Nia dengan suaminya juga jelas ketara seperti adik-beradik… atau mungkin lebih daripada sekadar adik-beradik? Oh, tidak… jika ia berlaku, aku akan cincang-cincang Heris. Sophia merias semula penampilannya sebelum keluar dari tandas.

Sophia kembali ke dewan. Langkahnya mati tatkala terlihat Heris dan Nia yang sangat mesra di suatu penjuru. Bergelak ketawa dan adakalanya Nia memukul dan mencubit Heris.

‘Amboi, seronoknya mereka berdua. Apa agaknya yang dibualkan? Mesra bukan main! Nia bukan gadis biasa. Dia orang yang paling bahaya. Aku perlu bijak mengawal Heris… Oh, tidak! Main suap-suap pula. Argh, geramnya… bolehkah kalau aku tarik Heris dan keluar dari sini dengan segera? Apa patut aku buat? Biarkan saja… mungkin itulah cara mereka dan bagi mereka ianya bukan suatu masalah…

‘Walaupun mereka mengaku hanya kawan tetapi aku tetap berasa cemburu. Nia sangat sempurna sedangkan aku tiada apa-apa. Dia sangat cantik. Kulitnya halus dan putih melepak. Pandai bergaya… dan juga seksi. Gaun merah jambu dengan korset hitam yang dipakainya sangat padan dengan dirinya. Dadanya yang putih gebu itu terserlah dan aku perasan mata Heris sedang memerhatikan bahagian mana pada tubuh itu. Geramnya!!’

Tiba-tiba ada seseorang menghulurkan segelas minuman kepada Sophia. Sophia menoleh ke sisinya.

“Ivan?” Sophia terkejut dan hampir menjerit apabila secara tiba-tiba Ivan muncul di sebelahnya.

Ivan mengukir senyuman. Gelas yang berisi jus kiwi itu berpindah tangan kepada Sophia.

“Macam mana kau boleh dijemput ke majlis ini?” tanya Sophia.

“Kau yang tiada kena mengena dengan Ferez Global pun dijemput apatah lagi aku yang bekerja di syarikat ini. Kau lupa selama ini aku bekerja di mana?” Ivan tersenyum melihat gelagat Sophia yang nampak keliru.

“Err… ya, kau pernah beritahu dulu tapi…” kata-katanya terputus di tengah jalan. Tidak terluah rasanya apabila berhadapan dengan jejaka itu secara tiba-tiba dalam situasinya kini.

“Tapi apa?” soal Ivan semula.

“Hmm… tak ada apa-apa.” Sophia sekadar melemparkan senyuman. “Dunia ni memang kecil… atau mungkin Kota Lisberg ini tidak besar mana pun.”

Ivan mengangguk. “Nampaknya jalan yang kau pilih semakin mendekatkan diri kau kepada aku… atau mungkin ini memang rancangan kau, Sophia.” Sarkastik nada suara Ivan seakan-akan menyindir Sophia.

Sophia memandangnya lagi. Dia tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala. Kata-kata Ivan cuba dipandangnya secara positif. Walaupun hakikatnya ia sedikit mengguris hati kecilnya.

“Kenapa?” tanya Ivan apabila melihat reaksi Sophia yang begitu.

“Aku harap segalanya akan berjalan dengan lancar dan kita akan kekal sebagai sahabat sampai bila-bila. Boleh kan, Ivan.”

Ivan diam tak terkata. Matanya terus merenung Sophia yang nampak begitu terserlah keayuannya malam ini. Riak wajah Sophia yang tenang membuatkannya rasa tercabar. Senyuman wanita itu umpama benar-benar dia hidup berbahagia dengan suaminya. Ini membuatkan Ivan rasa kecewa. Namun tidak sesekali dia menunjukkan rasa kecewa itu di hadapan wanita itu. Dia melawan rasa kekecewaan itu dengan roman wajahnya yang sentiasa tenang.

“Kau tentu tidak berseorangan bukan. Mana suami kau? Tak mahu kenalkan pada aku ke?” Ivan seperti memaksa dirinya melakukan perkara yang paling dibencinya.

Belum sempat Sophia menjawab, Heris dan Nia muncul mendekati mereka.

“Sophia, lamanya ke toilet… buat apa?” Heris sedikit merungut.

“Emm… Heris, Nia, This is my friend, Ivan… Ivan, inilah suami aku, Heris Kruger.” Tanpa berlengah Sophia segera memperkenalkan sahabatnya itu kepada Heris dan Nia.

“Ivan Mayer.” Ivan menghulur tangan dan berjabat dengan Heris. ‘Pandai kau cari lelaki berharta untuk dibuat suami dalam masa yang singkat, Sophia.’ Matanya penuh sesuatu merenung Heris.

“Heris… Heris Kruger,” balas Heris sambil matanya tidak lepas merenung pemuda tersebut. Dia cuba mengingat nama ‘Ivan Mayer’… Mungkin inilah Ivan yang menghantar mesej kepada Sophia tempoh hari. Getus Heris dalam hati.

“Yang ini pula adik kepada pengerusi Ferez Global. Mungkin awak kenal?” Sophia tidak pasti samada Ivan dan Nia sudah berkenalan atau belum.

“No… tapi rasanya macam kenal,” ujar Nia sambil menghulur tangan untuk berjabat.

Ivan menyambut tangan Nia. Kehangatan tangan lelaki itu serta merta mengembalikan memorinya beberapa hari lalu ketika di Ocean Hill… ‘Aku tidak salah. Aku memang mengenalinya.’ Nia begitu yakin sekali.

“Cik Ferez…”

Nia leka. Tangan Ivan masih belum dileraikan lagi. Ivan memandang Heris dan Sophia. Sophia jungkit bahu sementara Heris menutup mulutnya menahan tawa. Dia segera bertindak mencuit bahu Nia agar gadis itu sedar dari dunia khayalannya.

“Oh, maafkan saya.” Tangan Ivan segera dilepaskannya. Sebaik mungkin Nia cuba mengawal situasi yang memalukannya itu.

Alunan piano yang mengasyikkan menarik perhatian hadirin yang berada dalam dewan. Heris menarik Sophia untuk sama-sama menari. Nia dan Ivan ditinggalkan berdua. Ivan memerhatikan Heris yang sedang menari bersama Sophia. Sophia sedang berada dalam pelukan Heris. Meliuk lentok badannya mengikut irama muzik yang berkumandang. Muzik yang begitu membuai perasaan itu membuatkan Sophia terlentok di dada Heris.

Ivan meneguk rakus air minumannya sehingga habis. Nia Andrea asyik memerhati tingkah laku Ivan sejak tadi. Ivan nampak gelisah. Matanya tidak berganjak daripada memerhati Sophia dan Heris. Nia mula merasakan sesuatu dengan sikap yang ditonjolkan Ivan. Dia ingin lebih mendekati pemuda tersebut. Ada sesuatu yang telah menarik perhatiannya.

“Ivan… Ivan!” dua kali Nia memanggil baru Ivan sedar.

“Ya.” Ivan menoleh kepada Nia.

“Awak tidak ingatkah siapa saya?” tanya Nia.

“Ingat? Kita pernah berkenalan?” Ivan ingat-ingat lupa.

“Agaknya jika diuji berapa usia otak awak mungkin dah berusia lebih dari 50 tahun. Begitu mudah awak lupakan saya.” Nia sedikit tersinggung kerana Ivan tidak mengingati siapa dirinya.

“Anggaplah apa saja tentang saya. Saya tidak kisah.” Mata Ivan tetap ke arah Sophia walaupun sedang bercakap dengan Nia. Dia tidak berminat untuk memberi perhatian terhadap gadis tersebut. Fikirannya kacau melihat adegan romantik diantara Sophia dan suaminya, Heris.

“Nampaknya awak seorang manusia yang mudah melupakan orang yang pernah berbudi dengan awak. Malangnya saya biarkan awak berteduh di rumah saya ketika itu.” Nia sengaja mahu mengembalikan ingatan Ivan yang hanya tertumpu pada perkara yang sedang diperhatikannya kini; Sophia!

Ivan sedikit tertarik. Dia kembali menoleh kepada wanita di sebelahnya itu. Dia menatap wajah Nia lama… Adakah wanita ini yang tersilap ataupun aku yang terlalu ambil mudah dengan setiap perkara yang berlaku. Lebih-lebih lagi seminggu dua ini… tapi ada sesuatu pada dia yang mengingatkan aku pada seseorang yang baru aku kenali.

“Awak dah ingat sekarang?” tanya Nia.

“Agaknya… kita pernah berkenalan di Ocean Hill tempoh hari…” Ivan sudah ingat.

“Adakah hari ini saya sangat cantik sehingga awak lupa dengan wajah saya?” Nia senyum memikat sambil asyik merenung raut kacak pemuda di hadapannya itu.

“Mungkin cahaya lampu malam ini terlalu cerah.”

Nia tertawa kecil mendengarkan alasan Ivan.

“Jadi adakah awak akan lebih mudah mengingati saya jika di tempat gelap?” Senyuman gadis itu sentiasa mekar indah. Matanya yang menawan itu juga tidak berganjak dari terus merenung Ivan.

“Gelap adalah tempat paling bahaya bagi mereka yang belum saling mengenali tapi bagi saya di tempat cerah lebih bahaya kerana saya nampak setiap gerak geri awak yang sedang merenung setiap inchi diri saya,” ujar Ivan yang menyedari tingkah laku Nia yang tidak lepas dari merenung dirinya sejak tadi.

“Salahkah saya meneroka diri awak? tubuh manusia juga suatu seni yang perlu dihayati dan… senyuman adalah jalan pintas untuk mengatakan yang saya suka pada awak,” balas Nia yang mengelilingi Ivan sambil menyentuh lelaki itu dengan hujung jarinya telunjuknya.

“Awak bijak berkata-kata, Cik Ferez.” Ivan tenang. Sedikitpun tidak terganggu dengan tingkah laku Nia terhadapnya.

“Lebih baik awak panggil saya ‘Nia’ jika awak tidak mahu bermimpi ngeri malam ini.” Bisik gadis tersebut ke telinga Ivan.

“Mampukah awak memberi mimpi ngeri kepada saya?” Sedikitpun Ivan tidak gentar… apatah lagi terpikat dengan aksi menggoda gadis tersebut terhadapnya.

“Saya tak pasti kecuali selepas awak menari dengan saya.”

Sekejap pandangannya lari dari Sophia dan Heris. Ivan merenung Nia. Seketika kemudian matanya kembali menjejaki Heris dan Sophia yang terus berpelukan di celahan tetamu yang turut menari di situ. Kilauan matanya seperti membawa suatu maksud yang hanya segelintir orang dapat membacanya. Tiba-tiba Ivan memegang tangan Nia.

“Mari kita menari.” Tanpa menunggu jawapan Nia, Ivan menarik Nia ke tengah dewan.

Tindakan drastik Ivan mengejutkan Nia. Dia seperti tidak percaya lelaki yang sukar didekati itu sedang menariknya ke tengah untuk menari bersama. Dia berasa pemuda tinggi lampai itu semakin menarik di matanya.

Nia didakap erat oleh Ivan. Tubuh Nia mengikut gerak lenggok tubuh Ivan yang membawanya. Nia menjejaki mata Ivan yang tidak tertumpu kepadanya. Walaupun langkah tarinya hebat tapi sorot mata jejaka itu tertumpu kepada orang lain. Ada sesuatu diantara Ivan dengan perempuan Heris itu. Nia masih mahu meneka hati Ivan yang baginya istimewa itu.

Alunan piano yang mendendangkan lagu klasik sentimental itu berubah tempo kepada melodi yang lebih rancak. Serta-merta rentak tari mereka turut berubah. Mood romantik telah berubah ceria. Masing-masing saling bertukar pasangan. Begitu juga dengan Heris yang kini menari dengan Nia dan Ivan berpasangan dengan Sophia. Heris dan Nia begitu gembira menari bersama. Kebetulan lagu tersebut lagu kegemaran mereka berdua.

Namun begitu Heris tetap mengawasi isterinya yang sedang menari disamping Ivan. Dia tahu Ivan bukan calang-calang orang jika sudah mendapat kepercayaan Andrew. ‘Orang yang tidak banyak bercakap biasanya kuat berfikir. Orang yang banyak berfikir tentu sekali banyak muslihat. Aku mesti berjaga-jaga. Ivan lebih tepat digelar sebagai musuh aku. Dia tidak akan dapat rampas Sophia. Aku lelaki hebat. Tiada siapa boleh tewaskan aku.’

Tiba-tiba hati Heris jadi panas apabila melihat Ivan memeluk Sophia. ‘Tidak…! Ini dah melampau. Aku dah tak boleh bersabar lagi. Apa yang harus aku buat?’ Jiwa Heris memberontak.

Melihat perubahan pada wajah Heris, Nia sengaja menoleh kepada Ivan dan Sophia. Dia terangguk-angguk sendiri. Ada senyuman penuh makna menyaluti bibir merahnya. Dia cuba memahami pergolakan dalam jiwa kedua lelaki terbabit.

‘Apa patut aku buat? Pergi ke sana dan belasah lelaki itu atau tarik Sophia keluar dari tempat ini? kalau aku belasah Ivan, aku akan merosakkan majlis Andrew. Jadi lebih baik aku pergi dari sini.’ Heris meninggalkan Nia dan mendekati Sophia.

“Excusme…” dengan senyuman yang cuba dimaniskan Heris meleraikan tangan Ivan dan Sophia. Dia menarik Sophia pergi.

Sophia nampak keliru tapi dia tidak sempat bertanya kepada Heris kerana suasana yang agak bising. Setelah keluar dari kelompok manusia barulah Sophia mendapat peluang untuk bersuara.

“Heris, kenapa ni?”

“Oh, tiada apa-apa. Saya cuma rimas dalam kelompok manusia. Jom kita balik.” Heris memberi alasan lantas segera menarik Sophia pergi dari situ.

Sophia tidak sempat berkata apa-apa. Heris terus menariknya dengan tergesa-gesa. Namun apabila melalui meja buffet, serta-merta langkah kakinya berhenti. Dia menarik tangannya yang dicengkam Heris.

“Apasal ni?”

“Tidak… saya tak nak balik.”

“Eh, saya kata balik, baliklah.” Suara Heris sedikit meninggi.

“Orang kata tak nak, tak naklah.” Balas Sophia yang turut meninggikan suaranya. “Saya nak makan. Perut saya lapar.” Sophia membenam tas tangannya ke dada Heris. Heris sempat mengambilnya sebelum ia terjatuh. Sophia menuju ke sebuah meja yang yang menyajikan pelbagai jenis makanan.

Sophia mengambil piring yang tersedia dan mengambil setiap jenis hidangan yang nampak menarik di matanya. Tanpa mengambil tempat duduk, dia terus menikmati makanan-makanan tersebut sambil berdiri di sebelah pelayan yang bertugas di situ. Gelagatnya dilihat sekali-sekala oleh si pelayan. Apabila dia sedar pelayan tersebut asyik memandangnya, dia melemparkan jelingan tajam. Serta-merta pelayan itu berpaling semula ke hadapan dan melakukan tugasnya.

‘Apahal nak pandang-pandang aku… nak mati ke? Aku tengah bengang ni. Kedudukan aku sedang tergugat. Kau nak jadi mangsa akukah? Kalau aku tak buat sesuatu, perempuan itu akan jadi pontianak dan menyerang suami aku. Dia bakal merampas takhta aku sebagai Mrs. Kruger. Tak guna betul. Nia Andrea Ferez… walaupun kau cantik dan hebat tapi aku barulah perempuan yang layak bergelar Mrs. Kruger. Aku tidak akan benarkan kau rampas Mamoru kesayangan aku, Faham!!’

Heris memerhati sekeliling. Beberapa orang tetamu sedang memerhatikan gelagat Sophia. Nasib baik kebanyakan mereka sedang sibuk menari tapi walaupun hanya beberapa orang yang memerhatikannya ia sudah cukup merangsang perasaan malu. Perlahan-lahan dia mendekati Sophia. Dia menarik-narik hujung baju Sophia. Sophia tidak layan. Wanita itu tertumpu pada makanan yang sedang dijamahnya. Heris mengetap bibir. Dia geram dengan perangai Sophia. Heris mengambil pinggan di tangan Sophia diletakkan di atas meja dan menarik Sophia. Sophia melawan. Dia mengambil semula pinggan tersebut dan kembali menyumbat makanan ke mulutnya tanpa mempedulikan tingkah Heris yang tidak senang dengan perangainya. Memang dia sengaja mahu mencabar kesabaran Heris. Dan lelaki itu sememangnya tidak berpuas hati dengan tingkah Sophia.

Heris mengambil tindakan dengan mengambil sudu dan memakan sebahagian makanan yang ada di pinggan Sophia.

“Ngi kihe punge hah. Kahau hak amikhah hain.”

“Apa dia? Tak fahamlah.” Heris tidak memahami Sophia yang bercakap dengan mulut yang penuh.

Sophia menelan dulu makanannya sebelum bercakap semula.

“Nak makan, ambillah pinggan lain,” tegasnya sambil membelakangkan pinggan makannya agar tidak direbut Heris.

“Saya bukan nak makan tapi nak tolong awak habiskan makanan ni sebab saya nak keluar dari sini secepat mungkin,” balas Heris. Tangannya cekap mendapatkan semula pinggan makan di tangan Sophia. Dia berjaya dan kembali menyudahkan makanan tersebut.

Sophia diam. Dia tidak lagi menyudahkan makannya. Dia hanya melihat Heris yang bersungguh-sungguh menghabiskan Cream Puff, Cup Cake dan beberapa jenis menisan di pinggannya. Sophia hilang mood untuk makan. Dia menyerahkan pinggan kepada Heris lantas beredar pergi. Pelayan tadi memandangnya lagi. Dia sedar dan menjelingnya dengan tajam sebelum pergi. Heris tidak jadi menyuap Cream Puffnya apabila telah ditinggalkan Sophia. Dia meneguk minuman dengan gelojoh sebelum mengejar Sophia yang sudah keluar dari dewan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience