Chapter 56

Humor Completed 22614

Bab 56

HERIS sudah tiba di perkarangan rumah keluarga Sophia. Dia menuju ke pintu utama rumah di lot persendirian itu. Dia memperkemaskan dirinya sebelum berhadapan dengan Sophia. Rambutnya dilurut-lurutkan beberapa kali ke belakang supaya nampak kemas. Dia bersedia untuk menekan loceng rumah. Punat putih itu sudah disentuh tetapi belum ditekan. Dia berasa kurang yakin. Heris berundur sedikit ke belakang.

Wajahnya yang nampak bersemangat tadi berubah menjadi tidak yakin semula. Dia berjalan ke hulu dan ke hilir di hadapan rumah tersebut. Heris gelisah. Dia melangkah membelakangi pintu dan mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah tersebut.

“Wargh…!!”

Heris terkejut apabila Chris Heartnett, datuk Sophia sedang berdiri dihadapannya ketika dia berpusing untuk meninggalkan situ. Dia hampir terlanggar pasu bunga di belakangnya kerana kedudukan Chris yang sangat hampir dengannya. Chris memandang Heris dengan pelik. Apa yang cucu menantunya itu lakukan dan kenapa tidak masuk ke dalam rumah?

“Atuk, bila atuk berdiri di sini?” tanya Heris sejurus dia sudah berdiri dengan betul menghadap datuknya.

Chris memandang Heris dari hujung rambut hingga ke hujung kaki berulang kali. Dia cuba mengecam pemuda di hadapannya itu.

“Kau ni Si Manggis Kelat, bukan? Apa yang kau buat di luar rumah aku?”

“Ha…? Mang…Manggis kelat? Saya Heris, tok. Suami Sophia.”

“Aku tak peduli dengan nama kau. Pergi berambus. Mood aku sangat teruk hari ini.”

“Atuk, tolanglah benarkan saya jumpa Sophia dulu. Saya nak bercakap dengan dia. Sekejap pun tak apa. Saya nak minta maaf dengan dia,” pinta Heris.

“Kau tak dengarkah apa yang aku katakan tadi?”

‘Ya, aku dengar dan aku juga lihat wajahnya yang nampak keruh. Ini pertama kali aku lihat wajah atuk yang murung. Barangkali kalau aku tidak beredar dengan segera aku tidak akan selamat.’ Lantas Heris meninggalkan situ. Dia tidak berani melawan lagi apabila melihat wajah datuknya yang memandangnya dengan tajam.

Chris berjalan menuju ke pintu rumah tanpa menghiraukan Heris. Heris pula berjalan meninggalkan perkarangan rumah. Dia memang tidak akan benarkan aku berjumpa dengan Sophia. Kesilapan terbesar aku adalah melukakan hati cucu kesayangannya. Tidak mungkin dia akan bertolak ansur dengan aku. Lebih-lebih lagi ayah yang sudah berpesan padaku sejak awal lagi. Mereka tentu anggap aku musuh yang patut dihapuskan kini.

“Hei, Heris…!”

Heris berhenti. Sunyumannya muncul sebaik sahaja mendengar namanya dipanggil semula. Dia menolah ke belakang. Chris yang telah masuk ke dalam rumah tadi muncul semula dan mendekati Heris.

“Kenapa kau tak masuk ke dalam dan berjumpa dengan Sophia?”

Dahi Heris berkerut. Dia keliru dengan kata-kata datuknya itu. Bukankah baru sebentar tadi dia telah dihalau oleh orang tua itu.

“Kau ni memang tak patut. Sophia tentu sedang rindukan kau sekarang. Mari masuk.”

“Bukankah atuk yang halau saya tadi?” Heris terpinga-pinga.

“Halau? Bila? Jangan mengarut. Mari masuk cepat.”

Chris menarik tangan Heris untuk masuk ke dalam rumah. Heris tidak sempat untuk berkata-kata lagi . Dia hanya melangkah mengikut Chris yang sedang menariknya. ‘Aku memang tidak memahami pemikiran orang tua.’

“Atuk…”

Heris berhenti di muka pintu. Langkah mereka berdua mati di hadapan pintu.

“Kenapa?” tanya Chris.

“Eee…ee…” Heris gugup.

“Kau tak nak jumpa dengannya?”

“Bukan… nak, saya nak jumpa Sophia.” Cepat-cepat Heris menafikan kata-kata datuknya.

“Jadi? Ahh, sudahlah… mari masuk.”

Chris menolak tubuh Heris masuk ke dalam pintu yang sudah dibukanya. Dalam sekelip mata Heris sudah berada di dalam rumah keluarga Heartnett. Inilah kali pertama dia menjejak masuk ke dalam rumah itu. Walaupun tidak sebesar rumah keluarganya namun susun aturnya kemas dan teratur. Rumah yang sederhana tetapi suasananya harmoni. Heris melihat setiap sudut di dalam rumah itu. Gambar keluarga yang tergantung di dinding di ruang tamu membuatkan Heris berasa cemburu. Dia terasa rumah ini sangat tenteram dan damai. Ia dilimpahi dengan kasih sayang dan Sophia bertuah memilikinya.

Heris menoleh ke sisinya dan mendapati Chris telah hilang. Matanya menjejaki lelaki tua yang sudah melangkaui usia 80 tahun itu. Chris sedang duduk di ruang makan yang bertentangan dengan pintu yang menuju ke dapur. Heris mahu melangkah menjejaki datuknya. Tiba-tiba langkahnya mati tatkala Sophia muncul keluar dari pintu dapur. Serta merta jantung Heris berdegup kencang. Dia berdebar-debar untuk berhadapan dengan wanita yang dilukainya itu. Sophia masih tidak sedar akan kehadirannya di situ.

“Atuk dah balik.” Sophia mendekati datuknya.

“Ya, dia sudah datang.”

“Ha?” Sophia tidak faham dengan kata-kata datuknya yang tiada kaitan dengan apa yang diucapkannya tadi.

“Siapa? Maksud atuk, Cik Imai?”

Chris menoleh memandang Sophia.

“Kau melukakan hati atuk dengan perkataan ‘Cik Imai’. Atuk sangat sedih.” Chris menongkat dagunya di atas meja dan memandang ke satu arah.

Sophia garu kepala. Kenapa dengan atuk? Atuk ni suka katakan sesuatu yang lari dari tajuk. Lebih tepat lagi dia suka melencong tanpa hala tuju. Sophia mengangkat kepalanya daripada tertumpu kepada datuknya. Matanya terbelalak. Sesuatu yang mustahil sedang berada di hadapan matanya. Dia bingung. Adakah ini realiti ataupun hanya imaginasi semata-mata?

Heris melangkah perlahan-lahan mendekati Sophia. Sophia masih terkesima dengan apa yang baru dilihatnya. Dia menggosok-gosokkan matanya beberapa kali untuk memastikan yang apa yang dilihatnya itu benar-benar ialah Heris. Heris semakin menghampirinya. Sophia lari meninggalkan situ secepat mungkin. Dia berlari naik ke atas.

“Sophia…!!”

Heris mengejarnya. Hempasan pintu menamatkan adegan kejar-mengejar mereka. Heris mengetuk-ngetuk pintu kayu itu dan memanggil nama isterinya.

“Sophia, buka pintu ni!”

Trisya yang terdengar suara lelaki yang asing itu segera keluar dari dapur. Dia mendekati ayah mentuanya yang masih duduk di ruang makan sambil meninjau-ninjau sekeliling rumahnya.

“Siapa ayah?” tanyanya kepada Chris.

“Manggis Kelat,” jawab Chris pendek.

“Apa yang berlaku?” Tanya Trisya lagi.

Chris tidak menjawab.

“Ayah ni kenapa pula? Monyok saja.”

“Sedih… kecewa…” perasaannya masih lagi tertumpu mengenangkan Cik Imai nya.

Trisya menggeleng-geleng kepala. “Ayah memang suka cari penyakit. Lupakan sajalah Cik Imai tu. Dia buat apa pada ayah hari ini?”

“Dia tak datang. Impian ayah untuk menghabiskan masa bersamanya hari ini telah musnah.” Jelas terpamer rasa kecewa pada wajah tua itu.

“Ayah jangan nak bermimpilah. Impian ayah tu umpama menggapai bintang di langit. Dia tak kan layan ayah.”

Trisya meninggalkan Chris lantas menuju ke tingkat atas untuk meninjau keadaan anak menantunya. Dia mendekati Heris yang sedang memujuk Sophia di luar pintu biliknya.

“Sophia, tolonglah buka pintu. Kita perlu berbincang,” pujuk Heris.

Trisya mendekati Heris.

“Heris…”

Trisya mencuit bahu Heris. Heris menoleh kepada ibu mentuanya.

“Ibu…”

Heris mengucup tangan ibu mentuanya yang belum disapanya lagi tadi.

“Biar ibu cakap dengan dia.”

Heris berundur ke tepi demi memberi laluan kepada ibu mentuanya.

“Sophia, buka pintu ni, sayang,” pujuk si ibu.

“Sophia tak nak jumpa dia!” jerit Sophia dari dalam bilik.

“Sophia tak kesian pada Heris? Dia datang jauh-jauh semata-mata nak pujuk Sophia.”

“Ibu tak tahu apa-apa. Dia tu lelaki tak guna.”

“Memang ibu tak tahu apa-apa tapi kalau lari dari rumah bergaduh kerana goreng ikan hangus, ia tidak logik, Sophia. Itu cuma hal yang remeh untuk diperbesarkan.”

‘Goreng ikan hangus? Apa maknanya? Adakah Sophia telah berbohang kepada mereka? Heris terpinga-pinga di sebelah Trisya namun akhirnya dia faham. Tentu Sophia tidak mahu keluarganya tahu perkara yang telah berlaku di antara mereka berdua.

“Sophia tak nak jumpa dia!” jerit Sophia.

“Ibu, biar Heris selesaikan sendiri. Heris yang salah.”

“Tapi…”

“Betul. Heris cuma tak nak susahkan ibu.”

“Kalau macam tu ibu turun dulu. Kalau dia degil juga, nanti kita pecahkan pintu bilik ini.” Trisya sengaja mengeraskan suaranya pada ayat terakhirnya supaya Sophia mendengarkannya. Dia meninggalkan Heris sendiri untuk memujuk isterinya. Setelah Trisya hilang daripada pandangan barulah Heris kembali bercakap dengan Sophia.

“Mereka tak tahu apa-apa tentang kita, bukan? Awak nak mereka tahu jika awak terus kurung diri dalam bilik ni?” ugut Heris.

“Kenapa datang? Awak nak apa? Tak puas lagi nak sakiti hati saya?”

“Sophia, please… maafkan saya. Marilah kita berbincang dan dengar dulu apa yang saya nak katakan.” Suara Heris kendur semula untuk memujuk Sophia.

“Nak bincang apa lagi? Awak sendiri yang putuskan untuk berpisah.”

“Sekarang dah lain. Saya dah fikir masak-masak. Kita tak boleh bercerai,” tegas Heris.

“Tidak. Kita mesti bercerai. Saya tak nak buat silap lagi.”

“Jadi awak tak kisah kalau keluarga awak tahu?”

“Gila. Saya tak akan beritahu merekalah.”

“Tapi mereka tetap akan tahu juga nanti.”

“Suatu hari nanti tapi bukan sekarang.”

“Sekurang-kurangnya mereka tak boleh tahu sekarang, bukan? Jadi kita patut berbaik-baik di hadapan mereka.”

‘Cis, tak guna. Dia perangkap aku. Aku perlu lakukan sesuatu.’ Sophia membuka pintu biliknya. Heris segera masuk. Dia menutup semula pintu setelah Heris masuk.

“Dengar sini… saya tak nak keluarga saya tahu apa-apa tentang kita. Awak boleh tinggal di sini sebelum kita pulang ke Lisberg dan bercerai secara sah,” tegas Sophia.

“Awak tak nak beri peluang agar hubungan kita jernih semula?”

“Diam! Saya tak nak dengar.”

“Untuk kebaikan kita juga.”

“Awak dah kecewakan saya dan saya tak nak hidup bersama awak lagi.”

“Ini cuma satu salah faham. Kita perlu betulkan keadaan ini, Sophia.”

“Tak perlu. Semuanya dah jelas. Kalau kita berbaik pun, esok lusa kita akan bergaduh semula kerana perkara yang sama juga.”

Sophia meninggalkan situ segera. Heris mengekorinya. Sophia berhenti dan memandang Heris dengan tajam sekali.

“Jangan ikut saya. Keputusan telah tercapai. Muktamad!”

“Betul tapi awak nak mereka tahu yang kita masih belum berbaik lagi?” Heris bijak memerangkap Sophia dengan helahnya.

“Jadi pergi duduk di atas dan jangan ikut saya!”

“Saya tak nak.” Heris senyum sinis dan berjalan dengan selamba mendahului Sophia. Sophia berasa geram. Dia hanya mampu bersabar pada waktu ini demi tidak disyaki oleh keluarganya. Dia hanya memerhati Heris yang mengambil tempat di sebelah datuknya. Dia turut mendekati datuknya itu.

“Atuk tak apa-apa?” tanya Heris.

Chris menjeling sekejap kepada Heris sebelum memandang ke arah lain. Mengeluh.

“Atuk jumpa Cik Imai?” Sophia yang duduk di hadapan datuknya pula bertanya.

Chris memandang kepada Sophia dan menggeleng-gelengkan kepala. Wajahnya yang kecewa itu jelas menggambarkan perasaannya. Mengeluh lagi.

“Dia tak datang?”

Chris menggeleng. Keluhannya semakin panjang.

“Kamu berdua dah berbaik semula?” Trisya keluar dari dapur dan mendekati meja tempat mereka bertiga berkumpul.

“Emm, Ibu tak perlu risau. Kami tak apa-apa.” Sophia mengangguk dan tersenyum menjawab pertanyaan ibunya.

“Betul?” Trisya masih sangsi apabila melihat situasi mereka yang nampak masih belum mesra.

Heris yang sedar dengan pandangan sangsi ibu mentuanya itu segera bangun dan duduk disamping Sophia. Dia memeluk pinggang Sophia.

“Betul, ibu. Kami dah berbaik-baik semula.” Dia memeluk dengan erat sekali sehingga Sophia berasa tidak selesa.

“Hmm, baguslah.” Trisya masuk semula ke dalam dapur meninggalkan mereka.

Sophia mencubit peha Heris dengan sekuat hati sebaik kelibat Trisya lenyap. Heris menjerit dalam kebisuan sambil meraba pehanya yang pedih. Wajah bengis Sophia memberi amaran kepadanya agar jangan cuba mengambil kesempatan ke atasnya.

Chris mendongak memandang kedua orang cucunya apabila melihat tingkah Heris yang tergeliat-geliat menahan kesakitan di sebelah Sophia.

“Sayang, berbuallah dengan atuk dulu. Saya nak tolong ibu di dapur.” Sophia berlakon di hadapan datuknya pula. Dia meninggalkan Heris dan masuk ke dapur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience