Chapter 36

Humor Completed 22614

Bab 36

DI ATAS sebuah tikar di bawah pohon kayu yang besar dan rendang Sophia duduk bersantai sambil mengeluarkan makanan serta minuman dari bakul rotannya. Dia hanya menyediakan makanan yang ringan dan mudah penyediaannya. Ada beberapa keping roti, mayonis, salad dan tuna untuk dijadikan sandwich. Dia sempat menggoreng fanfries dan nugget. Juga tidak ketinggalan minuman jus yang digemarinya.

Sophia membuat sandwich yang sudah tersedia bahan-bahannya sambil memerhatikan Heris yang sedang sibuk membuat buaian di dahan pokok kayu yang rendang. Begitu tekun lelaki itu bekerja sejak tadi. Dua kali Sophia berulang-alik ke rumahnya yang lebih kurang seratus meter tapi Heris masih belum selesai dengan buaiannya.

Sophia bangkit. Dia mendekati Heris sambil membawa sandwich yang baru disiapkannya. Dia merangkul belakang tubuh Heris yang sedang menganyam tali buaiannya.

“Awak tak lapar?” Sophia mengusap-usap tengkuk Heris.

Heris menoleh kepada Sophia.

“Tak. Belum lapar,” jawab Heris ringkas.

“Saya buat sandwich istimewa untuk Mamoru saya. Nak tak?” Sophia menghulur potongan sandwich di tangannya kepada Heris.

“Tak nak,” jawab Heris sambil meneruskan kerjanya.

Sophia tarik muka masam. Dia berkecil hati dengan kata-kata Heris.

“Kecuali kalau awak suapkan.” Heris melirik memerhatikan Sophia. Sengaja hendak mengusik.

Wajah Sophia berubah. Secebis senyuman muncul pada raut wajahnya.

“Manjanya.” Sophia menyumbat kepingan sandwich ke mulut Heris yang sedia ternganga.

Sophia meninggalkan Heris. Dia mengambil sebuah komik kemudian memanjat batu besar di sebelah pokok kayu besar itu. Heris hanya memerhati Sophia sambil mengunyah sandwich yang diberi oleh Sophia.

“Hati-hati, batu itu licin!” Heris memberi amaran sambil meninjau Sophia sehingga wanita itu selamat sampai di atas.

“Jangan risau. Buatlah kerja awak!”

Heris tetap memerhati Sophia sehingga isterinya itu duduk betul menghadap ke arah laut. Dia kembali semula menyiapkan buaiannya. Selepas tali kedua yang perlu disangkutkan pada dahan, semuanya akan selesai. Dia dan Sophia boleh berbaring-baring di buaian yang agak lebar itu. Buaian ini juga dibina dengan tujuan sebagai tempat dia mencari ketenangan sambil mendapatkan ilham untuknya mencipta lagu.

Suara Sophia yang ketawa sekali-sekala disambut dengan senyuman daripada Heris yang tidak tahu apa yang lucu sedang dibaca oleh Sophia. Wanita yang dikahwininya itu begitu meminati komik. Memang tidak feminin. Gaya itu tidak sesuai bagi wanita yang sudah bergelar isteri. Namun itu bukan masalah kerana Heris ikhlas menerimanya zahir dan batin. Walaupun masanya singkat tetapi dia tulus mencintai wanita itu.

Entah kenapa dia sudah lupa dengan perasaannya terhadap Nia. Walhal sebelum bertemu dengan Sophia, dia baru sahaja meluahkan perasaan cintanya kepada Nia. Mungkin benar kata Nia. “Cinta itu bukan sekadar untuk dilafazkan. Cinta itu suci walaupun ia buta.” Nia pandai bermadah tentang cinta walaupun dia sendiri tidak pernah bercinta. Ramai lelaki cuba mendekati Nia tetapi tidak seorang pun berjaya memikatnya termasuklah Heris sendiri. Baginya Nia gadis suci yang memburu cinta sejatinya.

Setelah berusaha sejak pagi akhirnya buaian Heris siap didirikan dan diyakini kukuh. Heris menuju ke tikar yang dibentang oleh Sophia tadi. Dia mendapatkan minuman bagi menghilangkan rasa dahaganya. Kemudian dimakannya nugget yang digoreng oleh Sophia pagi tadi. Sudah sejuk tapi masih sedap. Dia nampak sos cili di dalam bakul tapi malas pula hendak menuangnya ke dalam piring. ‘Hmm… tanpa sos cili pun nugget ini tetap sedap.’ Heris mengambil seketul lagi nugget sebelum mendapatkan Sophia yang berada di atas batu besar tadi.

“Adik Sayang!” jeritnya memanggil Sophia dengan nama manja itu.

Sophia tidak menyahut panggilan Heris. Heris terus memanjat.

“Sophia!” jerit Heris lagi dengan kuat.

Sophia tetap tidak membalas paggilan Heris.

Heris sampai di atas batu yang berpermukaan rata itu tapi Sophia tiada di situ. Patutlah panggilannya tidak berjawab rupanya Sophia tiada di situ. Hanya T-shirt longgar warna hitam yang dipakainya tadi dan buku komiknya sahaja yang ada di atas batu itu. Heris mengambil barang-barang milik Sophia. Dari tempat tinggi itu dia mengesan Sophia. Bermula dari rumahnya yang berwarna putih… tiada tanda-tanda Sophia sudah pulang. Sliding door rumah yang sebesar tapak tangan dari tempatnya berdiri itu tertutup rapat.

Pantai yang luas itu turut ditinjau oleh Heris. Tiada sesiapa di kawasan itu melainkannya seorang. Tiba-tiba dia ternampak kelibat seseorang di tengah laut. Nampak seperti memerlukan pertolongan. Mustahil Sophia kerana wanita itu tahu berenang tapi selain Sophia dan dirinya tiada sesiapa yang berada di situ. Heris berasa tidak sedap hati. Dia berlari turun dan menuju ke pantai. Dia yakin itu Sophia. Dia berenang mendapatkan Sophia.

Sophia hilang dari pandangannya. Heris cemas. Dia membenamkan kepalanya ke dalam air dan menyelam. Dia masih tidak dapat mengesan kedudukan Sophia. Tiba-tiba jantungnya tersentak. Darah merah dalam tubuhnya seakan mengalir deras naik ke kepala. Dia terasa sesuatu. Ia seperti perasaan dipanggil seseorang. Heris berpaling ke belakang. Dia nampak Sophia yang tenggelam timbul di dalam air masin itu. Mujur air laut itu jernih. Maka lebih mudahlah Heris mengesan Sophia.

Heris menarik Sophia naik ke permukaan pantai. Heris tidak berfikir panjang dan terus mengangkat Sophia keluar dari permukaan laut. Sophia tidak sedarkan diri. Heris membawanya menuju ke tempat yang lebih selamat untuk memberikan rawatan kecemasan.

***********

HERIS keluar dari bilik air sambil membawa tuala kecil yang dibasahkan. Dia mendekati Sophia yang terbaring lesu di atas katil. Dia duduk di sisi isterinya. Tuala yang lembab itu dilapkan ke wajah Sophia. Sophia celik. Dia menatap suaminya.

“Kata pandai berenang tapi lemas juga,” sindir Heris sambil wajahnya mempamerkan senyum.

“Maaf…” Itu sahaja perkataan yang muncul dari bibir Sophia. Air matanya menitis sambil tangan kanannya menggenggam tapak tangan Heris.

Heris meneroka wajah Sophia yang sayu itu. Pipi wanita itu diusap lembut. Tuala yang digunakan tadi dilipat kecil dan diletakkan di dahi Sophia. Bibir Sophia di kucup penuh kasih.

“Tak perlu minta maaf. Awak tak buat salah. Rehat, ya. Badan awak panas. Saya nak turun sediakan bubur untuk awak.” Heris membetulkan selimut Sophia sebelum keluar dari bilik.

Sophia terharu dengan layanan suaminya. Dia menahan sebak di dada. Dia rasa bersalah dengan perbuatannya tadi. Pada mulanya dia hanya berpura-pura lemas untuk mengusik Heris. Dia berasa bosan apabila Heris asyik dengan buaiannya. Dia sengaja melakukan begitu untuk bermain dengan Heris. Dia langsung tidak menyangka yang permainannya itu telah membawa padah.

Ketika dia tidak dapat mengawal keseimbangan diri di dalam air dia jadi cemas. Hanya seorang yang difikirkannya ketika itu iaitu Heris. Entah bagaimana tiba-tiba dia teringat pada cincin yang dihadiahkan oleh Heris beberapa hari lalu. Dia tahu itulah saat dia perlu menggunakan kuasa cincin tersebut. Mungkin bagi orang lain ia cuma mitos tapi dia berharap Heris mendengar suaranya ketika itu. Cincin digenggam erat dan hanya nama Heris yang difikirkannya. Hanya Heris yang mampu menjadi peyelamatnya ketika itu. Lakonannya menjadi realiti dan dia tidak perlu menguji Heris lagi kerana jejaka itu sememangnya dicipta untuk mencintai dan melindungi dirinya.

Penantiannya selama empat tahun untuk bersama Ivan tidak mendatangkan hasil tetapi Heris berjaya membahagiakan hidupnya tanpa perlu menunggu walaupun sesaat. Tiada apa yang patut dikesali setelah melepaskan Ivan kerana Heris umpama wira Tuxedo Bertopeng yang diimpikannya selama ini seperti dalam kisah Sailormoon yang pernah ditontonya dahulu.

Tabir malam mula terbuka menggantikan siang yang sudah sampai masa untuk pergi. Lampu jalan sudah mula menumpahkan cahayanya ke bumi. Cahayanya tersebar mewarnai warna hitam dek gelap malam. Rumah putih yang tersergam megah menghadap ke pantai itu terang berderang juga. Cahayanya lebih terserlah disebabkan warna cahayanya yang cerah. Penghuninya berada di dalam bilik.

Heris duduk bersandar di kepala katil. Tangan kanannya menyentuh ubun-ubun Sophia yang baring di sebelahnya. Sekali-sekala dia akan menggantikan tuala di kepala Sophia yang sudah kering dan hangat. Berulang kali dia melakukan perkara yang sama. Badan Sophia masih panas sejak siang tadi.

Jam menunjukkan hampir jam 12.00 tengah malam. Heris tersengguk-sengguk kerana mengantuk dan letih tapi rengekan Sophia segera menyedarkannya. Janjinya pada dirinya akan menjaga Sophia sehingga isterinya sembuh. Dia tidak mahu melihat orang yang dikasihinya sakit. Dia mahu melihat kegembiraan dan membahagiakan wanita tersebut.

Dia tidak pernah belajar tentang cinta kecuali daripada Nia yang juga tiada pengalaman bercinta tetapi perasaannya terhadap Sophia muncul secara semula jadi. Secara tersendiri perasaan cinta itu lahir dari jiwanya. Senyuman wanita itu telah menjadi penawar dukanya. Keletah isterinya setiap hari adalah ubat penatnya seharian bekerja. Kucupan Sophia pula sebagai hadiah percintaan mereka yang semakin subur dan setiap gerak-geri dan perbuatan Sophia adalah ilham untuknya mencipta karya seninya. Sophia telah menjadi insan yang sangat penting dalam hidupnya kini.

Tangan Heris tidak dapat bergerak akibat ditindih kepala Sophia. Dia tidak sampai hati mahu mengejutkan Sophia. Sebentar kemudian mata Sophia celik lagi. Dia tidak selesa. Tidurnya tidak mahu lena. Dia mendongak memandang Heris. Lelaki itu menggosok-gosok matanya. Kemudian dia menguap dan memandang Sophia.

“Adik nak apa?” tanyanya dengan lembut.

Sophia tidak menjawab dan terus merenung Heris.

“Panas lagi tak badan?” Heris menyentuh dahi Sophia. Masih terasa lagi hangatnya.

Sophia cuba untuk duduk. Dia memeluk pinggang Heris dan melentokkan kepalanya ke dada suaminya. Dia rasa lebih selamat berada lebih dekat dengan Heris. Heris membelai rambut Sophia yang masih wangi berbau syampu.

“Minta maaf dan terima kasih sebab selamatkan saya.”

“Sebab awak orang yang perlu saya lindungi jadi janganlah berterima kasih dan minta maaf. Semua yang saya lakukan adalah untuk orang yang saya sayang.”

“Saya janji tak akan susahkan awak lagi.”

“Saya tetap akan jaga awak walaupun awak mungkir janji… saya tetap melindungi awak walaupun kita jauh. Saya akan pastikan awak selamat walaupun tanpa saya di sisi…” Heris membalas pelukan Sophia. Kejap dan tidak mahu dilepaskan. Mata Sophia mula lelap semula. Tubuh Heris lebih selesa berbanding tilam empuk itu. “…Sebab awak adalah orang yang saya cintai, Sophia.”

Heris tidak pasti samada Sophia dengar atau tidak kata-katanya itu kerana wajah Sophia tersorok di dadanya. Mungkin isterinya sudah lena tetapi dia tetap mahu memberitahu yang dirinya mencintai Sophia. Setiap hari rasa cintanya semakin berganda. Hatinya diwarnai dengan warna cinta. Degupan jantungnya sedang mendendangkan lagu cinta dan ia tidak mahu berhenti sejak hari pertama Heris mengenali Sophia. Semoga tiada sesiapa yang hadir mengganggu hubungan yang baru bermula itu.

********

SANG MENTARI kembali bertugas untuk memulakan hari baru. Begitu juga dengan semua makhluk yang menghuni alam ini. Masing-masing menjalankan rutin harian mereka. Ada yang mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan. Ada juga yang mengambil cuti untuk berehat setelah lama menghabiskan masa mengabdikan diri pada kerja. Yang kaya terus mengumpulkan kekayaan dan yang miskin masih kais pagi makan pagi demi sesuap nasi untuk anak dan isteri. Yang sihat mungkin akan jatuh sakit dan yang sakit berharap akan sembuh pada hari baru yang sedang bermula ini.

Sophia terjaga dari tidur tatkala bunyi ombak dan riuhnya sang camar mengejutkannya pagi itu. Dia mengangkat kepalanya yang terletak pada dada Heris sejak malam tadi. Dia menyentuh dahinya dengan belakang tangannya. Sudah tidak panas lagi. Kepalanya juga sudah ringan. Dia tersenyum dan memandang wajah Heris yang masih pejam lena itu.

“Terima kasih, Mamoru. Saya sihat dengan cepat kerana dijaga oleh awak.” Sophia turun dari katil dengan perlahan-lahan agar tidak mengganggu lena suaminya. Dia menarik selimut ke tubuh Heris. Dahi pemuda itu sempat dikucup Sophia sebelum melangkah perlahan-lahan dan keluar dari kamar beradunya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience