Chapter 51

Humor Completed 22614

Bab 51

“MAAF, Nia… saya sibuk. Saya akan menyusul awak kemudian.”

Itu sahaja kata-kata yang dijelaskan oleh Ivan kepada Nia pada petang itu. Nia mengeluh setelah talian diputuskan oleh Ivan. Peluangnya terlepas lagi. Dia membatalkan niat untuk menemui Ivan. Dia meninggalkan bangunan Ferez Global dan menuju ke arah selatan. Niat untuk menjejaki Heris tetap diteruskan walaupun tanpa Ivan. Dia bercadang untuk ke pangsapuri Heris. Kemungkinan Heris berada di sana.

Setelah tiba di kediaman Heris, Nia segera mengetuk pintu rumah. Dia melaung nama Heris beberapa kali tetapi tiada sebarang jawapan dari dalam rumah. Dia cuba memulas tombol pintu. Tidak berkunci. Nia segera masuk. Dia semakin yakin Heris berada di dalam.

“Heris…”

Tiada kelibat Heris di dalam rumah tersebut. Nia pelik. Pintu tidak berkunci tetapi Heris tiada. Dia memeriksa semua tempat di dalam rumah kecil itu. Di bilik air… tiada. Di belakang sofa… juga tiada. Di katil… tentulah tiada kerana di situlah tempat pertama yang dipandang oleh Nia ketika masuk ke dalam rumah tadi.

Nia berjalan menuju ke tingkap dekat dengan katil. Dia menyelak langsir yang menghalang cahaya menembusi rumah itu. Dia tidak selesa dengan suasana yang gelap di situ. Dia terlanggar sesuatu ketika hendak duduk di birai katil. Nia memandang ke bawah. Rupanya sebiji mug yang masih berisi dan piring kosong. Dahi Nia berkerut. Dari mana pula datangnya mug dan piring di bawah katil ini? Nia musykil. Dia semakin pasti yang Heris pernah ke sini. Mungkin Heris terlupa untuk mengunci pintu rumah sebelum keluar atau mungkin Heris hanya keluar sebentar.

Tiba-tiba hati Nia tergerak untuk menjenguk semula tempat letaknya mug dan piring tadi. Matanya terbelalak apabila mendapati mug tadi sudah hilang. ‘Ini sesuatu yang mustahil. Adakah mataku menipu? Tidak… aku pasti dengan apa yang aku lihat sebentar tadi. Samada mataku yang menipu ataupun ada mahkluk lain yang mengambilnya.’ Bibir Nia mengukir senyuman. Dia mengangguk-ngangguk kerana sudah pasti dengan jawapan yang ditekanya. Heris bukan lupa untuk mengunci pintu. Heris juga tidak meninggalkan pangsapuri itu. Sebenarnya Heris memang berada di dalam pangsapuri kecil itu.

Nia duduk melutut di lantai. Dia menyelak cadar katil. Apa yang telah dijangkakannya memang tepat. Heris berada di bawah katil. Nia menggeleng-gelengkan kepala. Heris masih tidak berubah. Dia akan menyorok di bawah katil apabila sedang bersedih. Heris seorang yang mudah membuatkan orang lain ketawa dan degil jadi dia tidak mahu menunjukkan wajahnya yang sedang bersedih. Di bawah katil adalah tempat yang sunyi dan gelap. Dia boleh menangis tanpa diketahui oleh orang.

Nia mencapai tangan Heris. Dia menarik Heris keluar dari bawah katil. Heris melawan. Dia enggan berganjak dari situ.

“Keluarlah. Kenapa degil sangat?”

Nia terus menarik Heris.

“Pergi… jangan ganggu aku.”

“Aku cakap keluar… keluarlah! Masalah tak akan selesai kalau kau menyorok di sini.”

“Pergi dari sini.”

“Tak guna. Aku datang ke sini untuk tolong kau. Kau tak patut halau aku.”

“Aku tak perlu bantuan sesiapa. Pergi balik.”

Tak guna. Geramnya aku… tapi mungkin aku patut berlembut supaya senang nak memujuknya.

“Kau cerita pada aku… apa yang telah berlaku? Kau hilangkan diri dan semua orang sedang cari kau sekarang.”

Nia tidak menarik Heris lagi. Dia duduk bersimpuh menghadap ke katil. Dia menunggu butir bicara dari mulut Heris. Senyap. Nia hilang sabar apabila Heris langsung tidak memberi sebarang respon.

“Hei, cakaplah. Kau umpama sedang menyeksa kawan baik sendiri. Aku menjadi mangsa, kau tahu? Semua orang mencari aku kerana tidak dapat menghubungi kau. Kau buat aku risau. Kau masih selamat selagi ayah kau tak tahu apa-apa. Jadi lebih baik kau beritahu aku apa yang telah terjadi.”

Heris tetap tidak mahu bercakap. Dia menyorok lebih dalam supaya Nia tidak dapat mencapainya. Dia tidak mahu bercerita apa-apa pada waktu ini. Dia tidak mahu berjumpa dengan sesiapa. Apa yang dimahukannya adalah bersendirian di tempat gelap. Dia tidak mahu berfikir banyak. Tidak guna dia bercerita kerana apa yang telah berlaku tetap telah berlaku.

“Grr…” Gigi Nia berlaga sesama sendiri kerana perasaan geramnya terhadap Heris. Heris membuatkannya hilang sabar.

“Dah besar gajah tapi perangai masih macam budak-budak! Jangan suka bertindak melulu. Kau tak boleh tuduh orang tanpa bukti. Kalau kau cintakan Sophia, kau perlu tawan seluruh hatinya. Dia isteri yang telah jadi milik kau sepenuhnya. Bukannya kekasih yang boleh bertukar ganti.”

Heris menjeling kepada Nia dari ruang gelap itu. ‘Sudah tahu tetapi masih mahu memaksaku untuk berterus terang. Aku pasti seligi kepala kau kalau tangan aku panjang, Nia.’

“Kau dengar sini, Heris… aku dah tahu perkara ini sejak kau mengahwini Sophia. Antara Sophia dan Ivan tiada apa-apa lagi. Sophia adalah milik kau sepenuhnya. Ivan cuma masa lalunya. Kau perlu percaya pada dia. Kenapa kau bodoh sangat? Baru sebulan kau mengahwininya. Sepatutnya kau perlu lebih bersabar menangani masalah rumahtangga.”

“Dari mana kau tahu semua ini?”

“Pentingkah soalan kau tu? Bukankah jernihkan semula hubungan kau dengan Sophia adalah lebih penting?”

“Soalan aku tu jauh lebih penting daripada berbaik semula dengan perempuan tu.”

“Urghh…aku rasa nak luruskan otak kau yang berkedut tu supaya boleh berfikir dengan lebih waras semula. Sophia dan Ivan tak pernah bercinta! Dia cuma cintakan kau seorang, faham!”

“Tak. Aku tak faham. Kau pergi balik dan jangan membebel lagi.”

‘Kenapalah aku ada kawan macam dia ni. Dia masih tak sedar dengan kesalahannya sendiri. Sabar… sabar, Nia.’

“Heris, aku ada soalan untuk kau. Kenapa kau kahwini Sophia?”

Heris diam. Dia tidak mengendahkan pertanyaan Nia. Nia bersabar lagi.

“Apa yang kau faham tentang cinta dan kenapa kau rasa perlu memiliki Sophia sebelum ini?”

Heris masih diam dan tidak mahu menjawab apa-apa.

“Baiklah… nampaknya kau tak nak jawab soalan-soalan aku. Jadi biar aku beritahu kau sesuatu… cinta itu bukan setakat kita pandang seseorang kemudian kita suka dan terus melamarnya. Cinta itu amat besar ertinya apatah lagi setelah kita mengikatnya dengan ikatan perkahwinan. Selain saling menyayangi kita perlu saling melindungi, saling memahami, saling mempercayai. Melindungi barang kesayangan adalah satu kewajipan. Memahami pasangan adalah supaya cinta itu lebih mendalam dan bermakna. Kepercayaan pula umpama layar sebuah kapal. Jika tiada layar, kapal tiada hala tuju dan akhirnya karam di tengah lautan. Tanpa kepercayaan akan menyebabkan istana cinta itu runtuh...”

‘Berceramah macam nenek tua.’ Itulah pandangan Heris terhadap Nia ketika itu. Perlahan-lahan Heris menyusup keluar dari sebelah kanan katil tanpa disedari oleh Nia.

“Heris… Heris, kau dengar tak apa yang aku cakap?”

Nia menjenguk ke bawah katil. Dahinya berkerut. Heris tiada. Tiba-tiba dia terdengar pintu bilik air di tutup. Dia bangun dan menuju ke sana.

“Heris… Heris…!!”

Nia mengetuk pintu bilik air bertalu-talu.

“Pergilah balik!”

“Kau pilih sendiri samada nak buka sendiri atau pintu ini pecah sekejap lagi.”

“Pergilah, Nia. Tinggalkan aku.” Ada sendu di hujung bicara Heris.

“Aku tak boleh… bukankah kita sahabat. Sahabat mesti berada di sisi kita jika berada dalam kesedihan. Kau keluarlah. Aku tak nak kau macam ni. Aku tak boleh tahan. Kalau kau sedih aku pun tidak boleh gembira…”

Berkali-kali Nia memujuk Heris dan akhirnya kunci pintu dibuka dari dalam. Nia cepat-cepat masuk dan mendapatkan Heris. Heris duduk di lantai bilik air sambil memeluk lutut. Wajahnya kusam bagai sangat berat kekecewaan yang ditanggungnya. Tubuhnya susut akibat makan minumnya yang tidak terjaga. Matanya merah dan lebam kerana banyak menangis.

“Heris, kenapa kau jadi begini?”

Air mata sang sahabat mengalir menangisi nasib yang menimpa temannya. Nia mengusap-ngusap rambut Heris yang tidak terurus.

“Sophia permainkan nilai perkahwinan kami, Nia. Dia tak cintakan aku. Dia cuma cintakan Ivan sejak dari mula lagi.”

“Adakah dia mengakuinya?”

“Selain pengakuan ada cara lain untuk membuktikannya.”

“Kau tentu silap…”

“Aku tak silap. Mata aku tak buta dan telinga aku juga tidak pekak.”

“Tapi Heris…”

“Kami akan bercerai. Muktamad.”

Heris bangun. Dengan langkah longlainya dia menuju ke pintu rumah.

“Kau nak kemana?”

Nia turut bangun menututinya.

“Aku tak nak beritahu. Kau pasti akan menyibuk jika aku beritahu kemana aku hendak pergi.”

Heris mencapai kot yang tergantung pada penyangkut di sebelah pintu rumahnya. Dia menyarung kot itu ke tubuhnya.

“Kau jangan nak buat perkara yang tak masuk akal, Heris. Kau nak pergi mana?” Nia menghalang Heris daripada keluar dari rumah itu dengan menghalang laluan Heris.

“Ketepi.”

“Tak nak. Kau cakap dulu kemana kau nak pergi?” Desak Nia.

“Baik… tapi tolong biarkan aku pergi dan jangan follow aku.”

Nia mengangguk.

“Aku nak berjumpa dengan seseorang.”

‘Jumpa? Dia nak jumpa dengan siapa? Tentu dia nak cari Ivan dan belasah lelaki itu. Ini akan jadi masalah besar sebab hanya satu tempat yang akan Heris pergi iaitu Ferez Global. Ivan masih berada di sana. Masalah besar ni…’

“Ketepilah… kau patut beri laluan pada aku sekarang. Sebagai anak jantan aku mesti jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang lelaki. Aku tak nak diejek oleh masyarakat.”

“Tak boleh.” Nia menghalang.

Heris tidak faham. Kenapa pula pemergiannya dihalang oleh Nia?

“Kau nak cari Ivan, bukan? Aku tak benarkan kau belasah dia. Dia tak bersalah. Dia dah menerima kenyataan yang pahit bahawa Sophia bukan haknya. Bukan niatnya untuk mengambil Sophia dari tangan kau walaupun hakikatnya kau dah rampas Sophia daripadanya.”

“Apa yang kau cakapkan ni?”

“Kau tak boleh salahkan Ivan sebab kau pun bersalah juga dalam hal ini.”

“Terima kasih. Nampaknya kau lebih memahami Ivan berbanding aku. Lelaki itu memang bijak kerana cuba dapatkan kepercayaan daripada kau.”

Heris menolak Nia ke tepi. Dia membuka pintu dan melangkah keluar dari situ. Pada asalnya dia mahu ke pejabatnya untuk menjelaskan kedudukan sebenar tentang ketidak hadirannya selama beberapa hari yang lalu. Dia tidak mahu kerana masalah peribadinya dia akan berdepan dengan wartawan yang suka mencari berita sensasi. Nampaknya niatnya kini telah melencong. Dia rasa patut berdepan dengan lelaki yang bernama Ivan Mayer itu tetapi Nia tidak boleh tahu pemergiannya itu untuk menjejaki Ivan.

“Heris…” Nia menarik lengan Heris yang sudah berada di luar rumah itu.

“Kau dah salah faham. Aku cuma nak ke pejabat untuk uruskan kerja-kerja yang aku tinggalkan.” Heris memberi alasan.

“Betul?” Nia merenung mata Heris untuk mencari kejujuran dalam pertuturan pemuda tersebut.

Heris mengangguk dan mengukir senyuman untuk menambahkan keyakinan Nia terhadapnya. Akhirnya Nia mengalah. Dia melepaskan Heris untuk pergi. Walaupun hatinya masih curiga tetapi dia harap Heris bersikap jujur terhadapnya.

“Heris… tunggu sekejap.”

Heris menoleh kepada Nia. Nia masuk ke dalam rumah dan mengambil sesuatu. Nia muncul dengan membawa begnya. Dia mengeluarkan sesuatu dari dalam beg putih sederhana besar itu. Heris cuma memerhatikannya. Nia menyisir rambut Heris yang kusut masai. Kemudian dia menyembur minyak wangi ke baju Heris. Heris terbersin apabila wangian itu hinggap di rongga hidungnya. ‘Adakah orang akan curiga jika aku berbau minyak wangi wanita? Ah, Nia tak fikir sebelum lakukannya kepada aku.’

Nia menyimpan botol minyak wangi mini dan sikatnya ke dalam begnya semula. Kemudian dia mengeluarkan sesuatu yang kecil lalu menyerahkannya kepada Heris. Heris hanya memandangnya sahaja.

“Titiskan pada mata supaya segar. Mata kau nampak layu dan bengkak. Jangan sampai orang dapat tahu lelaki macho macam kau menangis.”

Heris tersengih. Perempuan tetap perempuan. Semuanya dia simpan dalam begnya. Memang seorang sahabat yang bising tapi sangat mengambil berat. Dalam diam Heris bersyukur kerana memperolehi seorang sahabat yang sangat berguna seperti Nia.

“Terima kasih. Aku pergi dulu. Janji… jangan ikut aku?”

Heris mengambil botol kecil yang mengandungi cecair untuk mata itu.

“Promise.” Nia mengangkat tangan kanannya separas telinga.

Heris berpuas hati. Dia beredar maninggalkan Nia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience