Chapter 11

Humor Completed 22614

Bab 11

SETENGAH jam yang lalu dia baru kembali dari temujanji pertama bersama Heris. Dalam tempoh setengah jam ini rasanya bibirnya tidak lekang daripada senyuman bahagia. Senyuman yang jarang dilihat itu menimbulkan sejuta tanda tanya bagi teman serumahnya, Naliz Anabella. Gadis genit bermata sepet itu menghampiri teman karibnya.

“Senyum sorang-sorang macam orang gila. Sudah angau sampai ke bulan ke cik adik,” usik Naliz sebelum menghenyakkan tubuhnya di sofa empuk di ruang tamu itu. “Hei, ceritalah pasal temu janji kau hari ini. Hero kau buat apa? Cepatlah cerita, Sophia.” Naliz gaya sudah tidak sabar hendak mendengar cerita temujanji temannya hari ini.

Sophia tidak mempedulikan usikan temannya. Dia mencapai gagang telefon di atas meja di ruang tamu. Dia menekan punat-punat yang terdapat pada badan telefon berwarna kuning susu itu. Sebentar kemudian satu suara muncul dari corong telefonnya.

“Hello…”

“Hello, mummy!” Suara Sophia berubah manja tatkala mendengar suara wanita yang dikasihinya itu. Naliz di sebelah mencebirkan bibir tapi sekejap sahaja. Senyumannya terluah apabila mendapati Sophia menghubungi ibunya. Dia duduk rapat-rapat dengan Sophia yang sedang bercakap dengan ibunya.

“Panggil saya ‘ibu’. Selain daripada ibu, bunyinya sangat teruk,” jawab si ibu.

Sophia mencebik mendengar jawapan ibunya. Hilang seleranya untuk bermanja dengan wanita yang belum separuh abad itu. Naliz menekup mulut menahan tawa melihat cebikan manja Sophia. Sophia sempat menyiku temannya yang ketawa mengejeknya.

“Ala, ibu ni… sama saja maknanya.”

“Sophia, ibu dah tak larat nak memanjakan kamu. Kamu seorang gadis yang dah berusia dua puluh enam tahun. Lebih baik kamu berkahwin dan bermanja saja dengan suami kamu kelak.”

“Kahwin? Memanglah, bu. Sophia call sebab nak beritahu yang Sophia nak kahwin.”

Naliz melopong. Terkejut mendengar kata-kata Sophia. “Kau biar betul, babe!” Naliz separuh menjerit dan suaranya didengari oleh ibu Sophia, Trisya Tiffany.

“Sophia, telinga ibu dah cukup meremang mendengar kamu memanggil perkataan ‘mummy’. Jangan kamu buat telinga ibu terus tak berfungsi dengan perkataan ‘kahwin’… Naliz, cuba ketuk sikit kepala anak makcik tu. Dia tak sihat ke?”

“It’s not a joke. I’m serious, ibu.” Sophia menekan suaranya.

“Serious? Siapa dia? Keturunan apa? Apa pekerjaannya? Berapa lama kamu berkenalan dengannya?” Tiba-tiba satu suara garau muncul di antara perbualan ibu dan anak itu.

O.M.G… itu suara ayah! Mata Sophia terbeliak sambil melontarkan bahasa isyarat kepada Naliz di sisi. Naliz gigit jari kelingking sambil sambil tangan kirinya diatur melintang di lehernya. “Mati…”

“Ibu, kenapa buat loudspeaker tak cakap dengan Sophia?”

“Maaf, ibu…”

“Sophia jawab soalan ayah!” Suara Josh Heartnett bagaikan petir menyoal anak gadisnya.

“A… ayah… seb… sebenarnya Sophia…” Mendengar suara lelaki itu membuatkan Sophia jadi gagap.

“Cakap! Jangan buat aku marah! Jawab soalan aku!”

“Namanya Heris. Keturunan… Sophia tak tahu. Kerja… kurang pasti. Kami sudah berkenalan selama 2 hari 12 jam 48 minit dan 59 saat.” Jawab Sophia yang dalam ketakutan mendengar suara si ayah.

“Dalam masa sesingkat itu kau nak kahwini dia? Apa yang dah berlaku sebenarnya? Apa dia dah lakukan pada kau, Sophia. Beritahu pada ayah!” Josh Hartnett seakan memarahi telefon yang tidak bernyawa itu ketika bercakap.

Mujur ada Trisya Tiffany, isterinya yang menjadi penghalang di antara suaminya dengan benda tidak bernyawa itu.

“Tak… tak ada apa-apa yang berlaku. Cuma.. cuma Heris dah curi hati Sophia. Ayah janganlah terlalu risau. Sebenarnya ada sebab Sophia terima lamaran dia dan Sophia dah buat keputusan untuk berkahwin dengannya, ayah.” Nampaknya Sophia sudah nekad dengan keputusannya.

Naliz garu kepala. Bingung juga dibuatnya melihat tindakan Sophia yang tiba-tiba mahu berkahwin.

“Kau jangan nak main-main dengan soal perkahwinan, Sophia. Ini soal hidup dan mati.”

“Kalau ayah marah-marah begini macam mana Sophia nak jelaskan. Lagipun susahlah nak bercakap dalam telefon. Nanti Sophia balik dan berbincang perkara ini semula, okey.”

“Baiklah. Bawa lelaki itu jumpa aku esok.”

“Esok? Tapi ayah…”… cepatnya!

“Tiada tapi-tapi… keputusan muktamad.”

“Ala, tiada talian hayat ke, ayah?”

“Jangan sampai ayah yang ke rumah kau, Sophia. Lebih buruk padahnya. Mengerti!” Si ayah memberi kata putus.

Sophia tidak dapat membantah lagi kerana talian sudah diputuskan. Gagang telefon diletak dengan kasar. Sophia geram memikirkan tindakan ayahnya. Adik-beradik Hitler. Serupa diktator. Semua keputusan terletak di tangan ayahnya. Ibunya sendiri tidak berani membantah. Mujur ada datuknya yang selalu melindunginya daripada sebarang tindakan ayahnya. Cuma kali ini datuknya itu tidak muncul pula dalam talian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience