Chapter 40

Humor Completed 22614

Bab 40

IVAN meneguk air berwarna kuning jernih di dalam gelas kaca. Diteguknya sehingga habis. Bunyi bising di pub itu langsung tidak boleh mengubat hatinya yang rawan. Fikirannya masih terus diganggu bayangan Sophia. Dia mengambil sebatang rokok dari dalam kotak putih di sebelah gelasnya tadi. Disematkan rokok itu di bibirnya. Dia menyeluk poket bajunya untuk mengambil pemetik api.

Sebentar kemudian asap berkepul-kepul mengganggu ruang penglihatan. Seorang gadis muncul dan menarik rokok dari mulut Ivan. Ivan menoleh kepada gerangan yang merampas rokok dari mulutnya. Seorang gadis memakai dress berwarna merah sudah duduk di sisi Ivan sambil mencucuh rokok ke bekas abu rokok yang tersedia di situ.

“Kalau rokok ni boleh selesaikan masalah, awak sepatutnya sudah tidak memikirkan tentang dia lagi sekarang.” Nia meneguk minuman yang dibawanya bersama tadi.

“Awak ni memang perempuan yang suka menyibuk.”

Ivan mengambil lagi sebatang rokok dari kotaknya. Dengan pantas Nia merampas kotak rokok tersebut.

“Hei!” Ivan berasa marah dengan perbuatan Nia itu.

“Apa ‘hei’? dasar lelaki berakal sembilan tapi masih tak dapat menyelesaikan masalah cinta.” Nia mengutuk Ivan.

“Awak begitu hebatkah… dasar stalker yang tak pernah bercinta,” balas Ivan.

“Hei, watch your mouth! Siapa stalker awak.” Nia bengang dengan lidah tajam Ivan.

Ivan tertawa sinis. “Ada saya cakap awak stalker saya ke? Tak malu.”

Nia mengetap bibir. Geram, terkena pula dia kali ini.

“Sekurang-kurangnya hidup saya ceria dan bahagia walaupun tanpa cinta. Bukan macam awak,” balas gadis tersebut dengan senyuman sinisnya terhadap Ivan.

Ivan sakit hati melihat senyuman Nia yang mengejeknya.

“Baik… jadi teruskan bergembira dan jangan ganggu saya.”

Ivan bangkit dari duduk dan mengatur langkah untuk meninggalkan tempat tersebut.

Mata Nia menyoroti langkah Ivan. Sambil bercekak pinggang mulutnya terkumat kamit mengulangi kata-kata terakhir Ivan. “Teruskan bergembira dan jangan ganggu saya… nyampah. sombong sungguh!”

Nia bangkit dan segera mengatur langkah mengekori langkah Ivan yang sedang meninggalkan pub tersebut.

“Ivan, tunggu!”

Ivan bolayan. Langkah kakinya semakin laju menjauhi Nia.

**********

Moon Intergra berwarna hitam berkilat itu memecut membelah jalan raya meredah kepekatan malam. Ivan memandu mengikut gerak hati. Pada mulanya dia mahu terus pulang ke rumah namun disebabkan Nia, dia terpaksa membatalkan niatnya. Gadis tersebut masih lagi menyibuk dan mengekorinya sehingga ke dalam kereta.

“Kita nak kemana sekarang, Ivan?”

“Awak rasa kemana patut saya campakkan perempuan yang suka menyibuk macam awak?”

Nia mencebik. Matanya menjeling Ivan yang sedang mengawal stereng kereta.

“Awak tak suka sangat ke dengan saya?”

Ivan sekadar mengerling gadis di sebelahnya itu sepintas lalu.

“Hah! Apa kata cuba campakkan saya ke dalam hati awak. Manalah tahu boleh jadi penawar luka hati awak yang sedang berdarah tu.” Nia cuba bermain dengan kata-kata. Sambil memintal-mintal hujung rambutnya dia terus melihat apakah reaksi Ivan yang selanjutnya.

Air muka dingin Ivan tiba-tiba mengukir senyuman. Bagai ada sesuatu yang menggelikan hatinya. Nia terkedip-kedip tidak mengerti makna senyuman tersebut… ayat aku power sangat ke sampai berjaya buat dia tersenyum begitu?

“Kalaulah ia semudah itu, Nia.” Ada keluhan di hujung bicara lelaki itu. Tangan kanannya menguak anak rambutnya yang jatuh ke dahi. Kemudian tangannya diperkemas semula pada stereng kereta. Wajah senyumannya hilang berganti seraut wajah yang sayu.

“Awak terlalu memikirkan dia. Ivan, cinta itu bukan untuk ditagih. Lepaskan dia jika dia bahagia dengan jalan yang dipilihnya. Suatu hari nanti awak akan jumpa cinta sebenar awak. Percayalah.” Sebagai teman, Nia cuba menasihati Ivan.

Ivan tidak membalas kata-kata Nia. Kesunyian menemani mereka selepas itu. Keadaan jalan raya sudah lengang waktu ini memandangkan hari sudah menjengah ke dini pagi. Ivan memusingkan sterengnya dan berhenti di sebuah pantai. Coral Sand Beach…

Tingkap kereta diturunkan. Enjin kereta dimatikan. Situasi diantara mereka berdua masih lagi bisu tanpa sebarang perbualan. Nia hanya memerhatikan setiap tindakan Ivan. Lelaki itu masih cuba mencari ketenangan. Mungkin benar. Cinta itu amat menyakitkan tapi Nia tidak tahu kerana dia tidak pernah disakiti kerana cinta.

Deru ombak yang menendang pesisir pantai menggamit perasaan. Kesunyian sedikit terubat. Ia lebih menenangkan berbanding hiruk pikuk suasana di pub tempat kunjungan mereka tadi. Tangan Ivan merayap ke butang pemain audio. Alunan piano perlahan-lahan memenuhi ruang pendengaran mereka berdua.

“Endless Story…” bibir Nia mengukir senyuman tatkala lagu itu yang disajikan oleh Ivan.

“Awak tahu?”

Nia mengangguk. “Satu-satunya lagu yang saya tahu mainkan. Tak mungkin awak lupa pada pertemuan pertama kita dulu kan?”

Ivan merenung Nia sambil mengimbas memori tersebut. Waktu itu dia dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan pertolongan. Keretanya kekeringan petrol dan talian telefon tidak begitu baik di kawasan tanah tinggi Ocean Hill. Namun alunan piano dari sebuah banglo yang dimainkan oleh Nia telah memberinya petunjuk untuk pergi mendapatkan bantuan. Lagu Endless Story yang dimainkan oleh Nia ternyata memberi kesan terhadapnya sehingga dia mencari cd asal lagu itu selepas kejadian tersebut.

Malam itulah titik permulaan perkenalan mereka. Perkenalan mereka waktu itu bukanlah sebagai sahabat. Lebih kepada keterpaksaan kerana butuhkan pertolongan. Sikap Nia yang suka menjaga tepi kain orang sangat menjengkelkannya tetapi aura wanita itu berjaya membuatkan Ivan bertindak bertentangan dengan kata hatinya.

“Saya sudi mendengar kalau awak nak ceritakan masalah awak. Awak pernah lakukannya sebelum ini, bukan?”

Ivan mengangkat kepala dan memandang keluar kereta, ke arah pesisir pantai yang kelam ditelan gelap malam. Dia menarik nafas panjang. Tangannya memeluk stereng kereta. Nia hanya membiarkan. Dia tidak sesekali mendesak lelaki itu.

“Saya ke rumah Sophia hari ini.” Setelah beberapa ketika Ivan akhirnya bersuara. “Saya tanya dia beberapa soalan. Dia tidak bercakap jujur dengan saya. Saya tahu. Dia sengaja tidak mahu mengaku yang dia mencintai saya. Saya tahu dia sakit hati dengan saya… tapi mungkin juga saya sendiri yang salah. Kalau sejak awal lagi saya serius dalam percintaan tentu saya dan Sophia tak jadi begini…” Ivan menoleh kepada Nia.

Mata Nia sudah tertutup rapat. Gadis itu sudah terlelap. Ivan melepaskan stereng kereta dan memandang kepada Nia. Ceritanya tidak diteruskan lagi.

“Good Job, Nia. My bad time story must be a nice tale, right. Huhh~” Ivan tersenyum sendiri di hujung kata-katanya.

Wajah gadis itu terus ditatapnya. Sesuatu bermain di mindanya. Kenapa setiap kali gadis ini muncul pada waktu yang sama? Sejak dari mula lagi Nia muncul ketika hatinya sedang luka dan entah mengapa setiap kali itu jugalah dia akan menceritakannya kepada Nia. Nia berbeza daripada Sophia mahupun Naliz yang telah menjadi sahabatnya sejak beberapa tahun. Gadis yang nampak begitu berani itu seorang yang hebat dan berusaha untuk menarik perhatiannya.

Kata-kata Naliz tempohari tiba-tiba mencelah di sebalik kesunyian dini hari itu. “Kalau sekarang kau rasa dia merimaskan, jangan kau rasa pelik jika suatu hari nanti kau menyintainya separuh mati.”

Kata-kata Naliz mangganggunya. Walaupun beberapa hari lalu jiwanya rusuh memikirkan kebenaran kata-kata Naliz tapi hari ini dia seakan berharap gadis ini bisa memadamkan nama Sophia dari hatinya.

Ivan menanggalkan kot luar yang dipakainya lantas menyelimutkan tubuh Nia yang agak terdedah. Dia membiarkan gadis itu dalam lenanya sambil ditemani alunan piano berlagu Endless Story.

*************

“Ivan… Ivan…”

Sayup-sayup telinganya menangkap suara halus itu mengejutkannya. Tubuhnya digegar lembut dari kiri. Perlahan-lahan Ivan membuka kelopak mata. Suasana masih kelam dan dia tidak pasti sekarang jam berapa.

“Selamat pagi…” suara gadis menyapanya dengan senyuman indah di sebelahnya.

“Pagi…” Ivan meraup wajahnya beberapa kali. Tangannya bergerak-gerak meregangkan otot sebelum kepalanya diangkat dan duduknya dibetulkan. Dia masih lagi berada di dalam kereta.

“Sekarang pukul berapa?” soalnya kepada Nia yang masih senyum-senyum sejak tadi.

“7.00 pagi… jom, keluar.” Serta merta Nia membukakan pintu dan keluar dari perut Moon Intergra.

Ivan terpinga-pinga melihat Nia yang begitu bersemangat di pagi hari. Sebentar kemudian dia turut menjejaki Nia yang telah berada di pesisir pantai.

“Apa yang awak buat? Jom kita balik, saya hantar awak.”

Deru ombak dan angin pantai yang memukul batang tubuh membuatkannya berasa segar. Matahari sudah hampir celik. Kegelapan malam semakin pudar. Beberapa minit lagi sang suria akan menonjolkan dirinya.

“Tunggu… ini detik-detik yang paling saya nantikan. Sebelum kita pulang, saya nak saksikannya bersama awak.”

“Nia…” Ivan cuba menegah.

“Ini memori berharga yang ingin saya cipta. Saya akan jadikannya memori indah untuk awak juga, Ivan.”

Ivan hilang kata-kata. Senyuman yang mewarnai wajah gadis itu membuatkannya kelu untuk menghalang.

“Come on, Ivan.” Nia memaut lengan Ivan.

Mereka berdua berdiri menghadap lautan sambil memandang ke kaki langit menyaksikan saat-saat sang suria terbit. Cahayanya yang berwarna kuning oren mula menyerlah sedikit demi sedikit. Dalam tempoh yang singkat warnanya semakin menyerlah. Simbol kemegahan siang yang menggantikan ratu sang malam, bulan.

Cahaya lembut sinaran mentari pagi singgah menyentuh wajah mereka berdua.

“Pejamkan mata awak, Ivan. Rasakan sentuhannya.”

Ivan menoleh pada Nia. Melihat Nia yang sedang menikmati cahaya awal pagi itu membuatkannya ingin mencuba. Sejurus matanya dipejam menghadap mentari pagi suatu perasaan terbit. Kedamaian pagi yang jarang-jarang dinikmatinya. Selama ini fikirannya dipenuhi dengan kerja-kerja pejabat. Hidupnya sentiasa sibuk dengan jadual kerjanya. Ke pejabat seawal pagi dan pulang jauh malam. Dia tidak pernah menikmati kedamaian sebegini. Tanpa sedar dia tersenyum panjang.

Nia membuka semula kelopak matanya. Dia merenung Ivan yang masih terpejam matanya. Nia tertawa bisu melihat senyuman Ivan yang nampak gembira. Asyik menikmati kedamaian pendek. Tidak sangka, dengan menikmati keindahan alam dapat membuatkan lelaki itu kembali tersenyum. Hilang sudah wajah kusut dan riak kecewa sang pencinta yang dilihatnya malam tadi.

“Pagi ini… kalau awak tak kisah boleh belanja saya breakfast?” aju Nia serentak menyebabkan Ivan mencelikkan matanya semula.

“Upah sebab saya dah temankan awak semalaman.” Nia tersenyum indah sebelum berlalu menuju ke kereta semula.

Ivan menyimpul senyuman. Matanya sekadar menyoroti tubuh Nia yang akhirnya lesap masuk ke dalam perut kereta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience