Chapter 23

Humor Completed 22614

Bab 23

AIR kolam yang jernih itu tenang tidak diganggu oleh sesiapa pun pada waktu malam. Dasarnya yang berwarna biru itu jelas nampak disoroti lampu-lampu dekat dengan kolam renang itu. Heris mendekati ayahnya yang duduk bersandar di kerusi malas di situ. Lampu yang tumpah di sekitar ayahnya lebih terang berbanding lampu-lampu di sekitar kolam renang. Dia berdiri di sisi ayahnya sambil menghadap ke kolam renang.

“Ceritakan perkembangan terbaru kau.” Dr. Marcus seolah-olah seperti seorang ketua yang mahukan laporan kerja anak buahnya.

“Seperti yang ayah nampak, saya bahagia bersama Sophia,” jawab Heris.

“Sophia adalah kehidupan peribadi kau. Apa yang aku mahu dengar ialah kerjaya kau… apa pencapaian yang kau dapat setelah beberapa tahun dalam dunia muzik?”

Heris memandang sisi ayahnya. Dia diam agak lama. Dr. Marcus juga diam. Dibiarkan Heris terus berdiri dan berfikir sebelum memberi penjelasan kepadanya.

“Duduk dan jawab soalan ayah dengan jujur.”

Seperti paku yang diketuk dengan penukul, Heris menurut kata ayahnya dan duduk di kerusi putih di situ.

“Tiada apa yang saya telah capai. Cuma kepuasan sebab ini adalah apa yang saya suka,” jawab Heris.

“Jadi kau puas dapat membazir masa di universiti?”

“Ayah pernah cakap yang ianya bukan satu pembaziran tetapi pelaburan.” Heris membidas kata-kata Dr. Marcus.

“Jadi maksud kau pelaburan ayah ini merugikan?”

“Terpulang… ayah ada hak untuk menganggapnya begitu.”

“Kau…”

Dr. Marcus tidak meneruskan kata-kata itu apabila seorang daripada pembantu rumahnya yang bernama Mikage muncul membawa minuman yang dimintanya tadi. Selepas Mikage pergi barulah dia menyambung semula bicaranya dengan Heris.

“Jadi tidak bermaknalah ilmu perubatan yang kau belajar selama ini.”

“Saya belajar kerana tiada pilihan. Ayah gunakan kuasa ayah untuk mendesak saya.”

“Baik, kali ini aku tidak lagi mendesak kau tetapi kau tetap tiada pilihan. Kau mesti buktikan pencapaian kau sebelum tahun baru akan datang.” Ia bukan satu cabaran tetapi ugutan untuk mendesak anaknya. Ada tidak ada Dr. Marcus tetap berasa kesal dengan pilihan kerjaya anaknya itu sedangkan bidang perubatan merupakan bidang utama dalam keluarganya. Selain dirinya, anak sulungnya juga merupakan seorang doktor. Manakala Frida Fernanda pernah menjurus jawatan jururawat sebelum bergelar isterinya.

“Apa maksud ayah?”

“Kalau benar muzik adalah jiwa kau tentu kau boleh mencipta nama dalam bidang ini. Jika gagal kau mesti kembali kepada profesion keluarga Kruger.”

‘Tak guna! Siapa yang dapat mencipta nama dalam masa yang begitu singkat. Dia sengaja nak kenakan aku.’

“Ini tidak adil, ayah,” protes Heris.

“Kenapa? Tidak cukup lamakah waktu yang aku berikan?”

Dr. Marcus memandang anaknya dengan wajah yang sinis. Heris berasa geram dengan pandangan tersebut.

“Bukan. Siapa yang kisah dengan tempoh masa yang ayah beri?” Heris berbohong. Sebenarnya dia sangat kisah dengan tempoh yang sangat pendek itu.

“Tapi ini tidak memberi sebarang faedah kepada saya. Apa yang saya dapat kalau dapat mencipta keajaiban?”

Keajaiban? Apa yang kau tahu tentang keajaiban? Tidak ada keajaiban muncul dalam setiap lagu yang kau karang. Kau hanya dapat mencipta keajaiban jika berjaya menyembuhkan pesakit yang nyawanya sudah di hujung tanduk… Dr. Marcus memandang rendah akan cita-cita anaknya yang menjurus dalam bidang muzik.

“Kau tidak berhak untuk membantah. Dalam keluarga ini akulah ketua. Tiada sesiapapun yang boleh membangkang setiap kata-kata aku.”

“Jadi seorang anak tidak layak untuk bersuara? Ayah, saya bukan seperti Alex. Ayah boleh arah dia untuk buat apa saja tanpa memikirkan perasaannya.”

“Walaubagaimanapun aku tidak pernah memaksanya.” Dr. Marcus membela diri.

“Sebab dia cuma fikir tentang budi keluarga ini terhadapnya selama ini. Dia tidak mahu dianggap tidak mengenang budi orang yang telah membesarkannya.”

Alasan itu dilihat kukuh memandangkan Alex hanyalah anak angkat Dr. Marcus selama ini. Melihat sikapnya yang sentiasa patuh dengan arahan Dr. Marcus memang jelaslah bahawa lelaki itu melakukannya hanya kerana si ayah. Dalam erti kata lain dia melakukannya tanpa rela, hanya demi membalas budi. Itulah fikiran Heris.

“Jika dia boleh berfikir begitu kenapa tidak kau?”

Soalan Dr. Marcus membuatkan Heris terdiam tanpa balasan. Dia tahu yang setiap kata-katanya pasti dapat dipancung oleh Dr. Marcus. Namun begitu dia berasa sakit hati apabila memikirkan perkara silam yang telah berlaku. Disebabkan ayahnyalah dia kehilangan orang-orang kesayangannya. Ibu dan satu-satunya abang yang dia ada. Sebelum ibunya meninggal dunia Heris sangat rapat dengan Alex tetapi setelah Alex tahu status sebenar dirinya yang hanyalah anak angkat keluarga Kruger dia mula berubah. Perlahan-lahan Alex semakin menjauhi dirinya. Alex seperti melupakan pertalian yang pernah wujud diantaranya dengan Heris. Heris kecewa dengan sikap Alex. Kadang kala dia berharap Alex bukan anak angkat agar hubungan mereka berdua kembali akrab seperti dulu.

*******

SOPHIA dan Jerry rancak berbual di ruang menonton di tingkat kedua rumah agam itu. Sesekali tawa Sophia berderai mendengar cerita-cerita lucu adik iparnya. Jerry memang pandai berjenaka. Sifatnya itu persis Heris. Cuma Sophia agak musykil, mengapa ketika di rumah ini sifat Heris berubah. Suaminya itu nampak serius dan adakalanya seperti takut-takut. Dimana kegilaan dan keberaniannya yang selalu dilihat Sophia? Pada firasat Sophia tentu disebabkan ayah mentuanya yang begitu tegas dan berperaturan. Dia sendiri berasa tertekan ketika bertentang mata dengan Dr. Marcus. Sama seperti berhadapan dengan ayahnya, Josh Heartnett tapi lebih teruk lagi. Mereka berdua hampir sama. Getus Sophia di dalam hatinya.

Semasa Sophia menarik bantal di sebelah Jerry tiba-tiba dia ternampak sesuatu yang menarik perhatiannya. Dia tersenyum lantas mangambil bekas DVD yang kosong itu tanpa disedari oleh Jerry. Dia membelek-belek bekas tersebut. Jerry sedar. Dengan pantas dia merampasnya dari Sophia.

“Eh, bagilah pada kakak.”

“Buat apa? Ini bukan untuk tontonan golongan seperti Kak Jasmine.” Jerry menyimpan bekas itu ke dalam almari di sebelah televisyen.

“Eh, ada klasifikasi untuk golongan budak-budak yang tak boleh di tonton oleh orang dewasakah? Tak tahu pula Kak Jasmine.”

“Ini cerita budak lelakilah. Kak Jasmine tak faham apapun kalau tengok.”

Budak ni memperkecilkan aku nampaknya. Getus Sophia di dalam hati apabila melihat Jerry yang menyangka dia tidak tahu apa-apa tentang anime.

“Hei, don’t judge a book by it’s cover. Kalau Jerry budak lelaki jangan lupa yang Kak Jasmine perempuan dewasa.”

Sophia menyilang kedua belah tangannya kehadapan. Wajahnya menggambarkan kebanggaannya sebagai perempuan yang dewasa. Jerry merenungnya. Dia berasa sesuatu pada kakaknya. Dia menjuihkan bibirnya kehadapan.

“Jangan kata yang Kak Jasmine lebih tahu tentang anime berbanding Jerry.”

“Sayangnya… Kak Jasmine memang tahu tentang semua itu.” jawab Sophia dengan wajah yang bangga.

“Apa? Mustahil.” Jerry tidak percaya dengan pengakuan Sophia.

“Yang Jerry simpan tadi movie terbaru Naruto, right?”

Jerry ternganga. Memang Sophia tahu walaupun tulisan yang tertulis di kulit luar bekas VCD itu dalam bahasa yang tidak difahami.

“Kak Jasmine tahu tentang Naruto?”

Sophia sekadar mengangguk. “Hmm, Jerry minat anime, ya?”

Jerry mengangguk bertalu-talu. Tidak sabar hatinya mahu tahu lebih banyak tentang kakak iparnya yang menarik itu.

“Apa lagi anime yang Jerry tonton?” tanya Sophia sambil menuju ke tempat di mana Jerry menyimpan koleksi DVD nya.

“Jerry minat Bleach, One Peace, Fairytail, Soul Eater… Eee… banyak lagilah.” Cerita Jerry dengan perasaan terujanya.

“Wow… Kakak ada banyak koleksi DVD anime. Kalau Jerry nak pinjam… bila-bila masa datanglah rumah kakak.”

“Betul?”

Sophia mengangguk mengiakan.

“Kak Jasmine ada Eye Shield 21?”

“Ada.”

Melebar senyuman Jerry. Tidak sabar menunggu episod seterusnya anime tersebut di kaca televisyen. Seminggu sekali terlalu lama dan membuatkannya ternanti-nanti setiap hari.

“Kakak ada anime yang lama-lama… macam Dragon Ball, Slam Dunk, The Slayers?” Jerry semakin galak bertanya perihal anime pada kakak iparnya.

Sophia tersenyum dan mengangguk lagi. Wajah Jerry bercahaya bagaikan impian terbesarnya telah tercapai. Sophia yang dipanggilnya Kak Jasmine itu bakal menjadi kawan baiknya kerana mempunyai banyak koleksi anime kegemarannya.

“Manga? akak mesti ada banyak koleksi manga juga kan?”

“Ada jugalah… tapi kebanyakannya akak simpan di Parsi Mellon Park. Kalau Jerry nak, suatu hari nanti akak bawa Jerry balik kampung akak. Jerry boleh pilih manga apapun yang Jerry teringin nak baca.”

Jerry mengangguk teruja dengan wajah yang masih tersenyum girang. Tidak sabar rasanya mahu ke rumah Sophia untuk melihat semua koleksi yang disimpan oleh Sophia. Tentu banyak dan dia mahu tahu lebih banyak tentang anime daripada kakak iparnya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience