Chapter 64

Humor Completed 22614

Bab 64

“AYAH nampak semakin sihat hari ini.”

Dr. Alex yang baru muncul mendekati Dr. Marcus yang sedang membaca akhbar di sofa di bilik wad kelas pertama itu.

“Ya, ayah rasa sihat jadi ayah akan pulang hari ini.”

“Tidak, ayah masih perlukan rawatan lagi. Mungkin esok baru ayah dibenarkan pulang.” Sebelum mendekati ayahnya Dr. Alex sempat meneliti rekod kesihatan ayahnya yang tergantung di hujung katil. Dia tersenyum kecil melihat perkembangan kesihatan Dr. Marcus yang semakin pulih.

“Tidak, ayah akan kembali bertugas esok.”

Dr.Alex tidak membalas kata-kata ayahnya. Dia tahu kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu tidak boleh dilawan. “Baik, tapi ayah jangan paksa diri. Alex tak nak tengok ayah sakit semula.”

“Ayah masih kuat dan bertenaga. Kamu tentu masih dapat melihat ayah 20 atau 30 tahun lagi,” kata Dr. Marcus dengan yakin.

Alex sekadar tersenyum mendengar kata-kata ayahnya. Dr. Marcus bangun hendak menuju ke katilnya. Alex segera memimpin ayahnya. Dr. Marcus duduk di birai katil. Sementara Alex mengambil tempat di kerusi pelawat yang ada di situ.

“Alex, kenapa kau mahu menjadi seorang doktor?”

Pertanyaan Dr. Marcus yang secara tiba-tiba itu mengundang rasa terkejut Dr. Alex.

“Adakah kau meminatinya atau hanya semata-mata kerana ayah?”

Dr. Alex memerhati anak mata ayahnya yang memandang jauh keluar tingkap. Terdetik di hatinya… ‘adakah dia sedang mengujiku? Ini adalah soalan yang tidak pernah diajukan kepada aku selama ini. Ayah yang aku kenali sebagai doktor yang hebat ini tidak pernah mendengar pendapat dan hanya tahu arahannya mesti dilaksanakan sahaja. Mengapa dengan tiba-tiba dia mengemukakan soalan sebegini?’

“Kedua-duanya, ayah. Alex lakukannya kerana ayah dan turut meminatinya juga,” jawab Dr. Alex.

“Jujurlah dengan kata-katamu kerana ayah tidak akan marah jika kau tidak rela dengan apa yang kau lakukan ini.”

‘Aku memang tidak rela pada mulanya tapi tidak kini. Kerjaya ini adalah sesuatu yang hebat dan aku akan menguasai hospital ini suatu hari nanti.’ Di hatinya masih terdetik mahu menguasai Hospital Mercient.

“Alex tidak pernah ingkari ayah dan ini Alex lakukan juga demi ayah… kenapa ayah tanya soalan ini secara tiba-tiba? Apa yang ayah akan lakukan jika Alex katakan yang Alex tak suka dengan apa yang Alex lakukan sekarang?” Dr. Alex pula bertanya kepada ayahnya.

“Lepaskannya…”

Mata Dr. Alex terbelalak. Adakah Dr. Marcus waras?

“Ayah tidak akan paksa lagi. Ikutlah jalan yang kau suka. Kau tentu idamkan sesuatu yang menjadi impian kau selama ini. Asalkan hubungan kita tidak putus dan kau tidak mengalami tekanan hidup, cukuplah.”

“Apa yang ayah cakap? Bagaimana dengan hospital ini? Apa yang ayah cuba nak lakukan?”

“Selama ini ayah rasa bersalah kerana tidak pernah memahami anak-anak. Apa yang ayah tahu semua orang mesti patuh dan menurut saja kehendak ayah tanpa boleh menentang. Ayah sangat harap jika kau melawan kata ayah sekali-sekala.”

Dahi Alex berkerut. Keraguan muncul di benak hatinya.

“Ayah nak singkirkan Alex?” teka Alex. Hatinya rasa gusar secara tiba-tiba.

“Bukan. Ayah nak beri kebebasan pada kau dan Heris. Kebahagiaan yang diperolehi daripada kebebasan… mungkin boleh mewujudkan keluarga yang diharapkan oleh mendiang ibu kamu.”

“Ayah nak Alex jalani kehidupan yang bebas? Ayah fikir Alex hanya tahu menurut kehendak ayah tanpa menghiraukan perasaan sendiri? Ayah dah salah… ia suatu kebanggaan apabila bergelar seorang doktor. Alex bangga menjadi seorang doktor yang berkhidmat kepada masayarakat. Ayah telah jadi idola Alex dan Alex akan ikut jejak ayah sebagai doktor yang telah menyembuhkan beribu-ribu pesakit selama ini. Walaupun ayah gagal mendapatkan penawar untuk ibu tapi itu tidak bermakna ayah bersalah. Alex akan terus berusaha mendapatkan penawar untuk penyakit tersebut. Alex tidak akan biarkan ada lagi yang mati kerana Penyakit Maut.”

Dr. Marcus melihat pancaran mata Alex yang penuh azam dan semangat. Terdetik rasa bangga mendengar pendirian Alex. Hatinya puas kerana memiliki anak yang berfikiran sebegitu. Nampaknya dia tidak berjuang bersendirian. Alex bakal menjadi penggantinya suatu hari nanti.

********

Seseorang sedang berdiri di luar bilik yang berongga pintunya itu. Kedua beranak itu tidak sedar yang perbualan mereka telah didengari oleh seseorang yang berada di luar bilik sejak tadi. Sedang perbualan mereka diteruskan Heris melangkah meninggalkan bilik tersebut. Dia tidak jadi untuk melawat ayahnya. Sejambak bunga yang dipegangnya dibawa bersama meninggalkan ruang tersebut.

‘Kecilnya diri ini dikelilingi oleh orang-orang yang hebat. Betul kata makcik, aku hanya pandai menyalahkan orang lain sedangkan aku tidak berbuat apa-apa yang membanggakan. Malah telah mengecewakan mendiang ibu. Bodohnya aku kerana menyangka Alex tidak rela dengan apa yang dilakukannya. Dia hanya anak angkat tapi kewujudannya di sisi ayah adalah lebih bermakna berbanding aku. Aku tidak layak menggunakan nama ‘Kruger’. Aku mengecewakan semua orang. Aku tidak pernah melakukan sesuatu yang bermakna untuk keluarga ini.’

Heris menahan seorang jururawat yang melintas di sebelahnya. Dia memberi jambangan bunga mawar putih di tangannya kepada jururawat tersebut.

“Cik, tolong serahkan bunga ini kepada Dr. Marcus.”

“Tapi…” jururawat tersebut menatap wajah Heris.

“Saya tak boleh jumpa dia.”

“Encik ni tuan muda kedua, bukan?” Dia dapat mengecam wajah Heris.

“Awak kenal saya?”

“Emm…” Jururawat tersebut mengangguk.

“Awak seorang komposer yang hebat. Saya meminati lagu-lagu yang awak hasilkan.”

“Terima kasih.” Heris tersenyum. Dia tidak menyangka rupanya dia ada peminat.

“Tolong saya, ya… jangan beritahu ianya daripada saya. Katakan saja daripada…” Heris mencari suatu alasan.

“Macam mana kalau daripada seseorang yang mengambil berat dan menyayangi Dr. Marcus?” cadang jururawat tersebut.

Heris diam dan merenung jururawat yang memakai tanda nama ‘Rosita’ itu. “Okey, awak boleh katakan saja begitu, Rosita.” Heris menepuk bahu jururawat tersebut sebelum berlalu pergi.

Jururawat muda itu memandang kelibat Heris sehingga hilang. Senyumannya meleret panjang. Keluarga Kruger memang hebat-hebat dan kacak. Getusnya dalam hati sebelum beredar sambil membawa jambangan mawar putih di tangannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience