Chapter 1

Humor Completed 22614

BAB 1

SOPHIA HEARTNETT bercekak pinggang menghadap gadis di hadapannya. Kameranya tersangkut kemas di lehernya. Nuryl, model yang baru setahun jagung itu diperkenalkan oleh Armando, seorang agen pencari bakat-bakat baru dalam dunia peragaan. Baru berusia empat belas tahun. Masih mentah. Lawa. Memang tidak dinafikan kecantikan gadis tersebut tapi terlalu kaku dan nampak gementar berhadapan dengan kamera.

Sophia mencari akal untuk membantu gadis itu supaya tidak terlalu malu beraksi. Sesi fotografi petang itu hanya sekadar untuk melatih Nuryl beraksi di hadapan kamera agar dia biasa dengan dunia barunya itu kelak. Kalau nak diikutkan hatinya, dia malas mahu menjalankan tugas tersebut. Namun siapalah dia mahu menentang pihak atasannya.

Memandangkan gadis ini belum patut untuk melangkah ke dunia peragaan. Hanya baru tingkatan 2 sekolah menengah. Masih jauh perjalanannya. Disebabkan orang seperti Armando yang mahu mengaut keuntungan gadis ini termakan pujuk rayu lelaki itu.

“Nuryl, janganlah malu sangat. Kakak ni menakutkan Nuryl ke?”

“Nuryl nervous. Nuryl tak nak buat boleh tak?” Wajah Nuryl berkerut gundah.

Sophia mengeluh. Dia mendongak ke atas memandang langit biru yang tenang. Kepulan-kepulan awan yang cerah tiada menunjukkan hari mahu hujan. Padang redup itu diterokanya. Tidak jauh dari mereka, sekumpulan remaja sedang bermain bola keranjang.

“Sally, touch up budak ni.” Sophia mengarahkan pembantunya.

Sally menurut arahan. Lelaki lembut itu mendekati Nuryl sambil membawa perkakas soleknya. Dalam lenggang lenggok langkahnya, dia mendapatkan gadis sunti itu. Sophia yang hampir putus asa melabuhkan punggung di atas buaian di taman tersebut. Beban yang digalas di lehernya dibiarkan tergantung. Dia tidak bercadang untuk melepaskan kamera tersebut. Otaknya sedang bekerja mencari idea untuk mengetengahkan bakat Nuryl. Dia menekup muka. Kemudian menongkat dagu pula.

Tiba-tiba sebiji bola berwarna oren melanggar kakinya. Ditahannya bola itu dengan kakinya. Dia memandang ke arah remaja lelaki yang sedang datang menghampirinya. Kemudian direnung semula bola tadi. Diambil bola keranjang itu dengan tangannya. Nuryl yang masih didandan oleh Sally, juru soleknya dikerling penuh makna. Tiba-tiba segaris senyuman muncul di bibirnya.

“Yes!” Dia tahu apa yang harus dilakukannya kini. Digenggam erat bola tersebut.

“Kak, boleh pulangkan bola kami?” Remaja lelaki yang berseluar pendek paras bawah sedikit dari lutut dengan singlet merah itu meminta bolanya semula.

“Boleh… tapi kakak nak minta tolong sikit.”

“Haa… apa kakak nak?” Budak lelaki tersebut blur. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Rasa berat hati untuk membantu Sophia.

“Kakak nak main sekali, boleh?”

Remaja berlesung pipit itu tersenyum menyindir. Sophia tahu remaja itu sedang mentertawakan permintaannya yang dianggap mengarut.

“It’s not funny, okey…dengan budak perempuan tu.” Ia tidak lagi mengarut jika ada sebab yang masuk akal.

Remaja lelaki itu melongo memandang Nuryl. Sophia tersengeh. Dia berjaya memancing.

“So, macam mana?” Sophia yakin umpannya sudah mengena.

“All right, saya setuju.” Remaja itu terus sahaja bersetuju sebaik melihat Nuryl lantas mengambil semula bolanya dari tangan Sophia.

“Tapi kan… ada satu syarat kecil kakak nak minta.” Sophia melirik penuh makna.

“Apa dia?” Budak lelaki itu agak curiga.

“Kakak nak kau cuba tarik perhatian dia sebaik mungkin sampai dia betul-betul enjoy dengan game nanti.”

Remaja lelaki itu tersenyum lagi menampakkan lesung pipitnya. “Kalau setakat permintaan kecil macam tu, tak ada hal lah.” Ada lirikan nakal yang dilontarkannya ke arah Nuryl yang masih lagi bersama Sally tadi.

Sophia yang memerhatikannya hanya mampu menggeleng kepala. Kalau dah namanya lelaki, pantang nampak perempuan berdahi licin. Semua lelaki dalam dunia ni sama saja. Tidak kira muda atau tua.

Sophia mendekati Nuryl.

“Okeylah, Nuryl…kita tak payah buat fotografi hari ini. Apa kata kita main bola. Nak tak?”

“Nak, Nuryl suka main bola tapi kak, Nuryl pakai skirt.”

Dengan gaya manjanya Nuryl memaut tangan Sophia. Sophia hanya mampu mengeluh dalam hati. Kenapalah aku terpaksa layan kerenah manja dan gedik budak perempuan ni…

“Ala takpe… skirt ni kan ala-ala kembang gitu. Lagipun kasut yang Nuryl pakai sesuai kalau nak berlari-lari. Tak de masalah punya.” Sophia meyakinkan gadis itu. Nuryl memandang kasut yang dipakainya.

“Jom kita join budak-budak lelaki tu.” Tanpa membenarkan Nuryl berfikir panjang Sophia segera menarik Nuryl.

“Takpe ke, Kak?” Nuryl tidak berganjak kerana masih khuatir dengan pakaiannya yang tidak sesuai.

“Kenapa tidak? Tiada halangan untuk kita lakukan apa yang kita suka.” Sophia senyum dengan penuh yakin. Dia menarik tangan gadis itu dan nenuju ke arah remaja-remaja lelaki tadi.

“Tunggu! Sally macamana?” Sally terkulat-kulat memandang Sophia dan Nuryl.

Sophia berhenti dan berpaling kepada lelaki itu.

“Kau pandai main ke?” Sindir Sophia. “Kau duduk di tepi padang dan jadi Pom-pom Girl saja okey,” ujar Sophia sebelum meninggalkan Sally.

Mulut Sally memuncung geram. Jahat mulut betul Sophia ni… aku lelaki tau. Tak baik suruh mak jadi cheerleader saja.

…bersambung

BAB AKAN DATANG: WATAK-WATAK BARU BAKAL MUNCUL SEPERTI NIK ANDREA DAN HERIS. SIAPAKAH MEREKA? ADAKAH SOPHIA DAPAT MEMBUATKAN NURYL BERAKSI DENGAN LEBIH BAIK DI HADAPAN KAMERA SELEPAS INI?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience