Chapter 9

Humor Completed 22614

Bab 9

Heris meletakkan kasut Sophia yang dicangkingnya tadi. Dia turut menanggalkan kasutnya lalu menyertai Sophia di atas lantai marmar. Dia mengaut air yang bertakung tadi dengan tangannya dan menyimbah Sophia pula. Sophia berlari demi mengelak tindakan Heris itu.

Perlakuan mereka itu menarik perhatian orang ramai di situ. Ada yang mentertawakan tindakan mereka berdua. Ada juga yang tersenyum melihat pasangan tersebut yang nampak bahagia bersama. Ada juga pasangan lain yang cemburu bila merasakan cara Heris dan Sophia adalah romantik apatah lagi bila melihat wajah kedua-dua mereka yang nampak serasi dan tidak malu melakukan perkara yang nampak bodoh bagi sesetengah orang.

Heris dan Sophia hampir basah kuyup berada di atas pelantar air pancut itu. Malu Heris sudah hilang disebabkan Sophia. Sophia pula gembira kerana setiap kali Heris mahu menangkapnya pasti Heris disimbah air yang memancut dari lantai marmar hitam itu.

“Berhenti…! Saya dah penat, Sophia. Awak memang licik. Saya tak nak main lagi.” Heris mengaku kalah.

Sophia berdiri di hujung pelantar. Dia gelak lagi apabila mendengar Heris sudah mengaku kalah.

“Mengaku kalah? Awak tak kan dapat saya kalau awak dah mengaku kalah dengan cepat. Jangan menyesal nanti, ya.”

“Ini cuma permainan kanak-kanak. Saya akan dapatkan awak dengan cara orang dewasa.”

“Oh, ya? Cara apa yang awak nak guna?”

Sikap Sophia yang sentiasa bermain-main sejak tadi membuatkan Heris rasa tercabar. Sudah tiba masanya untuk dia bertindak serius untuk ke tahap perhubungan yang seterusnya bersama gadis itu.

“Sophia, saya nak tahu sesuatu dari awak.”

“Apa yang awak nak tahu?”

“Awak patut tahu yang saya dah katakannya sejak kali pertama jumpa awak. Hari ni saya nak tahu adakah awak terima saya sebagai kekasih awak?” Heris berterus terang akan niat sebenarnya.

Soalan Heris buat Sophia gelabah. Dia tidak menjangkakan yang hubungan mereka akan bergerak sepantas itu. Ini adalah hari ketiga perkenalan mereka dan sekali lagi Heris bersikap serius mahu melamarnya sebagai kekasih. Kegilaan apakah ini?

“Sophia, saya menunggu jawapan awak…”

Dia rasa dia sukakan Heris tetapi dia tidak tahu apakah maksud kesukaannya ini. Adakah cinta atau bukan. Sikap Heris yang humor membuatkannya sentiasa rasa gembira. Caranya bertindak biarpun drastik dan mengejut tetapi akhirnya Herislah yang menyelamatkannya dalam situasi tertentu. Cara renungan Heris membuatkannya terpikat. Matanya redup tetapi penuh semangat. Tatkala bibirnya bergerak untuk bertutur ataupun tersenyum, ia lebih menambat hatinya. Ia hanyalah perkara yang remeh tetapi telah berjaya menarik perhatian Sophia.

Namun ada sesuatu yang membuatkan fikiran Sophia keliru. Tentang seseorang. Seseorang yang sentiasa berada di hatinya selama ini. Patutkah dia melepaskannya hanya kerana Heris. Berbaloikah dia terus menunggu lelaki itu sedangkan dia tidak pasti masih adakah cinta diantara mereka. Sedangkan kemunculan Heris biarpun mendadak keikhlasan lelaki itu lebih dirasainya. Mungkin dia patut memberi ruang dan peluang kepada Heris.

“Sophia, saya faham…” Heris faham makna diam Sophia itu tanda dia ditolak. Sikapnya yang agak gelojoh bertanya soal hati terhadap Sophia memang tidak wajar. Pada hari pertama dia dianggap sebagai gila oleh gadis itu. Hari kedua pula dia membuatkan Sophia rasa terhutang budi dan hari ketiga Sophia setuju bertemujanji dengannya kerana cuba melunaskan hutang seperti permintaannya. Sophia tidak hadir kerana menerimanya sebagai kekasih. Dia patut sedar akan hal tersebut.

“Apa yang awak faham, Heris?” Sophia melangkah perlahan-lahan menghampiri Heris. Tangan kanannya mencabut sekuntum bunga ros di sisi kepalanya lantas menghulurkannya kepada Heris. “Awak tak faham apa-apa sebenarnya, kan.”

Heris terkesima memandang bunga ros yang dihulurkan kepadanya. Selajur dia merenung sekuntum senyuman yang indah di wajah Sophia.

“Saya sudi terima awak… sebagai kekasih.” Menerima Heris mungkin tindakan diluar kawalannya. Sophia umpama sedang bertaruh dalam percintaan.

Wajah hampanya bertukar senyuman bahagia. Berjaya menakluk hati Sophia umpama memenangi loteri. Hatinya bagai hendak melonjak tetapi perasaan itu cuba dikawal. Bunga ros yang dihulur oleh Sophia diambil. Terketar-ketar tangannya menerima bunga sebagai tanda itu.

“Ini bagaikan mimpi.” Bunga ros merah itu direnungnya. Senyuman terukir. “Awak betul-betul pasti untuk menerima saya, Sophia?”

Sophia mengangguk. Serta merta Heris merangkul tubuh gadis itu lalu diangkat dalam pelukannya sambil berpusing-pusing di atas pelantar marmar hitam itu. Air pancut yang memancut bagaikan memainkan irama cinta yang sedang berputik diantara mereka berdua.

“Stop, Heris! Turunkan saya sekarang.” Tindakan luar kawalan Heris itu memang mengejutkan Sophia.

Sebentar kemudian akhirnya Heris menurunkan Sophia semula.

“Awak tahu tak Sophia… saya memang dah jatuh cinta pandang pertama sejak pertama kali terpandang awak tempoh hari. Hari ini, selepas tiga hari tiba-tiba awak terima cinta saya. Saya… saya rasa… ergh~~ tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan ni. Saya rasa macam nak peluk awak lagi!” macam orang mabuk dengan tak semena-mena tangannya didepangkan semula untuk merangkul Sophia.

“Argh!!!” Sophia lari menyelamatkan diri. “Heris, CHOP!!!”

Pergerakan Heris mati mendadak. Niatnya terbatal. “Sorry…” senyumannya tidak lekang di bibir. Jaraknya dijauhkan sedikit dari Sophia. Dia bagai lelaki yang telah hilang kawalan terhadap cintanya.

Kakinya melangkah keluar dari kawasan air pancut tersebut. Kasut yang dicampakkan di tepi pelantar tadi diambil semula sebelum disarungkan kembali ke kakinya. Sophia turut menjejaki tindakan Heris yang keluar dari kawasan air pancut tersebut.

“Kita dah nak balik ke?” soal Sophia.

Heris masih lagi senyum-senyum. “Yes, my princess. Hari dah nak malam ni. Kita balik ya.”

“Hurm…” Sophia garu kepala. Tunduk menekur ke tanah. Wajahnya terasa panas secara tiba-tiba. Barangkali wajah cerahnya itu sudah merona merah akibat dipanggil sebegitu oleh Heris.

“Awak tak nak balik lagi ke?”

“Bukan… hmm…” Sophia tidak tahu harus bagaimana. Patutkah jika dia mengatakan kepada lelaki itu bahawa dia mahu bersama dengan Heris untuk beberapa jam lagi hari ini. Rasanya terlalu pendek tempoh pertemuan mereka hari ini.

“Ermm… okey, jom kita balik.” Akhirnya Sophia akur. Mungkin perasaannya itu harus dipendam sahaja.

Mereka berdua jalan beriringan menuju ke tempat parkir. Sepanjang perjalanan masing-masing hanya membisu. Mulut masing-masing bagai sudah disumpah daripada mengeluarkan suara. Tanpa sedar mereka sudah berada di lot parkir. Kini adalah saat perpisahan mereka.

“Kereta saya parkir kat situ je.”

Mata Heris melilau menjejaki Velvet Esprada kepunyaan Sophia. Melihat keadaan kereta tersebut dia tersenyum. Sudah elok dari kerosakan semalam.

“Awak, saya nak balik ni.” Sebenarnya dia mengharapkan sesuatu yang indah keluar dari mulut Heris sejak tadi. Namun Heris tetap membisu. Bagai ada sesuatu yang terjeruk di benak fikiran lelaki itu.

“Heris…” Sophia semakin janggal melihat tingkah Heris yang bagai kehilangan sesuatu. Lelaki itu sekejap-sekejap menoleh ke kiri dan kanan. Matanya meliar entah kemana tanpa menghiraukan diri Sophia yang berdiri bagai tunggul di hadapannya.

Sophia mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya. Sebatang pen dan kertas kecil. Dia menulis sesuatu pada kertas tersebut sebelum menghulurkannya kepada Heris.

“Ini nombor saya. Awak boleh hubungi…” kata-kata Sophia tergantung tatkala Heris menarik tangannya rapat ke dada.

“Sophia… let’s get married.”

“WHAT!!!” sepantas kilat Sophia menarik tangannya dari genggaman Heris.

“Let’s get married.” Ulang Heris sekali lagi. “Maksud saya jom kita kahwin!”

“Heris, awak dah hilang akal?”

“Perlukah saya ulang sekali lagi? Jom kita…”

“Chop!” kejutan itu membuatkan jantung Sophia bagai meloncat naik ke kerongkong. Beberapa minit yang lalu dia baru menerima lelaki itu sebagai kekasih. Dalam tempoh sesingkat itu tiba-tiba Heris mengajaknya berkahwin pula.

“Okey, saya setuju.” Gila! Bukan Heris seorang sahaja yang gila. Rasanya Sophia juga sudah gila kerana menerima lamaran lelaki itu.

“Betul awak setuju? Awak tak takut menyesal?” sekali lagi Heris bagaikan mahu melompat setinggi mungkin kerana keberaniannya beroleh hasil.

Sophia menggeleng. “Awak pula… tak takut menyesal dengan keputusan ini?”

Heris menggeleng. Sememangnya dia yakin dengan perasaannya kini. “Saya fikir akan lebih menyesal jika awak terlepas ke tangan orang lain.”

Kalaulah… kalaulah orang itu berfikir seperti Heris. Kali ini biar dia yang menyesal dengan tindakannya yang membiarkan aku terlepas dari genggamannya. Fikiran Sophia terlintas memikirkan seseorang. Namun hatinya kini sudah terpaut pada Heris.

“Heris… let’s get married.” Sophia merangkul leher Heris. Heris membalas rangkulannya sambil mengucup dahi gadis itu. Dunia Sophia dipenuhi bunga. Dia umpama puteri yang paling bahagia memperolehi cinta sepantas ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience