Chapter 3

Humor Completed 22614

Bab 3

HERIS masuk ke tengah gelanggang untuk mendapatkan gadis yang telah mencuri perhatiannya tadi. Dia menghadang langkah Sophia yang mahu menyambut bola. Bola tadi jatuh tersembam ke bumi. Sophia tersentak dengan kehadiran pemuda yang tidak dikenalinya itu. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Remaja-remaja tadi tidak meneruskan permainan kerana kemunculan ahli yang tidak diundang itu. Sophia meletakkan tangan kanannya di pinggang. Pemuda itu dipandangnya pelik.

“Awak ni siapa… dan nak apa?” tanya Sophia yang mula berundur menjarakkan diri dari lelaki yang tidak dikenalinya itu.

“Boleh kita berkenalan?” soal Heris berterus terang.

“Ha?” Sophia pelik. Dia merenung lelaki itu sejenak sebelum menoleh ke arah remaja-remaja di sekelilingnya yang turut sama kepelikan.

“Saya suka awak. Rasanya macam dah jatuh cinta.” Heris hilang punca. Tiba-tiba mulutnya mengeluarkan perkataan yang tidak disangka-sangka.

“Awak ni gila kah?”

“Entahlah, tapi betul saya ikhlas nak berkenalan dengan awak,” ujar Heris seraya mengambil bola yang bergolek di kakinya lalu diserahkan kepada Sophia.

“Saya tak nak berkawan dengan orang gila. Harap maklum.”

Sophia mengambil bola oren tersebut dan dilontarkannya ke belakang. Dia berpusing dan berlalu dari situ. Yang lain ternganga apabila bola yang dibaling oleh Sophia masuk ke dalam jaring.

“Jom balik.” Sophia menarik tangan Nuryl lantas meninggalkan gelanggang tersebut.

“Kakak Jurugambar, tak nak main lagi ke?” Salah seorang daripada remaja tadi bertanya.

“Lain kali sahaja, okey,” jawab Sophia sambil kakinya terus melangkah.

“Nuryl yang cute umpama buah ceri merah yang segar. Nak number phone awak, boleh?”

Nuryl sempat menoleh dan tersenyum manja. Dia melambai ke arah remaja lelaki tersebut. Masing-masing sudah jatuh cinta dengan gaya gadis tersebut yang sangat manja. Apatah lagi senyumannya yang mampu membuatkan setiap jejaka cair.

Heris yang diam berdiri masih belum bertindak. Matanya hanya menyoroti belakang tubuh gadis yang baru saja menolak niat ikhlasnya itu. Lenggok pergerakannya Nampak pantas seolah-olah mahu segera menjauhinya.

“Err, abang… orang yang abang nak tackle tu dah semakin jauh.” Salah seorang remaja di situ menegur Heris.

Heris tersedar dari lamunan.

“Kemana dia pergi?” tanya Heris.

Mereka semua tidak menjawab soalan Heris melainkan hanya memandang ke satu arah. Kelihatan gadis yang dikejarnya tadi sudah hampir sampai ke parkir kereta.

Tanpa membuang masa Heris mengatur langkah mengejar gadis tersebut sebelum terlambat.

Ketika dia hampir menghampiri Sophia kelihatan gadis remaja yang bersamanya tadi sudah pergi menaiki sebuah kereta lain bersama seorang lagi teman sekerjanya meninggalkan Sophia sendiri. Inilah peluang keemasan yang ditunggu-tunggunya. Heris mempercepatkan langkahnya mendekati Sophia yang sedang membuka pintu keretanya. Dia berjaya menutup kereta Sophia sebelum gadis itu sempat masuk ke dalam perut keretanya. Sophia terkejut. Hatinya mula tidak senang dengan tindakan lelaki yang tidak dikenalinya itu.

“Apa awak nak?” tanyanya kasar.

“Nak hati awak,” jawab Heris selamba.

“Gila! Hei, orang tak ada masa lah nak main-main.”

“Laa… siapa yang nak main. ‘Orang’ nak hati awak sajalah.” Heris mengajuk Sophia yang membahasakan dirinya sebagai ‘orang’.

Sangat mencurigakan. Siapa dia ni? “Awak ni orang gila terlepas dari hospital sakit jiwa ke? Suka-suka je nak hati orang.”

“Apa masalahnya. Sharing is caring kan... Saya suka awak. Apa kata kalau saya ambil hati awak dan awak pula ambil hati saya.”

“Cakap ikut sedap mulut. Kalau terdesak sangat nak cari pasangan hidup pun biarlah ikut jalan yang betul.” Sophia yang geram sempat mengemaskan rambutnya dengan penyepit rambut.

“Kalau hati dah suka apa pun boleh berlaku.”

Sophia menjeling pemuda di hadapannya. Direnung dari hujung kaki hingga ke hujung rambutnya. Menilai diri pemuda tersebut secara zahir. Gayanya ringkas. Dia hanya mengenakan t-shirt dan jeans. Walaupun ringkas tetapi tetap kemas dan bergaya pada pandangan mata Sophia. Namun persoalannya sekarang, bolehkah dia mempercayai lelaki asing tersebut…

“So, boleh cik… pertimbangkan saya?”

“Emm…” Sophia masih dalam pertimbangan. Secebis alasan pun masih belum terlintas di fikirannya.

Tiba-tiba satu bunyi asing muncul dari poket seluar Heris. Heris mencapai telefon bimbitnya untuk dijawab. Rupanya panggilan daripada Nia.

“Yes, Nia. Can you wait me a few minute? Please, please, please…”

Nia?! Siapa pula Nia dan kenapa nak membelakangi aku semasa menjawab panggilan? Bertambah lagi rasa curiga Sophia terhadap lelaki yang tidak dikenalinya itu.

“What? Habis tu aku nak balik macamana?” Heris separuh berbisik. Sempat lagi dia menjeling gadis di belakangnya. Dia tak mahu gadis itu mendengar perbualannya lantas salah sangka terhadapnya.

“Nia, tungg…gu…” Talian putus. Heris memandang telefon bimbitnya geram. Dia tidak pasti samada bateri telefon Nia lemah ataupun Nia sengaja memutuskan panggilan. Dia kembali kepada Sophia.

“Emm… apa yang patut saya panggil awak? Awak perlu beritahu nama awak pada saya, bukan?”

Sophia tidak menjawab. Dia belum cukup yakin dengan pemuda dihadapannya.

“Awak ni pelik. Saya tak yakin boleh berkawan dengan awak.”

Sophia menolak tubuh Heris yang menghalang laluannya. Dibuka pintu Velvet Esprada, kereta Volkswogennya. Heris pantas ke bahagian sebelah dan turut membuka pintu yang satu lagi. Sophia masuk ke dalam perut kereta. Dia terkejut apabila Heris begitu pantas turut berada di sebelahnya.

“Woi, penceroboh! Keluar dari kereta aku!” Sophia memukul Heris dengan kudrat tangannya. Pemuda itu tidak melawan mahupun mengelak. Dia merelakan tubuhnya di pukul oleh gadis manis itu.

“Saya bukan penceroboh tapi awaklah pencuri yang dah curi hati saya. Awak tak sedar? Sebab itulah saya nak hati awak pula sebagai gantinya.”

Sophia berhenti memukul. Pemuda itu serius menuturkan kata-katanya…tapi dia tidak peduli. Diambil pula kameranya untuk menghentak Heris. Namun belum sempat kamera itu menyentuh tubuh Heris, telefon bimbit Sophia berbunyi. Sophia mencari telefon bimbitnya yang berada di dalam beg galasnya.

“Hello… Yes, boss.” Air mukanya berubah serta merta.

“Saya dah hantar filem tu pada Miko.” Ada riak gusar di wajah gadis tersebut. Heris sekadar memerhati tingkah lakunya.

“Tak ada? Mana mungkin.”

Sophia membuka laci di hadapan Heris. Sempat dia menjeling pemuda yang masih tidak dikenali namanya itu. Heris cuba mengangkat tangan tanda tidak akan masuk campur mahupun mengganggu perbualan gadis itu.

Semua barang-barang di dalam laci itu diselongkarnya untuk mencari filem yang dimaksudkan. Namun yang terdapat hanyalah kertas-kertas, tin minuman dan benda-benda yang tidak berguna. Heris tersenyum dan menggelengkan kepala. Gadis di hadapannya itu bagai sedang menyelongkar tong sampah. Laci tersebut hanya menyimpan barang-barang yang sepatutnya dinamakan sampah. Sophia nampak senyuman sinis di bibir pemuda itu. Matanya menjeling tajam kepada Heris, aura si naga cina yang berkira-kira mahu menelan mangsanya. Heris menutup mulut dan senyumannya mati akibat panahan mata Sophia yang tajam itu.

“Mungkin saya dah salah hantar. Biar saya cari semula filem itu.”

“Saya beri masa sehingga jam 6.00 petang ini. Jika awak gagal serahkannya kepada saya, hari ini juga sila kemaskan meja awak,” arah sang ketua dengan tegas lagi kejam.

“Maksud boss?”

“Awak dipecat!! Tak faham lagi?” ulangnya dengan lebih jelas sebelum mematikan talian.

“Pecat?” Sophia duduk tegak. Dia tergamam sebentar dengan berita itu.

Heris pula tidak lepas-lepas memandang Sophia. Dia telah terdengar suara lelaki di dalam talian tersebut. Siapapun pasti akan terdengar suara yang begitu kuat menjerit walaupun dalam talian tapi kalau dah sampai nak memecat orang, tandanya perkara ni sangat serius. Macam mana aku boleh tolong dia?

Sophia mengangkat sebuah beg yang berada di tempat duduk belakang. Telefon bimbitnya sudah dicampakkan di sebelah tempat beg tadi. Beg berwarna hitam itu dipangku. Zipnya dibuka. Digeledah isi perut beg tersebut. Kalut dia mencari filem yang dikehendaki boss nya itu.

“Mana ni? Mana aku letak?”

Wajahnya berubah pucat. Semua kertas-kertas dan sampul surat dikeluarkan dari dalam beg tersebut. Semua poket dibuka tapi masih tidak ketemu filem yang dicarinya.

“Habislah kali ini. Aku akan dipecat. Mana filem tu?!!” Sophia menjerit. Dia mula jadi kelam kabut. Guruh tidak. Mendung pun tidak. Tiba-tiba banjir melanda di dalam Velvet Esprada, kereta volkswogen berwarna ungu itu. Air matanya melimpah membasahi pipi. Dia hampir berputus asa.

“Aku tak nak kena pecat!” Dia berteriak.

Terlupa yang di sebelahnya ada seseorang yang sedang memerhatikannya. Dia tidak peduli siapa di sebelahnya. Apa yang dirasanya sekarang, dia mahu menangis saat itu. Heris berasa simpati melihat air mata gadis itu yang sudah melimpah gugur di pipi. Dia cuba memujuk Sophia.

“Sabarlah, kita cuba cari perlahan-lahan. Jangan kelam kabut. Calm down, okey.” pujuknya.

“Awak tak faham ke? Kalau saya tak jumpa filem tu, saya akan dipecat! Awak faham tak!” bentak Sophia dalam tangisnya.

Keadaan semakin tidak terkawal apabila tiba-tiba gadis tersebut diserang sesak nafas. Heris cemas melihat keadaan Sophia tercungap-cungap. Tangan gadis itu menarik lengan baju Heris dengan sekuat tenaganya. Dadanya turun naik dengan pantas.

“Kenapa dengan awak? Awak ada ubat ke tak?” Heris cemas.

Sophia menggeleng. Dia tak dapat bersuara lancar.

“To…too…long…saya.” Sophia mencengkam tangan Heris.

Heris segera membuka pintu di bahagian tempat duduk Sophia untuk memberi ruang udara yang secukupnya kepada gadis tersebut.

“Awak tunggu sekejap.” Heris membuka pintu kereta, mahu keluar mendapatkan bantuan daripada sesiapa yang berada di sekitar situ tapi pergerakannya terbantut. Lengannya dicengkam kuat oleh gadis itu.

“Tak… tak sempat lagi… to…tolong b-buat sesuatu.” Pinta Sophia dalam suara yang tersekat-sekat. Wajahnya nampak begitu tersiksa.

“Haa… awak nak saya buat apa? apa yang boleh saya buat untuk tolong awak?” Heris menyoal semula dalam keadaan kalut.

“Buat apa saja… to… tolong saya. Saya tak mahu dipecat.” Wajah Sophia semakin pucat. Bagai sudah habis darah dalam tubuhnya. Rayuannya membuatkan Heris bertambah simpati.

“Baik, demi awak… saya cuba lakukan.” Tangan yang berpaut pada lengannya ditarik dan digenggam dengan kedua belah tangannya. Wajah Sophia dipandang sayu. Heris perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Sophia.

Heris pejam mata untuk seketika. Cuba bertenang. Dengan ilmu perubatan yang pernah dipelajarinya sebelum ini mungkin ada cara yang dapat membantu Sophia.

Suara Sophia yang umpama tidak cukup nafas sedikit mengganggu konsentrasinya. Dia semakin tidak tenang melihat keadaan Sophia yang semakin kritikal.

“Arghh!!! Macam mana ni? Apa aku nak buat!?” Heris berasa tertekan dan cemas. Dia melepaskan pautan tangan Sophia dan berlari menuju ke pintu sebelah, tempat Sophia.

Kedua belah bahu Sophia dipegangnya. Dia berusaha mencari jalan untuk menyelamatkan gadis tersebut. Akhirnya…

“Pandang saya!” Teriak Heris yang dalam kebuntuan. Dia berlutut di atas tanah sebelum bertindak menarik dagu gadis tersebut. Dalam keadaan tersebut Heris tidak dapat mengawal tindakan Sophia. Jari-jemarinya memaut wajah Sophia kejap. Dia mahu sophia memandang ke arahnya.

“Please, pandang saya. Bayangkan apa yang paling awak suka dan sayang. Jangan fikirkan perkara yang negatif,” seru Heris.

Pandangan Sophia kini terbatas kepada Heris seorang. Apa yang disuruh oleh Heris terus masuk ke dalam otaknya. Dia cuba mencari apa yang disukainya. Air mata yang membasahi pipinya diusap oleh tangan Heris yang bertapak diwajahnya. Dari sentuhan lembut itu, Sophia dapat merasakan kehangatan tangan lelaki itu mengatasi hangat air matanya. Walaupun nafasnya sesak ketika itu tapi dia nampak kesungguhan pemuda itu cuba membantunya. Perlahan-lahan matanya menangkap sesuatu yang menarik perhatiannya.

“Awak dah jumpa sesuatu yang awak suka? Fokus ke arahnya. Nikmati keindahannya. Anggap ianya milik awak. Jangan lepaskannya. Saya sedang bantu awak.”

Tutur bicara Heris menenangkan Sophia. Bibir pemuda itu direnung lama. Gerak dan lenggoknya tidak dilepaskan. Sophia nampak apa yang dimaksudkan oleh Heris. Sesuatu yang sayang untuk dilepaskan. Bukan miliknya tetapi boleh diteroka keindahannya. Sesuatu yang tidak pernah dinikmatinya. Bibir yang tidak hitam akibat nikotin. Bahagian atasnya berbentuk sedikit membukit. Lenggok gerakannya apabila bertutur indah tidak bercelaru.

Semakin dekat dengan wajah Heris semakin asyik dia meneroka bibir pemuda itu. Sehinggakan dengus nafas lelaki itu yang semakin jelas kedengaran pun tidak diendahkan. Dia sendiri tidak sedar apa yang menariknya dengan bibir lelaki itu.

Heris melihat perubahan yang berlaku ke atas Sophia. Daripada keadaan gadis itu yang tidak mampu dikawal sehinggalah Sophia dapat bertenang. Namun Heris hairan apakah sebenarnya yang direnung oleh Sophia.

“Hello…Cik…Cik jurugambar…” Heris yang tidak tahu lagi nama sebenar Sophia memanggil dengan lembut.

Pandangan Sophia serta merta beralih ke anak mata pemuda tersebut. Seperti satu kuasa yang mengikat, mereka meneroka mata antara satu sama lain. Heris yang pada asalnya mahu menyelamatkan Sophia tiba-tiba hanyut tanpa disedari. Sophia pula bagai terlupa dengan apa yang telah berlaku ke atas dirinya tadi. Ada satu kuasa telah membawa mereka ke suatu destinasi… destinasi cinta yang terbit tanpa disangka.

Cinta yang mekar tanpa di duga. Heris tidak mahu pergi dari dunia itu. Dia terus membiarkan dirinya lemas di situ. Cintanya yang baru hadir semakin berkembang… sehinggalah Sophia yang tersedar dahulu.

Gadis itu menepis perlahan kedua belah tangan Heris yang masih berada kejap di pipinya. Dia cuba menepis perasaan itu tapi hakikatnya Heris telah berjaya mencuri hatinya atau mungkin lebih tepat lagi Sophia sendiri yang cuba menyerahkan hatinya kepada pemuda yang hadirnya baru beberapa detik itu.

Segaris senyuman muncul di bibir mungil gadis itu. Daripada secebis senyuman ianya bertukar kepada tawa. Heris berjaya mengubati gadis tersebut. Gadis itu seakan-akan sudah melupakan apa yang telah berlaku ke atasnya tadi. Setelah suasana semakin reda, Heris bersuara.

“Selalu ke awak begini?” tanya Heris.

“Maksud awak?” Wajah Heris dipandang sekilas.

“Awak menghidap asma ya?”

Sophia senyap tidak menjawab. Pandangannya ditumpahkan ke arah stereng kereta volkswogennya. Heris merenung gadis itu. Sophia terus diam. Heris mengambil keputusan untuk kembali masuk ke dalam kereta.

“Emm…” Heris mencari topik untuk memulakan kembali perbualan mereka. Berkenalan. Ya, mereka patut memulakan perbualan dengan salam perkenalan.

“Saya Heris James Kruu…” Heris terfikir samada mahu menyebut nama keluarganya atau pun tidak? Semua orang di Kota Lisberg kenal dengan keluarga Kruger yang merupakan pakar perubatan dan memiliki hospital sendiri. Hmm… tapi mungkin bukan semua orang mengenalinya.

“Heris James Kruger. Awak boleh panggil saya Heris. Macamana dengan awak?”

“Sophia Jasmine Luis Hartnett. Call me Sophia.” Sophia menghulur salam perkenalan. Senyuman pertama dihadiahkan kepada Heris. Heris menyambutnya gembira.

“Thank’s… awak dah selamatkan saya.”

“It’s okey. Mungkin saya memang ditakdirkan untuk berada disisi awak hari ini.”

Wajah Sophia merona merah. Dia malu.

“Sophia, adakah awak akan percayakan saya?”

“Apa maksud awak?”

“Saya cintakan awak… ikhlas dari hati.”

“He…Heris, saya tak tahu macamana ianya boleh berlaku. Saya tak kenal awak. Macamana saya nak percayakan awak?”

“Saya sendiri tiada jawapan untuk soalan awak. Semuanya berlaku secara drastik… emm, awak masih single?”

“Aa…eee…” Sophia teragak-agak untuk menyatakan kebenaran.

“Tolonglah jawab dengan ikhlas. Ia penting bagi saya sebab saya tidak akan usik tunang atau isteri orang.”

Wajah Heris dipandang. Mata pemuda itu direnung. Lama. Sophia hampir terpukau. Namun dia cepat sedar. Dia mengalihkan pandangannya. Heris setia menanti jawapan gadis tersebut.

“Saya…masih hak orang.”

Ahh…musnah harapan ku. Runtuh sudah istana yang baru nak ku bina. Retak tubuh ku terbelah dua… perlu beredar dari sini. Selamat tinggal cinta… Heris kecewa. Dunia cinta yang baru nak dibina sudah berakhir.

“… masih milik ibu dan ayah saya.” Ada senyum halus di bibir Sophia.

Bunga-bunga cinta yang layu mekar semula. Wajah duka Heris berubah ceria kembali. Sophia sengaja mengusik. Padahal hatinya juga turut tersentuh dengan tindakan diluar jangkaan Heris hari ini. Dia menghidupkan enjin keretanya. Heris tidak berganjak dan tidak terfikir untuk keluar dari kereta Sophia. Dia ingin terus berada dekat dengan gadis itu. Sophia merenung jejaka disebelahnya. Heris terus memandang ke hadapan tanpa mengintai gadis itu.

“Awak tak nak keluar dari sini?” tanya Sophia.

“Nop, I think you need me again,” jawab Heris.

“Maksud awak?”

“Awak ada masa lebih kurang sejam untuk dapatkan semula filem tu.”

Heris menunjukkan jam di tangannya untuk memberitahu Sophia tentang masa yang telah dijanjikannya tadi. Sophia memandang jarum jam di tangan Heris. Dia melongo terkejut. Bulat matanya menunjukkan kegusaran hatinya.

“Apa saya nak buat sekarang?” Sophia memandang Heris.

“Ringkas… Cari filem itu,” jawab Heris pendek.

Sophia kembali memegang stereng. Tak lama kemudian keretanya meluncur di jalan raya. Dia memecut untuk sampai ke pejabatnya. Apa sahaja halangan dihadapan matanya ditempuhi. Kereta volkswogen berwarna biru kundang itu memotong setiap kenderaan yang menghalang laluannya. Sophia tidak peduli dengan peraturan jalan raya lagi yang penting dia sempat sampai ke pejabatnya untuk mencari filem tersebut. Dia menggigit bibir bawahnya. Matanya tajam memandang jalan raya. Fokus ditumpukan sepenuhnya terhadap pemanduannya. Heris yang berada disebelahnya berasa teruja melihat Sophia yang bijak memandu di jalan raya yang sibuk itu. Tidak sangka volkswogen lama itu mampu menandingi kereta-kereta yang lebih hebat di jalan raya tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience