Chapter 44

Humor Completed 22614

Bab 44

TEPAT jam 12.00 tengah malam barulah Heris muncul di perkarangan rumahnya. Dia melihat lampu rumahnya masih terang benderang. Itu menandakan samada Sophia masih berjaga ataupun sudah tertidur kerana menunggu kepulangannya. Heris masuk perlahan-lahan ke dalam rumah. Setelah mengunci pintu dia mencari Sophia di ruang tamu.

Sophia tiada di ruang tamu. Heris menuju ke ruang dapur. Dia ternampak bilik kerjanya terang. Dia tersenyum. Tentu Sophia berada di bilik itu. Heris menuju ke bilik tersebut dan membuka pintunya. Dia tersenyum lagi apabila melihat komputernya terpasang tetapi Sophia sudah tertidur di meja komputer itu.

Heris menggoyang-goyangkan tetikus untuk melihat apa yang Sophia buat di komputernya. Heris melihat laman e-mail Sophia yang muncul di situ. Dia terbaca inbox Sophia secara tidak sengaja. Wajah Heris berubah tatkala terlihat nama Ivan yang muncul dalam senarai inbox. Dia tidak dapat menahan gelojak hatinya yang ingin tahu isi kandungan e-mail tersebut. Dia tahu perbuatannya itu salah dan dia boleh dianggap menceroboh. Namun nama Ivan benar-benar menyakitkan hatinya. Dia didesak oleh perasaan cemburu dan ketidak yakinannya bahawa Ivan hanya sekadar teman biasa Sophia. Heris mengambil kesempatan Sophia yang sedang lena untuk melihat apa yang dihantar oleh Ivan kepada Sophia. Dengan satu klik mesej Ivan terpampang di dada skrin. Heris membacanya.

__________________________________________________________________________

Sophia…

Tidakkah kau tersiksa memperlakukan aku sebegini? Mengapa kau perlu teruskan perkahwinan yang pura-pura ini? Kau masih menyintai aku… aku tahu. Kau tidak berjaya menipu aku dengan kata-katamu tempohari. Walaupun kita tidak pernah berterus terang dalam cinta kita tetapi kau patut tahu dan rasakannya. Aku tahu kau mengharapkan sesuatu daripadaku. Aku minta maaf kerana memandang remeh dalam soal percintaan. Selepas perkahwinan mengejut kau dengan Heris, barulah aku tahu betapa seksanya setelah aku kehilangan kau. Kau sangat penting dalam hidup ku.

__________________________________________________________________________

Wajah Heris merah padam setelah membaca butir-butir perkataan berwarna hitam itu. dia menekan tetikus dan kembali ke menu utama. Dia berundur ke belakang. Apa yang telah diketahuinya malam ini adalah sesuatu yang mengejutkannya. Ia benar-benar berlaku akhirnya. Hubungan Sophia dan Ivan bukan sekadar teman biasa malah mereka adalah pasangan kekasih. Heris berasa dirinya sangat jahil ketika ini. Sophia sedang mempermainkannya demi seorang lelaki yang dicintainya. Perkahwinan yang baru dibinanya ini langsung tidak bermakna bagi Sophia. Dia tidak ubah seperti alat yang digunakan oleh Sophia untuk mencapai misinya.

Heris melihat belakang Sophia yang masih diam kaku itu. Tangannya terasa mahu menarik tubuh itu untuk diberi pengajaran tapi niatnya ditahan. Dia keluar dari bilik itu dan naik ke atas. Dia tidak mahu mencederakan orang yang dicintainya. Dia mahu meredakan perasaannya itu dengan cara yang lebih baik. Dia perlu mandi untuk menyejukkan hatinya yang panas. Dia tidak boleh terus memarahi Sophia dalam keadaan begitu. Dia masih berharap apa yang dilihatnya tadi adalah suatu penipuan.

Sophia terkejut tatkala terdengar hempasan pintu bilik di ruang atas. Dia menggosok-gosok mataya dan menggeliat. Heris sudah pulang. Lewatnya. Sophia nampak jam di tepi komputer yang menunjukkan pukul 12.30 a.m.. Dia bergegas memadamkan komputer dan naik ke tingkat atas rumahnya.

Bunyi air dari bilik air di biliknya melegakan hati Sophia. Dia tidak sabar mahu memeluk suami yang dirinduinya itu. Dia merebahkan tubuh ke atas katil sementara menunggu Heris keluar dari bilik air. Tiba-tiba telefon bimbit Heris berbunyi. Sophia mencapai telefon berkenaan yang dekat dengannya di atas katil. Dia melihat pada skrin telefon. Air mukanya berubah tatkala ternampak wajah Nia di situ. Apa dia nak malam-malam buta ni? Tak cukupkah waktu siang, malam pun nak cari Heris. Sophia merungut sendiri. Dia menekan butang ask key dan meletakkan telefon tersebut ke telinganya.

“Babe, aku nak beritahu kau sesuatu. Aku sangat sayangkan kau! Aku sangat gembira. Terima kasih untuk malam ini…” Nada suara Nia sangat gembira. Suara ceria itu membuatkan Sophia meluat. Telinganya panas mendengar cara Nia memanggil suaminya.

“Malam ini adalah malam paling indah. Kalau kau tak tahan aku daripada pulang tadi tentu aku tidak bertemu dengannya.”

Mata Sophia terbelalak. Bermakna tadi Heris bertemu janji dengan Nia? Heris, aku dah tak tahan lagi. Apa yang cuba kau sembunyikan daripada aku? Jiwa Sophia menjerit mahu memberontak.

“Heris…Heris…babe, kau tak jawab aku lagi. Cakaplah… kenapa kau diam sejak tadi.”

Sophia cepat-cepat mematikan talian. Heris baru keluar dari bilik air. Sophia menyilang tangannya ke hadapan. Telefon bimbit Heris masih di tangannya. Dia memandang Heris dengan tajam. Heris yang baru selesai mandi itu hanya bertuala separas pinggang dan dengan badan yang telanjang dia menuju ke almari pakaian tanpa menghiraukan pandangan Sophia. Sophia bengang. Dia mencampakkan telefon yang diganggamnya tadi di atas katil dan bangun mendekati Heris.

“Awak dari mana?” Sophia menarik lengan Heris supaya tubuh itu menghadapnya.

Heris menyentap tangannya dan berpaling. Dia mengambil sepasang baju yang terlipat kemas dari dalam almari. Sophia pelik dengan perlakuan suaminya. Heris seperti sedang marah padanya. Ini tidak patut kerana dia yang perlu beri penjelasan kepada aku kenapa pulang lewat hari ini. Sophia merungut di dalam hati.

“Saya tanya awak dari mana? Kenapa pulang lewat?” Sophia bertanya lagi kepada Heris yang sedang menyarung seluar. Nadanya keras sedikit.

Heris terus diam. Dia tidak mahu bersuara kerana hatinya masih panas tetapi cara Sophia menyoalnya sedikit melukakan perasaannya. Kemana dia mahu pergi adalah kebebasannya. Dia bukan keluar untuk berfoya-foya tetapi bekerja demi mencari nafkah keluarga dan inikah cara Sophia melayannya setelah pulang dari kerja?

“Cakap dengan saya. Saya nak penjelasan awak. Jangan perbodohkan saya, Heris.” Suara Sophia semakin keras nadanya.

“Apa maksud awak? Siapa perbodohkan siapa sekarang? Saya atau awak?” balas Heris sambil mengancing butang bajunya.

Sophia terpinga-pinga dengan kata-kata Heris.

“Kenapa pula saya? Awak yang sedang permainkan saya, bukan? Ada sesuatu yang masih saya tidak jelas sejak kita berkahwin dan saya nak awak jelaskannya hari ini.”

“Apa yang awak tak puas hati? Awak cuma duduk bersenang lenang dalam rumah besar ini dan saya yang bekerja setiap hari. Tak cukupkah kemewahan yang saya telah beri?”

Kata-kata Heris begitu sinis menganggap Sophia tidak bersyukur dengan apa yang dimilikinya.

“Jangan anggap saya patut gembira dengan kemewahan yang awak beri. Lagipun rumah ini bukan pemberian awak.”

“Hei, kalau saya nak saya boleh belilah rumah ni!”

“Awak memang boleh beli apa saja yang awak mahu. Keluarga awak kaya, bukan? Saya tak mampu nak dapatkan semua ini tapi jangan beli cinta dengan duit. Saya bukan perempuan murahan.”

Kata-kata Sophia menikam telinga Heris. Heris memandang mata Sophia yang penuh dengan rasa marah.

“Saya nak tahu… sejauh mana hubungan awak dengan Nia?”

Dahi Heris berkerut mendengar pertanyaan Sophia. Sophia sengaja membangkitkan isu Nia untuk menutup kesalahan sendiri. Heris begitu kecewa.

“Kami sangat rapat tapi tidaklah seintim awak dengan Ivan.” Heris menjawab pertanyaan Sophia dengan nada yang sangat sinis.

“Apa maksud awak?” Sophia tidak jelas dengan niat Heris.

“Awak pergunakan saya untuk menyakiti Ivan yang awak cintai. Awak fikir saya ni apa? Saya ni manusia yang ada hati dan perasaan, Sophia. Kalau awak cintakan lelaki tu, kenapa kahwin dengan saya?”

“Apa yang awak cakap? Awak sedarkah yang awak sedang cuba musnahkan hubungan kita dengan kata-kata awak?”

Sophia tidak sangka begitu rapuh kepercayaan Heris terhadapnya.

“Memang niat awak nak tamatkan perkahwinan ini, bukan?”

“Heris, jangan tuduh saya begitu.” Sophia tidak dapat menahan tangisnya apabila mendengar tuduhan Heris. Kata-kata Heris melukakan hatinya.

“Saya tidak akan tuduh jika tiada bukti. Awak memang cintakan dia, bukan? Mengaku sajalah Sophia!”

Pang!

Kata-kata Heris benar-benar melukakan perasaannya. Begitu tega lelaki itu berkata sedemikian terhadapnya. Adakah masih kurang cinta yang dicurahkannya terhadap Heris? Mengapa timbul isu Ivan dalam rumah tangganya? Heris tidak patut menuduhnya tanpa usul periksa.

Heris mengusap-ngusap pipinya yang pijar akibat tamparan Sophia. Berani sungguh Sophia menyakiti dirinya sedangkan dia bertahan sejak tadi agar tangannya tidak ringan untuk menyakiti wanita itu. Heris berpaling daripada menghadap Sophia. Sakit hatinya lebih pedih berbanding tamparan wanita itu.

Air mata Sophia semakin deras mengalir. Dia tidak dapat menafikan kata-kata Heris. Memang benar dia masih menyintai Ivan. Dia rasa bersalah kerana menyakiti suaminya. Dia mendapatkan semula si suami yang sedang kecewa itu.

“Saya minta maaf. Saya tak sengaja tampar awak.” Suaranya teresak-esak.

Sophia menyentuh pipi Heris yang disakitinya tadi. Heris menepis tangan Sophia.

“Awak memang hebat kerana dapat buat saya terpikat dengan awak sekaligus mengahwini awak. Terima kasih kerana ini sebuah permainan yang hebat.” Mata Heris menjeling Sophia dengan perasaan yang dipenuhi kebencian.

“Tidak. Saya tak buat begitu. Saya cintakan awak, Heris.” Sophia memaut lengan Heris.

“Jangan Sophia. Itu semua dusta. Awak tak cintakan saya.” Heris menarik tangannya.

“Atau awak yang tak cintakan saya sebenarnya?”

“Kenapa saya perlu cintakan awak jika ini pembalasan yang saya terima!” Heris menjerit ke muka Sophia.

Jantung Sophia tersentap dengan cara Heris bersuara.

“Saya tak nak bermain lagi. Kita berpisah sekarang. Lagipun saya sedar orang yang patut saya cintai bukan awak…”

“Awak maksudkan Nia?”

“Awak syak keakraban saya dengan Nia, bukan? Jadi anggap saja saya ada hubungan istimewa dengan Nia.”

Heris mencapai kotnya di dalam almari. Dia menuju ke pintu untuk keluar dari situ.

“Heris, please… jangan tinggalkan saya.” Sophia memegang tangan Heris yang berada di tombol pintu. Dia merayu agar tidak ditinggalkan.

“Kita telah buat kesilapan yang besar. Kita perlu berpisah.”

“Saya perlukan awak. Saya tak boleh hidup tanpa awak. Mamoru, please… jangan buat saya begini.” Rayu Sophia.

“Nama saya Heris James Kruger. ‘Mamoru’ awak sudah mati selepas saya keluar dari rumah ini.”

Heris membuka tombol pintu. Dia keluar meninggalkan Sophia. Sophia tergamam di tepi pintu. Dia tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Dia menangis lagi dan kali ini disusuli dengan raungan. Dia merangkak menuju ke kaki katil. Dia memeluk kaki katil tersebut. Dia mendongak ke dinding atas katilnya. Dengan mata yang kabur akibat diselaputi oleh air mata, dia melihat gambar perkahwinan yang tidak bermakna lagi. Sophia menanggalkan cincin perkahwinan di jari manisnya. Dia mencampakkan sekuat hati ke gambar yang tergantung itu. Kata-kata Heris terngiang-ngiang di telinganya.

“…‘Mamoru’ awak sudah mati selepas saya keluar dari rumah ini.”

Tiba-tiba nafas Sophia jadi sesak. Dia memegang dadanya. Dia seperti ikan yang tidak dapat bernafas apabila berada di darat. Tercungap-cungap nafasnya. Dia merangkak menuju ke laci di tepi katil. Dalam keadaan kelam-kabut dia mendapatkan ubat penenang yang biasa dimakannya apabila dia berada dalam situasi begitu. Bebiji putih di dalam botol kecil itu di keluarkan sebiji dan di telan oleh Sophia. Dia masih belum cukup sembuh dengan ubat itu. Dia memegang cincin perak yang tersarung di tangan kirinya.

“Heris… tolong saya. Saya rasa macam nak mati. Selamatkan saya, Heris. Saya merayu.”

Sophia sangat memerlukan Heris. Hanya Heris yang boleh menyelematkannya bila dalam keadaan begitu. Ubat dari hospital tidak lagi berkesan terhadapnya. Walaupun dia tahu bahawa mustahil Heris akan berpatah balik tetapi dia masih mengharapkan perlindungan daripada lelaki yang pernah berjanji untuk melindunginya itu.

“Ini semua kerana Nia.” Dia mula menyalahkan Nia yang menjadi punca perpisahannya dengan Heris.

Heris bukan lagi ‘Mamoru’ yang melindungi Sophia yang dicintainya seperti Tuxedo bertopeng yang melindungi Puteri Serenity. Sophia merangkak ke bilik air. Dia berpaut pada pintu untuk berdiri. Cincin di jari manis di tangan kirinya ditanggalkannya. Dia mencampak cincin tersebut ke dalam lubang tandas. Dia menekan pam dan sebentar kemudian air mencurah ke lubang tandas. Cincin tersebut tidak lagi kelihatan. Sophia terjelapuk di atas lantai yang basah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience