Chapter 33

Humor Completed 22614

Bab 33

DING…! DONG…!

Sophia meluru ke muka pintu. Dipulasnya daun pintu itu dan seorang pemuda berseragam putih dengan jalur biru di lengan bajunya berdiri di muka pintu. Di tangannya memegang suatu bungkusan yang besar.

“Maaf mengganggu. Adakah ini kediaman En. Kruger dan isterinya?” tanya pemuda berkenaan.

“Ya, betul,” jawab Sophia yang masih terpinga-pinga melihat bungkusan yang besar itu.

“Sila tanda tangan di sini dan terima bungkusan ini.” Pemuda itu meletakkan dulu bungkusan berwarna putih itu lalu menghulurkan pen dan kertas yang perlu ditandatangani oleh Sophia.

“Boleh saya tahu ia daripada siapa?” tanya Sophia sambil mencoret sesuatu pada kertas yang diberi oleh pemuda tadi.

“Saya tak pasti, puan… tapi ia dari Parsi Melon Park.”

“Terima kasih. Boleh tolong angkatkan ke dalam?”

Pemuda tersebut mengocek pen dan helaian kertas tadi ke dalam poket seluarnya. Dia mengangkat bungkusan itu dan membawanya masuk ke dalam. Selepas diletakkan di atas meja dia meminta diri dan beredar dari situ.

Sophia mendekati bungkusan tersebut. Dia tersenyum. Dia tahu ianya daripada siapa. Dikoyaknya balutan putih yang melindungi isi kandungan bungkusan itu. Sophia dapat meneka apa isi di dalamnya. Setelah sebahagian besar pembalut dikoyak, Sophia dapat melihat sebuah potret yang sudah siap difrimkan. Lukisan itu begitu indah sekali. Dia sangat teruja menerima hadiah tersebut. Diciumnya lukisan potret dirinya bersama Heris yang lengkap dengan sut pengantin itu.

Sekeping kad jatuh. Sophia mengambilnya dan membacanya. Kad itu diberi oleh pengirim hadiah tersebut.

SELAMAT PENGANTIN BARU

HERIS KRUGER & SOFHIA HEARNETT

- Ibu minta maaf lambat hantar hadiah perkahwinan

Dalam tidak sedar air matanya menitis. Dia terbayangkan wajah lembut ibunya yang selalu bersabar melayan kerenah nakalnya bersama atuk. Ibu selalu menjadi orang tengah apabila ayah, atuk dan dia bertekak. Dia juga terbayangkan wajah datuknya yang suka bercerita tentang kehidupan di zaman mudanya. Datuknya suka mengorat gadis-gadis cantik terutamanya Cik Imai yang merupakan janda muda yang glamour di kampungnya. Sayangnya Cik Imai sangat garang dengan datuknya dan menganggap datuknya sebagai lelaki miang. Cik Imai merupakan pembekal rempah ratus untuk restoran Heartnett Plate. Ayahnya pula walaupun garang dan tegas namun ada ketikanya dia seorang yang sangat penyayang. Adakalanya ayahnya bertindak seperti seorang superhero melindungi mereka sekeluarga daripada sebarang bahaya. Sophia mengesat pipinya yang basah dek cecair yang keluar dari matanya. Dia bangun dan beredar dari situ.

****************

HERIS dan Nia duduk menghadap keluar dari dalam Marino Island Café. Mereka sekadar menikmati kopi sambil berbual. Hari ini Heris berasa pelik apabila Nia yang biasanya banyak bercakap lebih banyak termenung. Sejak dari mula hanya Heris yang memulakan perbualan sedangkan gadis itu lebih banyak mendengar sahaja.

“Nia, kenapa ni? Apa yang kau fikir?”

Nia diam. Dia seakan-akan sedang berada dalam dunianya sendiri.

“Oi, aku bercakap dengan kau ni… bukan bercakap dengan ikan sardine tau. Jawablah!” Heris menyenggol Nia yang berada di sisinya. Dia geram kerana tidak dilayan oleh Nia.

“Ha?? Kau tanya apa?”

“Aku tanya… kau ada masalah ke asyik termenung sejak tadi?”

“Tak adalah. Aku okey. Cuma fikirkan kerja yang tak siap-siap lagi tu,” jawab Nia memberi alasan.

“Eh, jadi aku betul-betul dah mengganggu kaulah ni? Kalau macam tu kita baliklah.” Heris tiba-tiba rasa bersalah kerana mengajak Nia minum pagi ini. Dia bangun dan mengajak Nia beredar.

“Eh, nanti dulu. Kita kan baru saja duduk.” Nia menarik Heris duduk semula.

“Tapi aku dah mengganggu kerja kau.”

“Bukan. Aku… Aku sebenarnya…”

“Apa?” Heris memandang Nia di sebelahnya.

“Erm… apa yang aku katakan?” Nia menggaru-garu tepi dahinya. Wajahnya nampak kusut dan tidak tahu bagaimana hendak bercerita kepada Heris.

Heris menunggu kata-kata yang ingin disampaikan Nia. Sambil itu dia menghirup kopinya.

“Hurm… Isteri kau okey? Dia buat apa sekarang?” Nia akhirnya menyebut tentang isteri Heris pula.

“Apa yang kau tanya ni? Kan tadi aku dah cerita tentang Sophia.” Heris terpinga-pinga dengan pertanyaan yang tidak sepatutnya itu kerana dia baru sahaja menyebut tentang Sophia sebentar tadi. “Kau ni dah sampai mana? Nampaknya satu benda yang aku cerita pun tak masuk dalam otak kau sejak tadi kan. Kenapa ni, Nia. Kau ada masalah ke?”

“Aku… aku cuma… cuma…” air wajah Nia nampak keliru. Bagai ada sesuatu yang berat cuba hendak diluahkan.

“Aku cuma, aku cuma, aku cuma apa?” Heris semakin tidak sabar.

“Tak, ada sesuatu aku nak cerita pada kau sebenarnya.”

“Ha, cakaplah.”

Tiba-tiba telefon bimbit Heris berbunyi sekaligus mengganggu tumpuannya terhadap Nia. Dia mengambil telefon bimbitnya yang tersimpan di poketnya. Ditatap sekejap skrin telefon berkenaan. Dia tersenyum.

“Sophia call. Sekejap, ya.”

Nia mengangguk. Hatinya rasa tersentap secara mendadak apabila melihat wajah Heris yang ceria menyambut panggilan isterinya.

“Yes, my dear. I’m hear… suprice? Sekarang?... sekarang tak bolehlah. Saya belum jejak office lagi ni… saya dekat café, dengan Nia…kalau macam tu tengahari nanti saya balik… okey, bye…muahh!”

Melihat kebahagiaan yang terpancar pada wajah Heris membuatkan Nia terasa jauh. Dia tidak dapat memastikan adakah ianya cemburu atau sekadar sebuah perasaan normal bagi seorang sahabat yang begitu rapat dengan lelaki itu selama ini.

“Nia…Nia…”

Nia yang berkhayal kembali disedarkan Heris.

“Ceritalah apa yang kau nak cerita pada aku tadi.” Tanpa menyedari motif perubahan sikap Nia hari ini, Heris kembali bertanya.

“Cerita? Cerita apa?” tanya Nia seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Laa… lecehlah kau ni.”

“Mana ada cerita. Eh, sudahlah. Aku kena balik ke butik sekarang.” Nia bangkit dari kerusi. Panggilan daripada Sophia tadi seolah-olah mematikan niatnya untuk menceritakan masalah dirinya kepada Heris.

‘Aku tidak boleh beritahu apa-apa pada Heris. Aku sendiri belum jelas dengan apa yang berlaku. Antara Ivan dan Sophia… biar tersalah cinta jika ia membuatkan seseorang belajar dari kesilapan tapi jangan tersalah pilih kerana pilihan itu adalah pertaruhan seumur hidup. Secara praktikal aku sukakan Sophia tetapi dalam tidak sedar sebenarnya aku bencikan kewujudannya. Kenapa Heris tergesa-gesa memilihnya tanpa mengambil kira perasaanku?

...oh, tidak! Kenapa aku harus berprasangka dengan pilihan Heris. Stop it, Nia! Heris tu cuma sahabat kau. Paling dasyat pun kau hanya boleh menganggapnya sebagai adik beradik sahaja. Hanya setakat itu. Tidak boleh lebih!’

“Eh, Nia. Kau betul-betul nak balikkah?” Heris bertanya dari tempat duduknya.

Nia yang sudah berjalan beberapa langkah berhenti sekejap.

“Kita ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan, Heris. Kau ada kerja kau di studio dan aku ada tugas aku di butik. Lain kali kita breakfast bersama.”

Nia berlalu meninggalkan Heris. Heris meneguk habis kopinya sebelum turut sama beredar dari situ.

Di mindanya terus berlegar-legar persoalan tentang sikap Nia. ‘Kenapa dengan Nia hari ini? Ada yang tidak kena dengannya? Tak apalah… dia tentu akan cerita juga pada aku nanti.’

Heris sempat memandang butik NAF Miracle sebelum masuk ke dalam keretanya. Dia yakin yang Nia tentu sedang menghadapi suatu masalah tapi masih belum bersedia untuk bercerita dengannya.

Keretanya melintasi butik milik Nia sebelum menyusur ke jalan raya. Dari dalam butik, Nia melihat kelibat Crush Mermaid milik Heris sehingga lesap disebalik jalan yang sibuk. Dalam tidak sedar seperti ada satu perasaan cemburu yang seni melihat Heris yang sudah menemui pasangan hidup sedangkan dia masih sendiri. Dia merasakan dirinya tiada hak berada di sisi Heris lagi. Segala masalah dan rahsia tidak lagi dikongsi dengannya selepas ini. Saat duka, gembira dan bahagia adalah bersama isterinya dan bukan dengannya seperti dulu. Segalanya berubah dalam sekelip mata. Dalam masa seminggu Sophia hadir dan mengganti tempatnya untuk lebih dekat dengan Heris. Itulah yang dikatakan jodoh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience