Chapter 42

Humor Completed 22614

Bab 42

RUANG yang gelap dan sunyi itu dimasuki oleh seseorang. Cahaya yang menjelma tiba-tiba merubah suasana gelap tadi. Ivan menutup semula pintu rumahnya. Dia meletakkan segugus kunci dan beg hitam di atas meja di ruang tamu. Kemudian dia menuju ke biliknya yang hanya beberapa langkah dari ruang tamu.

Bilik suram itu bercahaya tatkala lampunya dihidupkan. Ivan menanggalkan kotnya dan disangkutkan di belakang pintu. Begitu juga dengan tali lehernya yang sedia longgar yang tergantung pada lehernya itu. Dia duduk bersandar di bawah katil. Lututnya ditegakkan dan dirapatkan ke tubuh. Dia mendongak ke atas melihat siling putih. Lama dia begitu.

Setelah jemu merenung siling yang bisu itu dia memusingkan tubuhnya dan merapatkan dagunya pada katil bercadar hijau lumut itu. lengan kanannya berbaring di atas katil dan tangan kirinya memeluk kaki katil. Fikirannya menerawang jauh melepasi sempadan dunia. Segala memori Sophia datang kembali menemaninya tatkala sendirian di rumah sepi itu. Dia gagal untuk tidak mengendahkan apa yang telah berlaku dalam beberapa minggu ini.

Kalau kerjanya mampu memadamkan peristiwa pahit yang berlaku dalam hidupnya pun tapi ianya sekadar bersifat sementara cuma. Apabila otaknya berhenti berfikir soal kerja, wajah Sophia muncul lagi di ruangan matanya. Entah mengapa dia semakin kerap memikirkan tentang Sophia sejak kebelakangan ini. Kesibukannya di Ferez Global, riuhnya suasana di luar dan gelak tawa teman-teman memanglah dapat melupakan kesakitan batinnya tetapi apabila bersendirian di rumah sepi itu hatinya turut sama jadi sunyi dan sunyi itu telah membawanya memikirkan perkara yang tidak sepatutnya.

Dia berfikir untuk merampas semula Sophia yang sudah menjadi milik Heris. Mungkin cuma itu saja cara supaya hidupnya tidak lagi terseksa seperti sekarang. Dia sangat yakin bahawa Sophia tidak mudah melupakannya. Sophia cuma tersilap dalam mengambil keputusan dan perkahwinannya itu suatu kesilapan yang besar. Sophia tidak akan mudah menyintai orang yang baru dikenalinya dan membuang dirinya yang bertahun-tahun dicintai oleh wanita itu.

Ivan bangkit untuk melakukan sesuatu perkara yang baru difikirkannya sebentar tadi. Dia menuju ke ruang tamu dan mendapatkan komputer ribanya yang disimpan di dalam beg hitam yang ditinggalkannya di atas meja sewaktu pulang dari kerja tadi. Dia duduk betul dan membuka komputernya.

**************

MALAM semakin menjengah ke dini hari. Heris masih belum pulang sejak keluar petang tadi. Sophia sedang menunggu kepulangan suami tercinta. Terasa bosan bersendirian pada waktu malam. Selama berkahwin, dia tidak pernah bersendirian pada waktu malam. Paling lewat pun Heris pulang pada jam 8.00 malam tetapi hari ini tidak seperti kebiasaan. Jam dinding sudah melepasi pukul 11.00 malam tetapi Heris masih tidak berada di rumah.

Sophia masuk ke bilik kerja Heris yang terletak bertentangan dengan dapur. Di situ terdapat sebuah komputer. Malam ini Sophia terasa ingin melayari internet. Dia menarik kerusi berwarna biru dekat dengan rak buku. Gitar yang duduk di kerusi itu diangkat dan dipindahkan ke bawah. Sophia menyandarkan gitar itu dengan berhati-hati pada dinding sebelah rak buku tadi.

Suis dipetik dan sebentar kemudian skrin komputer itu bercahaya dan mengeluarkan warnanya. Gambar Heris bersama Nia yang dihitam putihkan menjadi latar komputer milik Heris itu. Wajah Nia nampak lebih matang berbanding Heris yang nampak nakal dengan pakaian sekolah. Nia menongkat siku kirinya di bahu Heris dengan kaki kirinya berpijak pada palang kerusi. tangan kanannya berada di pinggang. Sementara Heris duduk di kerusi yang diterbalikkan dan dia memeluk belakang kerusi itu.

Sophia merenung skrin komputer itu. Cemburunya kian berbunga tatkala melihat kemesraan dua orang sahabat itu. Kenapa mereka berdua terlalu rapat sehingga dia rasa tergugat dengan kedudukannya sekarang? Dia memandang Nia dari banyak sudut dan dia semakin rasa kecil apabila melihat betapa pentingnya Nia di sisi Heris. Heris tidak pernah menyebut kelemahan wanita itu malah menjadikan kata-kata Nia sebagai inspirasinya dalam mencapai sesuatu. Heris juga akan susah hati apabila Nia marah dan tidak mempedulikannya. Dia dengan segera akan mencari jalan untuk berbaik dengan Nia. Dalam hidup Heris seperti Nia itu lebih penting berbanding Sophia, isterinya. Sophia nampak kepentingan Nia dalam hidup Heris apabila gambar Nia yang terpampang dengan suaminya dalam komputer itu dan bukan dirinya.

Sebelum hatinya dihasut lebih dalam, Sophia segera membuka laman-laman web yang bisa menghiburkan hatinya daripada kedukaan yang tidak pasti itu. Heris dan Nia cuma kawan dan aku barulah kekasih Heris. Sophia menyedapkan hatinya dengan kata-kata itu. Lagipun dia tidak pernah bertanya dengan serius kepada Heris bagaimana hubungan suaminya dengan gadis yang bernama Nia Andrea itu.

Sophia tidak lupa untuk membuka e-mail nya. Walaupun matanya mengantuk tetapi alang-alang dia sudah menghadap komputer lebih baik dibuka e-mail yang terbiar selama beberapa minggu itu. Tentu banyak message yang masuk ke dalam inbox nya. Jangkaannya tepat. Dia membuka message yang paling lama berada dalam inbox nya untuk dibaca dulu.

Butir-butir abjad dalam skrin komputer itu semakin memeningkannya. Lama-lama dia jadi hilang tumpuan. Matanya juga semakin menuju ke ambang kegelapan. Heris pula masih tidak juga pulang. Akhirnya Sophia terlelap di meja komputer.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience