Chapter 39

Humor Completed 22614

Bab 39

SOPHIA masuk ke dalam rumah. Dia menuju ke dapur sambil membawa gelas yang digunakan oleh Ivan tadi. Dia berdiri di hadapan sinki. Air sirap yang sejuk itu masih penuh lagi kerana langsung tidak dijamah oleh Ivan. Sophia mencurah air dari gelas tersebut ke dalam sinki perlahan-lahan. Kemudian dia mencuci gelas tersebut.

Cahaya petang menembusi tingkap di hadapan Sophia. Mata Sophia mengecil kerana silau. Bahang suria petang itu membawanya jauh ke memori silam bersama Ivan.

“Naliz, kau nak aku tunggu berapa lama lagi? Tempat ni panaslah.” Sophia bercakap dengan Naliz melalui telefon.

Hari itu adalah Friendship Day yang dianjurkan oleh pihak Kolej di Universiti King Louis. Pelbagai acara telah diadakan bagi memeriahkan sambutan tersebut. Ia bertujuan untuk mengeratkan hubungan yang telah sedia terjalin dan juga memulakan sebuah pertalian baru. Ia tidak sekadar disambut dengan memberikan hadiah atau kad kepada teman dan sahabat tetapi juga dengan pelbagai acara yang menyeronokkan antaranya adalah acara sukaneka di padang dan juga di dewan.

Naliz yang sepatutnya tiba untuk acara padang sebagai pasangan Sophia masih tidak muncul. Ini menimbulkan kemarahan Sophia yang sudah kepanasan menanti di situ. Naliz pasti cuba mengelak dari acara padang kerana terpaksa berpanas.

“Kau nak aku mati kepanasan? babe, please… datanglah, aku tunggu kau ni.”

Sophia terus bersabar demi memujuk Naliz. Dia duduk di satu penjuru sambil mengipas-ngipas tangannya kemuka kerana cuaca yang panas. Tiba-tiba bahang panas hilang. Seperti ada awan yang melindungi di atas kepalanya. Redup. Seorang lelaki tiba-tiba duduk mencangkung di sebelahnya. Rupanya payung yang dipegang pemuda tersebut yang melindunginya daripada cuaca panas itu. Sophia tersenyum memandang Ivan.

“Kau ni bodoh atau hebat? Dalam cuaca yang panas ni kau masih menunggu orang di sini.”

Kata-kata Ivan mencantas rasa sukanya tadi apabila pemuda itu datang.

“Kalau pergi ke tempat lain nanti Naliz tak nampak aku,” jawab Sophia.

“Jadi sanggup berpanas demi sahabatlah ni?” Ivan seakan menyindir.

Ivan menarik Sophia untuk bangun.

“Sebenarnya aku nak masuk game tu.” Sophia menuding jarinya ke arah kawasan tengah padang. “Sebab itulah aku tunggu Naliz di sini,” jelasnya kepada Ivan.

Ivan meletakkan tangannya melintang di dahi untuk melihat ke tengah padang. Dia memandang Sophia semula.

“Setakat game macam tu lebih baik kau balik sahaja.” Ivan menarik tangan Sophia untuk beredar dari situ tapi langkahnya mati tatkala Sophia tidak mahu berganjak.

“Aku nak main juga.” Sophia bertegas.

“Dengan Naliz? Tak payahlah. Panas ni. Lebih baik main indoor game saja,” cadang Ivan.

“Aku nak mainlah. Kalau Naliz tiada dengan kau pun boleh. Jom.” Giliran Ivan pula ditarik oleh Sophia ke tengah padang.

“Aku? Game macam ni tak sesuai dengan aku.” Ivan mahu mengelak.

“Apasal pula? Kau ni lelaki atau perempuan? Dengan panas pun takut. Jomlah.” Sophia memaksa Ivan.

“Tapi…”

“Kau kawan aku atau bukan?”

“Kawanlah.”

“Sayang dengan kawan kau ke tak?”

“Sa… sayanglah.”

Sophia tersenyum lebar mendengar perkataan ‘sayang’ dari mulut Ivan.

“Tapi aku tak boleh main…”

“Kau ni tak gentleman lah. Macamana nak pikat gadis ni? Wei, perempuan tak suka dengan lelaki pengecut tau.” Sophia tarik muncung. Kecewa dengan Ivan yang masih enggan menurut permintaannya.

“Sekarang ni… aku datang ke sini bukan sebab nak pikat gadis,” balas Ivan.

Sophia mengetap bibir. Geram.

“Okey, kau boleh blah dan tak payah jadi partner aku.” Sophia melepaskan lengan Ivan yang ditariknya tadi. Merajuk. “Tapi lepas ni aku tak nak berkawan dengan kau lagi.” Sophia mengugut.

Dengan selamba Ivan meninggalkan Sophia. Dia tetap tidak berminat untuk menjadi pasangan Sophia dalam permainan tersebut. Baginya itu semua sesuatu yang membuang masa dan tidak memberi sebarang faedah terhadap dirinya. Sophia geram dan hilang sabar. Dia mendekati Ivan.

“Ivan, jomlah main. Please…” pujuknya.

Mata redup itu merenung Sophia lantas menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju. Dia memang tiada minat untuk melakukan perkara tersebut. Tujuan kedatangannya semata-mata mahu mengajak Sophia pulang kerana dia tahu Naliz yang liat untuk menyertai kegiatan sukan itu memang tidak akan memunculkan diri petang itu.

“Kalau kau main aku sanggup buat apa saja untuk kau… termasuk siapkan slide show untuk semua presentation kau.”

Ivan tersenyum mendengar tawaran Sophia. Ini pertukaran yang bagus dan memberi faedah. Lagipun Sophia bersungguh-sungguh mahukannya sebagai pasangan untuk permainan tersebut.

“Baik, tapi lepas kita minum dahulu.” Ivan melangkah menuju ke kafeteria.

“Yes!”

Sophia melompat gembira. Dia menyusul Ivan dan memeluk bahu sahabatnya itu. Ivan menepis dan menolak Sophia jauh-jauh. Dia rimas dan tidak suka dipeluk sebegitu.

Sophia tersenyum sendiri apabila teringat kenangan ketika di universiti. Ivan adalah rakan sekuliah Naliz dan Naliz pula rakan sebiliknya ketika di hostel. Sejak mula terpandang Ivan dia sudah mula menyukai lelaki tersebut. Apabila mengetahui Ivan adalah rakan sekuliah dengan Naliz, Sophia menganggapnya sebagai peluang keemasan untuknya mendekati Ivan. Ivan seorang yang pendiam dan tidak bereaksi dengan mana-mana perempuan tetapi Naliz hebat kerana berjaya bergaul dengan Ivan. Melalui Nalizlah Sophia dapat berkawan dengan Ivan. Apabila masuk semester kedua mereka bertiga menjadi sahabat karib.

Setelah lama bergaul, perasaan suka berubah menjadi cinta terhadap Ivan. Namun disebabkan perwatakan Sophia yang agak bertentangan dengan sifat Ivan membuatkan dia tidak pernah berani untuk berterus terang dengan Ivan akan perasaannya terhadap lelaki tersebut. Dia tahu Ivan seorang yang serius dalam mengejar matlamat hidupnya. Walaupun adakalanya Ivan pandai bergurau dan mengusiknya sehingga Sophia menyangka yang dia punya peluang untuk menjadi kekasih Ivan tetapi itu semua tiada apa-apa makna pada Ivan. Ivan juga tidak pernah kisah jika Sophia cuba dipikat oleh lelaki lain ketika di universiti. Ia jelas menunjukkan yang Ivan tiada perasaan yang sama seperti yang dialaminya. Namun dia tidak pernah berputus asa terhadap cintanya itu. Naliz banyak membantunya dalam menangani masalah cintanya yang tiada kesudahan itu.

Lama Sophia terbang kembali ke masa silamnya sehinggakan kepulangan suaminya langsung tidak disedarinya. Perlahan-lahan Heris mendakap Sophia dari belakang. Leher wanita itu dikucupnya dengan penuh rasa kasih. Sophia bangun dari khayalannya. Dia membilas gelas tadi dan diletak di atas rak gelas. Kemudian dia berpaling kepada Heris.

“Bila Mamoru sampai? Adik tak sedarlah.” Leher Heris dirangkul dengan jari-jemarinya.

“Baru saja. Ada tetamu datangkah tadi?” Mata Heris memandang ke arah gelas di atas rak.

“Kenapa?”

“Siapa yang datang?” Soal Heris.

“Hurm… kawan.” Sophia menjawab tenang.

“Kenapa dia datang?”

Pertanyaan Heris berbunyi pelik. Seolah-olah mengetahui siapa tetamu yang baru mengunjungi rumahnya. Nada suaranya yang agak tegas membuatkan Sophia jadi cemas. Dia melonggarkan sedikit rangkulannya.

“Cuma berbual. Kebetulan dia ada kerja dekat-dekat sini.” Sophia memberi kenyataan palsu.

“Emm, lelaki atau perempuan?” Heris masih tidak puas bertanya.

Sophia diam sejenak. Soalan-soalan Heris membuatkannya berasa lemas untuk menjawab.

“Perempuan.” Sophia mencubit pipi Heris. Dia melepaskan diri dari rangkulan Heris dan berlalu keluar dari dapur. Semakin lama dia di situ tentu semakin banyak soalan daripada Heris. Dia tidak mahu Heris tahu Ivan yang datang menemuinya tadi.

Heris membiarkan Sophia berlalu pergi. Dia menuju ke peti sejuk. Sebotol air mineral dikeluarkan. Cecair jernih dari dalam botol itu dituang ke dalam gelas sehingga penuh dan hampir melimpah. Kemudian diteguknya dengan rakus sehingga habis. Di hadapan sinki dia memandang ke luar tingkap. Gelas kaca itu digenggam kuat. Perasaan syaknya bertambah-tambah apabila Sophia tidak bersikap jujur terhadapnya. Air sejuk tadi tidak mampu menyejukkan hatinya yang panas. Amarahnya tidak dapat dibendung. Dia terasa mahu melepaskannya. Tapi kepada siapa? Sophia?

Gelas tadi ditinggalkan. Heris berlari naik ke atas untuk mendapatkan isterinya. Dia menolak daun pintu biliknya.

“Sophia!” Panggilnya dengan keras.

Sophia yang hanya bertuala itu baru saja hendak melangkah masuk ke dalam bilik air apabila Heris muncul memanggilnya. Dia membatalkan niat untuk mandi dan mendekati suaminya.

“Ya, Heris?”

“Soalan yang sama saya nak tanya dan saya mahukan jawapan yang jujur daripada awak.”

Wajah Heris berubah merah kerana mengawal kemarahannya. Sophia jadi takut.

“Siapa yang datang dan atas urusan apa dia datang berjumpa dengan awak?”

Sophia dapat merasakan sesuatu. Adakah Heris nampak Ivan sewaktu dia pulang tadi? Aku tidak boleh menipu dia. Lebih baik beritahu saja daripada disyaki sesuatu.

“Sebenarnya Ivan yang datang tadi. Kami cuma berbual kosong.”

“Berbual kosong?” Heris masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Sophia.

“Ya. Dia tu kawan saya… sama macam Naliz juga.” Sophia meyakinkan Heris.

“Jadi kenapa awak tipu saya tadi?”

“Saya… sebab saya sayangkan awak jadi saya tak nak awak fikir yang bukan-bukan.”

Sophia duduk di birai katil dan memandang ke lantai.

“Sejak awak kenal dengan Ivan di parti tempohari lagi saya perasan. Awak pandang Ivan semacam. Macamlah dia tu nak merampas sesuatu daripada awak. Dia tu sahabat saya semasa di university sahaja. Tak lebih daripada itu. Percayalah, Heris.”

“Betul?”

“Betullah. Kenapa awak tak percaya pada saya? Pernah saya tanya yang bukan-bukan antara awak dengan Nia?” Sophia geram kerana Heris seakan-akan tidak mempercayainya.

“Kita bercakap tentang Ivan, bukan tentang Nia.”

“Sama saja. Kalau awak cemburukan saya dengan Ivan, salahkah kalau saya nak cemburukan awak bersama Nia?” Suara Sophia meninggi. Dia kembali berdiri di hadapan Heris.

“Awak jumpa dengan Nia hampir setiap hari sedangkan saya jumpa Ivan hanya pada hari ini. Untuk pengetahuan awak inilah kali pertama setelah kita berkahwin. Kenapa awak nak tuduh saya begitu? Awak memang tak adil!”

Sophia menolak Heris hingga rapat ke pintu. Dia benar-benar tidak berpuas hati dengan tindakan Heris yang seolah-olah menganggapnya sedang berlaku curang. Heris sedikit terkejut dengan tindakan Sophia. Dia tidak menyangka hubungannya dangan Nia turut dicemburui oleh Sophia. Dia langsung tidak memikirkan perasaan Sophia. Walaupun Nia adalah sahabatnya tetapi Nia tetap seorang perempuan yang boleh menimbulkan rasa cemburu seorang isteri.

Kedua-dua belah tangan Heris menyentuh wajah mulus Sophia. Dengusan nafas Sophia turun naik dengan pantas. Air mata yang bergenang cuma bertakung di mata Sophia. Tangan Sophia masih memaut kejap baju Heris. Mata mereka berdua bertaut lama. Heris membelai rambut Sophia yang lepas bebas itu. Mata Sophia berkalih pada sebentuk bibir merah milik Heris. Perlahan-lahan dia mula bertenang. Dia terasa ingin mengucup bibir itu walaupun marahnya masih bersisa.

“Maafkan saya.” Heris bersuara. “Saya terlalu mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan perasaan awak yang sunyi. Saya tak kan berjumpa dengan Nia lagi kalau awak tak suka.” Heris menyesali perbuatannya terhadap Sophia.

Sophia memeluk Heris. Wajahnya membelakangkan Heris. Air matanya menitis. Memang dia juga rasa bersalah sebenarnya. Heris tidak tahu yang hubungannya dengan Ivan bukan semudah yang disangka. Begitu mudah dia mendapatkan cinta tetapi amat perit bila terpaksa membuangnya. Bukan mudah untuk memulakan hidup baru jika kenangan silam masih menghantui hidupnya setiap hari.

“Saya tidak larang jika awak mahu menemui Nia. Terpulanglah pada awak asalkan awak jujur dalam perhubungan kita.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience