Chapter 15

Humor Completed 22614

Bab 15

HATI yang luluh berkecai itu dibawa pergi untuk ditenangkan. Ivan memandu laju tanpa hala tuju. Dia tidak memikirkan kemana patut dibawa hatinya yang luka itu. Perkahwinan Sophia yang mendadak memeranjatkannya. Hatinya kecewa. Mencintai gadis itu bertahun-tahun bukanlah perkara yang mudah untuk diharunginya. Tidak mudah menerima pengakhiran yang tiada permulaannya. Kisah cintanya semakin mustahil untuk menjadi nyata. Umpama menadah gerimis di Gurun Sahara. Namun begitu hatinya tekad. Selagi pungguk masih merindu bulan selagi itulah jua dirinya akan terus menyintai Sophia.

Dari Lisberg sehingga ke Ocean Hill. Dari lebuhraya masuk ke jalan kecil dan lereng bukit. Dari meriahnya jalan dipenuhi kenderaan hinggalah hanya dia seorang melalui sebuah jalan yang sunyi itu barulah dia sedar yang dia sudah terlalu jauh bergerak. Namun dia masih bergerak mengikut hati yang sedang berkecamuk. Tanpa disedari tangki minyak keretanya semakin kekeringan petrol.

Akhirnya kereta itu menemui ajalnya. Barulah Ivan sedar yang keretanya sudah kehabisan petrol. Dia berhenti di tepi jalan. Bungkam sebentar. Dia mencapai telefon bimbitnya lalu mendail nombor Naliz. Talian tidak dapat dihubungi kerana berada di luar kawasan perkhidmatan. Dia keluar dari keretanya dan cuba menahan kenderaan yang lalu lalang di situ. Malang nasibnya kerana jalan tersebut terlalu kurang kenderaan yang lalu. Lebih sejam dia tersadai di situ. Dia masuk semula ke dalam keretanya. Ivan mencapai botol mineral yang tinggal suku terakhir untuk dihabiskan isinya. Diteguk air jernih itu untuk menghilangkan dahaga.

Keluar semula. Jalan yang sunyi itu diterokanya. Dari hujung ke hujung. Argghh... malangnya nasib hari ini. Bodohnya kau ni, Ivan! Sendiri cari masalah... sendiri buat masalah... sendiri dapat masalah. Akhirnya dia bahagia, kau juga yang kecewa.

“Bodoh!” Ivan menyumpah dirinya sendiri. Dia bersandar pada pintu kereta. Telefon bimbit yang tidak berguna itu dicampaknya ke dalam kereta. Mentari senja di ufuk barat semakin meresahkan hatinya. Tiadakah yang sudi berhenti dan menolongnya di saat ini. Melihat keadaan jalan yang mula menyeramkan itu, Ivan masuk semula ke dalam keretanya.

***********

NIA melihat suasana jalan yang semakin hampir dengan rumah pusaka mendiang datuknya. Tidak banyak yang berubah. Sudah lama dia meninggalkan kawasan yang pernah menjadi tempat permainannya suatu ketika dulu. Dia tersenyum sendirian.

Atuk, Nia dah besar. Maafkan Nia sebab dah lama tak lawat rumah kita. Selalunya Abang Andrew yang datang sendiri. Hari ni biarlah Nia yang gantikan dia... eh, siapa tu? Kesiannya. kereta dia rosak. Bisikan itu sekadar terluah direngkung tanpa niat untuk membantu lelaki asing itu.

Nia Andrea tiba di banglo lama yang masih terjaga itu. Sekali pandang tentu orang tidak menyangka yang rumah besar itu kosong. Hanya dikunjungi seminggu sekali oleh pekerja yang bertugas untuk membersihkan rumah berkenaan.

“Pak cik, boleh ke kalau jemput saya semula malam ini?”

“Cik nak balik malam ini juga ke? Rasanya susahlah sebab jambatan di depan tu akan tutup pukul 8.00 malam ini… tapi kalau nak, saya boleh jemput cik esok pagi,” jelas pemandu teksi itu.

“Kenapa tutup?”

“Mereka nak baiki jalan. Kalau siang akan mengganggu orang lalu lalang. Jadi buat malam,” jelas oemandu teksi berkenaan.

“Jadi saya kena bermalam di sini?”

Pemandu teksi itu sekadar tersenyum dan menganggukkan kepalanya sebelum beredar.

Nia terpinga-pinga ditinggalkan begitu. Dia yang tidak bercadang untuk bermalam di situ hanya sehelai sepinggang tidak membawa apa-apa. Bagasinya tidak dibawa bersama. Mahu tidak mahu dia terpaksa bermalam di situ malam ini. Dengan menggunakan kunci yang diberikan oleh Andrew, dia membuka pintu rumah tersebut.

“Alamak, gelapnya. Harap-harap takde apa-apa yang akan berlaku sepanjang malam ini,” Nia berdoa dalam hati. Ketakutan yang cuba merasuk cuba disingkir jauh.

Nia membuka lampu memandangkan suasana yang gelap di dalam rumah tersebut. Dia duduk sebentar di sofa yang berada di ruang tamu. Tas tangannya diletak di atas meja. Dia memerhati sekeliling ruang di dalam rumah besar itu. Dia bangun lantas menuju ke dapur mencari sesuatu yang boleh dijadikan alas perut. Bila berseorangan rasa lapar muncul pula. Selain menjamah makanan di dalam penerbangan tadi dia langsung tidak menyentuh apa-apa dalam perjalanannya ke sini. Dia membuka peti sejuk. Cuma air kosong dan coklat yang sudah tinggal separuh.

“Ini langsung tak mengenyangkan. Buat tahi gigi bolehlah.” Nia menutup semula peti sejuk tersebut. Seterusnya dia membuka kabinet bersebelahan dapur. Wajahnya ceria bila mendapati tin biskut di situ. Dia mencapai tin yang sudah ringan itu. Ada isi ke tak ni? Macam kosong je. Nia mengambil sudu untuk mencungkil penutup tin itu.

“Ala, tinggal dua keping je. Abang Andrew ni teruklah. Langsung tak simpan stok makanan.”

Nia merungut sendirian. Moodnya hilang untuk menjamah makanan itu. Dia ke ruang hadapan semula. Ada sebuah piano di satu ruang khas. Dia menghampirinya. Serta merta fikirannya teringat pada Heris.

“Apa dia tengah buat sekarang ni? Tengah mabuk bercinta kot. Hai, Heris... kau ni gila. Mana boleh dapat cinta dengan cara begitu.”

Nia mengambil tempat. Penutup yang melindungi piano tersebut diangkat. Dia mula menekan mata piano dan memainkan lagu kegemarannya Endless Story. Itulah satu-satunya lagu yang pernah diajar oleh Heris kepadanya kerana dia sangat menggemari lagu tersebut.

********

IVAN yang terlelap tiba-tiba terjaga apabila terdengar bunyi piano. Dia menjengah ke luar. Cuaca sudah gelap walaupun baru jam 7.00. Langit mendung menandakan hari akan hujan.

“Siapa gerangan orang yang bermain piano senja-senja begini? Lagu ini...” Ivan tersenyum sendiri. Jadi ada penduduk di sekitar sini. Maka bolehlah dia mendapatkan bantuan daripada sesiapa.

Ivan mencapai kotnya lalu mengunci kereta sebelum meninggalkan keretanya menuju ke rumah yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience