Chapter 54

Humor Completed 22614

Bab 54

Semalaman Heris memikirkan kata-kata Ivan dan Nia. “… dia percaya pada cinta kau. Kau pula tidak percaya pada cintanya. Kau memang tak guna!” kata-kata Ivan memukul-mukul telinganya. “… tanpa kepercayaan akan menyebabkan istana cinta itu runtuh.” Muncul pula suara Nia di kotak fikirannya. Benar kata Nia selama ini, bertindak melulu akan membawa padah. Masih belum terlambat baginya untuk menebus kesalahannya terhadap Sophia. Dia mahu menjejaki wanita itu.

“Nia, aku nak cari Sophia.” Heris bercakap dengan Nia melalui perbualan telefon.

“Betul? Tapi kau tahu nak carinya dimana?” Suara Nia berbunyi gembira di hujung talian.

“Tidak tapi aku tetap akan cari dia walau dimanapun dia berada.”

Nia tersenyum mendengar suara temannya yang sangat bersemangat itu.

“Kalau macam tu, carilah dia di Parsi Mellon Park. Dia ada di sana.”

“Mana kau tahu?”

“Hmm… seseorang yang rapat dengannya yang beritahu aku.”

“Siapa?”

“Hei, kau ni suka tanya perkara yang tak penting. Pergi sajalah ke sana. Lagipun kau tak pernah ke rumah keluarga mentua kau lagi, bukan?”

“Ya, tapi…”

“Cari Sophia dan jangan fikir perkara yang tak penting lagi.”

“Tak, cuma aku nak berterima kasih pada kau. Kau banyak membantu aku.”

“We’re friend, right?”

“Yup, now and forever.”

“Bawa berita gembira apabila pulang ke Lisberg nanti, okey.”

“Okey, bye…”

Talian putus. Heris memandu di jalan raya yang menuju ke luar kota. Mengejar sesuatu yang telah dilepaskannya. Mendapatkan kembali kasih yang dibuangnya. Menjernihkan semula hubungan yang keruh. Membentuk semula cinta yang telah retak. Sophia, aku cinta padamu…!!

*******************

“SELAMAT pagi semua!”

Josh hampir menyemburkan air kopi di dalam mulutnya. Sophia berhenti menyapu majerin pada rotinya. Trisya pula muncul secara tiba-tiba dari dapur. Semua yang berada di meja makan tertumpu kepada Chris yang menjerit di awal pagi.

“Ayah tak perlu menjerit untuk mengucapkan selamat pagi kepada kami. Ayah dah tua dan tidak sesuai menjerit seperti budak-budak,” ujar Josh.

Chris tidak menghiraukan omongan anaknya lantas duduk di kerusinya di pangkal meja.

“Atuk nampak gembira. Ada sesuatu yang berlaku?” tanya Sophia.

“Hari ini Cik Imai akan datang untuk hantar bekalan rempah di Heartnett Plate. Tentulah atuk kamu bersemangat.” Trisya menjawab soalan yang ditujukan kepada Chris itu. Heartnett Plate adalah restoran yang dikendalikan oleh Josh Heartnett, ayah Sophia.

Sophia tersenyum. Dia menghulurkan roti yang sudah siap disapu majerin itu kepada Chris. “Patutlah atuk nampak bersemangat. Jadi inilah sebabnya.”

“Terima kasih, Epal Hijau ku.” Chris mengambil roti yang dihulurkan kepadanya.

“Ayah beri nama yang pelik kepada anak saya lagi.” Dahi Josh berkerut dan memandang ayahnya dengan tajam.

“Itu bukannya pelik tapi comel,” balas Chris. Dia tidak menghiraukan amarah anaknya dan terus menjamah roti di tangannya.

“Melampau. Saya beri nama yang bagus untuk…”

“Sudahlah tu, Josh. Ia cuma perkara kecil. Lagipun bunyinya taklah teruk sangat.” Trisya mencelah sebaik sahaja duduk di sebelah Josh.

“Terima kasih Si Empat Mata. Kaulah menantuku yang terhebat.”

Dahi Trisya berkerut. ‘Si Empat Mata? Itu gelaran yang teruk, ayah. Lagipun hanya saya seoranglah menantu ayah.’

“Atuk ni pandai beri nama gelaran pada orang.” Sophia tertawa. Dia senang melihat telatah keluarganya yang ceria di awal pagi begitu.

Ya, memang pandai memberi nama gelaran. Dia langsung tidak seperti seorang tua yang bergelar datuk tapi lebih berperangai seperti orang muda yang tidak sedar diri. Josh merungut di dalam hatinya sambil mengunyah roti di dalam mulutnya.

“Ayah…”

“Ada apa?”

“Sophia nak ikut ayah ke restoran, boleh?”

“Tak payah. Tak ada apa yang kau boleh tolong di sana.”

“Sophia nak belajar sesuatu daripada ayah ni.”

Josh mengangkat muka dan memandang tepat ke arah anaknya.

“Sophia nak belajar memasak.”

“Ibu kan ada.”

Jawapan Josh mengecewakan Sophia. Namun dia hanya mampu diam menjeruk perasaan.

“Itulah, dulu ayah suruh belajar masak, kamu lari. Sibuk nak mengejar cita-cita menjadi seorang jurugambar. Sekarang dah kahwin baru kamu tahu betapa pentingnya ilmu masakan bagi seorang wanita.”

Sophia tunduk diam. Hanya sesekali mengerling ayahnya. Pandai ayahnya membebel. Kalah ibunya, Trisya Tiffany.

“Ayah tak ada masa nak mengajar kamu. Kamu belajar dengan ibu di rumah.”

“Tak apalah, Sophia. Nanti ibu boleh ajar beberapa jenis masakan kepada kamu.” Trisya menawarkan diri untuk membantu Sophia.

Chris mendekati Sophia dan berkata sesuatu secara perlahan.

“Si Misai Pelik tu memang kedekut ilmu.”

“Ayah!”

Chris berpura-pura tidak dengar. Dia mengambil surat khabar di atas meja dan beredar dari situ. Sophia tersenyum kecil. Trisya menggeleng-geleng kepala. Apa nak jadi dengan dua orang lelaki di dalam rumah ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience