Chapter 4

Humor Completed 22614

Bab 4

SETIBANYA di pejabat…

Heris mengekori Sophia yang menuju ke mejanya. Beberapa pasang mata sempat memandang jejaka yang dibawa oleh rakan sekerja mereka, Sophia. Heris sekadar senyum dan menganggukkan kepala untuk menyapa mereka. Kakinya melangkah pantas mengekori Sophia. Sophia berhenti di sebuah meja di satu sudut di ruang pejabat itu. Keadaan meja itu agak kelam kabut. Terlalu banyak barang-barang yang menyebabkan meja itu nampak sangat sarat.

Sophia mula menyelongkar lacinya. Satu persatu isinya dikeluarkan. Heris pula meneliti fail-fail yang terdapat di situ. Manalah tahu mungkin filem tersebut terselit dicelah-celahnya. Selain itu, di dalam bakul sampah juga ditinjaunya. Sophia pula membuka beg fail yang berisi pelbagai risalah dan pemplet. Disusun satu persatu kertas-kertas tersebut mengikut saiznya. Sesekali Heris menjeling ke arah gadis yang sibuk mencari filem itu.

*******

HERIS duduk di atas kerusi biru di tempat Sophia. Dari sudut pandangannya dia mengintai satu bilik yang menempatkan meja majikan Sophia. Dari dinding kaca itu Heris meneroka susuk tubuh Sophia yang tunduk kaku. Timbul rasa simpatinya apabila melihat gadis itu dimarahi dengan teruk. Filem yang sepatutnya diserahkan kepada ketuanya tadi tidak ditemui. Puas Sophia mencari bersama Heris namun filem tersebut bagaikan lesap entah kemana.

Sepuluh minit berlalu namun tiada tanda-tanda Sophia dibenarkan keluar dari bilik perbicaraannya itu. Heris terasa mahu angkat kaki namun bila memikirkan Sophia, dia memujuk hatinya supaya menunggu gadis itu. Semestinya gadis itu memerlukan seseorang disampingnya setelah dimarahi dengan teruk. Bukan setakat itu malah Heris turut risau jika Sophia menghadapi penyakitnya seperti tadi.

Sementara menunggu Sophia, Heris mengemas meja Sophia yang bersepah akibat mencari filem tadi. Sekeping gambar yang tertampal di dinding sebelah meja Sophia menarik perhatian Heris. Direnung gambar tersebut. Dalam gambar itu Sophia diapit oleh sepasang suami isteri. Barangkali ibu dan bapanya. Manakala Sophia memeluk leher seorang tua yang mungkin datuknya. Heris hanya meneka… tetapi mengapa Sophia hanya seorang? Mana adik beradiknya yang lain? Mungkin dia anak tunggal. Heris terus menatap gambar tersebut. Tentu gadis ini bahagia bersama orang-orang di sisinya. Bersama keluarganya. Heris terasa kekurangan dalam hidupnya. Dia tidak nampak sesiapa di sisinya. Ibu yang dikasihinya sudah pergi meninggalkannya buat selamanya. Abang yang selalu melindunginya suatu ketika dahulu sudah tiada. Ayah pula masih tetap mahu meneruskan prinsip hidup yang teruk. Heris tidak ubah seperti ada dalam tiada dalam keluarga Kruger. Apatah lagi setelah kehadiran ibu tiri yang dianggapnya perampas kedudukan ibunya. Adakalanya dia jadi benci dengan gelaran nama keluarganya. Ia sangat membebankan kerana sangat dikenali dan disegani orang ramai. Apatah lagi dia bukan seorang pakar perubatan seperti ayah dan abangnya.

Setelah lebih sejam akhirnya Sophia keluar dari bilik berdinding kaca itu. Heris menatap wajah sugul itu. Dia bangun mendapatkan Sophia. Butiran air jernih mula menitis melalui lekuk di pipi gadis tersebut. Sophia tidak menyapanya lantas berjalan terus ke mejanya sambil ditemani sang air mata. Heris mengekorinya.

Sophia terkejut apabila melihat keadaan mejanya yang sudah kemas teratur. Air matanya yang tadi deras mengalir tiba-tiba beku seolah-olah turut terkejut dengan keadaan tersebut. Sophia mengerling ke arah Heris yang berada di sisinya. Kecut Heris melihat jelingan gadis itu.

“Saya kemaskan meja untuk awak.” Heris memberi penjelasan ringkas.

Sophia terus merenung Heris tajam seolah-olah Heris telah melakukan kesalahan. Heris tidak senang hati. Aku buat salah ke?

“Siapa yang suruh awak kemas?” marah Sophia.

“Maaf. Saya fikir dengan mengemas tempat ini tentu filem tu boleh ditemui…” jelas Heris.

“Tak payah. Tak ada maknanya lagi.”

Sophia mengambil kameranya yang diletak di atas meja dan beredar pergi meninggalkan Heris. Heris termangu-mangu sendirian di situ. Namun baru beberapa langkah Sophia meninggalkan mejanya dia berpatah balik.

Heris telan air liur. Sophia merenungnya dengan tajam. Wajah Sophia menggambarkan yang moodnya sangat tidak baik ketika itu. Heris tidak berani lagi mahu berkata apa-apa. Dia diam dan menunggu apa tindakan Sophia yang seterusnya.

Sophia berhenti merenung Heris. Dia menatap gambar keluarganya yang terlekat di dinding sebelah mejanya. Dia mencabut gambar itu dan disimpannya ke dalam poket seluarnya.

“Kenapa awak masih nak duduk di sini? Ini bukan tempat awak dan bukan tempat saya juga mulai sekarang.”

Sophia beredar. Heris dapat menangkap maksud Sophia. Wajah Sophia juga sudah menggambarkan berita buruk itu. Tentu Sophia sudah dipecat. Heris mengekori Sophia yang sudah beredar dari ruang pejabat tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience