Chapter 27

Humor Completed 22614

Bab 27

HERIS bersandar di sofa sambil meyaksikan perlawanan bola sepak di kaca tv. Sophia datang dari dapur dan membawakan segelas susu yang diminta olehnya.

Matanya masih tertumpu pada perlawanan di antara dua pasukan hebat yang bertanding pada malam itu tanpa menoleh kepada isterinya. Sophia meletakkan gelas yang berisi susu itu di atas meja kemudian dia duduk di samping Heris. Dia merenung Heris kemudian menongkat kepala di tangan sofa.

Pantang ada game, tak pernah terlepas tengok. Jangan-jangan hari ini nak balik awal semata-mata nak tengok perlawanan bola sepak... Sophia merungut dalam hati sebelum bangun dari situ.

“Sophia…” Heris memanggil isterinya yang hendak beredar.

“Tidak… jangan ajak saya tengok game yang saya tidak minat. Saya nak cuci muka. Awak jangan lupa minum susu tu,” pesan Sophia.

Heris akur. Dia membiarkan Sophia pergi. Walaupun matanya semakin kuyu tapi perlawanan yang penting itu mesti disaksikannya. Dia meneguk susu di hadapannya sebelum kembali menyaksikan siaran langsung perlawanan bola sepak.

Sophia keluar dari bilik air setelah selesai mencuci mukanya. Dia melihat Heris masih terpacak di tempat tadi dan menatap kaca tv. Hatinya masih kacau apabila terkenang peristiwa tadi. Ada suatu perasaan yang muncul di benaknya. Dia menjemur tualanya di ampaian sebelum kembali menghampiri Heris.

“Heris, bolehkah malam ini awak tidak menonton bola sepak? Saya janji hanya untuk malam ini sahaja,” pinta Sophia.

Heris memandang wajah isterinya yang seperti risaukan sesuatu. Dia akur apabila merasakan Sophia lebih memerlukannya saat ini. Televisyen dimatikan. Sophia duduk di sisi Heris. Dia memandang lelaki itu.

“Kenapa, Adik?” tanya Heris lembut sambil membelai rambut isterinya. ‘Adik’ adalah panggilan manjanya terhadap Sophia sejak beberapa hari ini.

Sophia menggeleng. Dia takut untuk menyuarakan rasa hatinya. Air matanya bergenang. Heris menarik Sophia duduk lebih rapat dengannya. Dia dapat merasakan fikiran Sophia sedang terganggu. Heris merangkul tubuh itu ke dalam dadanya.

“Shh… jangan menangis,” pujuknya lembut.

“I’m not crying,” Sophia menafikan.

“Yes, you are.” Heris tahu Sophia sedang menangis.

“Mamoru…”

“Ya, saya di sini. Cerita kepada saya apa yang sedang awak fikirkan.”

Sophia tidak berkata apa-apa. Dia cuma memeluk Heris dengan lebih erat. Heris terus membelai isterinya. Dia tidak kisah jika Sophia enggan bercerita tetapi dia mahu menenangkan perasaan wanita yang dicintainya itu. Beberapa minit berlalu namun Sophia masih tidak berani menyuarakan isi hatinya.

‘Aku tak boleh pendam. Lebih bahaya jika aku tidak tahu apa-apa. Aku tak boleh kehilangan Heris.’

“Awak dengan dia tiada apa-apa bukan? Saya tak nak awak ada apa-apa hubungan dengan dia walaupun sekadar sahabat. Saya boleh jadi sahabat dan kekasih awak… tolong jangan kecewakan dan tinggalkan saya. Saya sangat cintakan awak. Walaupun awak bukan yang pertama tapi saya tak nak jatuh cinta lagi selain dengan awak seorang.”

Sophia mendongak menatap wajah Heris. Heris sudah terlelap. Lelaki itu tidak tahu apa yang telah disampaikan oleh Sophia. Sophia terlalu lewat bertindak. Sophia kembali mendakap suaminya erat-erat sehingga dia juga lena di dada Heris. Dia tidak mahu melepaskan Heris. Dia mahu mengikat Heris erat-erat. Dia harap keputusannya memilih Heris adalah tepat. Dia harap hubungan mereka berdua berkekalan sehingga ke penghujung nyawa.

***************

NIA membawa Ivan ke bilik yang ditempahnya tadi. Kali ini dia benar-benar mahu tahu lebih banyak tentang Ivan.

“Berapa yang awak akan bayar pada saya untuk memuaskan nafsu awak malam ini?” tanya Ivan dalam nada yang cukup sinis.

“Bergantung bagaimana cara awak melayan saya,” balas Nia sambil menghempaskan tubuhnya di atas katil. Hatinya sangat sakit dengan bahasa yang digunakan oleh Ivan yang menganggapnya seperti perempuan murahan.

“Jadi betul awak nak lakukan seks malam ini?” Ivan sengaja bersikap terbuka untuk melihat reaksi sebenar gadis tersebut terhadap tindakan beraninya membawanya ke bilik hotel.

Nia bangun dan mendekati Ivan.

PANG!

“Bodoh!” Tanpa teragak-agak Nia menampar pipi Ivan. “Saya akan belasah awak kalau berani sentuh tubuh saya.” Nia memberi amaran keras.

“Jadi kenapa berani sangat bawa saya masuk ke bilik hotel ini?” tanpa rasa tersinggung dengan tamparan tersebut Ivan melihat gelagat gadis di hadapannya itu. Pipinya yang terasa pijar akibat penangan Nia tadi diraba perlahan.

“Saya cuma nak berbual dengan awak… nak berkawan dengan awak.” Nia memberi alasan.

“Awak tak takut kalau saya terkam awak tiba-tiba?” renungan nakalnya cuba menguji keberanian Nia.

“Kan saya dah cakap saya akan belasah awak!”

‘Wah, berani sungguh! Mampukah kau menahan tenaga lelaki yang aku miliki? Perempuan ini memang mencari nahas.’ Ivan menggeleng.

“Hei, Nia… saya ni lelaki. Setakat kena belasah dengan perempuan, awak tu bukan lawan saya.”

“Awak tak kenal saya lagi,” balas Nia.

‘Kau perkecilkan aku? aku tak main-mainlah. Heris adalah contoh terbaik yang dah kena belasah teruk dengan aku. You’ll see, Ivan.’

“Baik, suka hati awaklah.”

Ivan menanggalkan kotnya dan menarik keluar kemejanya yang diselit di dalam seluar. Tali lehernya turut dilonggarkan. Nia yang melihat hanya telan liur menahan cuak.

“Berhenti! Apa yang awak cuba nak buat?” Nia cuba menghalang niat jahat lelaki itu.

Ivan tidak peduli dan terus menanggalkan tali lehernya.

“Jangan! Awak akan mendapat susah jika berani lakukan sesuatu yang buruk terhadap saya.” Separuh berani dia cuba bertindak tegas terhadap Ivan yang seolah-olah cuba bertindak lebih jauh.

Ivan menoleh memandang Nia yang seperti cuak melihatnya mahu menanggalkan pakaian. Dia tersengih sambil membuka butang baju kemejanya bermula dari atas.

“Salahkah kalau saya tanggalkan kot sebab berasa panas dan tidak selesa?”

“Ha? Bukankah awak nak…” Nia sudah salah sangka.

“Apa? Seks? No way… Saya tak mudah melakukan seks dengan sebarangan perempuan.”

Ivan melihat wajah Nia yang kelegaan. ‘Bodoh… kalau berani bawa aku ke sini sepatutnya perlu lebih berani untuk tanggung risiko.’

Ivan berjalan menuju ke balkoni. Dia memandang ke luar. Langit malam ini sangat indah. Bintang-bintang bertaburan di atas langit luas. Cantik. Kalau dapat digapai dengan tangan, tentu sekali Ivan mahu mengambilnya. Nia berdiri di sebelahnya sambil turut menyaksikan langit yang ditaburi bintang itu.

“Nia, awak tahu apa itu cinta?” tanya Ivan berjalan sambil keluar balkoni.

“Kenapa awak tanya?” seulas senyuman terbit di bibir Nia apabila soalan itu diutarakan kepadanya. Serentak dia teringat pada Heris yang turut mengemukakan soalan yang sama suatu ketika dulu.

“Sebab saya tak faham dan tak tahu bagaimana nak mencintai seseorang.”

Nia berjalan menghampiri Ivan.

“Cinta itu pengertiannya luas. Cinta itu datang dari hati. Ia satu perasaan dimana kita kasihkan seseorang… sentiasa ingin melindunginya walaupun kita tahu kita lemah,” jelas Nia.

“Jadi kita tidak layak menyintai seseorang jika kita gagal melindunginya?”

“Mungkin juga.”

“Awak pernah bercinta?”

“Tidak. Saya tidak mudah jatuh cinta.”

“Mungkin awak tak faham tapi kalau awak nak tahu saya sedang menerima hukuman dalam percintaan.”

“Hukuman?” air muka Nia berkerut. Penuh dengan tanda soal. Namun dia semakin tertarik. Ini adalah permulaan untuk dia lebih mendekati Ivan.

“Saya fikir saya boleh menerimanya tapi hari ini… terbukti yang saya ni lemah. Saya tewas dengan perasaan sendiri.”

“Ivan…”

“Saya nak lupakan dia. Saya tak nak cinta jadi racun dalam hidup saya.”

“Boleh saya tanya… adakah Sophia yang tinggalkan awak?” kepastian itu penting sebelum dia membuat tuduhan melulu.

“Tiada istilah siapa tinggalkan siapa dalam perhubungan kami. Saya tak pernah beritahu perasaan saya terhadapnya dan dia juga tidak pernah luahkan isi hatinya kepada saya.”

“Maksudnya awak dan dia belum pernah berpacaran?”

“Saya terlalu ambil mudah tentang perasaannya terhadap saya. Tak sangka dia ambil keputusan untuk berkahwin dengan lelaki lain. Rupanya kehadirannya dalam hidup saya selama ini sangat bermakna tapi saya telah mensia-siakannya,” luah Ivan.

“Mungkin awak dan dia tidak ditakdirkan untuk bersama.” Nia cuba memberikan kata-kata yang menyenangkan hati Ivan.

“Mungkin dia sengaja menghukum saya kerana mengabaikan perasaannya.”

“Kata-kata yang berbunyi penyesalan dari seorang lelaki yang berpendirian teguh dan mengejar matlamat hidup… saya sudi abaikannya jika awak benar-benar mahu lupakan Sophia, Ivan.”

Ivan menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan kotak rokok dan pemetik api. Sebentar kemudian asap berkepul-kepul memenuhi ruang itu. Nia cuma memerhatikannya sambil menyilang kedua tangannya ke hadapan. Dia tidak melarang lelaki itu seperti yang dilakukannya ketika kali pertama bertemu Ivan dulu. Ivan jadi tidak senang setiap kali direnung oleh Nia. Namun wajah tenangnya seringkali menutup gundah jiwanya.

“Nampaknya awak tidak larang saya merokok kali ini.”

“Kalau saya larang pun bukannya awak nak dengar. Cuma kalau rokok tidak berkesan, saya ada cara lain untuk tolong awak.”

Ivan memandang senyuman gadis itu… seperti ada sesuatu yang tersirat.

“Tak mengapalah… biasanya rokok sudah cukup untuk menenangkan jiwa saya.”

Ivan memadamkan puntung rokoknya dan beredar dari situ. Dia berdiri menghadap cermin dan mengemaskan semula penampilannya. Kot yang digantungkan di penyangkut baju diambil semula sebelum menuju ke pintu.

“Awak nak balik?” tanya Nia.

“Ya, minta maaf kerana jadikan awak tempat luahan hati saya. Saya tidak akan ganggu awak lagi.” Tombol pintu sudah sedia untuk dibuka oleh Ivan.

“Nanti… boleh saya jumpa awak lagi selepas ini? Sebagai kawan.”

“Saya tak perlukan kawan. Lagipun awak tentu akan bosan jika berkawan dengan saya.” Ivan melangkahkan kaki kanannya keluar dari bilik tersebut.

Nia bertindak pantas. Dia mengambil sesuatu dari tas tangannya dan berlari mendapatkan Ivan. Dia menarik tangan Ivan dan menyerahkan sekeping kad kepada Ivan. Ivan memandangnya sekilas sebelum melihat kad tersebut.

“Kalau awak tak perlukan kawan tentu awak perlukan seseorang apabila kesunyian. Awak boleh cari saya nanti… atau mungkin saya akan datang kepada awak kelak.”

Ivan diam sejenak mendengar kata-kata Nia sebelum melangkah pergi meninggalkan gadis itu. Dia tidak mengucapkan selamat tinggal kepada Nia sedangkan itulah yang diharapkan daripada Nia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience