Chapter 62

Humor Completed 22614

Bab 62

SETELAH tiba di Kota Lisberg, Heris segera menuju ke Hospital Mercient dan mendapatkan ayahnya yang telah ditempatkan di wad biasa setelah keadaannya stabil. Heris menolak pintu yang tertutup rapat dan masuk untuk melawat ayahnya. Empat pasang mata tertumpu kepadanya ketika itu. Frida sedang duduk di sisi Dr. Marcus sementara Jerry berdiri di belakang Frida. Seorang doktor yang kira-kira sebaya dengan ayahnya berdiri di hujung katil. Heris segera mendapatkan doktor berkaca mata itu.

“Macam mana dengan ayah saya, doktor?” Dr. Samuel tergamam dengan tindakan Heris yang tiba-tiba menerpanya.

“Dr. Marcus dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan kami. Encik jangan risau,” jawab Dr. Samuel tenang sambil menjarakkan tubuh Heris dari terlalu rapat dengannya.

Heris berasa lega mendengarkan jawapan doktor tersebut. “Tapi bukankah dia di wad kecemasan semalam?” Heris merendahkan suara, hampir berbisik dengan doktor yang merawat ayahnya itu sambil ekor matanya sempat memantau keadaan Dr. Marcus di atas katil. Dr. Marcus mencerlingnya penuh curiga. Cuak melihat pandangan ayahnya, Heris segera menarik tubuh Dr. Samuel membelakangi ayahnya.

“Ya, betul tapi hari ini kami telah tempatkannya di wad biasa kerana keadaannya telah stabil,” jelas Dr. Samuel lagi.

“Jadi berapa lama…”

“Heris…”

Kata-kata Heris dimatikan oleh panggilan lelaki yang berusia melebihi setengah abad yang sedang berbaring di atas katil itu. Heris menoleh ke arah Dr. Marcus. Begitu juga dengan Dr. Samuel. Mata kedua beranak itu saling menikam antara satu sama lain. Tiba-tiba suasana jadi tegang. Dr. Samuel dengan segera bertindak.

“Saya minta diri dulu. Saya akan pantau tahap kesihatan tuan dari semasa ke semasa.” Dr. Samuel segera beredar dari bilik wad tersebut kerana tidak senang dengan aura yang dilemparkan kedua beranak itu.

“Terima kasih, doktor.” Frida sempat mengucapkan terima kasih sebelum Dr. Samuel beredar.

“Pakar bedah jantung diserang sakit jantung… sungguh lucu.” Heris tersenyum sinis.

“Adakah kau gembira aku jadi begini disebabkan oleh kau?” Dr. Marcus serius.

Mendengarkan itu Heris menoleh kepada Frida minta penjelasan yang pasti. Frida tidak bereaksi dan hanya membalas renungan Heris seadanya.

“Saya tidak tahu kenapa tapi saya minta maaf jika sayalah punca ayah jadi begini.” Walaupun hubungan dengan ayahnya tidak begitu baik namun tidak sampai hati rasanya melihat keadaan ayahnya yang terlantar di atas katil hospital kini. Heris rasa bersalah.

“Aku tidak tahu apa yang kau kejar dalam hidup ini. Kau mengecewakan ayah, Heris.” Dr. Marcus menyuarakan kekesalannya.

“Sudahlah, sayang. Sebenarnya Heris sangat risau dan dia bergegas pulang ke Lisberg setelah mendapat berita tentang awak semalam,” jelas Frida yang cuba meregangkan suasana tegang di bilik itu.

Jerry yang berdiri di belakang Frida sejak tadi mula berasa tidak senang melihat ayahnya yang mula meninggikan suara lagi. Dia risau jika si ayah itu diserang sakitnya semula.

“Aku belum nak mati lagi. Tidak perlulah kau risau, Heris.” Suara Dr. Marcus masih lagi keras. Sisa kemarahannya terhadap Heris masih belum reda.

“Jadi nak tunggu ayah mati dulu baru saya perlu risau? Begitu?” Melihat kedegilan si ayah membuatkan Heris terlepas kata.

“Abang!” Jerry terkejut apabila mendengar kata-kata kesat dari mulut abangnya.

“Maafkan saya. Saya tak nak buat ayah marah jadi lebih baik saya pergi dari sini.” Heris gagal mengawal sikap barannya lantas mengambil keputusan untuk beredar.

Dia berasa kehadirannya hanya menambahkan sakit yang sedang dialami Dr. Marcus. Dia juga rasa bersalah kerana menjadi punca sakit ayahnya. Walaupun hubungan mereka tidak mesra tetapi Heris tidak mahu melihat keadaan ayahnya yang terlantar di katil hospital hanya disebabkan dirinya. Dia sangat risau setelah mendapat panggilan daripada Frida sehingga dia gesa-gesa meninggalkan Parsi Mellon Park tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga mentuanya.

Langkah yang longlai membawa Heris keluar dari bilik wad berkenaan. Jerry mengambil keputusan untuk menemani abangnya. Dia hanya mengekori Heris dari belakang kerana tidak berani menegur Heris.

Jerry masuk ke dalam lif bersama Heris. Hanya mereka berdua di dalam lif tersebut. Suasana terasa amat sunyi tanpa sebarang perbualan. Heris langsung tidak memberi sebarang tindak balas terhadap Jerry.

“Abang…” Jerry memberanikan diri untuk bersuara.

“Jangan cakap apa-apa, Jerry. Abang sangat penat dan nak balik sekarang.” Heris melarang Jerry daripada cuba bersuara.

“Jerry ikut abang ya.”

Heris tidak mempedulikan adiknya. Tidak berkata ‘ya’ ataupun ‘tidak’.

“Jerry cuma nak temankan abang.”

Entah dari mana keberanian itu muncul. Jerry tiba-tiba mahu menemani abang yang paling ditakutinya itu. Heris tetap tidak menjawab permintaan Jerry. Dia diam sahaja malah tidak pula mahu menghalang Jerry yang masuk ke dalam keretanya. Dia terus memandu membawa Jerry dan meninggalkan hospital Mercient.

**********

Rumah yang sunyi itu jadi bising dengan kehadiran Jerry. Jerry memang suka bercakap dan asyik bercakap sejak di dalam kereta memandangkan tidak mendapat tentangan daripada Heris yang terus-terusan membisu sejak meninggalkan hospital. Ada saja topik yang menjadi tajuk perbualan Jerry walaupun tidak mendapat perhatian Heris. Heris pula seperti menganggap Jerry tidak wujud di sisinya. Dia tiada minat untuk melayan adik lelakinya itu.

“Kak Nia ada beritahu Jerry yang abang ke Parsi Mellon Park cari Kak Jasmine. Kenapa abang tak cakap dengan Jerry? Kalau tidak, bolehlah Jerry ikut. Jerry rindulah dengan Kak Jasmine. Dekat rumah dia mesti ada simpan banyak koleksi dvd anime dan manga kan.” Jerry yang lebih suka memanggil Sophia dengan nama Jasmine itu masih lagi terus berceloteh.

Heris tetap tidak mempedulikan Jerry. Dia mendaki tangga untuk naik ke biliknya. Jerry mengekori. Mulutnya masih terus berceloteh tetapi satu maklumat pun tidak masuk ke minda Heris. Heris membuka pintu bilik dan menuju ke katilnya. Dia merebahkan tubuhnya di atas katil. Jerry yang baru pertama kali masuk ke kamar itu meninjau-ninjau seluruh bilik tersebut. Dari balkoni ke bilik air kemudian menuju pula ke katil. Dia melompat-lompat seperti budak kecil di atas katil sehingga mendatangkan kemarahan Heris.

“Jangan melompat-lompat di atas katil!” Akhirnya Heris bersuara apabila mula berasa rimas dan marah dengan tingkah laku adiknya.

Jerry kecut perut mendengar suara amarah abangnya. Kerlingan tajam Heris membuatkannya terundur-undur ketakutan seperti anak kucing yang dijentik telinganya. Perlahan-lahan dia turun dari katil dan duduk di lantai. Dia merenung abangnya yang kembali baring di posisi asal dengan tangan kanannya diletak di atas dahi.

“Maafkan abang…” Heris sedar yang dia telah tertengking adiknya hanya kerana perkara kecil tadi. “Adakah abang seorang anak yang teruk?” Sebenarnya persoalan inilah yang difikirkannya sejak meninggalkan Hospital Mercient.

“Jerry tak tahu tapi bagi Jerry, abang seorang yang hebat.” Jerry cuba mengambil hati.

“Yakah? Terima kasih kerana cuba menyedapkan hati abang.” Heris mengesan niat Jerry.

Jerry mengetap bibir. Lututnya dirapatkan ke dada dan dipeluk dengan kedua belah tangannya.

“Betulkah ayah sakit sebab terdengar cerita tentang abang?” soal Heris.

“Ada reporter datang cari ayah dan bertanya tentang hubungan abang dengan Kak Jasmine... Betulkah abang dan Kak Jasmine akan bercerai?” Air wajah Jerry tiba-tiba jadi sedih. Dia telah mula menyayangi kakak iparnya itu. Namun berita keretakan hubungan diantara abang dan kakak iparnya begitu menyedihkan hatinya.

Heris diam. Hanya keluhannya yang kedengaran. Dia memusingkan tubuhnya dan memeluk bantal di sebelahnya. Dia tidak mahu perkahwinannya berakhir dengan penceraian.

“Kak Nia kata abang ke Parsi Mellon Park sebab nak pujuk Kak Jasmine. Betul ke?”

Heris mengangguk lemah. “Tapi apa pun abang tak dapat dan sekarang ayah sakit disebabkan abang.”

“Ayah sakit sebab risaukan abang. Dia sayangkan abang.”

Heris menoleh kepada Jerry. Dia merenung wajah suci adiknya yang sedang merenungnya. Kemudian dia bangun dan duduk di birai katil. Kali ini kata-kata Jerry berjaya menyedapkan hatinya.

“Ini tentu kerja Kak Jasmine.”

Heris menoleh kepada Jerry yang kini telah tertumpu pada permaidani kecil di ruang hadapan katil.

“Dia memang sukakan anime macam Jerry juga,” ujar Heris sambil melangkah untuk mengambil tempat di sebelah Jerry.

“Tapi Jerry tak minat Sailormoon. Ia anime untuk budak perempuan. Selalunya budak perempuan suka dengan watak Mamoru.”

“Mamoru?” Wajah Heris berkerut memikirkan sesuatu.

“Ya, maksud Jerry, Mask Tuxedo ni. Dia hero yang selalu menyelamatkan Sailormoon.”

“Jadi ini Mamoru dan Sailormoon?”

“Bukan… ini Mask Tuxedo dan Princess Serenity tapi dalam dunia nyata mereka ialah Mamoru dan Usagi. Pasangan kekasih yang saling melindungi. Usagi ni suka sangat-sangat pada Mamoru. Mamoru pula sangat kool dan dia selalu muncul setiap kali Usagi a.k.a. Sailormoon dalam kesusahan. Hmm, budak perempuan memang sangat admire dengan hero macam Mamoru,” jelas Jerry panjang lebar. Walaupun dia tidak meminati anime tersebut namun sikap ambil tahunya tentang dunia anime menyebabkannya mampu bercerita apa sahaja yang berkaitan dengan anime.

Heris merenung gambar pada permaidani tersebut. Tidak pula dia tahu selama ini tentang nama Mamoru yang digelar oleh Sophia itu ada maknanya tersendiri. Jadi memang Sophia mengaggap Heris sebagai seorang hero seperti Mamoru atau Mask Tuxedo.

Heris bangun dan meninggalkan Jerry untuk ke bilik air sebelum menghantar Jerry pulang. Setelah menghantar Jerry, Heris menuju ke Cello’s Music Management yang terletak berdekatan dengan menara De’ Castle. Di dalam kereta dia sempat cuba menghubungi Sophia.

“Hello… Sof…” Heris memandang telefon yang telah dimatikan taliannya. Dia menhubungi semula nombor yang sama.

“Hello, Sophia tunggu! Please, jangan letak…” Heris menjarakkan telefon tidak bernyawa itu jauh dari telinganya apabila suara garau Josh dan Chris saling bertingkah dalam talian.

Beberapa ketika kemudian…

“Heris… Heris…”

Mendengarkan suara Chris, barulah Heris kembali mendekatkan semula telefon ke telinganya. “Atuk…”

“Apa yang telah berlaku? Bagaimana keadaan Dr. Marcus?” Suara Trisya pula menyampuk di dalam talian.

Heris pening kepala dengan semua suara di dalam talian. Sekejap Chris. Sekejap Trisya. Sekejap Josh. Dia cuma hendak bercakap dengan Sophia tapi nampaknya orang yang dicari tidak sudi mahu bersuara.

“Awak cuma tahu buat orang sakit hati! Saya tak nak cakap dengan awak dan jangan datang ke sini cari saya lagi!” Heris tersenyum mendengar suara yang dirinduinya. Biarpun kemarahan yang dilontarkan dalam talian tersebut sekurang-kurangnya terubat sedikit rindunya mahu mendengar suara Sophia.

Tut… Tut…

Talian diputuskan sekali lagi tanpa sempat Heris menjelaskan apa-apa. Keretanya sudah sampai di perkarangan pejabat studionya. Sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari perut kereta, dia terus diterjah oleh beberapa orang wartawan dan jurugambar. Pelbagai pertanyaan diajukan kepada Heris sehingga tiada satu pun sempat dijawab oleh Heris.

“Benarkah khabar angin yang kami terima mengatakan awak telah bercerai dengan isteri awak?” wartawan memang bijak mengusulkan soalan-soalan panas.

“Adakah berita perkahwinan awak tempoh hari hanya satu gimik untuk melariskan jualan album Monica yang awak terbitkan?” ini alasan yang tak masuk akal dan Heris tidak pernah berniat melakukannya.

“Awak berkahwin secara senyap dan bercerai beberapa minggu kemudian, apakah tujuan awak sebenarnya?” satu soalan yang berani dan secara jelas mahu Heris segera memberikan penjelasan serta merta.

“Cukup!! Kalau awak semua asyik bertanya, bila masa pula saya nak menjawab?” Heris mula berasa marah dengan sikap wartawan yang berebut-rebut mengajukan soalan.

Semua yang berada di situ diam namun lensa kamera masih tertumpu kepada Heris. Para wartawan cuba bersabar dan mendengar penjelasan Heris.

“Saya sangat marah dengan sikap awak semua. Ayah saya sakit dan berada di hospital sekarang gara-gara berita palsu tentang saya. Apa yang menariknya menulis tentang saya? Saya bukan artis. Tolong jangan ganggu kehidupan peribadi saya… awak boleh tulis apa sahaja yang berkaitan dengan kerjaya saya tapi bukan soal peribadi,” tegas Heris.

“Kami tak kan tulis berita yang tidak menarik.” Salah seorang wartawan di situ mempertahankan tindakannya.

“Walaupun awak bukan artis tapi latar kehidupan awak menarik perhatian pembaca. Lagipun awak ialah ahli keluarga Kruger yang terkenal dalam bidang perubatan.” Seorang lagi wartawan menyokong pendapat itu.

“Benarkan kami menemubual awak, En. Kruger,” pinta seorang wartawan wanita yang kelihatan persis tomboy.

Heris mati akal untuk mengelak. Dia berasa tidak senang dengan situasi sekarang tapi dia tidak dapat lari selagi tidak menjawab pertanyaan mereka.

“Kami tidak akan bercerai. Saya tidak akan ceraikan isteri saya sebab dia adalah perempuan yang paling saya cintai. Jelas bukan dengan jawapan saya. Jadi tolong jangan tulis yang bukan-bukan dalam majalah awak semua… dan apa yang lebih penting layan saya sebagai seorang yang meminati dunia muzik dan bukan sebagai anak kepada Dr. Marcus Kruger.”

Sebaik selepas itu Heris beredar pergi. Para wartawan di situ hanya terpaku dan membiarkan Heris berlalu tanpa sebarang sekatan. Ada yang berpendapat masanya belum sesuai. Ada yang yakin mampu mendapatkan berita sensasi tanpa menunggu penjelasan Heris. Masing-masing ada agenda tersendiri sebelum beredar dari situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience