Completed
22877
Bab 10
MALAM sudah lama membuka tirainya. Jam sudah hampir menjangkau pukul 12.00 tengah malam. Suasana riuh masih terasa sunyi bagi Heris. Dia rasa bersalah kerana sudah memungkiri janjinya dengan Nia. Dia duduk di tempat menunggu sambil memerhati beberapa buah kapal terbang dari dinding kaca di Lapangan Terbang Lisberg. Dia tidak sempat menemui Nia yang sudah berangkat ke Houston Milan awal malam tadi.
“Dia tak marah, Heris.” Andrew muncul sambil menghulurkan secawan Nescafe panas yang dibelinya dari mesin vandal kepada Heris.
“Mana abang tahu? Dia mesti marah sebab saya dah lewat sekali lagi,” balas Heris sambil mengambil cawan nescafe yang dihulur oleh Andrew.
“Aku abang dia… aku yang besarkan dia sejak kecil. Tentulah aku lebih memahami dia.”
Andrew menyeluk tangannya ke poket seluar sambil turut sama melihat pemandangan luar bersama Heris.
“Baguslah… dia pergi tak lama kan? Jadi saya tak kan risau.”
Andrew menjeling Heris yang berada di sebelahnya. Tangan kirinya yang berada di poket seluar dikeluarkan. Dia mengusap kasar kepala Heris.
“Kalau tak risau, jangan buat muka seposen. Kau tak kan sunyi lagi walaupun Nia pergi lama selepas ni,” sambung Andrew.
“Janganlah main kepala. Saya bukan budak sepuluh tahun yang abang kenal dululah.” Heris menepis tangan Andrew. Dia tidak suka diperlakukan begitu.
Andrew mengambil tempat duduk di sisi Heris. Dia menghirup perlahan Nescafe panasnya.
“Masa terlalu pantas berlalu. Kamu berdua bukan lagi budak hingusan yang boleh aku buli seperti dulu.” Andrew tersenyum mengenangkan zaman kanak-kanak Heris dan Nia suatu masa dahulu.
“Abang pun bukannya muda lagi. Angka 40 dalam hidup abang tu... Abang tak rasa sesuatu yang kurang dalam hidup abang?”
“Kurang? Maksud kau?” Andrew buat-buat tidak mengerti.
“Kerja penat-penat setiap hari, balik rumah cuma menatap dinding. Apa yang abang dapat?”
Dahi Andrew berkerut. Seraya dia tersunyum sambil menggeleng kepala memikirkan kata-kata yang cuba disampaikan oleh Heris.
“Maksud saya… kahwin. Abang tak nak kahwin?”
“Fahamlah… tapi bukan sekarang. Belum sampai masanya lagi.”
“Habis tu bila?”
“Selepas Ferez Global kukuh dan kamu berdua kahwin.”
“Apa kena-mengena saya dengan abang? Lagipun kalau Nia kahwin tapi saya tak kahwin lagi macam mana? Ataupun saya kahwin tapi Nia tak kahwin pula? Abang nak tunggu sampai bila?”
Andrew sekadar senyum tipis. Heris seperti tidak faham dengan maksud kata-katanya. Biarlah… aku sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku. Apa yang dirancang tak semestinya akan terjadi seperi yang diharapkan. Jadi tak perlulah aku cuba mendesak mereka berdua untuk bersama. Andrew bangun lantas meninggalkan Heris.
“Abang nak kemana?” Heris menoleh ke belakang.
“Dah lewat. Aku nak balik. Esok ada meeting dengan client yang penting.” Andrew tidak menoleh pun pada Heris. Dia sekadar mengangkat tangan sebagai tanda ucapan selamat tinggalnya.
“Soalan saya abang tak jawab lagi!”
Heris cuma dapat melihat belakang tubuh lelaki yang juga dianggapnya sebagai abang kedua itu. Lelaki yang serasi dengan kemeja dan kot itu adalah satu-satunya keluarga Nia yang tinggal. Nicholas Andrew Ferez menerajui Ferez Global yang diwarisi daripada datuknya, Augustine Ferez setelah datuknya itu meninggal dunia. Seawal usia remaja lagi Andrew terpaksa berdikari kerana ibu dan bapanya sudah tiada. Dia dan Nia dibesarkan oleh datuknya setelah ibu bapanya meninggal akibat nahas jalan raya sewaktu dia berusia tujuh belas tahun. Lima tahun kemudian datuknya juga mengikut jejak ibu bapanya.
Di usia dua puluh dua tahun dia terpaksa memikul tanggungjawab yang besar, menjaga Nia dan menerajui syarikat. Dalam usia yang mentah itu bukan mudah baginya untuk mengetuai seramai seribu orang pekerja dalam sebuah syarikat. Jika dia tidak bijak tentu sekali Ferez Global sudah jatuh lingkup atau mungkin dirampas oleh manusia-manusia yang tamak dalam dunia perniagaan. Kini dia patut berbangga kerana dalam usia yang muda dan berbekalkan bakat yang dimiliki, dia sudah menjadi salah seorang daripada sepuluh orang terkaya di Kota Lisberg.
Share this novel