Chapter 30

Humor Completed 22614

Bab 30

SEPASANG kaki yang panjang melangkah keluar dari lif. Skirt berpotongan serong dan but separas betis itu menonjolkan ilusi tinggi tubuh gadis tersebut. Nia menoleh ke kiri dan ke kanan sebelum mengenakan kacamata hitamnya dan masuk ke dalam pintu kaca yang menghubungkan pejabat abangnya. Dia kelihatan berhati-hati dan tiada sesiapa yang perasan dengan kehadirannya di situ. Nia menarik sedikit kacamata ke bawah hidungnya untuk memudahkannya melihat dan mencari Ivan. Sasaran dikenal pasti. Dia menuju ke sana tatkala ternampak Ivan dari dinding kaca bilik tersebut.

“Cik Nia Andrea Ferez!”

Langkah kaki Nia terhenti kerana suara yang memanggilnya itu. Suara tersebut memang biasa dan sangat dikenalinya. Dia menoleh ke belakang. Seorang pemuda segak dengan sut hitam yang melekat di tubuhnya berdiri dan memandang Nia. Dia menggosok kaca matanya dengan sapu tangan putih sebelum mengenakannya semula ke muka. Nicholas Andrew Ferez mendekati adiknya, Nia Andrea. Nia terkulat-kulat memandang abangnya nan satu itu. Kantoi…

“Err… Nia baru nak ke bilik abang.”

“Oh, yakah? Tapi bukankah bilik abang di sana?” Andrew menunjukkan satu arah yang bertentangan dengan arah yang di tuju oleh Nia tadi. Bilik itu agak tersorok. Ada seorang setiausaha yang ditempatkan dekat dengan pintu masuk ke bilik Andrew.

Nia senyum tipis dan memandang ke arah abangnya sebelum melangkah menuju ke bilik Andrew. Andrew membuntuti adiknya dari belakang. Tanpa dilihat oleh Andrew, Nia merungut sendirian. Bagaimana Andrew berjaya mengesannya sebelum dia sempat bertemu Ivan? Geram hatinya apabila melihat abangnya yang mula membaca sesuatu antaranya dengan Ivan.

Andrew menutup rapat pintu biliknya sebelum mendekati adiknya yang sudah duduk di kerusi empuk di hadapan mejanya. Dia merapatkan punggungnya ke meja yang bertentangan dengan Nia.

“Wajah yang cantik akan hilang serinya bila ditarik begitu. Janganlah serius sangat. Orang di syarikat ini sahaja yang dibenarkan berwajah serius, selain pekerja Ferez Global tak perlu lakukannya di sini.”

Nia meleretkan senyuman paksa. Malas hendak melayan kerenah abangnya yang sememangnya bijak mengawal dirinya selama ini.

“Hmm, datang ke Ferez Global? Cuma orang yang bermimpikan seseorang sahaja akan lakukan perkara yang tak pernah dilakukannya sebelum ini,” ujar Andrew sinis dan penuh makna.

“Apa maksud, abang?” Nia tahu Andrew seorang yang mudah curiga dengan setiap tindakannya.

“Tak ada apa-apa. Sebenarnya gembira menerima kunjungan mengejut daripada kau tapi mungkin abang perlu ingatkan kau supaya tidak mengganggu pekerja abang dalam waktu bekerja.” Seperti yang dijangkanya, Andrew dapat membaca segala tindakannya. Kehadirannya di Ferez Global untuk menjejaki Ivan telah dihidu abangnya itu.

“Betul ni… Nia datang memang nak jenguk abang.”

“Jangan cepat melatah. Abang cuma mengingatkan saja.”

Nia merasakan tiada kepercayaan di wajah Andrew terhadapnya.

“Selain abang, tiada orang yang penting patut Nia jumpa di sini. Abang tak patut tuduh Nia begitu.” Nia cuba meyakinkan abangnya.

“Aku tuduh kau? Atau sebenarnya kau yang ada agenda tersendiri,” ujar Andrew sinis.

“Abang…” Nia merengek manja. Cuba memujuk lelaki itu.

“Sudah, sudah… jangan nak merengek macam budak-budak. Pergi balik sekarang. Abang sangat sibuk.”

Mulut Nia memuncung. Kecewa dengan sikap Andrew yang sangat tegas.

“Lunch with me…”

“No… maybe dinner.”

“Huuhh~~” Nia mengeluh. Perasaannya kecewa berbaur sedih.

Nia keluar dari pejabat abangnya selepas itu. Dia tidak singgah berjumpa Ivan seperti yang direncanakannya tadi tapi terus sahaja keluar dari situ untuk pulang. Ivan kebetulan ternampak Nia yang keluar dari bilik Andrew tapi tidak pula ingin menegurnya. Dia cuma memerhati kelibat Nia yang hilang perlahan-lahan dari pandangan matanya.

Aku tak pernah nampak dia datang ke sini sebelum ini. Kalau bukan sebab parti yang diadakan tempohari, aku tak kan mengenalinya sebagai adik kepada Tuan Ferez. Kenapa dia datang ke sini agaknya? Ivan cuma menyuarakan kata-katanya itu dalam hatinya.

************

SOPHIA mencampakkan jaketnya di meja kaca di ruang tamu sebelum meluru ke dapur. Dia membuka pintu peti sejuk dan mengambil botol mineral yang berisi jus oren. Diteguknya minuman itu begitu sahaja.

“Aahh…” Cecair sejuk yang singgah di kerongkongnya melegakan tekaknya yang kering sejak tadi.

Botol mineral itu ditinggalkan di atas meja. Dia ke ruang tamu dan duduk bersandar di sofa putih yang menghadap peti televisyen. Matanya dipejam seketika. Tiba-tiba dia teringat sesuatu yang penting lalu bergegas bangun.

“Mana kamera aku?”

Sophia tercari-cari barang kesayangannya itu. Matanya liar menangkap setiap sudut rumahnya. Mundar-mandir dia berjalan. Kelam kabutnya mengalahkan kucing kehilangan anak.

“Mana aku letak tadi?” Kepalanya diketuk-ketuk dengan tangan sendiri kerana kecuaiannya meletak barang tersebut.

“Velvet Esprada!” Sophia meluru keluar mendapatkan keretanya. Dia sudah ingat dimana kameranya ditinggalkan. Dia lupa untuk mengambilnya di dalam kereta ketika dia pulang dari Vistana City. Dia lebih memikirkan tekaknya yang haus sehingga lupakan kameranya yang ditinggalkan begitu sahaja di dalam kereta.

Setelah mengambil kameranya, Sophia masuk semula ke dalam rumah. Dia terus menuju ke tangga untuk naik ke biliknya. Sampai di kaki tangga langkahnya terhenti. Matanya tertancap pada sesuatu yang menarik perhatiannya. Benda yang umpama meja dekat dengan pintu itu seakan memanggil-manggilnya. Dia mendekati piano kepunyaan Heris. Di buka penutup yang melindungi mata-mata piano tersebut. Sejak mereka berdua berpindah ke rumah baru itu, tidak pernah sekalipun dia mengusik barang kepunyaan Heris itu malah Heris sendiri tidak pernah memainkan piano tersebut untuknya. Teringin juga rasanya untuk menekan mata-mata piano tersebut. Bagaimanakah bunyinya ya? Tentu hebat.

Sophia cuba menekan salah satu mata piano yang berwarna putih itu. Dia senyum teruja mendengar bunyi yang memenuhi ruang itu. Dia meletakkan kameranya di atas piano itu dan duduk dengan betul di hadapan piano berwarna putih itu. Dia meletup-letupkan jari-jari tangannya dan bersedia untuk mencuba alat muzik itu yang tidak pernah disentuhnya sebelum ini. Bermacam-macam bunyi asing yang keluar. Nasib baik rumahnya jauh dari jiran tetangga. Jika tidak, tentu sekali ada yang memaki tatkala terdengar bunyi yang sumbang itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience