Chapter 63

Humor Completed 22614

Bab 63

HERIS menyeberangi jalan untuk ke kafe di seberang jalan dan mendapatkan Frida Fernanda yang sedang menantinya di meja sebelah luar kafe yang popular dengan nama Merlin Pur itu. Dia menyapa ibu tirinya sebelum mengambil tempat duduk. Seorang pelayan datang dan mengambil pesanan. Seketika kemudian pelayan wanita itu meninggalkan Heris dan Frida.

“Heris dah datang. Cakaplah apa yang makcik nak katakan.”

Frida tidak terus berbicara sebaliknya diam dan merenung anak mata Heris yang meliar ke sekitar ruang kafe. Anak muda di hadapannya itu tidak pernah mahu menerimanya sebagai ibu menggantikan tempat Keira Angela, ibu kandung Heris yang telah lama mati. Buktinya Heris tidak pernah mahu memanggilnya ‘mama’ seperti adik-beradiknya yang lain.

“Apa hal yang penting sangat nak cakap dengan saya?” soal Heris.

“Sampai bila Heris nak letak tembok pemisah dengan keluarga?”

“Apa yang makcik cakap? Tak cukupkah Heris pulang sesekali makan bersama keluarga?”

“Itu tiada maknanya jika Heris masih bersikap dingin dengan kami.”

“Bukan salah Heris kerana ayah sendiri yang membenci Heris… kalau makcik nak sangat jumpa Heris sebab nak katakan perkara ini, Heris tak berminat untuk mendengarnya.” Heris segera bangun untuk beredar.

“Nanti, ada lagi yang mama belum katakan… duduk dulu, please,” pinta Frida.

Heris duduk semula. Seorang pelayan datang menghantar pesanan. Setelah pelayan berkenaan beredar barulah Frida menyambung semula bicaranya.

“Mama nak beritahu Heris tentang ibu. Ini adalah rahsia yang tidak pernah kami beritahu sesiapa. Maksud mama, kami bertiga… ayah, ibu dan mama.”

Heris masih belum menunjukkan minat untuk mendengar tetapi Frida tetap mahu meneruskan niatnya.

“Heris tidak pernah tahu sebenarnya ibu Heris, Keira Angela menghidap penyakit maut sebelum Heris lahir lagi. Pada awalnya penyakit tersebut hampir pulih tetapi ia kembali merebak ke seluruh tubuh setelah ibu Heris melahirkan Heris. Lebih dari sepuluh tahun dia bertahan dan akhirnya dia tahu yang saat dia melihat dunia semakin pendek. Dia tidak mahu meninggalkan orang-orang yang disayanginya tapi dia juga tidak mahu melihat kesedihan di wajah ayah, Alex dan Heris. Mama yang menjadi jururawat peribadinya ketika itu tidak setakat menjaganya malah menjadi teman yang paling akrab sehingga di saat akhir hayatnya.

“Ayah yang Heris sangka meninggalkan ibu kerana kerjayanya yang sedang berada di kemuncak itu pula sebenarnya sedang bertungkus lumus mencari penawar untuk mengubati penyakit ibu Heris. Dia berharap pengorbanannya meninggalkan isterinya akan mendatangkan hasil tapi akhirnya dia tetap gagal. Sebelum ibu Heris menghembuskan nafas terakhir, kami bertiga sempat berbual mesra seperti biasa. Malah mama dan ayah juga tidak sangka itu adalah perbualan terakhir kami dengannya.

“Dalam perbualan terakhir itu dia mahu kami berjanji sesuatu… dia mahu keluarganya hidup bahagia walaupun tanpanya. Jadi dia mahu ayah mengahwini mama agar anak-anaknya tidak kehilangan kasih sayang seorang ibu. Itulah pengorbanan paling mulia yang dilakukan oleh ibu Heris.”

Frida berhenti seketika. Dia tidak dapat menahan sebak apabila mengingati peristiwa tersebut.

“Kenapa mama sanggup terima permintaannya sedangkan mama tidak menyintai ayah ketika itu? tentu Heris sangka mama berniat mendapatkan harta keluarga ini sahaja… tidak, sebenarnya waktu itu mama cuma harap dapat tunaikan harapan terakhirnya sahaja. Dia wanita paling mulia pernah mama jumpa. Hanya dia sahaja yang percaya pada mama sedangkan semua orang menuding jari melihat kesalahan mama.

“Dia pernah berpesan supaya tidak bercerita pada sesiapa tentang penyakitnya terutama kepada Heris. Sebulan selepas kematiannya kami berkahwin. Mama harap dapat lakukan yang terbaik untuk Alex dan Heris tapi sehingga sekarang mama rasa bersalah kerana gagal menunaikan harapan terakhir ibu Heris.”

Heris berasa yang bahunya sedang dibebani suatu kesalahan yang berat. Jika benar apa yang dikatakan oleh Frida, bermakna dia telah bersalah kepada ayahnya. Dia berharap wanita di hadapannya itu sedang bercakap bohong.

“Kenapa makcik ceritakan semua ni pada Heris? Makcik nak beritahu sebenarnya Herislah punca kematian ibu… begitu?”

“Tidak, bukan begitu… kami tidak pernah salahkan Heris. Malah ayah sendiri tidak pernah pertahankan diri semasa dituduh tidak bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya. Dia sanggup terima tuduhan tersebut asalkan Heris tidak menyalahkan diri sendiri jika ketahui perkara sebenar.”

“Makcik tipu. Heris tak percaya.” Sukar untuk dia menerima hakikat yang baru diberitahu kepadanya.

“Heris boleh anggap mama apa saja tapi tolong jangan lukakan hati ayah lagi. Dia dah banyak berkorban. Dia nampak sangat tegas di hadapan semua orang tapi apabila bersendirian bersama mama barulah dia akan tunjukkan sisi lemahnya. Sebagai seorang ayah dia sering menangis demi anak-anaknya terutama Heris. Antara ketiga-tiga anaknya dia paling sayangkan Heris kerana Heris adalah anak dari benihnya bersama Keira Angela.”

“Heris tak percaya.” Heris menggeleng kepala. Hakikat yang nyata itu cuba dinafikan. “Makcik sengaja reka cerita!” Heris bangun lantas mengatur langkah untuk beredar pergi.

“Keira Angela sememangnya wanita mulia tapi nasibnya malang kerana punya anak yang tidak bertanggungjawab macam Heris!”

Berdesing telinga Heris mendengar kata-kata tajam daripada Frida. Dia memandang Frida dengan mata yang berapi.

“Berani makcik kata…”

“Jangan nak mengelak daripada kenyataan. Jangan mencari alasan kerana takut untuk memikul tanggungjawab.” Frida sudah berdiri bersuara dengan tegas. “Heris salahkan ayah sebab gagal merawat ibu tapi kenapa Heris tidak melakukan perkara yang sepatutnya? Dengan kelayakan Heris sepatutnya berada di hospital dan mencari penawar untuk penyakit yang pernah membunuh ibu Heris. Bukannya merungut dan hanya tahu menyalahkan orang lain!”

Heris tergamam. Inilah kali pertama ibu tirinya itu meninggikan suara kepadanya.

“Heris, kembalilah ke hospital dan bantu ayah.” Suara Frida kendur semula memujuk Heris. Heris terdiam agak lama.

“Tidak, Heris tak boleh lakukannya. Ia keputusan yang salah jika Heris kembali ke hospital.”

“Bukan tak boleh tapi Heris tak nak atasi ketakutan dalam diri Heris… fikirlah masak-masak. Mama bukan memaksa tapi jika keputusan Heris tetap sama, sekurang-kurangnya runtuhkanlah tembok yang Heris bina dalam diri Heris selama ini. Ayah tidak pernah membenci Heris. Dia selalu mengikuti perkembangan Heris. Malah tahu segala pencapaian Heris dalam bidang muzik.”

Frida mengambil tas tangannya sebelum beredar meninggalkan Heris. Heris sekadar menghantar Frida dengan pandangan mata. Frida berhenti seketika dan menoleh semula kepada Heris. “Mama tahu Heris juga sayangkan ayah. Heris sangat risau apabila mendengar berita ayah terlantar sakit, bukan? Jadi fikirkanlah kata-kata mama tadi.”

Frida kembali melangkah dan semakin menjauh. Heris pula duduk semula di kerusinya. Minuman di hadapannya masih tidak terusik. Dia menolak cawan ke tengah meja. Pandangannya dilemparkan ke satu arah. Cerita yang dibawa oleh Frida mengganggu fikirannya. Entah benar atau palsu. Dia tidak mahu percaya tetapi apabila melihat mata Frida, ia seperti bukan satu pembohongan. Jika ia benar maka dia bersalah kerana selama ini meletakkan segala kesalahan di bahu ayahnya sedangkan dia tidak melakukan apa-apa selain menyalahkan orang lain.

“Kenapa ayah layan aku sampai begini sekali?” Heris mengeluh berat sambil merenung minumannya yang semakin sejuk dengan penuh rasa kesal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience