Chapter 60

Humor Completed 22614

Bab 60

MALAM yang indah muncul lagi. Ini adalah hari kedua Heris bermalam di rumah keluarga mentuanya. Sophia semakin curiga. Heris sangat rapat dengan datuknya sejak pagi tadi. Malam ini, mereka berdua hilang lagi selepas makan malam. Apa pula yang akan dilakukannya selepas ini? Sophia bertambah risau. Jika Heris semakin rapat dengan datuknya pasti semakin sukar proses penceraiannya dengan lelaki itu.

Sophia tidak ingin berfikir panjang lagi lantas dia terus naik ke biliknya. Dia berharap Heris tidak melakukan kerja yang sia-sia seperti pagi tadi. Sophia tiba di muka pintu dan sebaik dia menolak tombol pintu dia telah disajikan dengan pemandangan yang luar biasa. Hampir nak jatuh rahang dibuatnya apabila melihat keadaan biliknya angkara Heris. Oleh kerana tidak mampu menjerit untuk melepaskan geram dia hanya mampu melaga-lagakan giginya sahaja. Buku lima dikepal kemas namun hanya mampu menumbuk angin kerana suami ‘tercinta’ tiada dihadapan mata.

Bilik Sophia dipenuhi dengan bunga mawar merah. Di atas meja ada dua jambak bunga mawar yang disusun di dalam pasu seramik berbentuk panjang. Sementara di lantai hingga ke atas katil bertaburan kelopak mawar merah. Di sekitar lantai di hujung sebahagian dinding pula tersusun gelas-gelas kaca yang mengandungi setangkai bunga mawar di setiap satunya. Bilik itu sudah seperti taman bunga yang hanya ada bunga mawar merah sahaja layaknya.

*********

Sementara itu di bilik Josh dan Trisya…

“Saya rasa Heris dan Sophia tu peliklah. Awak tak fikir begitu, Trisya?” Josh menyuarakan kemusykilan di hatinya.

Trisya cuma tersenyum sambil menyapu sesuatu pada wajahnya. Dia mengintai Josh yang memegang surat khabar di atas katil melalui cermin meja solek.

“Apa yang pelik?” tanya Trisya berpura-pura tidak tahu apa-apa.

“Ada yang tak kena.” Dahi Josh berkerut memikirkan kemusykilannya.

“Biasalah… pasangan yang baru berkahwin tentulah ada masalah.”

“Awak kata mereka ada masalah?” Tumpuan Josh segera dilarikan dari akhbar kepada isterinya.

Ops…! Trisya terlajak kata.

“Maksud saya mereka tak tahu nak ekspresikan kasih sayang di antara satu sama lain.”

Josh mengangguk. Trisya menarik nafas lega kerana berjaya memusingkan ayatnya.

“Saya tak kisah apa pun… tapi kalau sampai saya tahu mereka lakukan sesuatu yang tak masuk akal, saya tak akan berdiam diri.”

“Maksud awak?” Trisya curiga dengan kata-kata suaminya lantas bangkit mendekati Josh di atas katil.

“Emm…” Josh memandang isterinya dengan pandangan yang tak dapat dimengertikan oleh Trisya. Dia tidak sempat menyudahkan bicaranya apabila tiba-tiba mereka berdua terdengar suara nyanyian yang diiringi muzik dari luar rumah. Josh dan Trisya saling bertukar pandangan sebelum bergegas menjenguk melalui tingkap.

“Siapa yang memekak malam-malam buta begini? Mengganggu orang nak berehat sahaja,” bebel Josh sambil matanya tercari-cari arah suara yang bergurindam itu.

Mata Josh mengecil apabila berjaya melihat gerangan orang yang sedang menyanyi di luar jendela bilik Sophia. Trisya ternganga apabila melihat Heris yang sedang bernyanyi sambil diiringi oleh Kumpulan Mariachi yang lengkap dengan sut seragam yang biasa mereka pakai. Kumpulan Mariachi adalah kumpulan pemuzik jalanan yang popular di Parsi Mellon Park.

“Josh, itu menantu kita. Itu Heris.” Trisya begitu teruja melihat adegan tersebut. Selaku seorang ibu, dia rasa terharu melihat kesungguhan Heris cuba memujuk isterinya kembali kepangkuannya.

“Kenapa dia menyanyi di luar bersama Kumpulan Mariachi?” soalan Josh berbaur curiga.

“Tentu sedang memujuk Sophia,” jawab Trisya selamba tanpa sedar telah menarik perhatian Josh yang sememangnya mencurigai kelancaran hubungan kedua anak menantunya.

“Mereka bergaduh?”

“Err… maksud saya, inilah cara dia meluahkan cintanya kepada Sophia.” Trisya membetulkan kata-katanya. “Romantiknya… saya pernah harap awak lakukannya untuk saya dulu tapi nampaknya awak tidak akan lakukannya.” Segera Trisya menarik perhatian Josh dengan topic lain.

“Bukankah saya pernah nyanyikan lagu khas untuk awak semasa majlis ulang tahun perkahwinan kita dulu?”

Trisya memandang tepat ke wajah Josh. Dia mengucup bibir suaminya. Trisya mengangkat kedua belah tangan Josh dan meletakkan di pinggangnya. Josh memeluk Trisya dari belakang tubuh wanita tersebut. Mereka berdua terus mengintai keluar untuk menyaksikan Heris dan kumpulan Mariachi tersebut membuat persembahan. Malam yang indah itu terasa romantik buat pasangan yang telah dua puluh enam tahun hidup bersama itu.

“Apa saja untuk mu… kan ku ubah caraku… jikalau itu… yang kau mahu… apa saja demi kebahagiaanmu…”

Sophia berkelubung di dalam selimutnya. Dia tidak mahu mendengar suara Heris. Dia cuba memekakkan telinganya daripada mendengar nyanyian Heris. Seperti jangkaannya, Heris melakukan perkara yang bodoh untuk memujuknya semula. Ini tentu sekali idea gila dari datuknya. Namun semakin dia tidak mahu mendengar semakin jelas pula irama dan lagu dendangan Heris itu masuk ke dalam telinganya biarpun tingkap bilik ditutup.

Sophia mencampakkan selimutnya. Dia bangun dari katil. Dia berjalan ke hulu dan ke hilir sambil menutup telinganya. Sehingga sekarang sudah tiga buah lagu yang di dendangkan oleh lelaki itu. Sampai bila dia akan berhenti? Aku dah tak tahan lagi. Sophia buntu. Setelah penat mundar-mandir di ruang itu dia duduk bersandar di dinding dekat dengan tingkap.

“Sabar, Sophia… kalau aku tak hiraukannya dia tentu akan berhenti.” Sophia sekadar menyedapkan hatinya sambil menggigit-gigit kelopak bunga mawar. Melepaskan tekanan!

Akhirnya Sophia tersenyum kerana nyanyian Heris sudah tamat. Sementara itu Heris hanya mendongak dan melihat tingkap bilik Sophia yang tertutup rapat dengan sayu. Seketika kemudian dia memandang datuknya yang sedang duduk di kaki lima rumah sambil makan kuaci. Dia mendekati lelaki tua yang hanya memakai baju-T Pagoda dan berseluar tidur itu.

“Atuk, rancangan kali ini gagal juga. Idea atuk tak berkesan.” Heris mengeluh.

“Sini.” Chris memanggil cucu menantunya itu datang merapatinya.

“Aouch..!” Heris mengusap kepalanya yang baru sahaja diluku lagi oleh Chris.

“Berani kau kutuk idea aku yang sangat hebat. Kau tu yang bodoh. Kau bukan nak memikatnya tapi nak mamujuknya. Lagu yang kau nyanyi tu tak cukup bagus. Bukankah kau seorang penulis lagu. Tentu kau ada lagu yang sesuai untuk memujuk seseorang.”

Heris terfikir sesuatu. Betul juga cakap atuk. Kenapa otak aku sempit sangat. Walaupun lagu tadi tu romantik tapi ia tidak sesuai untuk memujuk Sophia.

“Kau tak pernah cipta lagu untuknya.” tanya Chris.

“Tidak,” Heris menjawab jujur.

Jawapan Heris mengecewakan Chris. “Jadi lagu apa yang kau tulis selama ini?”

Heris tersengih dan menggaru kepala. Seingatnya dia lebih banyak mencipta lagu yang berentak Dance dan Pop. Jarang sekali dia menghasilkan lagu berirama balada lebih-lebih lagi lagu romantik.

“Tapi tok, saya dah tahu apa yang patut saya nyanyikan sekarang. Ia bukan lagu saya tapi Sophia tentu akan cair apabila dengar saya nyanyikan untuknya.”

Heris mendapat idea untuk lagu seterusnya. Dia berlari semula ke tempat asalnya bersama Kumpulan Mariachi yang dibayarnya untuk mengiringi persembahannya pada malam tersebut. Dia memberitahu lagu yang perlu dimainkan oleh mereka selepas ini. Sebentar kemudian muzik berkumandang semula setelah Heris memberi isyarat.

Gitar memulakan intro muzik. Sophia yang berada di dalam bilik menepuk dahi. Belum habis lagi rupanya. Sophia sangat geram kerana terpaksa mendengar lagi suara Heris yang tidak seberapa merdu itu menyanyi.

“Izinkan aku… melafazkan isi hatiku… kau yang satu… bagiku tiada lain dari mu…”

‘Sejak kali pertama aku memandangmu naluriku mengatakan yang cinta itu adalah kau. Aku tak mengerti apakah makna cinta sebenarnya tapi detik itu telah memberitahu aku bahawa cinta itu adalah kau, Sophia Heartnett.’

“Pastiku kan ubati lukamu… segala kemahuanmu kuberi… janjiku, padamu… hatiku hanya untuk mu…”

‘Tipu! Kau tak kotakan janji yang kau buat, Heris. Aku benci kau!’ Hati Sophia menjerit sakit. Kelopak mawar dalam tapak tangannya dikoyak-koyak, umpama hatinya kini yang sudah hancur kecewa.

“Tiada yang lain dari mu… hasratku hanyalah untukmu… izinkan aku lafazkan isi hatiku… masihkah aku bertakhta di hatimu… janjiku, padamu… kau perlu tahu. Tiada yang lain dari mu… hasratku hanyalah untuk mu… masihkah aku bertahkta dalam hidupmu?”

‘Ya, hanya kau yang bertakhta di hatiku. Aku cintakan kau. Itulah hakikat yang sangat aku benci kini. Kenapa kau perlu muncul dalam hidup aku jika tujuanmu mahu menghancurkan cintaku?’ Sophia rasa lemah seluruh anggota badan. Suara nyanyian Heris membuatkannya benar-benar lemah untuk menafikan perasaan sendiri.

“Mainanmu… igauanku… hanya perasaan yang mengundang… haruskah dirimu…oh, membenci diriku… ku pohon maaf darimu”

‘Sophia, perlukah aku terus merayu untuk mendapatkan kemaafan darimu. Aku tahu aku bersalah. Aku terus menunggumu, sayangku.’

“Tiada yang lain darimu… hasrat ku hanyalah untuk mu… berikan diriku secebis senyuman tawamu… kurindu sentuhanmu”

‘Aku amat merinduimu. Sungguh… aku rindukan gelak tawamu. Aku rindukan segala-galanya tentang dirimu. Kembalilah padaku, sayang.’

“Bagaikan mentari dihati… bila kau kembali di sisi… kau membawa erti hidup ku ini kembali berseri’

Mutiara jernih mengalir setitik dari hujung kelopak mata Sophia. Tiada apa yang dapat menafikan perasaannya terhadap Heris. Biar dia cuba membohongi diri sendiri kenyataannya tetap tidak dapat disangkal. Hatinya milik Heris.

Jika diikutkan hatinya mahu sahaja dia kembali ke dalam dakapan Heris kini namun benci dan marah itu mengatasi perasaan cintanya. Benci dan marahnya adalah kerana menyintai Heris. Akhirnya cinta sekali lagi telah membunuhnya.

“Adik, Mamoru cintakan adik! Beri peluang pada Mamoru sekali lagi.” Sayu suara Heris Heris merayu dari luar jendela.

Setelah beberapa ketika akhirnya Sophia membuka jendela bilik. Heris tersenyum apabila melihat Sophia yang muncul jua akhirnya. Dia sempat melontarkan kerlingan kepada datuknya. Chris tersenyum sambil mengangkat ibu jarinya. Rancangan berjaya. Josh dan Trisya yang juga menyaksikan kejadian tersebut tersenyum. Kewujudan mereka berdua itu tidak dikesan oleh Heris kerana tingkap bilik mereka agak tersorok dengan tempat Heris berdiri.

“Kita ada seorang menantu yang hebat. Dia boleh menjaga satu-satunya anak kita. Dia sangat menyintai Sophia. Saya gembira, Josh.”

“Tentu saya akan kerjakan dia kalau cuba musnahkan hidup anak kita.”

Trisya tersenyum memandang suaminya. Mereka kembali melihat adegan seterusnya di antara Heris dan Sophia.

“Sudikah awak maafkan saya kali ini?”

Sophia hanya tersenyum. Hati Heris berbunga melihat senyuman yang dirinduinya itu. Walaupun Sophia belum berkata apa-apa tapi ini umpama petanda baik buat dirinya.

“Awak sangat romantik, sayang. Semua jiran tetangga yang sedang mengintai tentu berasa cemburu dengan saya sebab mempunyai seorang suami yang romantik macam awak.”

Heris sangat gembira mendengar pengakuan Sophia. Dia menoleh sekelilingnya. Rupanya banyak mata-mata yang sedang mengintainya dari celah tingkap rumah masing-masing. Termasuklah ibu dan bapa mentuanya. Josh dan Trisya yang ternampak Heris sedang menoleh ke tingkap mereka segera menarik kepala masuk ke dalam untuk bersembunyi.

“Berapa awak bayar pemuzik dan penyanyi latar awak tu?” tanya Sophia.

“Wang bukan ukuran cinta kita, sayang. Untuk awak apapun saya sanggup lakukan.”

“Oh, yakah? Tentu seronok kalau kita berdua bercinta setiap hari seperti dulu kan.”

Heris tersenyum dan mengangguk. Harapannya kembali mekar. Idea atuk memang bernas. Masalah aku akan selesai malam ini.

CHEBUSH…!!

Harapan tinggal harapan. Segalanya musnah dalam sekelip mata. Kata-kata Sophia hanya indah di bibir sahaja. Wanita itu masih belum puas lagi dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh Heris. Dia tidak sangka yang hati wanita itu sungguh keras bagaikan kerikil. Habis basah lenjun seluruh tubuhnya disiram air oleh Sophia dari atas. Tiga orang pemuzik Kumpulan Mariachi di belakangnya juga turut terkena tempias. Semua mata yang sedang mengintai hanya mampu ternganga melihat pengakhiran babak romantik tersebut.

“Jangan nak mimpi. Keputusan yang dicapai adalah muktamad. Tiada sebarang rayuan, faham!” tegas Sophia sebelum menutup tingkap dan langsir biliknya.

Heris hanya mampu meraup mukanya yang basah. Bajunya sudah lenjun bagai hujan yang lebat baru sahaja turun. Chris mendekati Heris. Dia membayar pemuzik-pemuzik tadi dan menyuruh mereka semua beredar.

“Saya takkan dapat masuk ke bilik malam ini. Dia betul-betul marah,” ujar Heris.

Chris menepuk-nepuk belakang Heris untuk memberikannya semangat.

“Atuk, saya tidur di bilik atuk malam ini.”

Chris sekadar menggeleng kepala dan membiarkan Heris berlalu masuk ke rumahnya. Sebagai orang tua dia sekadar mampu memberi nasihat dan sokongan. Dia tahu masih belum terlambat untuk memulihkan hubungan cucunya suami isteri. Demi kebahagiaan cucu kesayangannya dia akan terus menyokong Heris dalam usahanya memikat semula Sophia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience